Thursday, December 15, 2016

Gejala rasuah libatkan 
belia serius


Gejala rasuah melibatkan belia di negara ini berada pada tahap membimbangkan apabila 54 peratus daripada 5,799 individu yang ditahan atas jenayah itu sejak 2003 hingga 2013 me­rupakan golongan berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, berdasarkan statistik dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 2013 sehingga Oktober tahun ini, daripada 1,092 individu yang ditahan SPRM, seramai 1,045 orang melibatkan mereka berusia 40 tahun ke bawah.

“Sehubungan itu, semua pihak harus menjadikan usaha memerangi rasuah sebagai satu jihad iaitu semua lapisan masyarakat harus diasuh de­ngan budaya benci rasuah demi membina sebuah negara dan bangsa yang sifar rasuah,” katanya

Nancy berkata, usaha SPRM mendekati rakyat terutama golongan muda dalam menentang rasuah dan salah guna kuasa amat bertepatan agar mereka selaku pewaris negara dapat dididik menjadi modal insan yang bermaruah, berintegriti dan berkeyakinan.

Menurutnya, rasuah memusnahkan niat murni perjuangan kerajaan untuk membantu rakyat dan menggagalkan pelaksanaan dasar yang telah dirancang rapi, justeru demi rakyat dan masa depan negara, semua pihak tidak boleh berkompromi dalam usaha membasmi rasuah.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata, di Sarawak komitmen Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem menjadi kebanggaan apabila menjadikan negeri ini yang pertama menandatangani ikrar integriti melibatkan anggota Kabinet negeri dan Setiausaha Politik.

"Inisiatif ini secara tidak langsung meningkatkan keyakinan rakyat terhadap ketelusan jentera pentadbiran kerajaan negeri di semua peringkat," katanya.


Nancy turut berbangga dengan kejayaan demi kejayaan dicapai SPRM dalam menahan individu yang terlibat rasuah termasuk kejayaan terbesar membabitkan penyelewengan dalam Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) pada 4 dan 20 Oktober lalu yang kini memasuki fasa terakhir siasatan.

No comments:

Post a Comment