Sunday, November 26, 2017

Isu lesen antara punca utama rasuah

KUALA LUMPUR: Sistem perolehan, agensi penguatkuasaan dan isu pelesenan serta permit adalah antara tiga kategori utama yang menyebabkan rasuah diamalkan secara berleluasa.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad, berkata sistem perolehan memberi ruang kepada amalan salah guna kuasa dan wang negara.

Pada masa, katanya, masalah dadah yang membelenggu Malaysia sejak sekian lama membuktikan masih wujud ruang untuk diperbaiki membabitkan tugas kakitangan agensi penguatkuasaan.

"Malaysia bukan negara pembuatan dadah, tetapi pengguna dadah. Semua agensi buat sekatan di sempadan, namun masih bolos.

"Kita perlu melihat semula dan menyatakan rasuah sebagai musuh nombor satu negara. Jika agensi berkaitan dapat menjalankan amanah dan tanggungjawabnya, saya yakin masalah berbangkit dapat diselesaikan dengan baik.

"Aspek pelesenan dan permit juga perlu dilihat bagi menyelesaikan isu rasuah.

"Mereka yang berada dalam situasi pemberian lesen perlu memastikan tidak wujud unsur rasuah ," katanya pada sesi dialog SPRM bersama Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden MCW, Jais Abdul Karim dan Presiden MBM, Mua'amar Ghadafi Jamal Jamaludin.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/11/355683/isu-lesen-antara-punca-utama-rasuah

SPRM mahu buru si mabuk harta

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) nekad buru perasuah yang ghairah menyeleweng duit kerajaan.
Janji itu dibuat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad sebagai langkah memastikan hak rakyat disampaikan dengan sempurna.

"SPRM adalah badan yang ditubuhkan untuk bertindak bagi pihak rakyat.

"Ini janji SPRM kepada rakyat,sekiranya hak dan kepentingan rakyat dicabul oleh mereka yang mabuk harta, kami akan ambil tindakan," katanya

Beliau berkata demikian ketika hadir Dialog Eksklusif bersama Tan Sri Ketua Pengarah SPRM bersama Kepimpinan MCW dan Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia Malaysia (MBM), di Hotel Sunway Putrs, di sini, hari ini.

Jelas beliau lagi, apa yang dilakukan SPRM hanya untuk memastikan nasib rakyat terbela dan bantuan kerajaan sampai kepada masyarakat.

"SPRM adalah milik rakyat Malaysia, jadi kami akan pastikan nasib rakyat negara ini terbela," katanya lagi.

Bagaimanapun, katanya lagi, sekuat mana pun perjuangan SPRM masa kini,ia hanya bersifat sementara.

Sebaliknya, ujar beliau lagi, golongan muda bertanggungjawab memastikan peperangan menentang rasuah diteruskan pada masa depan.

"Sebab itu, saya sanggup turun padang untuk bersama-sama dengan golongan belia pada hari ini.

"Tujuannya tidak lain tidak bukan adalah bagi memastikan generasi belia yang akan memerintah negara pada masa akan datang benci dengan rasuah," katanya lagi.

http://www.sinarharian.com.my/semasa/sprm-mahu-buru-si-mabuk-harta-1.762596

Sikap tamak perasuah buat rakyat rugi

KUALA LUMPUR - Sikap tamak sesetengah pihak telah menyebabkan dasar dan polisi kerajaan tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, kepincangan yang berlaku telah mendatangkan kerugian kepada rakyat.

"Kerajaan telah membuat dasar dan polisi yang cukup baik untuk rakyat, contoh pada pembentangan Bajet 2018 baru-baru ini yang difahamkan memberi peruntukan kepada semua sektor dalam negara.

"Disebabkan oleh mereka yang tamak haloba dan terlibat dengan salah guna kuasa, maka pelaksanaan polisi dasar tidak sampai kepada rakyat," katanya menerusi Dialog Eksklusif bersama Tan Sri Ketua Pengarah SPRM bersama Kepimpinan MCW dan Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia Malaysia (MBM), di Hotel Sunway Putrs, di sini, hari ini.

Menurut beliau lagi, kerajaan perlu memperbaiki langkah pelaksanaan dasar yang dilihat cukup mudah diseleweng oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Apabila dasar dan janji kerajaan tidak dilaksanakan, ia membuatkan rakyat rasa marah, kecewa dan tidak dapat buat apa-apa.

"Sekiranya hak kepentingan rakyat dicabul oleh mereka yang mabuk harta, maka SPRM akan ambil tindakan!" tegasnya.

http://www.sinarharian.com.my/semasa/sikap-tamak-perasuah-buat-rakyat-rugi-1.762579

Saturday, November 25, 2017

Rasuah skim baja petani rugikan negara

ISU penyelewengan skim baja subsidi kerajaan di Melaka mula dikesan apabila seorang pengurus Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di Merlimau membuat laporan polis pada Oktober lalu mendakwa tandatangannya dipalsukan untuk tuntutan menerusi Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP).
Tuntutan sejumlah 38 transaksi itu yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM500,000 dibuat dan dipalsukan menggunakan tandatangan beliau berlaku antara Jun 2016 hingga Ogos lalu.

Kes tersebut kemudian dipanjangkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan beliau meminta agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat permasalahan tersebut kerana ia melibatkan peruntukan kepada petani-petani kecil di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa memberi tumpuan terhadap sektor pertanian walaupun pada masa sama menekankan aspek pembangunan negeri itu.

SPRM selepas menerima laporan polis yang dibuat pengurus terbabit segera menjalankan siasatan dan hasilnya baru-baru ini, seorang pengurus di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) ditahan bagi membantu siasatan penyelewengan skim baja itu yang berjumlah RM2.54 juta membabitkan 56,700 kampit baja sepanjang tahun lalu.

Sehari kemudian, seorang lagi suspek iaitu pesawah lelaki yang mampu memiliki kereta mewah jenis Audi A4 ditahan dipercayai menjalankan urusan pemajakan sawah dan menjual baja subsidi berkenaan. ­Kenderaan mewah itu dipercayai hasil jualan baja tersebut dan bantuan itu yang sepatutnya diterima para petani dijual pada orang tengah dengan harga serendah RM10 sekampit.

Terbaharu, suspek ketiga yang adalah pesawah, nelayan dan penjual ikan ditahan malam Rabu lalu bagi membantu siasatan dan dipercayai bersubahat dengan suspek pertama menjual dan menggunakan baja untuk kepentingan sendiri.

SPRM menerusi Pengarah Kanan Jabatan Siasatannya, Datuk Simi Abdul Ghani memberitahu, beberapa lagi tangkapan akan dilakukan berhubung kes penyelewengan tersebut ke­rana ia melibatkan peruntukan kepada golongan sasar yang tidak diterima akibat sikap tamak segelintir pihak.

“SPRM memandang serius berhubung isu penyelewengan ini kerana bantuan kerajaan tidak sampai kepada kumpulan sasar,” kata Simi dan sudah pasti selepas ini lebih ramai akan ditahan bagi membantu siasatan kes itu.

Sikap tamak yang merugikan negara itu menyebabkan ramai petani kecil menjadi mangsa apabila ada segelintir pihak mengambil kesempatan kuasa dan kedudukan yang diberikan kepadanya untuk ‘curang’ kepada mereka yang berhak dan sepatutnya menerima kemudahan skim pertanian itu.

Maka tidak hairanlah SPRM begitu serius memastikan kes penyelewengan ini dapat dibanteras, bukan sahaja di Melaka malah tidak mustahil berlaku di negeri lain.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad sebelum ini pernah menegaskan bahawa SPRM akan menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin dalam memastikan hak-hak rakyat disalurkan sewajarnya.

Bagi beliau, rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang berlaku boleh menyebabkan hak rakyat tidak sampai kepada mereka disebabkan ketamakan pihak tertentu.

Situasi penyelewengan itu menyebabkan timbul rasa tidak puas hati rakyat walaupun dasar atau polisi dilaksanakan kerajaan sebenarnya mampu memberi manfaat kepada rakyat.

“Rakyat kecewa dengan dasar yang baik tetapi tidak sampai pada rakyat disebabkan sikap tamak golongan yang khia­nati amanah rakyat. Jadi, inilah peranan SPRM,” kata Dzulkifli ketika menegaskan usaha suruhanjaya itu membanteras ra­suah pada program Kembara Jelajah Antirasuah 2017 baru-baru ini.

Maka SPRM sudah bertindak, kerajaan negeri juga sudah memberi amaran supaya jangan terlibat dan untuk pelaku rasuah, ingatlah bahawa selagi amalan tidak sihat ini berleluasa dan dilakukan tanpa rasa takut, suatu hari nanti pasti tembelang anda akan pecah bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.


http://www.utusan.com.my/rencana/utama/rasuah-skim-baja-petani-rugikan-negara-1.560116#ixzz4zV4R3qoN

Monday, November 20, 2017

Malam Puisi Rasuah jadi acara tahunan SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjadikan Malam Puisi Rasuah sebagai acara tahunan bagi menyampaikan mesej antirasuah kepada masyarakat.
Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata acara itu merupakan kerjasama antara SPRM serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

"Ini merupakan antara inisiatif SPRM bagi memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya golongan muda supaya tidak terlibat dalam kegiatan rasuah dan salah guna kuasa.

"Kita mahu mesej antirasuah disampaikan dalam pelbagai ruang supaya masyarakat sedar bahayanya budaya rasuah ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Malam Puisi Rasuah SPRM-DBP di Balai Budaya Tun Syed Nasir DBP di Kuala Lumpur, malam ini.

Pada majlis yang julung kali diadakan itu, Dzulkifli turut mendeklamasikan sebuah puisi nukilan Syed Indera Syed Omar atau Siso daripada kumpulan Kopratasa yang bertajuk ‘Jangan Nangis Dulu Bangsaku'.

Turut hadir Ketua Pengarah DBP Datuk Abdul Adzis Abas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Sri Azam Baki dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Dzulkifli berkata SPRM juga akan menerbitkan sebuah drama bersiri bertajuk 'Banteras' awal tahun depan yang berkisar mengenai kesalahan rasuah dan akibatnya terhadap masyarakat.


-Bernama

Saturday, November 18, 2017

MAHASISWA PERLU PRAKTIK '3J' HINDARI GEJALA RASUAH DAN SALAH GUNA KUASA

GOLONGAN mahasiswa disaran agar menjauhi gejala rasuah dan salah guna kuasa dengan mempraktikkan '3J', seperti yang ditekankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha memerangi kegiatan negatif tersebut.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, '3J', iaitu 'Jangan Hulur, Jangan Kawtim, Jangan Settle' perlu dipraktikkan agar aktiviti rasuah dan salah guna kuasa tidak menular dalam kalangan golongan belia yang bakal menjadi pemimpin negara.

"Berdasarkan hasil kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah yang dijalankan dalam kalangan 1,000 mahasiswa di seluruh negara tahun lalu, kira-kira 16 peratus pelajar institusi pengajian tinggi sanggup menerima rasuah jika mempunyai peluang dan kuasa.

"Sekiranya pemikiran, jati diri dan integriti golongan mahasiswa tidak dipelihara, ini bermakna kita telah mengorbankan serta memperjudikan pembangunan masa depan negara yang telah diusahakan selama ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Executive Talk Perhimpunan Mahasiswa Anak Muda Memerangi Rasuah Dan Salah Guna Kuasa (PEMARAH) 3.0 Borneo yang diadakan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), hari ini

Seramai 1,300 golongan mahasiswa dari institut pengajian tinggi di Kuching dan Bintulu telah menyertai program anjuran SPRM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, UNIMAS dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) tersebut.

Selain UNIMAS, institusi pengajian tinggi lain yang terlibat ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kuching, Institut Kemahiran MARA (IKM) Kuching, IKM Bintulu dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Bintulu.

Hadir sama pada program tersebut ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Dato' Shamshun Baharin Mohd. Jamil; Pengarah Kanan Jabatan Siasatan, Dato' Simi Abdul Ghani; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Dato' Abdul Samat Kasah; Pengarah SPRM Negeri Sarawak, Dato' Badrul Shah Norman, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik, Mohamad Zakkuan Talib dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UNIMAS, Profesor Mohd. Fadzil Abd. Rahman.

PEMARAH 3.0 Borneo yang julung kali diadakan di negeri tersebut bertujuan untuk membentuk nilai pemimpin anak muda mahasiswa agar membenci dan menolak rasuah bersama masyarakat Malaysia.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk menzahirkan sokongan pemimpin anak-anak muda mahasiswa kepada usaha pencegahan rasuah oleh SPRM di negara ini.

Program yang berlangsung seawal pukul 9 pagi itu dimulakan dengan tayangan montaj bertajuk 'Revolusi Integriti', diikuti dengan persembahan busker dan Akustik Bermesej yang disampaikan oleh Al-Nabaw serta persembahan teater bertajuk 'Rasuah Membawa Padah' oleh Permata Kenyalang UiTM Kuching.

Turut diadakan ialah sesi Perkongsian Bicara oleh Khabirudeen Pulaver, persembahan Muzikalisasi Artis Bermesej oleh Eisner Nala, Nana Sheme dan Al-Nabaw serta persembahan tarian oleh Bayu UNIMAS.

Program yang turut disertai pegawai SPRM dan pensyarah serta kakitangan UNIMAS itu diakhiri dengan lafaz ikrar 'Janji Kami' yang diketuai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UNIMAS, Abdul Muhaimin Roslan.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
KUCHING

18 NOVEMBER 2017

Image may contain: 42 people, people smiling

Thursday, November 16, 2017

NGO diseru banteras rasuah

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyeru pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong serta membantu agensi itu menjayakan tugas membersihkan nama negara daripada gejala rasuah
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, membanteras rasuah bukanlah tugas­ eksklusif SPRM sahaja tetapi harus dilaksanakan oleh semua pi­hak termasuklah NGO.

“Kita yang terdiri daripada mas­yarakat berbilang kaum harus bersatu hati untuk memberi sokongan kepada usaha-usaha SPRM selama ini. Seperti mana saya laungkan jangan hulur, jangan ‘kawtim’ dan jangan settle. Kalau ini menjadi pegangan kita, insya-Allah negara bersih daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa,” katanya ketika hadir ke Pusat Pengumpulan Barang Bantuan Banjir Pulau Pinang di Kampung Baru Ampang di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden Ja­ringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah.

Sementara itu Azwanddin ber­kata, JMM gembira apabila SPRM sanggup meluangkan masa bertemu dengan NGO serta masyarakat demi menyatakan sokongan padu agensi berkenaan kepada misi bantuan banjir tersebut.

Ujar beliau, apa yang dilakukan oleh SPRM memberi suntikan semangat kepada NGO-NGO bagi membolehkan gerak kerja berbentuk ad hoc berjaya dilaksanakan.

“Kita juga telah mengumpulkan 64 NGO dalam kalangan pelbagai kaum di sekitar Ampang. Selepas ini, kita akan turut meluaskan rangkaian itu supaya mereka le­bih bersedia menghadapi segala bentuk bencana.

“Setakat hari ini, nilai barang-barang yang dikumpul sudah mencecah RM200,000 termasuklah makanan, pakaian dan tilam,” katanya.


http://www.utusan.com.my/berita/nasional/ngo-diseru-banteras-rasuah-1.554206#ixzz4ydtvJy3S

Monday, November 13, 2017

Belanja makan sebab tandatangan kehadiran di IPT adalah rasuah

KUALA LUMPUR: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengakui wujud amalan rasuah dalam kalangan penuntut universiti awam.
Bagaimanapun Presidennya, Adib Ashman Burhan Burhanudin menegaskan tiada sebarang laporan rasmi diterima pihaknya buat masa kini berhubung isu tersebut (rasuah).

Tambahnya, berdasarkan pemantauan, sebahagian besar penuntut tidak mengetahui rasuah berlaku dalam aktiviti seharian termasuk menawarkan ganjaran seperti membelanja makan tengah hari.

"Kita tidak tahu apa sebenarnya penerimaan dan pemberian rasuah di peringkat universiti. Sebagai contoh, sekiranya saya tidak pergi ke kelas dan kemudian saya meminta rakan saya menandatangani kehadiran bagi pihak saya.
"Sebagai ganjaran saya pula akan membelanja rakan saya (yang menandatangani kehadiran) makan tengah hari dan sebagainya. Itu kategori rasuah.
"Tetapi ramai dalam kalangan mahasiswa tidak tahu sama ada ketelusan, integriti atau tindakan itu betul atau tidak, diterima masyarakat atau tidak," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Justeru, beliau menyokong cadangan dikemukakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim supaya kerajaan mewujudkan Modul Pencegahan Rasuah di institusi pengajian tinggi (IPT).

"Kami menyokong pandangan Razali kerana ia merupakan satu amalan yang amat baik. Tetapi bukan satu kursus yang baharu kerana ia akan menjadi bebanan kepada mahasiswa malah terdapat kemungkinan mereka tidak akan mengikuti kursus tersebut.

"Sebaliknya, modul itu perlu diterapkan dalam kursus sedia ada seperti Kursus Hubungan Etnik dan Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS)," katanya.

Sementara itu, Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar menyokong pewujudan modul tersebut.

Jelasnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mewujudkan modul terbaik yang pada masa sama tidak membebankan mahasiswa.

"Bagaimanapun, SPRM hendaklah mencari jalan dan strategi sistematik supaya ia dapat diterima mahasiswa.

"Sudah tentu modul anti rasuah ini begitu penting sekiranya kita wujud di IPT memandangkan golongan mahasiswa berdepan masalah integriti," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Tegasnya, penuntut universiti awam perlu menyedari dan mengetahui erti sebenar rasuah, integriti, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Bagaimanapun, Akhbar berkata pendidikan anti rasuah perlu diterapkan sebagai pendidikan awal kanak-kanak terutama dalam institusi kekeluargaan.

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/belanja-makan-sebab-tandatangan-kehadiran-di-ipt-adalah-rasuah-160241#.WgjdG4WtsmY.facebook

SPRM pelindung, benteng terakhir masyarakat: Pairin

KENINGAU – Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan pelindung dan benteng terakhir masyarakat dalam memastikan negara ini benar-benar bebas daripada cengkaman rasuah dan salah guna kuasa.
Justeru, katanya, masyarakat harus memberi sokongan padu kepada usaha SPRM memerangi gejala tidak bermoral itu serta  bersedia menjadi mata dan telinga agensi itu dalam melaporkan kegiatan jenayah rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku di kawasan masing-masing.

“Sokongan anda adalah sangat penting,” katanya ketika berucap merasmikan Program Ziarah Kasih SPRM Siri 4/2017 di sini hari ini.

Sambil memuji program Ziarah Kasih cetusan idea Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad itu, Pairin berkata aktiviti kemasyarakatan itu merupakan satu inisiatif luar biasa yang perlu dicontohi ketua-ketua jabatan sama ada di peringkat persekutuan atau negeri.

Katanya, pendekatan berbentuk program kemasyarakatan itu membuktikan bahawa pegawai-pegawai agensi itu begitu bersungguh-sungguh untuk mendekati rakyat dalam usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

“SPRM sentiasa dilihat begitu dekat di hati masyarakat … melalui program yang dianjurkan membuktikan badan itu bukanlah sebuah agensi yang menakutkan,” katanya.

Pairin, Anggota Parlimen Keningau berkata, SPRM di bawah kepimpinan Dzulkifli dilihat sebagai sebuah agensi pencegahan yang proaktif dalam mengendalikan kes-kes berprofil tinggi sehingga digeruni serta menjadi igauan serta mimpi ngeri kepada kesemua perasuah di negara ini.

“… Saya mendoakan agar SPRM dan seluruh anggotanya diberikan kekuatan mental dan fizikal dalam mengharungi liku-liku cabaran dan dugaan sepanjang menjalankan tugas,” katanya.

Program siri keempat dan merupakan yang pertama dilaksanakan di Sabah itu menggamit kehadiran  ramai pengunjung dan disifatkan Pairin sebagai manifestasi sokongan rakyat kawasan pedalaman kepada SPRM untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/sprm-pelindung-benteng-terakhir-masyarakat-pairin-1.756297#.WgjaSWRFe3U.facebook

Saturday, November 11, 2017

SPRM dapati keinginan mahasiswa terlibat rasuah membimbangkan

KOTA KINABALU 11 Nov. - Kaji selidik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap 1,000 mahasiswa pada tahun lalu mendapati 16 peratus daripadanya mahu menerima rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, dapatan tersebut amat membimbangkan lebih-lebih lagi 18.5 peratus daripadanya turut menyatakan keinginan menerima rasuah jika tidak diambil tindakan.

Sehubungan itu katanya, program penerapan nilai-nilai murni menolak rasuah perlu dilaksanakan bagi memastikan golongan tersebut yang merupakan pemimpin masa depan tidak terjebak dengan gejala berkenaan.

"Mengikut hasil kajian ini agak membimbangkan, oleh itu kita akan teruskan program untuk mendekati para mahasiswa.

“Kita lihat perkara ini membimbangkan juga sebab itu kita fokus program SPRM bersama mahasiswa, pada tahun hadapan kita akan menjalankan program bersama pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah sebab kita mahu amalan menolak rasuah sebati dari peringkat awal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap dalam program Perhimpunan Mahasiswa Anak Muda Memerangi Rasuah dan Salah Guna Kuasa 2.0 Borneo (Pemarah) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

https://www.utusan.com.my/mobile/berita/terkini/sprm-dapati-keinginan-mahasiswa-terlibat-rasuah-membimbangkan-1.550327