Thursday, December 15, 2016

Rasuah: SPRM sita aset hampir RM190 juta


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita dan membekukan aset berjumlah RM185,962,819 dari 2014 hingga November lalu, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, aset RM157,314,532 disita sepanjang tahun ini manakala RM9,331,769 tahun lepas dan RM19,316,518 pada 2014.

"Penyitaan harta ini dibuat bagi membantu siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA)," katanya semasa menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata, lima kes rasuah didakwa di bawah AMLA tahun ini, lapan kes pada tahun lepas dan satu kes pada 2014.

Razali berkata, dari Januari hingga November tahun ini, SPRM membuka 95 kertas siasatan kes rasuah melibatkan penjawat awam, swasta dan orang perseorangan membabitkan projek pembangunan kerajaan.

Beliau berkata, SPRM komited dalam melaksanakan tanggungjawab dan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa, sebagaimana tertakluk di bawah perundangan sedia ada.

Komitmen Banteras Rasuah


Merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia, izin dan inayah-Nya di atas peluang dan kesempatan untuk berkumpul bersama-sama pada hari ini bagi meraikan Hari Antirasuah Antarabangsa 2016 di peringkat nasional yang bertemakan ‘Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah’ atau ‘United Against Corruption’.

Selaku penganjur, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi tinggi penghargaan kepada sidang hadirin sekalian kerana turut hadir pada pagi ini untuk bersama-sama SPRM bagi memeriahkan lagi Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa bagi tahun 2016.

Kehadiran hadirin merupakan terjemahan kepada sokongan, harapan dan komitmen berterusan rakyat Malaysia untuk terus berusaha bersama-sama bagi menjadikan negara kita bersih dan bebas daripada belenggu jenayah rasuah.

Mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan syabas kepada Bahagian Pendidikan Masyarakat, Ibu Pejabat SPRM dengan kerjasama pihak Mara dan Prasarana serta rakan-rakan strategik SPRM yang lain di atas inisiatif dan ke­sungguhan menganjurkan program sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa 2016 hari ini yang dijangkakan akan berterusan sehingga esok.

Hari Antirasuah Antarabangsa
Untuk makluman hadirin, pada 31 Oktober 2003, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menetapkan tarikh 9 Disember ini sebagai Hari Antirasuah Antarabangsa atau ‘International Anti-Corruption Day’.

Hari ini disambut khusus untuk meningkatkan kesedaran masyarakat akan bahaya rasuah serta keperluan usaha sama antarabangsa bagi menangani masalah ini.

Bagi kita di Malaysia, Hari Antirasuah Antarabangsa ini juga merupakan medan bagi kita menzahirkan ketegasan kita dalam menolak sebarang penularan dan percambahan gejala rasuah daripada meracuni masyarakat dan rakyat negara ini.

Di Malaysia, tahun 2016 ini menyaksikan sedikit keistimewaan yang mana kempen sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa ini akan dibuat secara serentak di seluruh negara pada hari yang sama iaitu hari ini dengan ‘Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah’ menjadi tema kepada sambutan tersebut.

Bagi menyemarakkan dan memeriahkan lagi sambutan Ha­ri Antirasuah Antarabangsa ini maka pelbagai aktiviti akan diadakan sepanjang dua hari ini di dua lokasi iaitu di sini, Hotel Primiera dan di Busana@Menara Mara, Kuala Lumpur. Paling menarik, pada hari esok SPRM bersama rakan strategik dan pelajar berjumlah lebih 300 orang akan turun padang bagi menyebarkan mesej benci rasuah kepada masyarakat.

Aktiviti yang diberi nama ‘walk-about’ SPRM ini bertujuan mendekatkan masyarakat de­ngan usaha mencegah rasuah yang dilaksanakan SPRM.

Usaha SPRM ini di samping usaha-usaha berterusan pendi­dikan masyarakat berkonsepkan ‘SPRM mesra rakyat’ yang lain, bukan sahaja menunjukkan ko­mitmen SPRM dalam mendi­dik masyarakat tetapi yang lebih penting merupakan bukti komitmen negara dalam menangani masalah rasuah secara keseluruhannya.


Usaha-Usaha Lain SPRM Di Sudut Penguatkuasaan
Hari Antirasuah Antarabangsa ini juga merupakan suatu ruang yang sesuai bagi kita merenung dan mengimbas kembali beberapa strategi dan perancangan baru yang telah direncanakan oleh SPRM sejak Ogos 2016 yang lalu.

Antaranya kita di SPRM telah menetapkan sasaran untuk memastikan (dalam tempoh tiga (3) tahun) sektor-sektor kritikal negara seperti:

Perkhidmatan awam khususnya agensi-agensi penguatkuasaan, badan-badan pengawal dan pihak berkuasa tempatan serta negeri.

Syarikat yang berkaitan dengan kerajaan (GLC).

Sektor swasta, institusi kewangan dan perbankan bersih dan bebas daripada amalan rasuah.

Bagi memastikan sasaran yang digariskan ini tercapai maka fokus dan penekanan turut diberikan kepada pendekatan terhadap tindakan-tindakan merampas semula kesemua harta dan hasil rasuah. Hal ini perlu bagi memastikan hasil rasuah atau ‘proceeds of corruption’ ini dapat dikembalikan semula sebagai hasil negara dan secara tidak langsung melumpuhkan secara keseluruhannya motivasi atau punca kepada berlakunya perilaku jenayah rasuah ini.

Melalui strategi-strategi yang direncana ini maka tindakan operasi serta penguatkuasaan me­merangi rasuah ini telah dilipat gandakan dengan lebih agresif oleh SPRM sejak Ogos 2016 yang lalu. Kerancakan operasi-operasi penguatkuasaan yang dijalankan semenjak hampir beberapa bulan yang lalu kini memaparkan hasil yang begitu luar biasa, positif dan membanggakan.

Melalui tindakan-tindakan yang agresif di sudut pelaksa­naan operasi dan penguatkuasaan serta penganjuran berterusan aktiviti-aktiviti pendidikan masyarakat, maka hasrat SPRM untuk menjadi sebuah agensi yang ‘digeruni perasuah’ pada masa yang sama ‘mesra rakyat’ dilihat semakin dirasai dan di­resapi oleh masyarakat. Sokongan dan keinginan rakyat untuk berdiri bergandingan bahu bersama SPRM dalam perjuangan memerangi rasuah bertambah dan meningkat.

Harapan SPRM
Adalah diharapkan agar momentum kejayaan SPRM dari sudut operasi dan penguatkuasaan yang dicapai kini akan terus berkekalan dan segala usaha serta inisiatif SPRM mendekati rakyat melalui program-program masyarakatnya akan terus berjaya meraih kepercayaan, keyakinan serta sokongan rakyat yang berterusan.

Sungguhpun kedengaran suara-suara sinis baru-baru ini yang begitu skeptikal dalam menidakkan sokongan rakyat terhadap usaha-usaha yang dijalankan oleh SPRM, namun seluruh warga SPRM di bawah pimpinan saya dan barisan kepimpinan yang baharu akan terus kekal ampuh untuk maju ke medan perjuangan bagi mendepani sebarang bentuk kritikan dan cabaran.

Saya yakin dalam keikhlasan menjalankan tanggungjawab dan tugas ini segala inisiatif yang dijalankan oleh SPRM demi rakyat dan negara akan dapat memperbaiki dan melonjak persepsi indeks rasuah atau corruption perception index (CPI) Malaysia di masa yang akan datang.

Semenjak tahun 2009, kita amat menginginkan Malaysia berada di bawah 50 kelompok negara-negara terbaik di dalam kedudukan CPI yang dikeluarkan. Saban tahun kita masih menunggu untuk hasrat ini menjadi realiti. Insya-Allah, melalui segala perencanaan baru yang telah kita jalankan semenjak Ogos 2016, SPRM optimis dan berharap agar impian ini akan menjadi kenyataan.

Penutup dan Penghargaan Kepada Rakan Strategik
Di akhir ini, mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada ke semua rakan strategik SPRM yang telah bersama-sama memberikan sokongan dalam menjayakan program ini.

Ucapan penghargaan tidak terhingga terutamanya kepada pengurusan tertinggi Mara, syarikat Prasarana Berhad, Sekretariat Pencegahan Rasuah, Institut Pendidikan Mara, Yayasan Antirasuah Malaysia dan Transparency International-Malaysia.

Sesungguhnya, amanah SPRM ini amat berat dan hanya mampu disempurnakan dengan kerjasama seluruh rakyat Malaysia.

Marilah sama-sama berdoa agar Allah SWT sentiasa memberi kita petunjuk dan jalan agar segala usaha dan kerja-kerja yang ingin kita laksanakan dipermudahkan dan akan sentiasa diiringi rahmat dan berkat daripada-Nya, insya-Allah.


UCAPAN alu-aluan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad ketika Persidangan Hari Antirasuah Antarabangsa 2016 Peringkat Nasional di Hotel Premiera, Kuala Lumpur.

Gejala rasuah libatkan 
belia serius


Gejala rasuah melibatkan belia di negara ini berada pada tahap membimbangkan apabila 54 peratus daripada 5,799 individu yang ditahan atas jenayah itu sejak 2003 hingga 2013 me­rupakan golongan berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, berdasarkan statistik dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 2013 sehingga Oktober tahun ini, daripada 1,092 individu yang ditahan SPRM, seramai 1,045 orang melibatkan mereka berusia 40 tahun ke bawah.

“Sehubungan itu, semua pihak harus menjadikan usaha memerangi rasuah sebagai satu jihad iaitu semua lapisan masyarakat harus diasuh de­ngan budaya benci rasuah demi membina sebuah negara dan bangsa yang sifar rasuah,” katanya

Nancy berkata, usaha SPRM mendekati rakyat terutama golongan muda dalam menentang rasuah dan salah guna kuasa amat bertepatan agar mereka selaku pewaris negara dapat dididik menjadi modal insan yang bermaruah, berintegriti dan berkeyakinan.

Menurutnya, rasuah memusnahkan niat murni perjuangan kerajaan untuk membantu rakyat dan menggagalkan pelaksanaan dasar yang telah dirancang rapi, justeru demi rakyat dan masa depan negara, semua pihak tidak boleh berkompromi dalam usaha membasmi rasuah.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata, di Sarawak komitmen Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem menjadi kebanggaan apabila menjadikan negeri ini yang pertama menandatangani ikrar integriti melibatkan anggota Kabinet negeri dan Setiausaha Politik.

"Inisiatif ini secara tidak langsung meningkatkan keyakinan rakyat terhadap ketelusan jentera pentadbiran kerajaan negeri di semua peringkat," katanya.


Nancy turut berbangga dengan kejayaan demi kejayaan dicapai SPRM dalam menahan individu yang terlibat rasuah termasuk kejayaan terbesar membabitkan penyelewengan dalam Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) pada 4 dan 20 Oktober lalu yang kini memasuki fasa terakhir siasatan.

Bekas CEO nafi pecah amanah


Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat pasir dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan pecah amanah harta syarikat dan melakukan pemindahan wang hasil aktiviti haram antara November 2014 sehingga Mac 2015.

Rizam Sahar, 36, mengaku tidak bersalah selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Dalam pertuduhan pertama, Rizam didakwa memindahkan wang berjumlah RM105,000 daripada akaun bank miliknya melalui dua keping cek ke dalam akaun Public Bank RS Star Contractor & Construction Sdn Bhd hasil aktiviti haram.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Public Islamic Bank (M) Bhd cawangan Ulu Tiram di Taman Tiram Baru, dekat sini antara 29 Disember 2014 hingga 2 Februari 2015.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, Rizam didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta iaitu wang sejumlah RM1,249,286 hasil royalti pengeluaran pasir milik Syarikat Dinamik Gabungan Wilayah JB Sdn Bhd melalui akaun Public Bank di lokasi sama antara November 2014 hingga Mac 2015.

Tertuduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khazrin Hafiz Halil, manakala tertuduh diwakili peguam, R Subash.

Hakim menetapkan jaminan RM50,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin manakala pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.


Kes akan disebut semula 1 Februari depan.

Wednesday, December 14, 2016

Rasuah, pecah amanah punca kejatuhan tamadun



Sultan Perak Sultan Nazrin Shah melahirkan kebimbangan dengan gejala rasuah dan pecah amanah yang dilakukan secara terbuka oleh golongan berjawatan dan berpendidikan tinggi.

Baginda bertitah berdasarkan laporan media, perlakuan rasuah dan pecah amanah kini bukan sahaja berlaku secara berleluasa, malah pada skala yang sangat besar.

