Tuesday, June 13, 2017

Abd Latif Bandi, anak mengaku tidak bersalah


JOHOR BAHRU - Bekas Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Abd Latif Bandi bersama dua yang lain berdepan tuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001 membabitkan nilai lebih RM35.78 juta di sini, hari ini.
Abd Latif,51, didakwa secara berasingan bersama anaknya Ahmad Fauzan Hatim Abd Latif Bandi, 25, dan perunding hartanah Amir Shariffuddin Abd Raub, 44, berdepan 21 pertuduhan secara keseluruhan.

Mengikut kertas pertuduhan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor itu didakwa sebanyak 13 pertuduhan membabitkan nilai RM17, 590,890 juta.

Sementara anaknya, Ahmad Fauzan berdepan empat pertuduhan dengan nilai RM735,000 dan Amir turut berdepan empat pertuduhan dengan nilai suapan RM17,455,000 juta.

Kesemua mereka tidak mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dihadapan Hakim, Mohd Fauzi Mohd Hakim.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya SPRM, Mohd Asnawi Abu Hanifah.

Abd Latif dan anaknya diwakili peguambela Datuk Hasnal Rezua Merican, Affifuddin Ahmad Hafiffi, Abdul Rahim Ali, Ibrahim Haiqal Razak dan pelatih dalam kamar, Syufri A Samad manakala Amir diwakili Azrul Zulkifli Stork.

Hakim menetapkan jaminan RM500, 000 ke atas Abd Latif, Ahmad Fauzan RM200, 000 dan Amir sebanyak RM400, 000 dan kes sebutan semula 5 Julai depan.

Padi 19 April lalu, Abd Latif bersama Amir mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan berasingan membabitkan nilai suapan RM30.3 juta yang diterima daripada beberapa individu bagi mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot Bumiputera kepada pembeli awam serta pengurangan bayaran wang sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor bagi beberapa projek.

Pada awal Mac lalu SPRM telah menahan enam individu termasuk anak Abd Latif dan pegawainya sebelum mereka dibebaskan selain menyita wang tunai RM41,000; sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dan 150 beg tangan pelbagai jenama hasil penggeledahan sebuah kediaman Abd Latif di bandaraya ini.

http://www.sinarharian.com.my/semasa/abd-latif-bandi-anak-mengaku-tidak-bersalah-1.688947

Amaran 3J kepada penjawat awam

SEREMBAN – “Jangan hulur, jangan kawtim, jangan settle (3J)," Itu adalah amaran tegas Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Ramli Ismail kepada penjawat awam jika mereka tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.

Menurutnya, amalan 3J itu perlu dipegang oleh setiap penjawat awam bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan aktiviti menerima mahu pun menghulur rasuah.

“Bebas dan menolak rasuah adalah komitmen yang perlu dipatuhi oleh semua penjawat awam sepanjang perkhidmatan samada secara tetap, kontrak atau sambilan.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Sembilan di sini, semalam.

Pada majlis tersebut, seramai 60 kakitangan yang diketuai oleh Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan, Zainal Abidin Asri Wahid, menandatangani IBR di hadapan Pengarah SPRM Negeri.

Dalam pada itu, Ramli memberitahu, usaha turun padang yang dilaksanakan oleh SPRM seluruh negara membuktikan bahawa pihaknya komited bagi menangani kes rasuah dalam kalangan penjawat awam.

Katanya, beliau yakin pelaksanaan sebegini dapat memberi motivasi serta inspirasi dalam usaha membanteras jenayah rasuah di negara ini secara menyeluruh.


Monday, June 12, 2017

Isu FGV: SPRM panggil lebih 50 individu

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti seramai lebih 50 individu, untuk dipanggil bagi membantu siasatan berhubung isu Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

Mereka termasuk Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FGV, Datuk Zakaria Arshad.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, berkata semua mereka akan mula dipanggil untuk memberi keterangan, minggu ini.

Beliau berkata, keterangan semua individu terbabit sangat penting bagi membolehkan SPRM melengkapkan siasatan.

"Kami percaya dengan keterangan yang bakal diambil, dapat membantu SPRM menyelesaikan siasatan kes ini secepat mungkin.

"Ia juga bergantung kepada bukti yang bakal diberikan kepada kami.

"Saya juga tidak menolak kemungkinan Tan Sri Isa Samad dan Datuk Zakaria akan dipanggil untuk memberi keterangan sekiranya perlu."

