Saturday, December 9, 2017

‘Sehati Sejiwa’ banteras gejala rasuah

HARI Anti Rasuah Antarabangsa 2017 yang disambut hari ini dimeriahkan dengan pelbagai program untuk mendekati dan mendidik masyarakat meme­rangi ge­jala rasuah.
Sambutan bertemakan ‘Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah’ yang berlangsung di tapak Fiesta Belon Udara Panas di Presint 2 Putrajaya itu adalah rentetan pengisytiharan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2003 yang memilih tarikh 9 Di­sember sebagai Hari Anti Ra­suah Antarabangsa.

Pengarah Bahagian Pendi­dikan Masyarakat Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Samat Kasah berkata, sinonim dengan hasrat untuk mendekati golongan muda, pada tahun ini pihaknya membuat kelainan untuk acara sambutan.

“Sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2017 dimeriahkan dengan acara larian dan kayuhan. Pelbagai akti­viti lain turut diterapkan seperti zumba, food truck; gerai pameran; cabutan bertuah dan juga nyanyian artis jemputan.

“Aktiviti berkenaan sinonim dengan golongan muda. Di sam­ping mereka menyertai program-program yang dianjurkan, kita akan selitkan dengan ke­sedaran untuk me­merangi rasuah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurut Abdul Samat, acara utama sambutan yang bermula dari pukul 7 pagi hingga 12 te­ngah hari itu adalah larian sejauh lima kilometer dan kayuhan sejauh 10 kilometer yang berjaya menarik kira-kira 1,000 penyertaan.

“Pada tahun ini, kita masih mengekalkan tema seperti tahun lepas iaitu ‘Sehati Sejiwa Meme­rangi Rasuah’. Tema ini sebenar­nya membawa erti besar kepada SPRM dalam memerangi rasuah kerana amat menyentuh sanubari masyarakat.

“Dengan kejayaan yang dicapai, kita kekalkan tema sambutan pada tahun ini kerana ia le­bih untuk mendidik masyarakat supaya bersatu memerangi rasuah. Penyatuan itu menyebabkan kita sepakat untuk menolak gejala rasuah daripada terus berlelua­sa,” katanya.

Ketika mengulas lanjut mengenai program pencegahan rasuah, Abdul Samat berkata, SPRM di bawah pentadbiran Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad telah me­laksanakan pelbagai pembaharuan termasuk mendidik golongan muda memerangi rasuah.

“Kita telah wujudkan pelbagai program dalam usaha memera­ngi rasuah, misalnya Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) yang disertai lebih 147,000 orang dan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang ditandatangani 700 kementerian, syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“SPRM juga membuat jalinan bersama penuntut universiti me­lalui program Perhimpunan Mahasiswa Anak Muda Memerangi Rasuah dan Salah Guna Kuasa (Pemarah) yang berjaya sebagai medium pendidikan,” katanya.

Menurutnya, sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2017 bukan bermakna gejala rasuah di Malaysia berada pada tahap yang membimbangkan, sebaliknya sam­­butan itu lebih kepada usa­ha untuk mendidik masyarakat memerangi gejala tersebut.

“SPRM mengambil langkah tepat dengan menyasarkan go­longan muda untuk sambutan kali ini kerana kita tahu golo­ngan ini akan menjadi tunjang pentadbiran negara pada masa depan sesuai dengan Tansformasi Nasional 2050 (TN50).

“Kita ingin mencorak masa depan negara mulai sekarang dan Malaysia juga berada di landasan tepat untuk bebas daripada gejala ra­suah. Sekarang kita dapat lihat pelbagai operasi dan penahanan dibuat, sekali gus membuktikan segala program pencegahan kita berjaya,” katanya.

Katanya, SPRM sedang berusaha memasukkan elemen pen­cegahan ra­suah dalam sistem pendidikan negara dan perkara itu telah dibentangkan kepada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, baru-baru ini untuk mendapat maklum balas daripada kementerian itu.

“Pada tahun depan juga, sebagai projek perintis, kursus pen­cegahan rasuah akan diperke­nalkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai elektif kepada penuntutnya. Saya berharap universiti-universiti lain akan mengikut jejak UKM untuk bersama-sama memerangi rasuah,” katanya.


http://www.utusan.com.my/berita/nasional/8216-sehati-sejiwa-8217-banteras-gejala-rasuah-1.569571#ixzz50ogJCBmv 

No comments:

Post a Comment