KENYATAAN MEDIA RASMI SPRM:
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius dakwaan kononnya kegiatan rasuah semakin berleluasa hingga mengakibat pencerobohan tanah dan penerokaan kebun haram di Cameron Highlands terus berulang seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan semalam.
Dalam hal berkaitan, SPRM berharap pihak berkuasa yang bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang di tanah tinggi itu segera mengambil tindakan sepertimana keputusan Pasukan Petugas Khas Op Gading yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
Kejadian penerokaan kebun haram yang berulang tidak sepatutnya timbul dan SPRM memandang serius sekiranya perkara itu ada kaitan dengan isu rasuah atau salah guna kuasa. Tindakan undang-undang akan diambil di bawah bidang kuasa suruhanjaya ini bagi menangani isu rasuah tersebut.
Berdasarkan statistik, sejak 2015 sehingga kini, SPRM telah membuat tangkapan terhadap 23 individu dan mendapat izin mendakwa terhadap 11 individu atas pelbagai kesalahan mengikut Akta SPRM 2009 berkaitan isu tersebut.
Sehubungan itu, SPRM meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berasas mengenai kegiatan rasuah membabitkan kes-kes pencerobohan tanah dan penerokaan kebun haram di Cameron Highlands untuk melaporkan terus kepada pejabat SPRM terdekatan.
SPRM juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan kegiatan rasuah atau salah guna kuasa hingga menyebabkan isu ini berulang.
DATUK SERI AZAM BAKI
TIMBALAN KETUA PESURUHJAYA (OPERASI)
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
22 OKTOBER 2018
No comments:
Post a Comment