Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan tiga individu termasuk seorang wanita kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan menyamar sebagai pegawai SPRM yang kononnya boleh menutup kes berkaitan rasuah dan penggubahan wang haram.
Tangkapan tersebut dilakukan dalam dua operasi berasingan di Sepang dan Melaka pada hari ini dan semalam.
Menurut sumber, dalam tangkapan pertama di KLIA2,Sepang kira-kira jam 3 petang semalam, ia melibatkan dua lelaki masing-masing berusia 49 dan 61 tahun.
Suspek dipercayai cuba memperdaya seorang lelaki menerusi panggilan telefon yang kononnya mangsa disiasat SPRM kerana dipercayai terlibat dalam kesalahan di bawah Seksyen AMLA dan meminta bayaran sebanyak RM20,000 bagi menutup kes itu.
SPRM telah merampas wang tunai berjumlah RM10,000 dan tiga telefon bimbit yang ditemui bersama-sama suspek.
Dalam tangkapan kedua di Alor Gajah, Melaka kira-kira jam 1.30 pagi hari ini, SPRM telah menahan seorang wanita berusia 36 tahun yang menyamar sebagai pegawai SPRM bertugas di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan cuba memperdaya beberapa individu bagi tujuan meminta wang sogokan.
Sumber berkata, wanita yang merupakan ibu tunggal kepada lima orang anak ini telah menghubungi beberapa orang individu dan mendakwa kononnya SPRM telah membuka kr tas siasatan atas nama mereka.
Dia mendakwa boleh membantu mangsa menyelesaikan kes-kes tersebut dengan membayar sejumlah wang antara RM5,000 ke RM20,000 untuk diberikan kepada beberapa orang pegawai tertinggi SPRM sebagai balasan bagi menutup kes-kes tersebut.
Namun berdasarkan beberapa tindakan yang diambil oleh mangsa menunjukkan bahawa wanita ini bukanlah pegawai SPRM dan fail-fail atau kertas siasatan yang kononnya dibuka atas individu-individu terbabit, adalah rekaan semata-mata dan tidak benar.
Malah dakwaan bahawa wang rasuah diminta oleh pihak pengurusan tertinggi SPRM bagi menutup kes dan kertas siasatan tersebut juga adalah tidak benar.
Sumber berkata, wanita tersebut menjadikan pegawai-pegawai yang memegang jawatan penting dalam jabatan kerajaan di seluruh negara sebagai mangsa dan mendapatkan maklumat berkaitan rasuah menerusi media termasuk media sosial.
SPRM juga kini sedang mengesan seorang lagi rakan jenayah suspek yang dipercayai telah melarikan diri.
Wanita yang bekerja sendiri ini juga mempunyai rekod jenayah lampau mengikut kesalahan dan masih dibicarakan serta disenarai hitamkan oleh polis.
Kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman dan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman telah membenarkan kedua-dua suspek lelaki direman selama lima hari manakala suspek wanita pula direman enam hari bermula hari ini.
Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd. Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan meminta mereka yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan sedemikian untuk menghubungi SPRM untuk membantu siasatan.
Beliau berkata perbuatan tidak beretika itu adalah satu kesalahan yang serius dan tindakan sewajarnya akan diambil ke atas mereka mengikut peruntukan undang-undang yang ada.
“Saya juga menyeru semua pihak untuk tidak mempercayai sesiapa yang mendakwa dirinya adalah pegawai SPRM malah mengesahkan dakwaan tersebut dengan menghubungi SPRM dahulu,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment