Tuesday, November 29, 2016

Pegawai Awam Ditahan Di Melaka, Jutaan Ringgit Dikesan Dalam Akaun Bank


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai awam kerana disyaki terlibat dengan rasuah melibatkan projek-projek Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka, hari ini.

Menurut sumber, pegawai lelaki berusia 55 tahun itu ditahan SPRM kira-kira 2 petang tadi.

Sumber itu berkata suspek disyaki telah meminta wang suapan bagi projek berkaitan PBT berkenaan.

"Selain itu, SPRM turut membekukan akaun bank milik suspek yang mengandungi wang jutaan ringgit," katanya kepada Bernama.

Berikutan itu, SPRM dijangka menahan beberapa lagi individu berkaitan kes itu, katanya.

Sementara itu, SPRM menahan seorang penolong pegawai di pejabat tanah daerah di Johor kerana disyaki menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan tanah di pejabat-pejabat tanah daerah lain, selain menggunakan kedudukannya untuk memperoleh tanah secara pindah milik.

Sumber itu berkata suspek berusia 50-an itu ditahan kira-kira 2 petang tadi di pejabat SPRM Johor.

Hasil siasatan mendapati suspek memiliki beberapa lot tanah pertanian seluas 16.75 ekar, tanah usahasama 68 ekar, tanah rumah kediaman dan kediaman mewah di beberapa daerah di negeri itu, katanya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009," kata sumber itu.


Pengarah SPRM Johor, Datuk Simi Abdul Ghani mengesahkan tangkapan itu dan suspek dijangka direman esok.

Monday, November 28, 2016

SPRM anjur seminar perkukuh komunikasi strategik


Jalinan kerjasama antara agensi-agensi penguatkuasa menerusi bidang komunikasi strategik perlu diperkukuhkan agar perhubungan awam, pengurusan isu dan krisis dapat dikendalikan secara berkesan sekali gus memberi impak tinggi demi kepentingan rakyat.

Perkara ini merupakan hasrat dan rumusan kesemua peserta daripada 13 agensi penguatkuasaan yang menghadiri Seminar Pengurusan Komunikasi Strategik Agensi Penguatkuasaan di Akademik Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di sini hari ini.

Seminar anjuran Bahagian Komunikasi Strategik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil.

Seminar sehari yang dianjurkan oleh Bahagian Komunikasi Strategik SPRM ini melibatkan sebanyak 13 agensi penguatkuasa iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Penjara, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Kementerian Pertahanan serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Pada majlis berkenaan, Ahli Majlis Pentadbir Malaysian Press Institut (MPI), T.Selva membentangkan kertas kerja bertajuk 'Hubungan Media dan Agensi', sementara Pengarah Komunikasi, Kandungan dan Infrastruktur NKEA, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksana (PEMANDU), Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek pula menyampai kertas kerja bertajuk 'Pengurusan Isu dan Krisis dalam Agensi Kerajaan'.

Turut diadakan ialah sesi forum bertajuk 'Pengurusan Isu & Krisis: Amalan Terbaik' yang dianggotai oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Ibrahim Abdul Rahman, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Abdul Samat Kasah dan Ketua Komunikasi PDRM, ACP Datin Asmawati Ahmad sebagai ahli panel.

Tuesday, November 22, 2016

Rasuah: Pegawai kanan TLDM dijel, denda


Seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dihukum penjara tujuh bulan dan denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM104,971.97, dua tahun lalu.

Hakim S. Indra Nehru turut memerintahkan Leftenan S. Kuvendran, 32, yang diwakili peguam Norhasham Hasan dipenjara 12 bulan lagi jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Kuvendran yang bertugas di Material 2, Depot Bekalan Armada TLDM, Lumut didakwa menerima wang suapan berjumlah RM104,971.97 daripada Mohd. Nasir Abdullah menerusi kad debit CIMB sedangkan syarikat Mohd. Nasir mempunyai kepentingan dan tugas rasmi dengan tertuduh.

Keempat-empat kesalahan tersebut didakwa dilakukan tertuduh antaranya di CIMB Bank Cawangan Seri Manjung, Taman Samudera, Seri Manjung dekat sini antara 7 Januari 2014 dan 8 Oktober 2014.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afifah Yusof mengemukakan semua pertuduhan terhadap Kuvendran mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan dan denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan diperintah berjalan serentak. Kuvendran membayar denda berkenaan.

Sementara itu, mahkamah tersebut menangguhkan keputusan terhadap dua lagi tertuduh yang merupakan pasangan suami isteri, Leftenan Komander Rizalman Ghazali, 37, dan Leftenan Komander Rozlin Mustafa, 34, kepada 6 Disember ini.

Keputusan itu dibuat selepas kedua-dua tertuduh hari ini turut mengaku bersalah atas tuduhan masing-masing.

Rozlin yang merupakan Pegawai Kawalan Material 3, Depot Bekalan Armada TLDM, Lumut, menghadapi dua pertuduhan melibatkan wang suapan bernilai RM230,011.44 pada 15 Oktober 2014 dan 2 Januari tahun lalu manakala suaminya, Rizalman didakwa atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM420,852.85.


Pertuduhan-pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) dan 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Friday, November 11, 2016

Pengurus Besar GLC, 2 kontraktor ditahan reman




Mahkamah Majistret Putrajaya mengeluarkan perintah tahanan reman terhadap seorang pengurus besar sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) berusia 56 tahun kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan menerima suapan.

Turut dikenakan tahanan reman hari ini bagi membantu siasatan adalah dua individu lain iaitu seorang pengurus besar syarikat kontraktor berusia 51 tahun bergelar Datuk dan seorang Ketua Pegawai Eksekutif syarikat kontraktor berusia 51 tahun, masing-masing dari syarikat berbeza.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman menetapkan tahanan reman selama lima hari terhadap ketiga-tiga individu terbabit bermula hari ini  sehingga 15 November ini.

Ketiga-tiga individu berkenaan tiba di perkarangan Istana Kehakiman di sini dengan kenderaan SPRM pada pukul 10.30 pagi dengan masing-masing dalam keadaan bergari dan menutup muka mereka.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengurus besar sebuah GLC di rumahnya di Seremban, Negeri Sembilan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan menerima suapan daripada kontraktor-kontraktor yang berurusan dengannya.


Siasatan mendapati suspek memiliki sembilan buah rumah bernilai RM8 juta yang dipercayai dibeli secara tunai, empat buah kereta mewah termasuk sebuah motosikal berkuasa tinggi dan wang simpanan berjumlah RM2.5 juta.


Kedua-dua kontraktor berkenaan pula ditahan kira-kira pukul 12 tengah malam tadi selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.

Pengurus besar GLC ditahan

Miliki 9 rumah bernilai RM8 juta dibeli tunai



Memiliki sembilan buah rumah bernilai RM8 juta yang dipercayai dibeli secara tunai, empat buah kereta mewah termasuk sebuah motosikal berkuasa tinggi dan wang simpanan berjumlah RM2.5 juta.

Itu kemampuan luar biasa seorang pengurus besar sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) berusia 56 tahun yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan menerima suapan daripada kontraktor-kontraktor yang berurusan dengannya.

Lelaki itu ditahan di rumahnya di Seremban, Negeri Sembilan pada pukul 9.35 pagi ini dan hasil pemeriksaan SPRM menemukan wang tunai RM30,000, dua buah kereta Audi TT, sebuah Toyota Hilux serta sebuah motosikal Harley Davidson.

Menurut sumber, pemeriksaan lanjut mendapati suspek memiliki tiga buah rumah di Putrajaya, Negeri Sembilan (4) dan masing-masing sebuah di Kuala Lumpur serta Cyberjaya.

Ujarnya, pihak SPRM juga telah membekukan beberapa akaun bank milik suspek, isteri dan anaknya yang mengandungi wang berjumlah kira-kira RM2.5 juta.

Katanya, atas sifat tamak suspek, kira-kira 20 pegawai bawahan yang dipercayai enggan bersubahat dengan perbuatannya dipecat sejak suspek memegang jawatan tersebut pada tahun 2010.

