Wednesday, August 30, 2017

SPRM UCAP SELAMAT HARI MERDEKA DAN SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA KEPADA RAKYAT MALAYSIA

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad mewakili seluruh warga kerja SPRM mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sebagai rakyat Malaysia, kita perlulah menghayati erti kemerdekaan yang sebenarnya dan memerdekakan diri daripada cengkaman budaya yang boleh menghancurkan pembangunan insan dan negara.

Setiap warga Malaysia perlu memahatkan semangat patriotisme yang tinggi dan tidak goyah dengan ketamakan duniawi serta terjerumus ke dalam kancah jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

Rasuah dan salah guna kuasa merupakan satu pengkhianatan kepada rakyat dan negara sehingga boleh menyebabkan kemerdekaan yang telah kita kecapi 60 tahun yang lalu lumpuh dan musnah.

Seluruh rakyat Malaysia seharusnya mengecap erti kemerdekaan yang sebenar dan berganding bahu membawa Malaysia ke mercu kejayaan dengan membina bangsa dan negara yang bersih daripada anasir rasuah dan salah guna kuasa.

Justeru itu, saya ingin menyeru seluruh rakyat Malaysia:

1) Untuk sama-sama kita memerdekakan jiwa daripada ketamakan dan kecintaan kepada harta yang bukan dan tidak sepatutnya menjadi milik 
kita.

2) Untuk sama-sama kita memerdekakan keluarga daripada rezeki yang diperolehi secara haram melalui rasuah dan salah guna kuasa.

3) Untuk sama-sama kita, rakyat Malaysia memerdekakan diri dengan menyatakan ‘TIDAK’ kepada rasuah dan salah guna kuasa.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha 1438H kepada seluruh umat Islam di negara ini.

Dalam kemeriahan menyambut perayaan ini, harus diingatkan, ibadah korban juga menuntut kita untuk memahami makna yang lebih luas tentang erti pengorbanan.

Bagi melakukan pengorbanan, setiap insan perlulah mempunyai ketabahan dan jati diri yang kuat dalam membangunkan negara yang tercinta tanpa terjerumus ke dalam belenggu rasuah dan salah guna kuasa yang akhirnya akan memusnahkan diri, keluarga dan negara.

Aidiladha kali ini perlu dijadikan sebagai satu titik tolak untuk kita mengorak langkah serta terus komited berjuang menentang kemungkaran jenayah rasuah dan salah guna kuasa demi membina masa depan negara yang lebih maju dan cemerlang.

Salam “Negaraku Sehati Sejiwa”
dan
Salam Aidul Adha.

DATUK DZULKIFLI AHMAD
KETUA PESURUHJAYA
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

30 OGOS 2017


Tuesday, August 29, 2017

Gatco: SPRM periksa, ambil dokumen lima lokasi

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memeriksa lima lokasi melibatkan tiga di Lembah Klang manakala dua lagi di Seremban, Negeri Sembilan hari ini bagi menjalankan siasatan terhadap isu pertikaian pemilikan tanah di Kampung Serampang Indah (Gatco) di Jempol.
Tiga lokasi di Lembah Klang itu melibatkan syarikat Thamarai Holdings Sdn. Bhd., Kesatuan Pekerja Ladang Kebangsaan (NUPW) dan sebuah firma guaman di Plaza Pengkalan di sini.
Di SEREMBAN, SPRM memeriksa Unit Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Wisma Negeri serta pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS).
Kesemua pegawai SPRM memasuki lokasi berkenaan pada pukul 10.30 hingga 10.45 pagi ini untuk memeriksa dokumen berkaitan sebelum dilihat keluar antara pukul 12.30 tengah hari hingga 5 petang.
Sumber memaklumkan, SPRM akan meneliti kesemua dokumen yang diambil dari lima lokasi berkenaan bagi menjalankan siasatan terperinci memandangkan kes ini merupakan kes lama.
“Malah SPRM juga akan mengenalpasti beberapa orang saksi untuk dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya di sini hari ini
Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd. Ghani mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut.
Ahad lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad mengumumkan suruhanjaya itu akan menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat sebarang unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam isu pertikaian pemilikan tanah di Gatco yang telah berlarutan sejak 40 tahun lalu.
Isu Gatco timbul selepas pemilik asal tanah seluas 2,000 hektar itu, Syarikat Gula Negeri Sembilan ditutup menyebabkan ladang tebu terbabit dilupuskan kepada PKNNS secara pajakan selama 99 tahun sebelum ia dipajakkan selama 66 tahun kepada syarikat Great Allonioners Trading Corporation Bhd. (Gatco) pada 1977.
Gatco kemudian menjadikan kawasan tersebut sebagai tanah rancangan dan membawa masuk peserta yang ditawarkan tapak rumah dan tanah kebun seluas 4 hektar dengan bayaran antara RM4,000 dan RM7,000 seorang.
Namun, syarikat itu menghadapi masalah kewangan menyebabkan projek itu terbengkalai dan tanah tersebut telah dirampas sebelum ditawarkan dalam lelongan awam pada 2004 tetapi dibeli oleh Thamarai Holdings pada 2007.
Isu itu kembali panas selepas puluhan penduduk ditahan polis kerana menghalang lori yang membawa kayu getah keluar dari kawasan itu dalam dua insiden baru-baru ini.

 http://www.utusan.com.my/berita/nasional/video-gatco-sprm-periksa-ambil-dokumen-lima-lokasi-1.520807#ixzz4rCro0iJG

Sunday, August 27, 2017

Jangan ganggu SPRM!

APA sebenarnya yang mereka mahu? Itulah persoalan yang bermain di fikiran penulis apabila ‘serangan demi serangan’ dilancarkan ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak kebelakangan ini.
Kalau kita masih ingat sebaik sahaja mengambil alih jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Ogos tahun lalu, Datuk Dzulkifli Ahmad menggerakkan pelbagai operasi bagi membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa.
Majoriti rakyat memberi sokongan apabila SPRM melakukan serbuan, penahanan dan pendakwaan ke atas penjawat-penjawat awam yang melakukan jenayah tersebut. Kita juga tidak mendengar apa-apa kritikan atau kecaman ketika agensi itu menahan seorang exco kerajaan negeri Johor. Namun sejak kebelakangan ini, kecaman mula dilemparkan kepada SPRM apabila ada ahli politik yang ditahan. Walaupun tindakan dilakukan tanpa memilih bulu atau parti mana diwakili oleh individu tersebut, namun SPRM terus menjadi sasaran serangan.
Apabila menahan pemimpin pembangkang, SPRM dituduh bermotifkan politik, apabila menahan pemimpin kerajaan dikatakan pula ‘itu bukan jerung’, tidak cukup dengan itu di­timbulkan juga soal kenapa orang itu digari, kenapa orang ini tidak gari dan mempersoalkan wajar atau tidak pemakaian baju lokap terhadap suspek.
Sebenarnya, apa yang mereka mahukan? Sebelum ini bila Dzulkifli berkata, tunggu masa sesuai untuk menahan ahli politik, mereka tuduh SPRM tiada keberanian, tetapi bila ada pemimpin politik ditahan, mereka cakap pula semua itu bermotifkan politik dan hanya satu sandiwara.
Persoalannya, adakah ahli-ahli politik ini ‘kebal’ atau kelompok yang tidak boleh disentuh walaupun tindakan SPRM berdasarkan fakta dan bukti? Kenapakah tidak mem­biarkan sahaja SPRM menjalankan tugasnya? Kalau benar semua ahli politik benci rasuah dan salah guna kuasa serta ada dalam kalangan mereka sering menggambarkan merekalah paling bersih di muka bumi Allah ini, kenapakah mahu mengganggu tindakan SPRM?
Yang ditahan bukannya terus dihantar ke penjara sebaliknya mereka di­soal siasat dan jika cukup bukti akan didakwa dan di mahkamah mereka berpeluang membela diri dengan barisan peguam yang hebat-hebat belaka. Oleh itu, kenapakah mahu bising, mempersoalkan tindakan SPRM? Kenapakah mahu memberi tekanan kepada agensi itu seolah-olah apa yang sedang dilakukan oleh SPRM tidak betul?
Oleh itu, kepada semua ahli politik tidak kira siapa pun mereka, hormatilah tugas SPRM. Agensi tersebut menjalankan tugas dengan profesional demi melaksanakan amanah rakyat bagi memerangi rasuah dan salah guna kuasa habis-habisan.
Janganlah bersikap hipokrit bercakap berdegar-degar di depan rakyat kononnya mahu memerangi rasuah dan mempolitikkan statistik rasuah bagi mencari keuntungan politik, tetapi apabila SPRM bertindak terlompat-lompat pula macam kera kena belacan!
SPRM menjalankan tugasnya secara profesional dan berhemah. Semua tindakan dilakukan berdasarkan peruntukan undang-undang dan sama sekali tiada kaitan dengan politik. Oleh itu, jangan cuba mengajak apatah lagi mengheret agensi itu untuk ‘bergelut’ dalam gelanggang politik.
Apa pun kepada SPRM teruskanlah perjuangan membanteras rasuah dan salah guna kuasa. Biarlah ahli-ahli politik dengan sandiwara mereka. Serahkan sahaja kepada rakyat menilai mereka khususnya yang semakin ramai mahu men­jadi ‘badut politik’ dan ‘ayam jantan yang berkokok kuat tetapi ekor bergelumang najis’!
Berpeganglah kepada apa yang diucapkan oleh Dzulkifli dalam sajaknya bertajuk ‘Demi Allah Akan Ku Jaga Maruah ini’ antara lain beliau menukilkan;

Mataku tak mampu kau butakan.
Telingaku tak boleh kau tulikan
Tanganku sukar untuk kau kunci ke belakang
Lidahku tak mampu kau diamkan
Kerana aku ada Allah yang teratas dari teratas
Berkuasa dari yang berkuasa.

http://www.utusan.com.my/rencana/utama/jangan-ganggu-sprm-1.519073#ixzz4r1eNPAiT

JANGAN MELAMPAUI BATAS

MUKADIMAH: Sejak kebelakangan ini kritikan dan kecaman semakin lantang dilemparkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Segalanya hanya disebabkan ketegasan agensi itu melaksanakan tanggungjawab memerangi rasuah dan salah guna kuasa tanpa mengira siapa.

Tidak kira kerajaan mahupun pembangkang, semuanya akan disiasat jika terdapat cukup asas dan bukti. Bagaimanapun tindakan SPRM yang berteraskan memenuhi impian rakyat bagi memerangi jenayah tersebut habis-habisan dipandang serong.

Ada pihak-pihak tertentu begitu lantang mengkritik SPRM dan menuduh apa yang dilakukan agensi berkenaan bermotif politik. Persoalannya, adakah segala tindakan SPRM itu salah? Apakah SPRM wajar berdiam diri terhadap sesuatu laporan hanya disebabkan ia melibatkan orang politik?

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR , Ketua Pesuruhjaya SPRM, DATUK DZULKIFLI AHMAD dengan tegas menjawab segala kritikan yang dihalakan kepada agensi tersebut.

Sambil mengingatkan puak-puak tersebut jangan melampaui batas dalam membuat tuduhan, beliau juga menegaskan, "Saya dan rakan-rakan seperjuangan di SPRM tidak akan berundur dan tidak akan dilemahkan walau apa jua bentuk cabaran mendatang".

MINGGUAN : Sepanjang setahun SPRM di bawah kepemimpinan Datuk, SPRM dilihat begitu konsisten mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dengan jenayah rasuah dan salah guna kuasa dan ia semakin memuncak dan ‘panas’ khususnya di dalam bulan ini. Dengan kekangan sumber manusia dan diasak dengan kritikan daripada pelbagai pihak, dari mana Datuk mendapat kekuatan untuk meneruskan tugas yang mencabar ini?
DZULKIFLI: Memang pada penghujung Julai lalu saya telah menyatakan bahawa bulan Ogos dan September ini akan menjadi bulan yang agak ‘panas’. ‘Kepanasan’ itu dan kegerahan itu akan dirasai dan ditujukan khusus kepada mereka yang terlibat dengan jenayah rasuah dan salah guna kuasa.
Walaupun wujud kekangan dari sudut bilangan sumber manusia yang ada namun kami di SPRM tetap istiqamah, teguh dan cekal dalam meneruskan tindakan demi menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan.
Sumber kekuatan saya dan rakan-rakan di SPRM yang terbesar datangnya daripada sokongan dan kepercayaan rakyat yang semakin bertambah dan tidak berbelah bahagi.
Seringkali apabila saya berada dalam kalangan masyarakat, saya akan dihampiri oleh ramai individu yang mengucapkan tahniah kepada SPRM di atas keberanian tindakan yang diambil dan mereka turut memberikan kata-kata semangat agar saya dan rakan-rakan di SPRM meneruskan perjuangan.
Rata-ratanya rakyat kebanyakan begitu gembira dan mengalu-alukan pendekatan agresif SPRM kerana mereka merupakan kelompok paling terkesan apabila kita berbicara berkenaan isu rasuah dan salah guna kuasa.
Di dalam pertemuan-pertemuan ini pula saya sering meminta masyarakat untuk memberikan sokongan dan berdoa untuk kami di SPRM.
Saya yakin doa-doa yang dikirimkan oleh rakyat Malaysia inilah yang terus menggerakkan semangat dan memberikan kekuatan serta ketabahan kepada kami untuk terus melaksanakan tugas.
Jadi saya kira, sokongan rakyat dan doa-doa mereka inilah yang menjadi sumber kekuatan utama saya.

Walaupun SPRM dilihat memiliki keberanian yang begitu nyata dan agresif dalam menjalankan tugasnya, namun kebelakangan ini dilihat serangan dan kritikan terhadap cara SPRM melaksanakan tugasnya juga tidak kurang hebatnya. Apa pandangan Datuk mengenai perkara ini?

DZULKIFLI: Tugas yang dilaksanakan oleh SPRM sebenarnya merupakan suatu tugas yang begitu sunyi dan sepi. Apabila kita dituduh dan dikatakan tidak melakukan tugas maka kita diserang.
Apabila kita dilihat melakukan tugas maka kita turut diserang juga, malah kadangkala asakannya lebih kuat dan hebat.
Apabila tindakan yang diambil SPRM melibatkan ahli-ahli politik sama ada di pihak kerajaan mahu pun pembangkang maka kami akan dikritik dan dituduh pula bertindak kerana bermotifkan politik.
Jadi pendek kata apa sahaja yang dilakukan tidak akan ada sebarang pujian, yang sering kedengaran hanyalah hinaan, cacian, tuduhan dan kritikan daripada mereka yang berkepentingan dan sering bermain wayang di mata masyarakat.
Warga SPRM yang seharusnya dilihat sebagai wira kerana berani mengambil tindakan kini dilihat sebagai ‘villain’ atau penjahat pula.
Perlu diingatkan bahawa kaedah atau cara SPRM melaksanakan siasatan, dari sudut tangkapan dan prosedur mengendalikan pesalah adalah merupakan pendekatan sama yang diambil sebelum ini terhadap mana-mana individu.
Namun apabila tindakan diambil terhadap ‘personaliti-personaliti’ tertentu pula maka akan kedengaranlah kokokan dan salakan di sana sini mengenai hak dan kepentingan mereka yang disiasat dan diambil tindakan oleh SPRM.
Sedangkan hak, kepentingan, keselamatan dan kebajikan pegawai-pegawai SPRM langsung tidak dibangkitkan, dipertahankan dan diambilkira. Lebih menyedihkan apabila kritikan-kritikan yang tidak mengimbangi hak agensi penyiasat ini, terdiri daripada golongan yang ‘dikatakan cerdik’ dari sudut undang-undang dan akademik.
Persoalannya benarkah mereka ini benar-benar celik undang-undang dan serius dalam memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa atau sekadar isu rasuah ini menjadi mainan di bibir sahaja.
Jadi, walaupun reaksi-reaksi sebegini tidak mengejutkan namun ia kadangkala agak mengecewakan kerana menunjukkan golongan yang mengkritik ini tidak ikhlas dalam benar-benar ingin memastikan negara kita bersih dan bebas daripada jenayah rasuah dan salah guna kuasa.
Mereka ini tidak ikhlas dalam menjiwai aspirasi dan suara rakyat yang mahukan gejala rasuah ini dihentikan dengan sebenar-benarnya.
Sungguhpun serangan-serangan terhadap SPRM ini berterusan, namun percayalah selagi SPRM menjalankan tugasan mengikut lunas undang-undang, mendapat sokongan serta dokongan rakyat, selagi kami di SPRM diberi ketenangan dan hidayah daripada Allah SWT, maka saya dan rakan-rakan seperjuangan di SPRM tidak akan berundur dan tidak akan dilemahkan walau apapun jua bentuk cabaran yang mendatang.

Mengambilkira kekangan dan kekurangan sumber manusia di SPRM berbanding bilangan operasi serta tindakan penguatkuasaan yang tidak henti-henti, mampukah SPRM meneruskan momentum ini kerana permintaan dan harapan rakyat semakin meningkat?

DZULKIFLI: Saya menyedari lumrah masyarakat begitulah. Apabila kita telah bekerja dengan baik dan menunjukkan hasilnya maka harapan masyarakat mahukan lebih lagi daripada apa yang sedia ada.
Bagaimanapun saya ingin menjelaskan pada masa ini SPRM hanya mempunyai kekuatan seramai 1,900 orang sahaja pegawai beruniform di seluruh negara yang perlu melaksanakan bukan sahaja tugas-tugas berkaitan operasi tetapi juga melibatkan pencegahan dan pendidikan.
Selebihnya seramai 1,000 orang merupakan kakitangan sokongan dalam kalangan orang awam.
Bilangan atau kekuatan pegawai SPRM adalah kekuatan yang sama pada tahun-tahun sebelum ini dan tiada penambahan. Jadi kekuatan sumber manusia inilah yang digerakkan untuk melaksanakan sebegitu banyak operasi dan tindakan sepanjang tahun ini.
Dengan bilangan yang begitu kecil ini saya tanpa ragu-ragu dan amat yakin bahawa rakan-rakan saya di SPRM akan tetap terus bertungkus lumus bekerja keras serta mampu bertahan melaksanakan segala tugasan yang dibebankan kepada mereka.
Oleh itu saya ingin menyatakan penghargaan dan hormat saya yang tidak terhingga kepada rakan-rakan di SPRM yang tidak pernah merasa lemah, bersungut dan menolak sebarang tugasan yang diberikan kepada mereka.
Rasa tanggungjawab mereka untuk membersihkan negara daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa serta semangat juang mereka berada pada tahap yang cukup tinggi dan membanggakan.
Inilah etika kerja luar biasa yang ada pada seluruh warga SPRM. Jika tidak ada sesiapa yang memuji insan-insan di SPRM ini maka biarlah saya seorang sahaja yang akan terus menerus berdiri memberikan pujian dan penghormatan kepada keseluruhan warga SPRM.
Saya amat berbangga menjadi teraju utama kepada kelompok manusia yang cukup istimewa di SPRM ini.

Apa komen Datuk terhadap tuduhan serta kritikan yang dibuat terhadap SPRM akhir-akhir ini bahawa SPRM mengambil tindakan yang bersifat serangan politik, khususnya melibatkan tindakan di Pulau Pinang dan Selangor?

DZULKIFLI: Saya ingin mengingatkan golongan yang begitu lancang dan pantas mengkritik serta membuat pertuduhan sebegini kepada SPRM agar lebih berhati-hati dalam berkata-kata.
Jangan melampaui batas dengan sesuka hati membuat kenyataan kosong yang tidak mempunyai sebarang asas. Kami di SPRM bertugas semata-mata untuk rakyat dan demi rakyat.
Ini sangat istimewa kerana setiap tindakan kami di SPRM tidak akan dikaburi sama sekali dengan sebarang perkiraan atau agenda politik sekiranya dibandingkan dengan suara-suara terpencil ini.
Pegawai-pegawai SPRM pada setiap masa bertindak tanpa gentar berdasarkan ruang lingkup undang-undang dan bertugas tanpa sebarang agenda peribadi mahu pun agenda politik.
Pegawai-pegawai SPRM melaksanakan tugas semata-mata kerana cintakan negara ini dan mahukan negara ini bersih dan bebas daripada rasuah serta perasuah yang menjadi pengkhianat kepada rakyat, agama dan bangsa.
Satu-satunya agenda kami di SPRM ini adalah untuk mewujudkan negara Malaysia yang lebih maju dan membangun di mana rakyatnya menikmati sepenuhnya kemudahan dan kemakmuran negara tanpa dicemari dan diganggu gugat oleh sebarang anasir jenayah rasuah dan salah guna kuasa, itu satu-satunya matlamat utama kami.
Isu rasuah bukanlah isu yang harus dipolitikkan. Isu rasuah isu penting yang berkait rapat dengan nasib dan masa hadapan tanah air kita.

Setelah lebih setahun menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM apakah harapan Datuk terhadap rakyat Malaysia secara keseluruhannya?

DZULKIFLI: Rakyat dan SPRM seharusnya berpisah tiada. Rakyat dan SPRM harus menjadi satu. Rakyat perlu menyokong dan mendukung perjuangan SPRM kerana SPRM akan menjadi agensi yang akan mengambil tindakan terhadap suara terpencil rakyat yang mahukan hak dan kepentingan mereka dilindungi dan dipelihara.
Adalah sesuatu yang amat mustahil bagi SPRM untuk menangani dan memerangi isu rasuah dan salah guna kuasa secara sendirian tanpa wujudnya sokongan dan dokongan daripada rakyat di segenap lapisan.
Saya amat yakin bahawa kehadiran kami di sisi masyarakat harus disenangi dan harus diterima sebagai sebahagian daripada ahli keluarga kepada masyarakat secara keseluruhannya.
Di bawah kepemimpinan saya, SPRM akan berfungsi dan berperanan sebagai agensi pencegahan rasuah dan agensi penguat kuasa undang-undang yang lebih proaktif dan lebih berperanan menjadi mata dan telinga rakyat.
SPRM adalah agensi rakyat, apparatus rakyat dan machinery rakyat yang akan menjaga dan melindungi kepentingan dan hak-hak rakyat.
Saya hanya berdoa dan berharap agar rakyat Malaysia secara keseluruhannya akan terus kekal yakin dan memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada SPRM.

http://www.utusan.com.my/hiburan/rancangan-tv/jangan-melampaui-batas-1.519423#ixzz4r1eeCTHB

Friday, August 25, 2017

SPRM GESA GUAN ENG MOHON MAAF ATAU TINDAKAN DIAMBIL



Merujuk laporan berita bertajuk “Sg Lembu illegal factory: Guan Eng claims ignorance over DoE's letter to MPSP and Norlela” yang disiarkan oleh akhbar New Straits Times hari ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bahawa penahanan Exco Kerajaan Negeri, Phee Boon Poh oleh SPRM sebagai “penahanan haram” adalah merupakan satu kenyataan yang berunsur fitnah.

Selepas meneliti audio dan video pertemuan Guan Eng dengan pihak media pada 24 Ogos 2017 di Komtar, Pulau Pinang, SPRM mendapati Guan Eng dengan jelas telah menggunakan perkataan “penahanan haram oleh SPRM” apabila menjawab soalan wartawan berhubung isu kilang haram di Sungai Lembu tersebut.

SPRM memandang serius kenyataan “penahanan haram oleh SPRM” dan beranggapan ia merupakan satu fitnah jahat yang bertujuan untuk memburuk-burukkan nama baik SPRM serta mencemarkan dan menjejaskan reputasi SPRM.

SPRM turut percaya bahawa Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Pulau Pinang,  Datuk Abdul Wahab Mohamed  tidak pernah dalam penghakimannya berkaitan penahanan reman Phee Boon Poh menyatakan bahawa penahanan yang dibuat oleh SPRM sebagai ‘penahanan haram’.

Justeru itu, Guan Eng digesa agar memohon maaf secara terbuka tanpa syarat kepada SPRM dalam tempoh empat puluh lapan (48) jam daripada kenyataan ini dikeluarkan atau tindakan undang-undang akan diambil terhadapnya.

Selain itu, perlu juga ditegaskan bahawa SPRM telah pun memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 14 Ogos 2017 berikutan keputusan mahkamah tersebut yang telah membatalkan penahanan reman terhadap Phee Boon Poh.

Memandangkan rayuan ini masih belum selesai dan dimuktamadkan sepenuhnya di mahkamah maka sebarang kenyataan oleh mana-mana pihak berkaitan penahanan tersebut adalah subjudis dan boleh dianggap sebagai tindakan menghina mahkamah.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

25 OGOS 2017

Wednesday, August 16, 2017

Gari, baju lokap ikut undang-undang - SPRM

GOMBAK: Pemakaian gari dan pakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan dan akta mengenai peraturan penjara.
Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Dzulkifli Ahmad, berkata SPRM tidak pernah memilih bulu dengan hanya menggari pemimpin pembangkang manakala kenamaan kerajaan hanya memakai baju lokap SPRM.

"Penguatkuasa SPRM boleh memilih untuk menggari suspek atau sebaliknya, begitu juga pemakaian baju lokap dengan alasan munasabah," katanya kepada media selepas menyaksikan majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di kampus universiti itu, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan seorang peguam hak asasi, N Surendran, kononnya memaksa suspek memakai baju lokap jingga melanggar Perlembagaan Persekutuan dan akta mengenai peraturan penjara.

Surendran mengulas dua penahanan berprofil tinggi oleh SPRM membabitkan EXCO Pulau Pinang, Phee Boon Poh, dan bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad.

Mengenai dakwaan SPRM berat sebelah kerana hanya menggari Boon Poh, manakala Isa hanya memakai baju lokap berwarna jingga, Zulkifli berkata dakwaan itu tidak berasas dan perlu diperbetulkan.

Katanya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang pernah disiasat SPRM tidak pernah digari dan diarahkan memakai baju lokap berwarna jingga.

"Jika ada pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan SPRM menggari atau meminta tahanan lokap memakai baju warna jingga boleh memfailkan kes itu ke mahkamah," katanya.

Ditanya dakwaan kerajaan Selangor enggan menandatangani IBR bersama SPRM, beliau berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan terserah kepada masyarakat untuk menilainya.

"Ketika ini permohonan untuk IBR semakin panas dan setiap hari ada saja pihak khususnya jabatan dan agensi kerajaan, selain universiti awam mahu menandatanganinya, " katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2017/08/313454/gari-baju-lokap-ikut-undang-undang-sprm

Saturday, August 12, 2017

ANAK MUDA MAHASISWA PERLU SOKONG SPRM DALAM USAHA MEMERANGI RASUAH



SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahukan sokongan yang padu dan tidak berbelah bahagi daripada anak muda mahasiswa  kerana SPRM tidak seharusnya dibiarkan bersendirian tanpa sokongan dalam melaksanakan usaha-usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, untuk anak muda mahasiswa menjadi ejen perubah dan pendukung kepada perjuangan memerangi rasuah dan salah guna kuasa, golongan tersebut perlu mempunyai ilmu dan mampu berfikir secara matang serta efektif dalam gerak kerja mereka.

"Apabila SPRM diserang dan diugut, golongan anak muda mahasiswa perlu teguh berdiri bersama-sama kami untuk menggembleng tenaga, mengerah keringat dan berkongsi kudrat bagi menentang suara-suara munafik yang mengkritik SPRM.

"Inilah yang kita mahukan dan inilah yang kita dambakan daripada golongan muda mahasiswa bersama-sama SPRM untuk berjihad memerangi rasuah dan salah guna kuasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Perhimpunan Mahasiswa Anak Muda Memerangi Rasuah Dan Salah Guna Kuasa (PEMARAH) 2017 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Negeri Sembilan di sini hari ini.

Tambah Dzulkifli, anak muda mahasiswa juga perlu ikhlas dan tidak jemu untuk turun ke padang bagi menjelajah dan mendidik jiwa teman-teman seusia dan masyarakat agar tiada yang rebah dek bisikan dan godaan rasuah serta wang ringgit.

"Jika anak muda mahasiswa benar-benar ingin melihat kemungkaran dan kebobrokan rasuah ini diperangi habis-habisan serta dilenyapkan, maka sambutlah cabaran saya untuk berdiri bersama SPRM untuk gempur dan perangi bersama kemungkaran rasuah dan salah guna kuasa," ujar beliau.


Majlis yang berlangsung pada pukul 8.30 pagi itu dimulakan dengan persembahan teater bertajuk Genggam Tangan Kanan, Tangan Kiri Melipat Senjata diikuti dengan sesi perkongsian oleh  wakil daripada Indonesia Corruption Watch, Tama Satrya Langkun berhubung isu rasuah di Indonesia. 

Di samping diceriakan dengan aksi dan nyanyian para pelakon teater berkenaan, program itu turut dimeriahkan dengan persembahan muzikalisasi oleh Dato' Nash Lefthanded dan penyampaian sajak oleh Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin serta persembahan muzik akustik oleh Artisukma USIM.

Pada kemuncak program tersebut, acara yang disampaikan ialah Executive Talk oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM dan persembahan khas oleh Dzulkifli yang mendeklamasikan puisi bertajuk 'Demi Allah Akan Ku Jaga Integriti Ini'.

Program bertemakan 'Suara Pemimpin: Satu Revolusi Memerangi Rasuah' anjuran Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM dengan kerjasama USIM, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu disertai 3,000 peserta yang terdiri daripada golongan pemimpin dan bekas pemimpin pelajar di negara ini.

Turut hadir pada program tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dato' Dr. Zulkiple Abd. Ghani dan wakil Kementerian Pendidikan Tinggi, Mardhiah Ismail Niza.

Bagi pihak SPRM, hadir bersama ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Dato' Seri Mohd. Jamidan Abdullah; Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi, Dato' Junipah Wandi; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Dato' Abdul Samat Kasah dan Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri.

 

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA   

12 OGOS 2017

Thursday, August 10, 2017

SPRM gempur kilang haram

BUKIT MERTAJAM 10 Ogos - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menggempur sebuah kilang memproses habuk kayu untuk kegunaan penapis karbon yang dipercayai beroperasi secara haram di Kampung Sungai Lembu dekat Mengkuang di sini.
Operasi yang melibatkan Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar dan Lembaga Hasil Dalam Negeri itu bermula pukul 10.15 pagi dan berakhir dua jam kemudian.

Selain menyerbu kawasan kilang yang terletak di dalam ladang kelapa sawit kira-kira 0.5 kilometer dari jalan utama itu, SPRM turut menyerbu pejabat operasi kilang itu di Bukit Mertajam dan beberapa jabatan di Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Operasi itu diadakan selepas menerima aduan daripada penduduk kampung yang mendakwa kilang itu yang beroperasi sejak hampir 15 tahun lalu tidak memiliki lesen sah serta seolah-olah dilindungi oleh pihak tertentu.

Kilang itu juga menimbulkan gangguan kesihatan kepada penduduk setempat kerana melepaskan asap tebal dan gas karbon akibat pembakaran habuk kayu itu di dalam dandang.

Isu kilang itu pernah dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti dari PKR, Dr. Norlela Ariffin mengenai banyak kilang haram dibiarkan beroperasi di Penanti tanpa tindakan lanjut oleh kerajaan DAP Pulau Pinang.

Dakwanya, kilang itu juga tidak mengikut garis panduan keselamatan selain tidak mematuhi prosedur alam sekitar namun dibiarkan terus beroperasi tanpa sebarang tindakan daripada pihak berkuasa tempatan. - UTUSAN ONLINE

http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/sprm-gempur-kilang-haram-1.513449#ixzz4pPIV4tIX 

Monday, August 7, 2017

NGO perlu lebih proaktif - SPRM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengalu-alukan pembabitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menentang gejala rasuah.
Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Dzulkifli Ahmad, berkata SPRM sendiri menubuhkan Kaukus Antirasuah dan Perlindungan Alam Sekitar (EPACC) baru-baru ini bagi menyatakan sokongan kepada NGO untuk menentang salah guna kuasa dan rasuah.

"Menerusi EPACC, kami mengumpulkan pakar dan NGO iaitu dalam hal ini membabitkan isu alam sekitar supaya mereka mempunyai saluran untuk menyalurkan aduan mahupun cadangan untuk membendung gejala rasuah.

"Saya sendiri mempengerusikan kaukus terbabit kerana mahu NGO dan golongan pakar sentiasa bersama dengan SPRM dan setiap cadangan yang diketengahkan akan diambil berat oleh agensi berkaitan. Paling penting, kita mendapat maklumat daripada NGO," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Forum Bicara BH bertajuk Rasuah - Cabaran Bagi Wanita yang dikendalikan Pengarang Bersekutu Ehwal Semasa BH, Kadir Dikoh sebagai moderator di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dzulkifli berkata, pihaknya mahu lebih banyak NGO tampil ke hadapan untuk bersama dengan SPRM supaya segala rungutan atau aduan yang ingin disalurkan dapat didengari.

http://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/08/309759/ngo-perlu-lebih-proaktif-sprm

Thursday, August 3, 2017

Syabas, moga SPRM terus efektif

JANJI Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad adalah beliau akan memastikan sekurang-kurangnya satu kes akan disiasat atau didakwa setiap minggu dalam usaha untuk membebaskan negara ini daripada gejala rasuah dan penyelewengan kuasa.
Ini antara kenyataan beliau yang masih segar dalam minda kebanyakan daripada kita. Sehingga ramai menanti siapa yang bakal ditahan, disiasat atau didakwa seterusnya - pada hari esok, minggu depan atau bulan depan.

Perkembangan itu telah mewujudkan suatu perasaan gerun dalam kalangan rakyat khususnya mereka yang terlibat dalam jenayah rasuah. Mereka mula bertanya diri mereka - apakah giliran mereka dicekup SPRM selepas ini?

Menurut Dzulkifli, SPRM ada senarai kes penyelewe­ngan kuasa dan rasuah yang akan disiasat atau dituduh di mahkamah setiap minggu. Beliau berkata, mereka ber­kenaan hanya menunggu masa untuk diambil tindakan.

Terbukti beliau serius dengan apa yang dikatakan dan dijanjikan. Malah menurut Dzulkifli: “Setakat ini saya belum putus asa atau gagal melaksanakan janji saya itu. Kalau dilihat kepada perkembangan semasa sekarang ini, bukan satu kes seminggu tetapi dua, tiga kes kita siasat dan buat pertuduhan di mahkamah.”