"Buat masa ini, pasukan penyiasat akan merakam percakapansemua saksi terlebih dahulu untuk memperkukuhkan dan melengkapkan siasatan," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Azam berkata, jangka masa untuk melengkapkan siasatan bergantung pada kerjasama yang diberikan oleh saksi yang akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Katanya, pasukan penyiasat juga akan ke pejabat FELDA lagi untuk mengambil dokumen berkaitan.


Antara pujian dan dugaan SPRM

BARU-baru ini Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron menyatakan beliau telah menghantar nota pujian kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana tindakan tangkapan ke atas pegawai dan anggota polis telah menunjukkan hasil positif dalam usaha memerangi kegiatan judi haram di Melaka.

Sememangnya, SPRM berhak menerima nota pujian itu kerana masalah judi haram bukanlah isu baharu dan ia tidak hanya bermaharajalela di Melaka sahaja malah di negeri-nege­ri lain. Berdasarkan tindakan tegas SPRM dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa sejak ke­belakangan ini, mungkin nota pujian seumpama itu bukan sahaja perlu diberikan berhubung kes judi haram, malah kerajaan-kerajaan negeri termasuk Melaka juga boleh mem­pertimbangkan untuk memberi nota yang sama bagi kes-kes lain juga.

Semua orang tahu ­ke­­tegasan SPRM. Dalam mela­kukan tindakan agensi itu ti­dak mempedulikan sesiapa. Se­bagai contoh di Melaka, seorang be­kas pegawai khas kepada Datuk Bandar Melaka, Mohd. Yusof Abu Hassan didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas pertuduhan penggubahan wang haram dan pecah amanah melibatkan wang berjumlah kira-kira RM19.3 juta. Di Johor pula, bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Latiff Bandi dan seorang lagi Amir Sharifuddin Abdul Raub berdepan dengan 33 pertuduhan rasuah membabitkan jumlah lebih RM30 juta.

Ketegasan seumpama itu patut diberi pujian kerana boleh meningkatkan imej kerajaan-kerajaan negeri yang sudah pasti tidak akan berkompromi dengan sebarang amalan rasuah dan penyelewengan. Oleh itu, jangan ha­dkan pujian hanya apabila SPRM bertindak ke atas pegawai dan anggota polis sahaja.

Tidak dapat dinafikan, di mana juga kini SPRM yang dipimpin oleh Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Dzulkifli Ahmad sering menjadi bualan masyarakat. Tindakan demi tindakan yang dilakukan memungkinkan nama SPRM mula meniti di bibir mereka.

Masyarakat kini semakin menyakini keupayaan SPRM dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa, apatah lagi tiada pilih kasih dalam tindakannya. Walaupun sebelum ini ada cakap-cakap agensi itu mungkin tidak akan berani menahan individu-individu yang boleh dikaitkan dengan politik tetapi apa yang berlaku di Melaka dan Johor sudah menjadi bukti.

Pada masa sama, langkah Dzulkifli untuk men­dekati masyarakat me­lalui Program Ziarah Kasih SPRM yang dilancarkan pada Februari lalu turut mendapat pujian banyak pihak. Program ini dianggap pendekatan bijak memandangkan selaras de­ngan hasrat Dzulkifli mahu memastikan SPRM menjadi agensi ‘mesra rakyat, digeruni perasuah’. Dalam dua program yang dijalankan setakat ini iaitu di Kedah dan Kelantan, ia ter­nyata mendapat sambutan hangat masyarakat.

Berdasarkan komen di laman-laman sosial, jelas sekali SPRM berjaya menghakis persepsi sesetengah orang bahawa agensi itu hanya ‘pandai tangkap orang sahaja’ atau bak kata orang ‘tidak mesra alam’. Tetapi kini persepsi itu berjaya dihapuskan melalui program Ziarah Kasih. Melalui program tersebut, orang ramai semakin yakin dan memahami fungsi SPRM, sekali gus akan membolehkan mereka bekerjasama dalam membanteras rasuah.

Namun begitu bak kata orang, ‘bumi mana tidak ditimpa hujan’, ‘dalam setandan pisang, tidak semuanya elok’. Begitulah juga SPRM apabila dalam kerancakan agensi tersebut memerangi salah guna kuasa dan rasuah, seorang anggotanya ditahan di Bukit Mertajam oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan memeras.

Pegawai SPRM berpangkat penolong penguasa itu ditahan selepas didakwa melakukan perbuatan tersebut ke atas seorang anggota polis. Seperti biasa penahanan mencetuskan pelbagai persepsi, tetapi apa yang pasti SPRM secara tegas memberi jaminan tidak akan berkompromi dengan kesalahan yang dilakukan pegawainya. Malah agensi itu juga menegaskan tidak akan mencampuri siasatan polis dalam kes tersebut.

Memanglah bagi ‘batu-batu api’ mereka seronok melihat pertembungan antara dua agensi ini. Jika sebelum ini SPRM menahan pegawai dan anggota polis, sekarang polis pula menahan anggota SPRM. Tetapi dalam apa juga kes ia tiada kaitan sama sekali soal kedua-dua agensi bermusuhan. SPRM bukannya memusuhi polis, begitu juga polis mereka juga tidak memusuhi SPRM.

Penangkapan yang berlaku disebabkan ada anggota polis melakukan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa manakala penahanan pegawai SPRM pula kerana me­lakukan jenayah, oleh itu ia tidak perlu mana-mana pihak membuat tafsiran bukan-bukan.

Namun begitu kes melihatkan pegawai SPRM itu boleh dianggap kes yang ‘amat-amat terpencil’ dan dugaan buat SPRM. Ini memandangkan penulis difahamkan semua pegawai agensi tersebut telah diberi amaran untuk menjalankan tugas mereka sebaik-baiknya.

Penulis yakin SPRM akan meneruskan jihadnya me­merangi rasuah dan salah guna kuasa. Dalam tempoh itu sudah tentulah mereka akan menerima pujian, berhadapan dengan dugaan dan cabaran.

Apapun diharapkan pujian tidak akan melekakan dan dugaan tidak melemahkan SPRM kerana banyak kes termasuk berprofil tinggi yang perlu diselesaikan. Ada antaranya mungkin melibatkan ahli politik. Apa kes itu dan siapa terlibat? Tiba masa­nya kita pasti akan ­mengetahuinya.



Transformasi menangani rasuah

LEGASI Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah perlaksanaan integriti dan penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Legasi kepimpinan Tun Abdullah dilihat pada hari ini tanpa kita sedar. Salah satunya adalah pembanterasan rasuah. Kejayaan SPRM patut dipuji kerana berjaya memerangi amalan rasuah dan penyelewengan tanpa mengira pangkat dan jawatan sejak 2016.

Tetapi sifat manusia seperti dikemukakan Teori Fraud menyatakan kelemahan manusia yang sentiasa melihat kepada peluang dan ruang menyebabkan rasuah dan penyelewengan berlaku. Maksudnya betapa hebat prosedur kerja dan pemantauan dilakukan, tidak akan menghalang kejadian ini berlaku. Ini disebabkan rakyat yang mempunyai kreativiti tinggi disalahgunakan pihak berkepentingan. Mereka ini sentiasa mencari jalan yang menyeleweng seperti manipulasi angka dalam perakaunan kewangan organisasi awam sehingga tidak menampakkan sebarang waswas.

Modus operandi rasuah dalam organisasi awam pada kebiasaannya menyalurkan dana ke dalam setiap program dan projek yang diluluskan. Apabila projek atau program tersebut dilaksanakan selalunya tidak memerlukan pengetahuan menteri atau pihak atasan, terutamanya jumlah dana dibelanjakan. Ini menyebabkan seseorang yang ingin melakukan penyelewengan akan berpakat dengan kontraktor atau pihak penaja untuk memanipulasi wang digunakan dalam projek atau program tersebut. Teori Freud menyatakan, rasionalisasi juga menyebabkan hal ini berlaku. Ini disebabkan terdapat sesetengah pegawai atasan sektor awam tahu rakan-rakan mereka melakukan kegiatan tidak beretika ini. Tetapi disebabkan mereka juga pernah melakukannya satu ketika dulu menyebabkan tidak berani untuk melaporkan apa yang berlaku.

Maka, pengauditan merupakan kaedah terbaik sebagai satu pemantauan kedua. Juruaudit perlu diberikan kuasa yang luas dalam melakukan pemantauan. Ini amat penting supaya amaran awal boleh dikeluarkan jika terdapat syak wasangka meragukan ke atas perbelanjaan dana. SPRM juga perlu diberikan kebebasan untuk menyiasat dan mencegah sebelum berlakunya rasuah dan penyelewengan.

Autonomi kewangan perlu diberikan kepada organisasi awam dalam menentukan kaedah terbaik untuk membelanjakan dan memantau pengurusan kewangan tersebut. Melalui autonomi kewangan juga membolehkan pihak organisasi awam melantik pegawai-pegawai kerajaan berdasarkan pemeriksaan latar belakang terlebih dulu. Ketelusan dan transparensi bagi setiap perbelanjaan program dan projek perlu dikemukakan dengan bukti setiap kali mengeluarkan dana. Bukti tersebut perlu disahkan sekurang-kurangnya dua pegawai yang lebih tinggi daripada kedudukan pegawai tersebut. Pada setiap akhir penutupan program atau projek perlu mendapat tandatangan audit sebelum ditutup. Ini bagi memastikan setiap transaksi pengeluaran dan perbelanjaan dana bagi program dan projek tersebut dipantau dua kali.

Pengrekrutan pegawai-pegawai atasan kerajaan juga perlu ditambah baik. Integriti, akauntabiliti dan intelektual merupakan satu kombinasi yang terbaik untuk mengurangkan amalan rasuah semasa melantik seseorang pegawai. Selain itu, pihak organisasi perlu melaksanakan ketelusan, 'keintegritian' dan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran. Campur tangan minimum politik ke atas pentadbiran awam juga dapat mengurangkan kejadian rasuah dan penyelewengan. Tanpa adanya elemen-elemen dinyatakan di atas tidak memungkinkan organisasi awam bergerak menjadi organisasi berprestasi tinggi.


Monday, June 5, 2017

'Datuk' salah guna kuasa antara akan ditahan

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan akan ada tangkapan berkaitan kes salah guna kedudukan membabitkan beberapa ahli lembaga koperasi sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam masa terdekat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, berkata penahanan itu akan dilakukan dalam `beberapa hari ini'.

"Tunggu, kita akan ambil tindakan dalam masa amat singkat. Dalam masa terdekat ini," katanya tanpa mahu mengulas lanjut.

Sebelum ini, media melaporkan empat lelaki termasuk tiga daripadanya bergelar 'Datuk' dalam pemerhatian SPRM kerana didakwa menyalahgunakan kuasa membabitkan koperasi di bawah seliaan mereka.

Kebanyakan daripada mereka yang juga ahli lembaga koperasi sebuah GLC didakwa menyalahgunakan kedudukan bukan saja untuk memperkenalkan sistem MLM (Pemasaran Berbilang Aras) mereka sendiri dalam koperasi berkenaan malah memaksa ahlinya untuk mendaftar.

Dzulkifli berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai program Gerakan Revolusi AntiRasuah (GERAH) di bazar Ramadan Putrajaya di sini, hari ini.

Pada program itu, sebanyak 800 bungkus bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai. Program GERAH yang dilaksanakan hari ini turut membabitkan beberapa lokasi lain sekitar Putrajaya termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, Hospital Putrajaya, Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya serta Masjid Putra.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan kes seorang pegawai polis ditemui mati dengan satu kesan tembakan di bahagian dahi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini mempunyai kaitan dengan siasatan SPRM.


The fight against corruption — G25

We, members of G25, are heartened to see the rising tide of citizen initiatives taken by various groups to make Malaysians aware of the pernicious culture of corruption. This social evil has grown to be deeply entrenched in our society and poses a threat to our democracy and the economy.

We applaud the launching of the Anti-Corruption Revolution Movement and the 3J (Jangan Hulur, Jangan Kawtim, Jangan Settle) campaign to educate the public on the importance of integrity and honesty. The personal involvement of the new MACC Chief Commissioner Datuk Dzulkifli Ahmad in these campaigns and his brave statements  have set a sense of urgency and purpose in going after the corrupt. Our government must allow the MACC to charge those implicated, and the recent arrests are indicative of his commitment to live up to his words. These developments have contributed to raise public confidence in the fight against corruption.

The fight against corruption must also be addressed at the political level to ensure free and fair elections so that those elected to represent us in Parliament and State Legislative Assemblies are individuals of good character, free from unethical practices that make them hostage to corruption when they hold office and positions of power. There should be a process in every political party to ensure that candidates standing for elections meet the criteria for honesty and integrity before submitting their names for the elections. This will be in line with the call from the MACC that Umno should set an example for political parties to refrain from corruption and abuse of power in the coming elections. Under no circumstances should politicians be spared from appropriate action at this very critical junction. Otherwise it will certainly seem selective and only undermine the credibility of this commendable new surge.

As money politics is the source of high level corruption, it is hoped that the recommendations of the technical committee set up by the government to review the law on financing of elections, together with the proposals by G25 and the coalition of 70 NGOs will be enacted into legislation to lessen the pressure on business contributions and ensure fair elections. When politicians indulge in illegal money politics to win the elections, they tend to get sucked into a web of intrigue and deceit, from which they find it difficult to get out. Consequently, the country suffers from a bad reputation with regard to good governance as seen in our unfavourable ranking in the world Corruption Perception Index. Time is of the essence as elections are anticipated to be held soon, and these proposals must be implemented in a substantive and comprehensive manner to make the process credible and respectable in the eyes of our people and the world.

Recently, the Centre to Combat Corruption & Cronyism (C4) launched its e-platform to enable ordinary people to be the ears and eyes of the MACC in reporting those they suspect are living beyond their means. Citizen participation will help the MACC investigate more cases, especially involving those in positions of power.  It is essential that government servants who make the reports against their superior officers are protected from harassment such as being charged under the Sedition Act 1948 and the Official Secrets Act 1972. The Whistleblowers Act 2010 should not merely exist as window dressing. It is imperative that it be reviewed as soon as possible so as to remove the restrictions to the kind of information that whistleblowers are allowed to disclose and to whom they can disclose.

Saturday, June 3, 2017

Rasuah: Fikir berdepan Tuhan





MUKADIMAH: SEBAGAIMANA orang Islam berasa jijik dengan babi, begitulah juga gambaran yang perlu diberikan terhadap perlakuan rasuah, kata Mufti Wilayah Persekutuan, DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI. Bercakap kepada wartawan Mingguan Malaysia, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI bersama jurufoto, SHAIFUDIN MOHD. NOR di pejabat beliau di Putrajaya, Sabtu lalu, beliau berkata, gambaran tersebut perlu ditanam dalam minda masyarakat seawal prasekolah sebagai salah satu pendekatan bagi memerangi rasuah.

Sambil memuji usaha agresif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memerangi rasuah, Zulkifli menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu melihat kepada kesenangan yang bersifat sementara tetapi natijah daripada perbuatan mereka itu serta bagaimana akan berhadapan dengan Allah di akhirat kelak.

“Dalam sejarah kejatuhan kota Baghdad pada 656 Hijrah misalnya, tentera Mongol dan Tartar yang diketuai Hulagu Khan dengan mudah ‘menganyang’ umat Islam dan bilangan kematian hampir sejuta orang mengikut andaian Ibn Kathir dan Ibn al-Athir dalam kitab masingmasing, al-Bidaya wal Nihaya dan al-Kamil fil Tarikh. Salah satu puncanya adalah rasuah,” katanya.



MINGGUAN: Mengikut Islam, apakah pengertian rasuah?

ZULKIFLI: Dalam Islam kita sebut 'risywah’, daripada kalimah 'rasya’. Makna asalnya seseorang memberi kepada orang yang berkuasa atau mereka yang ada kedudukan seperti hakim atau pemerintah untuk mengambil dan memakan harta orang lain dengan cara batil. Itulah maksud 'risywah’ yang disebut dalam al-Quran.

Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim-hakim dengan tujuan supaya kamu dapat memakan sebahagian dari harta orang lain dengan cara yang berdosa, sedangkan kamu mengetahui. (Al-Baqarah: 188).


Bagaimana Datuk melihat isu rasuah dengan tangkapan yang dilakukan oleh SPRM mutakhir ini?

ZULKIFLI: Yang pertama jelas menunjukkan betapa kesungguhan SPRM dalam menangani isu rasuah sehingga mereka benar-benar mengambil tindakan yang begitu agresif sesuai dengan tanggungjawab yang diberikan bagi menjadikan negara kita sifar rasuah.

Kedua, boleh jadi kerana zaman moden ini melalui pencapaian media massa yang menyebabkan setiap sesuatu yang berlaku itu mudah diketahui dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar dengan pantas.

Saya juga rasa kesedaran masyarakat untuk tampil melaporkan pelaku rasuah semakin meningkat. Mereka melihat segelintir yang tersilap dan tersalah itu tidak boleh dibiarkan. Maka, laporan demi laporan dibuat kepada pihak berkuasa. Begitu juga dengan hal-hal yang menyebabkan mereka mengambil satu tanggungjawab bersama untuk membanteras isu ini.

Sama ada besar, kecil, sederhana, langsung atau tidak langsung terus dinyatakan bahawa ia perkara yang amat keji dan tidak dibolehkan. Maka kita tengoklah hasil kesungguhan SPRM, kerjasama orang ramai, maka berlakulah sebahagian yang dapat kita lihat mutakhir ini.

Walaupun rasuah ini jelas haram dalam Islam dan salah di sisi undang-undang, tetapi melihat kepada penahanan oleh SPRM, umat Islam seolah-olah tidak menganggap rasuah sebagai satu dosa besar. Apa komen Datuk?