Titah Sultan Nazrin sejarah menunjukkan perbuatan pecah amanah dan rasuah, penggunaan kuasa secara rakus oleh manusia adalah faktor menyebabkan kejatuhan banyak kerajaan dan keruntuhan sesuatu tamadun.

"Dalam sejarah kerajaan Islam, ramai kalangan pemimpin Bani Umaiyah dan Bani Abas lupa kepada amanah Ilahi kerana terlalu asyik menikmati kemewahan dunia, lalu sanggup menggunakan kekayaan untuk mengekalkan kuasa.

"Apabila kuasa dianggap satu peluang memenuhi kepentingan diri dan bukan satu amanah, maka rosaklah tataurusan pemerintahan yang akhirnya berkesudahan dengan kejatuhan sesebuah kerajaan dan keruntuhan sesuatu tamadun," titah baginda.

Baginda bertitah harta yang diperoleh dengan cara yang tidak dibenarkan oleh syarak merupakan satu bentuk penganiayaan dan kezaliman terhadap orang yang berhak.

"Begitu juga apabila seseorang menguasai harta orang lain dengan cara mengupah saksi-saksi palsu atau memberi suapan kepada hakim dengan tujuan keputusan memihak kepadanya dan harta-harta itu jatuh ke tangannya," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah dalam menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul, umat Islam perlu menjadikan sunnah-sunnah Nabi Muhammad SAW sebagai panduan dan pegangan terutama dalam usaha mencari formula menangani situasi semasa.

"Janganlah kita mengizinkan diri untuk kembali ke era kejahilan setelah disinarkan dengan petunjuk dan hidayah.


"Semoga dengan mendalami sejarah dan perjalanan hidup Rasulullah, ummah akan memiliki kekuatan untuk memupuk akhlak al-Amin, agar umat Islam menjadi umat yang paling beramanah," titah Sultan Nazrin.

Sehati sejiwa bersama SPRM perangi rasuah


Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, Noor Mohamad Shakil Hameed mengulas mengenai tanggungjawab sosial dan juga moral setiap warganegara yang mahukan negara ini bebas daripada rasuah dan penyelewengan.

Katanya, beliau percaya ramai dalam kalangan masyarakat tahu atau terdedah kepada maklumat tentang amalan rasuah di sesebuah jabatan namun memilih untuk memejamkan mata dan memekakkan telinga.

Jelas beliau, usaha mencegah rasuah perlu lebih fokus kepada kumpulan sasaran dengan mengutamanakan elemen ilmu dan pendidikan.


Tambah beliau, jika semua pihak dapat melaksanakan peranan masing-masing di setiap peringkat kehidupan iaitu sejak lahir hingga masuk kea lam pekerjaan yang kemudian disusuli dengan inisiatif dari pihak penguasa, beliau yakin impian untuk menjadikan negara bebas rasuah tidak mustahil dicapai.

Sunday, December 11, 2016

Malaysia bebas rasuah 3 tahun lagi



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sasar negara bebas rasuah dalam tiga tahun akan datang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, berkata pihaknya akan berusaha untuk merealisasikan sasaran berkenaan dengan kerjasama pelbagai pihak.

"Usaha untuk memerangi rasuah bukan hak eksklusif SPRM saja sebaliknya membabitkan semua lapisan masyarakat dan pihak berkaitan.


"Masyarakat perlu membenci rasuah, menolak rasuah dan bersama-sama memerangi rasuah. Kita juga berharap rakyat negara ini menyokong usaha SPRM," katanya.

Friday, December 9, 2016

HARA Mesra Rakyat

Tahniah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana berjaya menganjurkan Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2016 bagi meningkatkan kesedaran masyarakat akan bahaya rasuah serta keperluan usaha sama antarabangsa bagi menangani permasalahan tersebut hari ini.

Menurut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad, Hari Anti Rasuah Antarabangsa ini merupakan medan bagi kita menzahirkan ketegasan dalam menolak sebarang penularan dan percambahan gejala rasuah dalam kalangan rakyat.

“Fokus dalam menangani gejala ini, Hari Anti Rasuah Antarabangsa dibuat serentak di seluruh negara, dengan tema Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah”, katanya.

Beliau menjelaskan, pelbagai aktiviti diadakan sepanjang dua hari penganjuran acara di dua lokasi iaitu Hotel Premiera dan Busana@Menara MARA, Kuala Lumpur.

Antara acara yang diadakan adalah seperti Walk-About SPRM bersama rakan strategik dan pelajar sebagai pendekatan turun padang bagi menyebarkan mesej benci rasuah kepada masyarakat.

“Diharapkan agar momentum kejayaan SPRM dari sudut operasi dan penguatkuasaan yang dicapai kini akan terus berkekalan dan segala usaha serta inisiatif SPRM mendekati rakyat melalui program-program masyarakatnya akan terus berjaya meraih kepercayaan dan sokongan rakyat yang berterusan”.

9 Disember dipilih sebagai Hari Rasuah Antarabangsa oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya rasuah serta keperluan usaha sama antarabangsa bagi menangani masalah itu.


Syabas SPRM.

Monday, December 5, 2016

SPRM proaktif perangi gejala rasuah dengan perkasa aktiviti masyarakat


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa bertindak proaktif dalam usaha memerangi gejala rasuah dengan memperkasakan aktiviti mesra rakyat dan mendekati pelbagai golongan masyarakat di negara ini.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Abdul Samat Kasah berkata suruhanjaya itu berperanan sebagai ‘payung’ kepada masyarakat dengan memberi pengetahuan mengenai jenayah itu secara komprehensif dan holistik bagi menjamin persekitaran yang lebih selesa dan kondusif.

Sehubungan itu, masyarakat perlu berganding bahu bersama-sama SPRM untuk membanteras jenayah itu bagi memastikan negara bebas daripada ancaman rasuah yang boleh menjejaskan imej negara.

“Dalam meniti perkembangan pesat dunia tanpa sempadan, mekanisme pencegahan rasuah turut melalui fasa perubahan. Kita tidak lagi hanya menunggu masyarakat menyalurkan maklumat atau datang membuat aduan kepada SPRM, sebaliknya kita turun padang bagi mendekati masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Mesra Rakyat ‘Melaka Car Free Zone’ di Bandar Hilir, di sini semalam yang turut dihadiri Pengarah SPRM Melaka Datuk Azmi Alias.

Pelbagai aktiviti diadakan sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa yang akan diadakan pada Jumaat depan (9 Disember) di sini berkonsepkan penjagaan kesihatan termasuk elemen pencegahan rasuah yang masyarakat berperanan sebagai mata dan telinga SPRM.

Abdul Samat berkata kerjasama, sokongan padu dan komitmen berterusan daripada masyarakat terhadap SPRM amat diharapkan dalam usaha memerangi jenayah rasuah di negara ini kerana membanteras gejala itu bukan sahaja terletak di bahu SPRM, bahkan ia merupakan tanggungjawab bersama.

“Oleh itu platform seumpama ini (mendekati rakyat) merupakan medium yang efektif kepada SPRM dalam memegang teraju pencegahan rasuah yang berkonsepkan mesra rakyat,” katanya.


Beliau berkata pelbagai inisiatif dan pendekatan perlu dirangka secara terancang dan komprehensif bagi memastikan SPRM sebagai organisasi yang mesra dan membela rakyat, namun dalam masa yang sama digeruni oleh perasuah.

Siasatan SPRM peringkat akhir


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini memasuki fasa terakhir siasatan kes rasuah dan penyelewengan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata, pihaknya menjangka menyiapkan kertas siasatan dalam tempoh terdekat sebelum menghantarnya kepada Jabatan Peguam Negara.

Menurutnya, sepanjang proses siasatan, SPRM menahan reman 28 orang termasuk bekas Pengarah, dua bekas Timbalan Pengarah, 23 jurutera dan juruteknik serta dua orang awam yang mempunyai kaitan dengan kes itu.

SPRM juga merakam percakapan lebih 200 saksi bagi membantu siasatan manakala, sitaan dan rampasan dokumen membabitkan 30 lokasi di daerah di Sabah termasuk Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan dan Lahad Datu.


"SPRM mengambil tempoh sebulan untuk melakukan analisis terhadap 8,000 baucar pembayaran mulai tahun 2008 hingga 2016 yang diekstrak daripada fail mengandungi puluhan ribu dokumen membabitkan tuntutan pembayaran keseluruhan jabatan kerajaan negeri Sabah," katanya