“SPRM percaya kesemua hasil kekayaan tersebut adalah nilai suapan yang diterima daripada beberapa kontraktor sebagai ba­lasan membenarkan mereka meneruskan projek walaupun gagal menyiapkan kerja dalam tempoh masa yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, SPRM masih menyiasat jumlah wang suapan yang telah diperoleh oleh suspek yang mempunyai tiga anak itu setakat ini,” kata sumber itu di sini hari ini.

Sumber memberitahu, suspek yang kini dibawa ke Ibu pejabat SPRM untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan dijangka dibawa ke Mahkamah Putrajaya esok untuk permohonan reman.

“Siasatan terhadap suspek dijalankan di bawah Akta SPRM dan Pengubahan Wang Haram,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan tidak menolak beberapa tangkapan susulan akan dibuat terhadap mereka yang memegang jawatan penting yang dipercayai turut menerima wang suapan dengan menyalahgunakan kuasa.

Tambahnya, suspek yang ditahan dipercayai telah menyalahgunakan kuasa yang ada untuk kepentingan diri sendiri sehingga sanggup menjejaskan kerjaya dan pendapatan orang lain.


Utusan Malaysia hari ini melaporkan yang SPRM sedang menyiasat seorang pengurus besar sebuah syarikat GLC dipercayai hidup mewah luar biasa hasil salah guna kuasa dengan membenarkan beberapa projek kerajaan yang gagal disiapkan kontraktor dalam tempoh ditetapkan diteruskan selepas terima suapan.

Thursday, November 10, 2016

Kerajaan perlu timbang semula peruntukan SPRM


Kerajaan diminta mempertimbang semula peruntukan kewangan untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha memastikan matlamat negara bebas rasuah dapat dijayakan.   

Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dalam kenyataan hari ini berkata fokus pencegahan rasuah perlu diberi perhatian penuh walaupun kerajaan mahu merancakkan pertumbuhan, memastikan pengurusan fiskal secara berhemah serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.     

"LPPR berpandangan kerajaan perlu mempertimbang semula peruntukan kewangan terhadap SPRM, yang berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya seperti dibentangkan dalam Bajet 2017 pada Oktober lepas," kata LPPR.

LPPR yang merupakan badan pemantau bebas SPRM turut mengucapkan syabas kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad, yang berjaya mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang 100 hari beliau memegang jawatan.

"Langkah yang dilaksanakan Dzulkifli ketika menerajui SPRM dalam tempoh itu akan berterusan hingga mencapai matlamat negara bebas rasuah.

"Ini sekali gus membolehkan perkhidmatan terhadap rakyat dioptimumkan dan pelan pembangunan yang direncanakan kerajaan akan terlaksana sepenuhnya," kata kenyataan itu. 


Pada masa sama, LPPR berkata ia akan terus memainkan peranan dan memikul tanggungjawab agar SPRM dapat membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Wednesday, November 9, 2016

WARKAH TERBUKA BUAT RAKYAT MALAYSIA

WARKAH TERBUKA BUAT RAKYAT MALAYSIA


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu izinkan saya menzahirkan rasa insaf dan syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT, Tuhan sekelian alam, yang telah mengurniakan limpah rahmat, nikmat dan kasih sayang kepada sekelian hambaNya. Tiada kekuatan dan daya melainkan dari Allah yang Maha tinggi lagi Maha Mulia.

Ternyata masa itu bergerak melewati kita dengan begitu pantas sekali. Kira-kira seratus hari yang lalu, bersamaan 1hb Ogos 2016, saya telah diberi amanah dan kepercayaan bagi memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru. Di dalam menerima amanah tersebut, saya menginsafi tanggungjawab dan cabaran besar yang bakal dihadapi oleh saya. Alhamdulillah, setelah hari demi hari berlalu, saya merasai tugas tersebut hampir mampu untuk dilaksana, kerana amat merasai penerimaan, keikhlasan dan sokongan yang tidak berbelah bagi, dari keluarga besar saya di SPRM ini.

Namun begitu, saya menyedari, bahawa tugas suci dan amanah bagi memerangi rasuah dan salah guna kuasa yang zahirnya terletak dipangkuan SPRM ini, seharusnya didukungi bersama oleh masyarakat dalam segenap lapisannya.

Atas kesedaran itu, izinkan saya menukilkan warkah terbuka buat rakyat Malaysia, agar ia kekal subur menjadi peringatan dan panduan buat kita bersama. Andainya warkah terbuka ini mengundang keresahan, maka saya terlebih dahulu menyusun jari memohon kemaafan.

Buat para ayahanda dan bonda ketua dan pendidik keluarga – Anak-anak adalah mutiara yang diamanahkan oleh Tuhan kepada kita. Lahirnya mereka ke dunia ini, adalah dalam keadaan fitrahnya yang bersih dan suci. Ayahanda dan bondalah yang menjadi penentu dalam mencorak dan mewarnai nilai jiwa dan keperibadian mereka. Peliharalah mereka dan perbaikilah urusan hidup mereka. Jadilah sahabat kepada anak-anak ini dan dengari isi hati dan impian mereka. Besarkan mereka dengan kasih sayang dan didikan agama. Agar mereka tidak lemah dan kabur dengan pujukan dunia dan sogokan kuasa. Biar mereka mengenal nikmat keberkatan harta. Jangan racuni mereka dengan kegilaan terhadap harta dan kuasa, semata-mata untuk memenuhi hidup yang bersifat sementara. Jangan khianati mereka dengan suapan rezeki hasil kerakusan harta. Kelak ia kan tumbuh menjalari tubuh menjadi racun yang berbisa, membutakan hati mencemari jiwa.

Buat guru-guru insan pendidik – Kalian insan mulia yang menyalai cahaya ilmu buat anak-anak nusa harapan bangsa. Kalian bagai pelita dalam kegelapan, laksana embun penyejuk dalam kehausan. Didiklah anak bangsa kita bukan sekadar mengenal nombor, abjad dan kalimat, tetapi sulamilah mereka dengan didikan agama penuh makna, agar nilai kemurnian kekal tersemat di dalam dada. Taburkanlah benih-benih ilmu yang menerbitkan keimanan dan ketaqwaan, biar terpadam keinginan mereka kepada pujukan dunia dan keenakan harta. Semarakkan ke dalam jiwa-jiwa mereka kebencian terhadap kebobrokan rasuah dan salah guna kuasa. Biar mereka jauh dari kemabukan harta dan ketamakan dunia. Agar mereka siap siaga menghadapi dunia dan masa depannya.

Buat anak muda harapan nusa dan bangsa – Sudah sampai masanya kalian mengorak langkah, menekad arah, memaksi perjuangan dengan penuh kejujuran dan kematangan. Bukan hanyut dengan melaung pemberontakan murahan dari luaran, tetapi sebaliknya bijak berbahas dengan nada kesopanan, agar tampak lebih pintar dan tidak janggal persis keanakan. Melontar kritikan riuh rendah nun di luar sana sememangnya mudah. Namun realitinya, hanya anak jantan sahaja, yang benar-benar berani menjadi pejuang dan bertempur dari dalam gelanggang, menepis tumbukan dan menongkah arus meraut perubahan. Oleh itu ayuhlah anak muda! Sambut cabaran perjuangan yang telah dilontarkan dan dihamparkan. Majulah kehadapan saf! Kita gempur dan perangi bersama, kemungkaran rasuah dan salah guna kuasa.

Buat para kakitangan awam dan anggota penguatkuasa undang-undang pengkhidmat rakyat – Amanah dan kuasa bukan perkara mainan untuk diinjak dan dijual buat lacuran. Amanah dan kuasa ini kurniaan Allah SWT yang dituntut kejujurannya buat mengabdi kepada rakyat dan negara. Sedarlah bahawa khazanah dan harta negara itu adalah hak rakyat dan bukan milik peribadi buat memenuhi nafsu kepentingan diri. Apatah lagi untuk dikhianati dan dijual beli. Hentikanlah meragut hasil duniawi dan lunaskanlah khidmat serta janji sebagai hamba rakyat yang sejati. Lewat ini semakin banyak anak-anak mata yang memerhati. Hati-hati saudaraku, hati-hati.