ZULKIFLI: Boleh jadi sebab kefahaman dan takrifan rasuah itu yang dikatakan mungkin bagi mereka ini tidak apa. Ini kerana rasuah itu banyak diganti dengan nama seperti sekadar hadiah, buah tangan atau dalam bahasa Arab disebut ‘baksheeh’. Ini ‘baksheeh’ sikit-sikit sajalah atau ini duit kopi sedikit sahaja. Inilah nama-nama yang digunakan untuk cuba lari daripada makna rasuah sedangkan itulah maknanya.

Baru-baru ini SPRM melancarkan Gerakan Revolusi Antirasuah (Gerah) dan Kempen 3J (Jangan Hulur, Jangan Kawtim, Jangan Settle) bagi mendapatkan sokongan daripada semua pihak untuk memerangi rasuah di negara ini. Pada pandangan Datuk, apakah cara yang paling berkesan dari perspektif Islam yang boleh dilaksanakan oleh SPRM?

ZULKIFLI: Biasanya Islam memang datang dalam dua bentuk. Pertama suruh dan kedua jangan. Jadi SPRM sebagai agensi menentang dan membasmi rasuah, kalimah jangan itu tidak lari daripada bidang tugasannya. Kecuali dari segi kaedah psikologi, bila jangan itu, ia membawa satu impak yang menunjukkan berlaku penentangan jiwa, syahwat dan nafsu.

Tapi dalam bentuk pujukan, boleh jadi dengan cara kita menggunakan beberapa istilah yang lebih lunak. Cuma keadaan semua manusia tak sama; tabiat dan habit. Ada orang suka kepada pujian dan orang yang suka kepada ajakan dan dakwah. Tapi ada orang, walaupun guna kaedah pujukan, ajakan dan dakwah, dia tak ‘makan’ tetapi memerlukan satu hukuman yang keras dan tegas.

Jadi usaha-usaha seperti ini adalah salah satu ijtihad SPRM dalam menangani isu-isu rasuah. Bagi saya ini percubaan yang baik dan boleh dikembangkan dan difikirkan dari semasa ke semasa. Sebagaimana yang dinyatakan (sabda Rasulullah SAW) “Hikmah itu adalah barang kehilangan bagi orang yang beriman. Di mana dia jumpa, dia berhak mengambilnya.” Maknanya, apa sahaja idea baharu yang tuntas dan baik termasuk kempen yang membawa kesedaran, maka semuanya tidak menjadi satu kesalahan. Inilah sifat yang sebaiknya, kita mencuba dan sanggup untuk meredah serta melakukan perubahan.

Mungkin Datuk ada cadangan tentang pendekatan yang boleh digunakan untuk memerangi rasuah.

ZULKIFLI: Apa yang penting juga, kita tanamkan dalam minda masyarakat sejak tadika lagi bahawa rasuah ini satu gambaran yang jijik, keji, kotor dan tidak baik. Jangan nampak kereta atau rumah yang besar tapi nampak natijah yang sangat buruk. Kita tanamkan gambaran seperti itu.

Sebagai contoh kalau kita cakap dalam konteks masyarakat Islam, sejak nenek-moyang kita sampai sekarang, bila sebut babi sahaja memang berat benar. Tak boleh langsung. Maknanya, tak makan dan apa-apa benda sebut khinzir tak boleh. Memang teruk sangat.

Tetapi dalam bab-bab yang lain pun kita kena ambil pendekatan yang hampir sama. Kita nampakkan rasuah adalah satu jenayah yang boleh menghancurkan kehidupan seseorang, institusi kekeluargaan, masyarakat, peradaban dan negara.

Dalam sejarah kejatuhan kota Baghdad pada 656 Hijrah misalnya, tentera Mongol dan Tartar yang diketuai Hulagu Khan dengan mudah ‘menganyang’ umat Islam dan bilangan kematian hampir sejuta orang mengikut andaian Ibn Kathir dan Ibn al-Athir dalam kitab masing-masing, al-Bidaya wal Nihaya dan al-Kamil fil Tarikh. Salah satu puncanya adalah rasuah.

Mereka yang ditangkap oleh SPRM ada yang berjawatan tinggi dan berpangkat Datuk, Datuk Seri dan Tan Sri. Malah ada juga orang berpendidikan agama terlibat dalam penyelewengan wang zakat dan tanah wakaf. Di mana silapnya?

ZULKIFLI: Dalam bahasa mudah, salah satu makna rasuah ialah harta, duit, wang atau yang dapat ditukar daripada itu untuk menghasilkan apa yang dihajati. Bila keadaan macam itu, ini merupakan jalan pintas untuk dapat apa yang dihajati. Maka dia akan buat walau macam mana pun.

Contoh, dengan kerja macam itu, mungkin kita hanya akan dapat beli rumah berharga RM300,000 dan hampir pencen baru habis bayar. Tetapi dengan cara rasuah, mungkin boleh beli rumah berharga RM3 juta dan habis dibayar dalam masa yang begitu pendek.

Perbuatan seperti itu sebenarnya adalah pertarungan dalam jiwa seseorang sama ada dia boleh mengawal nafsu atau tidak. Orang yang terlalu kasih kepada harta tidak akan lagi melihat kepada natijah tetapi mereka nampak sebuah kesenangan yang bersifat amat sementara sedangkan terpalit pelbagai isu.

Perkara seperti ini tidak pelik kalau kita tidak ada iman walaupun kita seorang ustaz atau mufti. Bagi saya pendekatan agama adalah amat penting. Kita cuba tanamkan pendekatan agama dan kita faham itu.

Kita tengok kisah ketika Rasulullah SAW menyampaikan dakwah di kota Mekah. Orang bukan Islam menawarkan harta dan mahu mengangkat baginda sebagai ketua jika Rasulullah SAW berhenti berdakwah. Tapi Rasulullah SAW tolak.

Bila diuji terlalu banyak, baginda mengatakan "kalaulah mereka sanggup letak matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, untuk aku tinggalkan urusan ini, demi Allah aku tidak akan tinggalkannya sehingga aku mati."

Kita tengok juga macam mana sejarah Salaf al-Salih zaman dahulu, walaupun ditawar pelbagai ganjaran mereka tidak kisah pun.

Manusia mulia kerana maruah dan prinsip dirinya. Manusia yang hilang maruah atau prinsip dirinya, tidak kira siapa dia dan apa watak dia, dia rebah kerana tidak ada lagi izzah atau kemuliaan.

Apakah pesanan Datuk kepada mereka yang masih leka melakukan jenayah rasuah dan juga kepada mereka yang telah ditangkap?

ZULKIFLI: Kita mesti bertegas dalam isu seperti ini, bukan kerana kita takut semata-mata kepada undang-undang. Undang-undang rasuah (hukumannya) empat tahun, 15 tahun atau 20 tahun duduk dalam penjara. Makan percuma dan kalau sakit pun dihantar ke hospital atau klinik. Boleh rehat dan tidur sahaja. Kalau fikir macam itu, kita tak selesai. Kita perlu berfikir bagaimana kita berdepan dengan Tuhan di akhirat kelak.

Bila tengok rasuah, kita perlu lihat dalam skala yang besar. Rasuah menjahanamkan negara, rasuah menjadikan ekonomi merudum, keyakinan pelabur kurang, hilangnya penghormatan terhadap seseorang, kehormatan akan jatuh, hilangnya maruah dan pandangan yang begitu teruk terhadap seseorang itu. Tidak ada satu pun gambaran yang baik tentang rasuah.

Tengok sejarah membuktikan syarikat gergasi seperti Enron dikatakan jatuh sebab rasuah. Ini semua memberi satu pengajaran dan petunjuk yang baik kepada kita supaya kita wajib meninggalkan rasuah. Allah SWT tidak mensyariatkan atau melarang sesuatu kecuali maslahah itu terwujud bagi manusia dan inilah sifat syariah Islamiah. Ia diperakui oleh fitrah dan naluri manusia bahawa memang rasuah adalah tidak baik dan amat keji serta jijik.

Mengikut Islam, apakah hukuman yang paling sesuai bagi pesalah rasuah dan apakah ia sudah dilaksanakan di negara ini?

ZULKIFLI: Ini termasuk dalam kaedah yang dibuat oleh imam atau pemerintah sebagai takzir. Kalau di tempat itu terlalu banyak isu rasuah, mungkin kadar hukuman itu boleh dikerasi tetapi bila (rasuah) kurang, mungkin boleh dikurangkan. Ikut keperluan semasa dan kebijaksanaan siasah pemerintah di satu-satu masa dan tempat.

Ada pihak berpandangan ahli-ahli agama termasuk ulama dan mufti kurang bersuara dalam isu memerangi rasuah.

ZULKIFLI: Hendak kata kurang sangat pun tak, hendak kata kuat sangat pun tak. Pertama, masalah ini biasanya kadang-kadang ia timbul sekali-sekala dalam bersaiz mega dan besar dalam media. Apa yang saya tahu, adanya kerjasama antara SPRM dan jabatan agama Islam dalam khutbah-khutbah tentang menjauhi rasuah.

Cuma pada saya, dalam isu seperti ini, tidak perlu kita menuding jari kepada orang itu atau orang ini. Ia bersifat keseluruhan, iaitu semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing.

Pemimpin kena tegas dengan dasar-dasar antirasuah, para ulama menyampaikannya dan disampaikan di mimbar-mimbar. Buat kempen dalam televisyen, buat sketsa tentang akibat dan natijah rasuah, radio dan akhbar memberitahu implikasi rasuah. Semua akan terbabit dan boleh dibuat sama ada bersifat berkala, mingguan, bulanan atau tahunan.

Mungkin kita buat Minggu Antirasuah, Bulan Antirasuah dan Hari Tanpa Rasuah. Bukan maksud saya hari lain boleh lakukan rasuah tetapi penonjolan utama atau fokus yang menunjukkan kesungguhan dan keseriusan kita menangani rasuah. Maka para guru, pensyarah, imam, bilal dan orang biasa boleh bercakap tentang rasuah.

Bagi saya, kalau cakap orang ini tidak bercakap dan orang itu tidak bercakap, isu ini tidak akan selesai. Banyak benda kita nampak, orang suka menuding jari.

Baik semua pihak buat kerja. Masing-masing perlu bersiap siaga menangani sebarang isu dan ambil ruang serta posisi yang diizinkan dan menggunakan semaksimumkan mungkin untuk sama-sama bersepadu bagi menyelesaikan isu ini.

Apakah pandangan Datuk tentang tindakan agresif oleh SPRM di bawah pimpinan Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Dzulkifli Ahmad dalam memerangi rasuah?

ZULKIFLI: Saya ucap syabas kepada Datuk Dzulkifli. Sekalipun saya belum bertemu secara langsung lagi tetapi saya pernah terserempak dengan beliau dalam satu majlis pertemuan dengan wakil Syeikhul Azhar Universiti al-Azhar, Syeikh Prof. Dr. Abbas Syuman di sebuah hotel. Maka berbuallah sekejap.

Tetapi apa yang kita fahami, bermula dari permulaan jawatannya dan saya tengok kenyataan-kenyataannya, sikapnya serta sedikit latar belakangnya dan juga tindakan-tindakan yang dilakukannya, nampak sangat keseriusan dan kesungguhan serta tanggungjawab yang amat baik telah dilakukan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Saya ucapkan syabas dan mudah-mudahan beliau dengan warga SPRM terus-menerus akan menjalankan amanah dengan jayanya.

Saya katakan kepada beliau dan warga SPRM, jalanlah kamu di atas keberkatan Allah SWT. Mudah-mudahan Allah SWT memberikan kepada kita taufik dan hidayah, menyebabkan dasar-dasar yang dilakukan boleh membawa kepada sifar rasuah di negara kita atau dengan erti kata lain, rasuah akan terhapus dan mati dalam kehidupan ummah di Malaysia.


Jangan ambil mudah isu rasuah, integriti

Wawancara BH bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI), Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff mengulas mengenai penubuhan INTEGRITI sejak April 2004 yang bertujuan untuk menjadi sebuah badan penyelaras dan pemantau dengan matlamat utamanya membangunkan warga Malaysia yang berintegriti.
Beliau turut mengulas mengenai persepsi rasuah yang masih di tahap tinggi dan mengatakan rasuah lebih teruk daripada babi kerana implikasinya boleh menghancurkan negara.
Tambahnya, kita perlu menolak rasuah secara habis-habisan walaupun satu sen kerana jika tidak ditangani, ia akan menjadi realiti.

Friday, June 2, 2017

SPRM PERAK KESAN BEKAS PENOLONG PEGAWAI AADK





Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perak kini sedang mengesan seorang bekas Penolong Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah.

Lelaki terbabit, Johnson a/l Sanasi, 35, yang mempunyai nombor kad pengenalan 820428-08-6137 dan pernah bertugas di AADK Negeri Perak mempunyai alamat terakhir di No. 20, Persiaran Desa Pinji Utara 9, Taman Desa Pinji, 31500 Lahat, Perak.

Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu berkenaan diminta untuk menghubungi SPRM Perak di talian 05-5267000 atau 05-5261227 atau Pegawai Penyiasat Mohd Amin Abd Aziz di talian 013-4312646 atau 018-4606646.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

2 JUN 2017