Monday, June 22, 2015

Penguat kuasa kutip wang

KUALA LUMPUR 22 Jun – Jika di bandar-bandar, wang perlindungan biasanya dikutip oleh kumpulan kongsi gelap tetapi di kawasan sempadan pemerasan seumpama itu dilakukan oleh pihak penguat kuasa.

Walaupun hakikat itu payah untuk diterima, namun itulah yang terjadi di sempadan sejak sekian lama apabila aktiviti mengutip wang perlindungan seolah-olah menjadi rutin bagi sebilangan pe­nguat kuasa yang tidak amanah.

Mereka dikesan bukan sahaja meminta wang suapan daripada penyeludup malah terhadap peniaga yang mencari rezeki dengan berniaga di sempadan.

Menurut sumber, wang perlin­dungan itu dikutip sebagai jaminan tiada tindakan diambil terhadap setiap aktiviti yang menyalahi undang-undang khususnya menyeludup barangan.

“Salah satu modus operandi yang digunakan, ketua jabatan atau pegawai dan anggota penguat kuasa di sempadan akan ke premis-premis perniagaan atau lokasi rahsia pe­nyimpanan barang penyeludupan dan meminta sejumlah wang sebagai jaminan tiada tindakan undang-undang akan dikenakan.

“Apa yang dikesali ada juga pe­nguat kuasa yang meminta wang perlindungan daripada peniaga yang tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah di sempadan.

“Sebagai contoh, peniaga itu ha­nya menjalankan perniagaan menjual pakaian tetapi penguat kuasa telah ‘mengugut’ kononnya peniaga tersebut tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, peniaga yang bimbang akan dikenakan tindakan undang-undang terpaksa membayar sejumlah wang supaya perniagaannya tidak terganggu.

Selain itu, wang perlindung­an juga dikutip oleh ketua-ketua jabatan yang akan ke stor-stor penyimpanan barangan seludup dan ‘berurusan’ dengan pengusaha perniagaan haram berkenaan.

Kebiasaannya, kutipan yang dilakukan oleh ketua jabatan melibatkan jumlah yang lebih besar daripada ‘kutipan tol’ yang biasa­nya dilakukan oleh pegawai dan anggota bawahan.

“Melalui hasil siasatan, transaksi dilakukan ketika penguat kuasa tersebut berada di premis itu kononnya untuk menjalankan pemeriksaan,” kata sumber itu lagi.


Wanita diburu SPRM akhirnya ditahan


KUALA LUMPUR 22 Jan.  - Seorang eksekutif pemasaran wanita berusia 30an ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada pukul 10 pagi hari ini.

Wanita tersebut ditahan kerana disyaki menerima suapan mencecah RM400,000 daripada pembekal emas dan berlian.

Laporan mengenai wanita terbabit disiarkan dalam BH hari ini. - DY


Sunday, June 21, 2015

Apa dah jadi sempadan ni?


Isu lama berulang-ulang. SPRM je ke nak kena jawap dan bertindak?




baca laporan khas berikut:

http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/penguat-kuasa-khianat-1.105858

http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/dua-kaedah-rasuah-berlaku-di-sempadan-1.105844

http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/gaya-hidup-mewah-penguat-kuasa-1.105846



Gaya hidup mewah penguat kuasa

KUALA LUMPUR 21 Jun – Gaji dan elaun yang diterima seorang pegawai penguat kuasa di sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah ini hanyalah sekitar lebih RM4,000 sahaja, tetapi gaya hidup yang diamalkannya sangat mengujakan.

Bukan hanya berkereta mewah jenis pacuan empat roda tetapi turut memiliki beberapa lagi kenderaan baharu. Dia juga mempunyai rumah besar di kampung malah ke luar negara untuk bercuti bersama isteri dan anak pada setiap tahun.

Jika dihitung, jumlah pendapatan yang diperoleh pegawai kerajaan ini tidak mampu menampung gaya hidup mewah keluarganya dan itu menimbulkan persoalan terhadap sumber kekayaan ’luar biasanya’.

Namun apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) ‘campur tangan’, didapati gaya hidup si penguat kuasa ini rupanya-rupanya adalah hasil keuntungan sewaktu berkhidmat di sempadan negara.

Menurut satu sumber SPRM, hasil siasatan mendapati, si penguat kuasa ini memperoleh sumber pendapatan sampingan apabila bekerjasama rapat dengan penyeludup barangan di sempadan.

“Gaya hidup mewah penguat kuasa ini adalah salah satu daripada senario yang berlaku dalam kalangan penguat kuasa sempadan yang mengamalkan korupsi ketika menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Dalam satu transaksi yang disiasat SPRM, penguat kuasa ini memperoleh ‘wang ekstra’ sekurang-kurangnya RM1,200 sebulan daripada satu kumpulan penyeludup di sempadan.

“Bayaran itu diberikan secara konsisten pada setiap bulan kepada penguat kuasa supaya menutup mata ketika aktiviti penyeludupan barangan terkawal dan bersubsidi berlaku di sempadan. Kita juga percaya bukan hanya satu transaksi rasuah yang dikutipnya setiap bulan,” kata sumber, ketika ditemui baru-baru ini.

Selain itu, sumber berkata, siasatan turut menunjukkan ada dalam kalangan penguat kuasa datang mengutip sendiri wang tersebut di lokasi yang ditetapkan penyeludup.

“Bayaran itu juga tidak termasuk ‘kutipan tol’ yang diperoleh penguat kuasa ketika melakukan semakan terhadap kenderaan yang keluar masuk ke dalam negara,” katanya.

Menyentuh tentang soal gaji yang kecil dalam kalangan penguat kuasa di sempadan sehingga menyebabkan berlakunya aktiviti rasuah, sumber SPRM mendedahkan, pendapatan sah yang diperoleh setiap bulan adalah mencukupi.

“Gaji kakitangan kerajaan adalah cukup dan sesetengahnya jauh lebih besar berbanding kakitangan swasta kerana mereka dibekalkan dengan pelbagai elaun sara diri,” katanya.

Dua kaedah rasuah berlaku di sempadan

KUALA LUMPUR 21 Jun – Dua kaedah rasuah dalam kalangan penguat kuasa dikesan berlaku di sempadan tanah air sejak berpuluh-puluh tahun lamanya.
Kaedah yang dikesan itu adalah rasuah melalui kutipan bulanan (berskala besar) dan rasuah secara kutipan tol (by chance).
Menurut sumber, kaedah kutipan bulanan dikesan melibatkan nilai suapan lebih tinggi dan boleh mencecah sehingga RM40,000 sebulan, manakala kaedah kutipan tol, biasanya penguat kuasa akan mengutip wang habuan antara RM200 hingga RM1,000 seorang sehari.
Sumber berkata, kaedah kutipan bulanan yang diperolehi akan disimpan di dalam satu tabung khas dan kemudiannya dibahagi-bahagikan sesama penguat kuasa pada setiap hujung bulan.
“Jika kutipan wang melibatkan jumlah yang lebih besar, kebiasaannya dilakukan sendiri oleh ketua-ketua jabatan yang menyalahguna kuasa. Mereka akan pergi sendiri ke lokasi rahsia barangan penyeludupan disimpan untuk mengutip ‘hasil’ yang dijanjikan kepada mereka.
“Rata-rata pegawai dan anggota bawahan juga telah sedia maklum mengenai sistem kutipan tersebut dan disebabkan itu tabung khas kutipan rasuah diwujudkan dalam kalangan mereka.
“Setiap hujung bulan, ketua-ketua jabatan akan mengagihkan bahagian masing-masing. Wang yang diagihkan biasanya mengikut ranking pangkat,” kata sumber.
Sementara itu, rasuah mengikut kaedah kutipan tol biasanya dikutip oleh penguat kuasa tamak yang merasakan wang suapan yang diterima pada setiap bulanan tidak mencukupi.
Katanya, penyeludup yang mahu melancarkan proses perjalanan mereka tiada pilihan kecuali memberi wang suapan itu kepada penguat kuasa terbabit.
“Rasuah yang berlaku di sempadan ketika ini memang benar-benar memasuki fasa serius kerana bukan sahaja penguat kuasa rakus mengambil rasuah daripada sindiket penyeludupan malah, turut meminta-minta daripada warga asing yang tidak melakukan sebarang kesalahan.
“Melalui maklumat pasukan perisik, turut wujud situasi si pelaku dengan sengaja menahan kenderaan dan mengugut mengatakan kononnya mangsa melakukan kesalahan yang memerlukan dia dibawa ke balai polis.
“Mangsa yang tiada pilihan kerana takut dan bimbang disiasat terpaksa menghulurkan sejumlah wang supaya tidak diambil tindakan,” kata sumber itu.
Tambah sumber, hakikatnya demikian situasi yang berlaku di sempadan apabila harga sempadan kita seolah-olah tiada nilai sehingga mudahnya ‘dirogol’ oleh penjenayah akibat sikap tamak penguat kuasa.