Dalam satu rencana yang disiarkan Utusan Malaysia dua tahun lalu, saya telah melahirkan harapan agar rasuah diperangi habis-habisan. Apa yang diharapkan itu, saya melihat sudah menjadi kenyataan dengan ke­pimpinan yang diperlihatkan oleh Dzulkifli selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM. Liputan media sejak September lalu menunjukkan pendekatan yang diambil beliau sungguh berkesan.

Ini yang rakyat mahu. Jangan berlembut dengan mereka yang merosakkan negara.

Mengambil kira perkembangan mutakhir, selaku ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), saya yakin SPRM akan bertindak without fear or favour demi me­merangi penjenayah rasuah. JKMR mengulangi akan sentiasa menyokong apa jua tindakan yang diambil oleh SPRM berlandaskan peraturan dan undang-undang negara.

Dalam kenyataan pertama, Dzulkifli berharap semua pihak dapat memberi kerjasama dan sokongan dalam membanteras rasuah.

Beliau berkata, pelantikannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM ­merupakan peluang baginya untuk meneruskan khidmat dan berbakti kepada negara.

“Saya akan berusaha sebaik mungkin melaksanakan tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, dan melaksanakan usaha pencegahan rasuah di Malaysia secara amanah, tegas dan adil.

“Saya turut sedar akan cabaran getir dan harapan tinggi yang diletakkan kepada saya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di awal pelantikan beliau.

Semua sedia maklum SPRM dipantau oleh lima badan bebas.

Kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini diteruskan oleh Datuk Seri Najib Razak, Perdana Menteri telah mengambil langkah membina dengan mewujudkan SPRM. Usaha itu menjadikan SPRM sebuah badan bebas, selain diperkasakan dengan menyediakan Akta SPRM 2009.

Sejak penubuhannya pada 2009, SPRM dengan dipantau kelima-lima badan bebas, melaksanakan fungsi sebagai agensi utama membanteras rasuah di Malaysia.

SPRM sebagai entiti baharu pencegahan rasuah yang bebas telah mengambil langkah berani ‘membenarkan’ lima badan pengawasan bebas memantau dan menasihatkannya. Selain JKMR, empat badan yang lain adalah Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Penilaian Operasi dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah.

Kita juga tahu bahawa kewujudan dan fungsi panel bebas juga telah diiktiraf oleh badan-badan antarabangsa se­perti Pejabat PBB Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).

Awal minggu lalu, Dzulkifli sambil bergurau menegaskan pada bulan-bulan mendatang keadaan bakal menjadi lebih ‘panas’. “Kita akan ambil tindakan ke atas peng­khianat,” ujar beliau.

Dipetik Dzulkifli berkata, semasa Ramadan lalu SPRM kelihatan kurang menonjol manakala selepas bulan puasa berakhir orang ramai banyak mengadakan majlis hari raya. “Makan lemang banyak, jadi slow sedikit,” katanya.

Namun kata Dzulkifli keadaan mula panas sedikit demi sedikit, seperti tindakan SPRM membuka semula kes membabitkan Felda sebelum ini. “Insya-Allah pada Ogos dan September ini keadaan akan jadi lebih panas,” katanya.

JKMR mengucapkan tahniah dan syabas kepada Dzulkifli atas rekod dan pencapaian SPRM sejak beliau dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. Kepimpinan beliau telah melahirkan sebuah suruhanjaya membasmi rasuah yang disegani pada hari ini.

Sepanjang tempoh satu tahun yang lalu beliau telah mempamerkan rekod karisma kepimpinan yang sungguh cemerlang dalam membanteras jenayah rasuah di Malaysia. Beliau telah mengotakan apa yang dijanjikan kepada rakyat semasa mengambil alih jawatan Ketua Pesuruhjaya pada Ogos 2016, bahawa rasuah akan diperangi habis-habisan.

Bukan sahaja ia dibuktikan menerusi pendekatan siasatan dan pendakwaan, tetapi juga pencegahan di mana beliau memperkenalkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Meskipun masih ada pihak yang sangsi dengan SPRM, JKMR menghargai kesungguhan dan iltizam beliau yang mahu menaikkan imej negara dengan membasmi rasuah habis-habisan. Saya yakin dengan kata-kata beliau yang mahu membanteras rasuah di kalangan anggota perkhidmatan dalam tempoh tiga tahun.

Saya yakin JKMR, sebagai salah satu badan pengawasan perjalanan SPRM, akan terus memberi sokongan padu kepada SPRM dan Dzulkifli selaku Ketua Pesuruhjaya.

Syabas SPRM. Jadikan SPRM lebih digeruni.


DATUK SERI DR. IRMOHIZAM IBRAHIM ialah Ahli Jawatankuasa Parlimen Menangani Rasuah (JKMR), SPRM merangkap Ahli Parlimen Kuala Selangor.



http://www.utusan.com.my/rencana/utama/syabas-moga-sprm-terus-efektif-1.510393#ixzz4ogC3dTLq