Buat Yang Berhormat ahli politik dan pemimpin masyarakat – Jangan kamu khianati amanah rakyat. Jangan hanya mahu didendang dan dijulang di persada takhta, sedang pertimbangan dan kepentingan rakyat dibiar alpa. Segala janji yang ditaburkan, harus dijelmakan menjadi lebih dari sekadar harapan. Hentikanlah membuai para marhaen dengan ciptaan dan dongengan yang mengaburi kebenaran, sedang jari jemarimu terus rakus meragut habuan. Laksanakanlah amanah yang dituntut dan perjuangkanlah nasib rakyat yang dahagakan pembelaan dan perjuanganmu. Yakinkanlah kami dengan menentang kebejatan rasuah dan salah guna kuasa. Agar lenyap dan hilang di dunia, segala racun yang menjadi pemusnah merobek nilai-nilai bangsa.

Buat para hakim yang arif lagi bijaksana – Umbul-umbul kehakiman adalah kibaran megah simbol keadilan. Tegaknya berdiri menjadi benteng terakhir buat rakyat berteduh mencari kebenaran. Maka yang arif lagi bijaksana, adililah hukum dengan iman dan keberanian. Usah biarkan anai-anai kebatilan menerobos pintu keadilan, sehingga lohong diracuni kemungkaran. Kelak nanti tercemar keadilan sehingga terseleweng segala kebenaran. Hukumlah mereka yang masih tegar dan hanyut melakukan rasuah dan salah guna kuasa. Biar menjadi teladan dan amaran kepada mereka yang memerhati diluar sana. Agar meremang kecut dan ketakutan si perasuah dan pemabuk kuasa. Biar lenyap semuanya terkubur, hilang tidak bertanda.
 
Buat seluruh rakyat Malaysia yang dikasihi – Ibu pertiwi ini bersusah hati tanpa sembunyi, kerna semakin hari semakin kelihatan air matanya berlinangan di pipi. Ibu pertiwi ini bermuram hati, kerana kekayaan buminya dilelong di sana sini. Tanahnya dinodai, buminya dicemari dan lautnya nan indah dikotori. Mengapa ini terjadi? – Ia terjadi kerana rakyatnya yang durjana semakin lemas dalam rasuah dan korupsi. Sampai bila harus terjadi? - Ia akan terus terjadi selagi rakyatnya terus hina selaku jelata, yang terus haloba bertuhankan harta. Bangkitlah dari lena mu wahai rakyat negara! Jangan biarkan tanah air ini tersungkur dalam kehancuran. Bangkitlah merungkai kekusutan dan ayuh kita perangi kemungkaran rasuah dan salah guna kuasa habis-habisan. Biar rapuh dan hancur segala kepalsuan, yang memayungi segala kebatilan dan ketidakadilan. Agar bisa kita renung sebuah harapan dan impian, untuk hidup dalam kedamaian dan kebahagiaan.

Buat saudara seperjuangan ku warga SPRM yang dikasihi dan dicintai – Masa hadapan sering kelihatan getir, menakutkan dan tiada kepastian. Namun, hari demi hari kita masih teguh berdiri dalam kebersamaan, menempuh kejayaan dalam sela hujan, yang kerap menggila dalam kesuraman cahaya. Di antara kegusaran, keghairahan dan kesunyian, kita harus kekal dalam iltizam untuk meneruskan usaha ke arah memerangi kebejatan rasuah dan salah guna kuasa. Selagi tubuh dilayari nyawa berbekal kudrat, relalah mengabdi kepada negara dan rakyat, sebagai pahlawan yang tidak bernama dan tanpa sebarang tanda mengenang jasa. Berjuanglah atas nama kebenaran, jujurlah dalam segala tindakan dan bertanggungjawab atas segala perbuatan. Berkhidmat tanpa mengharap sebarang pujian dan balasan. Biarlah rakyat menjadi neraca pengadilan, kepada panji keikhlasan perjuangan kita, asal nikmat pembangunan dan kemakmuran itu menjadi milik mereka akhirnya.

Ayuhlah saudara-saudara ku sekelian!
Melangkahlah dengan gagah dan tanpa gentar, biar habis musuhmu rebah dalam geletar. Berjuanglah tanpa rasa resah dan gementar, biar panji-panji kita mekar dalam sejarah, terus megah dan berkibar.

Buat mereka yang masih mabuk dan lemas dalam suapan – Dengarkanlah laungan amaran ini. Buat kali yang sekiannya,hentikanlah segala pengkhianatan yang berumbikan rasuah dan salah guna kuasa! Tunduk dan menyerahlah! Janganlah terus dangkal mendabik dada, kelak terancam nyawa dan raga, tersembam rebah ditimpa bala.

Awaslah!  Api perjuangan ini semakin hangat membara. Gendang tempurnya semakin lantang bergema, gegak gempita menggegar angkasa. Biarku gugur melayang nyawa mempertahankan nusa, pastiku rempuh si durjana pengkhianat bangsa!

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tuesday, November 8, 2016

49 tahun SPRM: Terus perangi rasuah


Artikel sempena 49 tahun SPRM menjelaskan mengenai pelbagai usaha pembanterasan, pencegahan dan pendidikan mengenai gejala rasuah telah dilaksanakan yang dilakukan oleh SPRM.

Dalam melaksanakan usaha-usaha tersebut pelbagai kejayaan yang membanggakan telah berjaya dilakari oleh SPRM dalam usahanya memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad telah dengan jelas menggariskan strategi dan sasaran khusus SPRM bagi memastikan organisasi tersebut terus kekal utuh dan relevan dalam usaha memerangi rasuah di Malaysia.

Dzulkifli berkata, sokongan orang ramai terhadap SPRM pada masa kini kian melonjak dan amat dirasai.


Katanya, menangani isu rasuah secara komprehensif merupakan tanggungjawab semua dan tidak harus diletakkan pada SPRM semata-mata. 

Tuesday, November 1, 2016

Komitmen SPRM Dalam Usaha Memerangi Rasuah Mesti Diberi Pengiktirafan

Datuk Takiyuddin Hassan (Pas­-Kota Bharu) memetik laporan muka depan Utusan Malaysia bertajuk Ketirisan subsidi RM900 juta itu ketika membahaskan Bajet 2017 bagi menggambarkan senario rasuah di negara ini.

Beliau turut menyebut tentang laporan Utusan Malaysia pada 25 Oktober lalu bertajuk Dokumen siasatan setinggi bangunan berhubung siasatan kes penyelewengan dana infrastruktur Jabatan Air Sabah.

Beliau mencadangkan kepada kerajaan untuk mengambil tindakan tegas bagi membanteras gejala rasuah dalam perkhidmatan awam.


Tambahnya, bilangan pegawai SPRM perlu ditambah serta komitmen SPRM dalam usaha memerangi rasuah mesti diberi pengiktirafan sewajarnya.

SPRM, Jabatan Audit Perkukuh Kerjasama


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit Negara (JAN) memperkukuhkan kerjasama bagi memastikan operasi antara kedua-dua agensi berjalan lebih lancar dan sempurna.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata,   kolaborasi dalam mengatasi isu-isu semasa mengenai rasuah dan salah guna kuasa ini sekali gus bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kedua-dua agensi.

"Selama ini, SPRM memang mempunyai hubungan kerjasama yang rapat dengan JAN antaranya pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) menerusi program pertukaran pegawai.

"Dengan kerjasama yang terjalin ini, kami berharap ia dapat meningkatkan dan memantapkan lagi keberkesanan operasi antara kedua-dua agensi dalam menghadapi sebarang bentuk cabaran dan kekangan," katanya.

Beliau berkata demikian sempena kunjungan hormat JAN ke Ibu Pejabat SPRM di sini, Isnin.

Rombongan yang terdiri daripada lapan pegawai tersebut diketuai Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan  Timbalan Ketua Audit Negara (Prestasi), Datuk Mustafa Saman; Timbalan Ketua Audit Negara (Tadbir Urus), Datuk Che Isa Che Kob dan Pengarah Bahagian Sosial dan Keselamatan Sektor Audit Prestasi, Datuk Juhari Haron.

Turut hadir bersama ialah Pengarah Sektor Audit Kewangan Bahagian 1, Khalid Khan Abdullah Khan; Pengarah Bahagian 1 Sektor Audit Tadbir Urus, Datin Paduka Ang Nai Har; Pengarah Bahagian Susulan Audit, Zulkipli Abdullah dan Ketua Penolong Pengarah Audit, William Yapp.


Bagi pihak SPRM, turut hadir ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil.