SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakar sejarah apabila berjaya memenangi dua daripada 13 anugerah Sijil Pengiktirafan Pelaksanaan Cemerlang ICT Agensi, hari ini.
Dua anugerah itu ialah Excellence In Analytic Business Operation Award dan Excellence In Analytic Employee Innovation Award.
Bagi SPRM, yang menyambut Ulang Tahun Kelahiran Ke-48 BPR/SPRM pada 1 Oktober 2015, penganugerahan ini dilihat sebagai satu perkembangan positif yang menyuntik semangat warga kerja SPRM.
SPRM dipilih menerusi penyertaan dalam Kaji Selidik Pelaksanaan ICT Sektor Awam, yang memfokus bidang analisis, data, strategi analisis, data dan taktik analisis, penerimaan mobiliti, penggunaan media sosial dan infrastruktur bestari, anjuran Malaysian Development Corporation (MDeC) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).
MAMPU telah memilih OpenGov Asia menguruskan proses pencalonan dan pemilihan. Kali pertama anugerah ini diperkenalkan dan difahamkan lebih 100 agensi di Malaysia telah dinilai.
Anugerah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa pada majlis penyampaian anugerah yang diadakan sempena Forum dan Wadah Perkhidmatan Digital Kerajaan di Menara Seri Wilayah, Putrajaya, hari ini.
Bagi pihak SPRM, angerah diterima oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato' Mohamad Jamidan Abdullah.
Mengulas mengenai kejayaan ini, Dato' Mohamad Jamidan berkata, SPRM berbangga dengan pencapaian ini, yang merupakan hasil gandingan setiap warga kerja SPRM khususnya Bahagian Pengurusan Rekod dan Teknologi Maklumat (BPRTM).
Katanya, penerimaan anugerah ini menunjukkan bahawa siri inisiatif yang diambil sejak pelaksanaan Program Transformasi secara holistik sudah mula membawa hasil dan diiktiraf.
"Sistem ICT sentiasa dibangunkan secara dalaman berdasarkan sumber yang ada serta mempraktikkan pendekatan baharu dalam usaha melancarkan kerja khususnya bidang operasi di SPRM.
"Diharapkan pencapaian hari ini memberi motivasi kepada pegawai SPRM supaya lebih berinovatif dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat sejajar dengan Program Transformasi SPRM 2009," kata beliau.
Dalam pada itu, Pengarah BPRTM, KPKPj Nor Azmi Karim yang turut hadir pada majlis penganugerahan berkata, selari dengan Program Transformasi, pelbagai inisiatif telah dan sedang diambil bagi memastikan pembangunan sistem di SPRM akan terus menjadi komponen penting dalam menyokong transformasi, di samping mewujudkan aplikasi mesra pengguna, persekitaran mesra alam serta jaminan keselamatan ke atas data SPRM .
"ICT adalah antara bidang utama yang dipandang serius oleh Pengurusan Tertinggi SPRM dan khususnya melibatkan pembangunan aplikasi teras SPRM bagi memastikan fungsi SPRM dapat dilaksanakan dengan sistematik, efektif dan efisien serta telus agar perkhidmatan yang cemerlang dapat diberikan bagi memenuhi keperluan 'stakeholder' dan rakyat.
"Antara inisiatif terbaru yang sedang dilaksanakan ialah pembangunan Corruption Intelligence System (CIS), Exhibits Management System dan Sistem Pengurusan Saksi yang mampu meningkatkan pengurusan operasi SPRM serta keyakinan masyarakat terhadap SPRM," katanya.
Jelasnya, konsep 'big data' yang diguna pakai dalam pembangunan CIS turut memberi ruang kepada SPRM untuk memanfaatkan sepenuhnya teknologi sedia ada, di samping menguji tahap kemampuan aplikasi-aplikasi teras yang sedang digunakan SPRM.
Tambah beliau, komitmen warga SPRM terutamanya pegawai dari Cawangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (CTMK) dan Cawangan Aplikasi Rekod (CARe) BPRTM adalah nadi yang akan menentukan kesemua sistem yang terdapat di SPRM berjalan dengan lancar mengikut tahap perkhidmatan yang telah ditetapkan.
"Sistem-sistem utama dan sokongan yang lain seperti, Corruption Reporting System (CRIS), Complaint Management System (CMS), Sistem Tapisan Keutuhan (eSTK), e-Diary, MACCDrive, MACCDoor, dan Sistem Pengurusan Kenderaan Jabatan (SPKJ) juga telah dibangunkan bagi melancarkan lagi tugas-tugas hakiki di SPRM serta memastikan operasi berada di tahap yang optimum.
"Pada masa yang sama, SPRM juga telah berjaya menaik taraf dan mengekalkan Pensijilan Standard ISO/IEC27001:2013 Information Security Management System (ISMS) selama tiga tahun berturut-turut," ujarnya.
Katanya lagi, skop pensijilan bertaraf antarabangsa tersebut telah diperluaskan daripada Pusat Data sehingga kepada Portal SPRM termasuk Laman Pencegahan SPRM.
Jelasnya, pencapaian ICT SPRM juga tidak terhad kepada pembangunan sistem, malah portal SPRM telah dianugerahkan penarafan lima bintang pada tahun 2015 oleh MDeC dan MAMPU.
"Sebelum ini, SPRM turut mendapat penarafan lima bintang ke atas portal/laman web agensi kerajaan yang mana penarafan tersebut diberi oleh MAMPU dan NDEC," katanya.
Tambah beliau, "baru-baru ini juga, Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) SPRM yang diwakili oleh BPRTM telah mendapat tempat kedua bagi Kategori Teknikal pada Konvesnyen KIK JPM 2015 melalui penggunaan sistem e-Diary."
Nor Azmi juga berkata, “kejayaan demi kejayaan yang dilakar SPRM adalah hasil daripada kepercayaan berterusan Pengurusan Tertinggi SPRM ke atas pembangunan sistem ICT oleh BPRTM dalam menyokong keperluan operasi dan kehendak 'stakeholder' dan masyarakat."
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
8 OKTOBER 2015
No comments:
Post a Comment