PUTRAJAYA, 10 Julai 2018: Hampir 160 Ahli Parlimen dan Anggota Pentadbiran Kerajaan mengikuti program sehari Taklimat Governans, Integriti dan Antirasuah, di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini. Program khusus bagi Anggota Pentadbiran Kerajaan dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan ini adalah julung kali diadakan dan mengumpulkan hampir kesemua Ahli Parlimen dalam Pakatan Harapan.
Ini merupakan julung kali taklimat ini diadakan sejak Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan perutusan khas manakala Ketua Pengarah GIACC, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkongsi mengenai peranan dan fungsi GIACC. Selain itu sebanyak lima pembentangan yang berkaitan dengan pengisytiharan harta, penerimaan hadiah, pengurusan dan pentadbiran peruntukan Ahli-Ahli Parlimen, dan kesalahan-kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan kesalahan-kesalahan lazim dilakukan oleh anggota pentadbiran dan ahli-ahli Parlimen turut disampaikan.
GIACC menganjurkan sesi taklimat selari dengan hasrat Kerajaan pimpinan YAB Tun Dr Mahathir yang beriltizam mahu melahirkan pentadbiran dan negara bebas rasuah.
Oleh itu, taklimat ini diadakan bagi memberi pendedahan mengenai pelbagai aspek berkaitan dengan rasuah dan usaha pencegahan. Adalah diharapkan setelah menghadiri program taklimat ini Anggota Pentadbiran Kerajaan dan Ahli-Ahli Parlimen akan lebih komited dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab tanpa terjebak dalam kancah rasuah serta komited untuk menjayakan agenda antirasuah nasional yang bermatlamatkan “negara dikenali kerana integritinya dan bukan kerana rasuahnya”.
Dalam amanatnya, YAB Tun Dr Mahathir melahirkan harapan agar tiada seorang pun dari kalangan Ahli-Ahli Yang Berhormat akan terlibat dalam penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah.
"Kita harus mempamerkan diri sebagai pemimpin yang berwibawa, amanah, berintegriti dan tidak bertoleransi dengan jenayah rasuah," kata beliau yang turut berpesan kepada semua Ahli Yang Berhormat agar tidak sekali-kali menggadai maruah negara dan memastikan pelaksanaan tugas bersandarkan kepada profesionalisme dan menghindari jenayah rasuah.
Oleh itu tegas beliau, wakil rakyat yang dipilih berkewajipan untuk melaksanakan mandat secara jujur, ikhas dan dengan penuh integriti demi membangunkan negara dan kesejahteraan rakyat.
"Setiap kita perlu mendokong agenda antirasuah nasional dan merealisasikan agenda membebaskan negara daripada isu rasuah," tambah YAB Tun Dr Mahathir.
YAB Perdana Menteri juga menegaskan setiap Ahli Parlimen hendaklah mempamerkan ciri-ciri amanah, integriti dan mesra rakyat (people friendly) dengan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
"Kita perlu memberi perhatian kepada janji-janji semasa pilihan raya dan berusaha untuk melaksanakan semua aku janji berkenaan. Untuk makluman, 21 daripada 60 janji atau 35% (dalam manifesto Pakatan Harapan) adalah berkaitan governans, integriti, antirasuah dan hak asasi manusia.
"Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) telah merangka dan akan menyelaras pelaksanaan kesemua 21 aku janji berkaitan. Aku janji yang dijanjikan pelaksanaannya dalam tempoh 100 hari memegang kuasa mesti dilaksanakan sebagaimana janji," kata beliau.
Program ini juga akan diadakan bagi Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri selepas ini.
DIKELUARKAN OLEH:
PUSAT GOVERNANS, INTEGRITI DAN ANTI RASUAH NASIONAL (GIACC)
PUTRAJAYA
10 JULAI 2018