Penguat kuasa khianat

Amalan rasuah jadi punca sempadan mudah dibolosi
MUKADIMAH Seperti diduga oleh banyak pihak gejala rasuah yang berpunca daripada perbuatan khianat segelintir anggota penguat kuasa menyebabkan sempadan negara kita mudah dibolosi. Persoalannya, bagaimanakah rasuah itu dilakukan dan siapa yang terlibat?
 Dalam BAHAGIAN KEDUA laporan khas ini, wartawan Utusan Malaysia, ILAH HAFIZ AZIZ, NORAZRIN MARZUKI, MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR dan LILIS SURIANI OMAR mendedahkan pula modus operandi sindiket dalam memastikan segelintir anggota penguat kuasa ‘berada dalam genggaman’ mereka. Turut didedahkan bagaimana segelintir anggota penguat kuasa menerima suapan dalam bentuk harian dan bulanan sehingga memungkinkan sempadan kita ibarat ‘laluan’ untuk kegiatan penyeludupan

KUALA LUMPUR 21 Jun -  Sikap khianat segelintir anggota agensi penguat kuasa terus menjadi `duri dalam daging’ sehingga mengakibatkan sempadan negara begitu mudah dibolosi oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
Apa yang membimbangkan biarpun gejala itu sudah berlanjutan sejak dua dekad lalu namun sehingga kini amalan rasuah didakwa terus berlaku di sempadan negara.
Sumber memberitahu, meskipun penambahbaikan serta cadangan demi cadangan yang komprehensif diberikan, namun sistem perjalanan kerja yang dilakukan penguat kuasa di sempadan masih berada di takuk lama sehingga mengakibatkan kegiatan rasuah menjadi budaya dalam kalangan mereka.
“Kelemahan itu menjadi faktor utama ramai pihak yang tidak bertanggungjawab mendapat peluang dan kesempatan untuk membeli penguat kuasa dengan wang ringgit.
“Lebih menyedihkan, dengan hanya suapan serendah RM20 ringgit sahaja, pintu masuk di sempadan negara terus dicabuli dengan pelbagai kegiatan penyeludupan yang akhirnya memberi kesan negatif kepada negara,’’ katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelemahan itu juga dakwa sumber itu, diketahui pegawai atasan atau ketua-ketua jabatan yang menyelia sistem kerja penguat kuasa namun sehingga kini tiada sebarang tindakan drastik diambil sejak bertahun lamanya.
Sumber berkata, pegawai atasan mengambil mudah tentang perjalanan kerja anggota mereka sehingga sanggup menutup sebelah mata meskipun mengesan atau mengetahui berlakunya kejadian rasuah.
“Ketirisan di sempadan ini bukan benda setahun dua berlaku sebaliknya telah berpuluh-puluh tahun dan hampir mencecah lebih dua dekad lamanya.
“Perkara ini berpunca akibat pegawai atasan yang tidak memberi perhatian terhadap cara kerja anak buah mereka. Antara yang dikesan adalah kurangnya pemantauan secara berkala serta tidak turun padang untuk menyelia sendiri setiap aturan kerja penguat kuasa.
“Malah apabila terdapatnya laporan salah laku, tiada tindakan drastik dilakukan dan pegawai yang melakukan kesalahan rasuah masih dibiarkan berkhidmat di lokasi sama, Tindakan itu seolah-olah mereka tutup sebelah mata dan tidak ambil peduli,” katanya.
Utusan Malaysia turut difahamkan, operasi yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di sempadan utara negara baru-baru ini adalah disebabkan permasalahan ini, yang membelenggu agensi-agensi penguatkuasaan sejak sekian lama di seluruh negara.
“Walaupun laporan secara dalaman telah diberikan namun tiada tindakan drastik dilaksanakan malah sempadan negara terus diceroboh ekoran sikap tidak berintegriti sebilangan penguat kuasa.
“Walaupun jumlah tangkapan sekadar sekitar 40 penguat kuasa sahaja namun bilangan itu dilihat tinggi memandangkan isu ini melibatkan isu keselamatan negara,’’ kata sumber itu lagi.

Wednesday, June 17, 2015

Kapal tangki MT Orkim Harmony Yang Hilang Ditemui Di Perairan Kemboja

Pihak berkuasa perlu cari sampai lubang cacing dalang kes ini.

Menurut sumber 'orang laut', dua tahun lalu, sebuah agensi penguatkuasa berjaya memintas sebuah kapal dagang yang telah ditukar nama di Selat Melaka selepas 10 jam hilang.

Adakah ini bermaksud perairan negara tidak selamat?..Ini persepsi yang timbul.

Lokasi penemuan kapal MT Orkim Harmony di Teluk Siam ini pun dikatakan bukan calang-calang lokasi, mempunyai kedalaman antara 45 ke 80 meter dan memang laluan kapal tanker. Maksudnya 'lanun-lanun' ini mempunyai kepakaran.

Harap ada tindakan tegas dalam insiden ini.

KUALA LUMPUR 18 Jun: Kapal tangki MT Orkim Harmony yang hilang sejak Khamis lalu, dikesan berada di perairan Kemboja, menurut Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

Beliau berkata pada masa ini kapal berkenaan sedang diawasi dari udara oleh pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Tentera Udara Diraja Australia.
Beliau juga mengesahkan bahawa kapal itu telah ditukar nama dan catnya.
Kapal MT Orkim yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada 8.57 malam pada Khamis lepas ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.
Kapal yang dimiliki oleh Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal termasuk 16 rakyat Malaysia. Anak kapal lain terdiri daripada rakyat Indonesia dan Myanmar. (MSTAR)

Beri projek kepada syarikat anak



Amboi....bagi projek kat anak...huhu...Datin pun nak..

KUALA LUMPUR 17 Jun - Seoarang pegawai kanan Kementerian Kesihatan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini kerana dipercayai menyalahguna kuasa dengan memberi projek yang ditawarkan kementerian itu kepada syarikat milik anaknya yang baharu sebulan beroperasi. - UTUSAN MALAYSIA.

Inspektor polis didakwa rasuah


Jangan main-main rasuah ni....



IPOH 19 Jun 
- Seorang Inspektor polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah, tiga tahun lepas.

Amrin Paiman, 53, yang bertugas sebagai Inspektor Pendakwaan Trafik, Bahagian Ketenteraman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh didakwa meminta suapan RM12,000 daripada orang awam Khor Kwong Yik di Restoran Bistro Mohammad, Tambun di sini kira-kira 7 malam, awal April 2012.

Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas Khor yang melakukan kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa bersetuju untuk menerima suapan wang tunai RM1,500 sebagai dorongan yang sama di lokasi yang sama, kira-kira pukul 7 malam pada 9 April 2012.

Selain itu, Amrin juga didakwa memperoleh suapan wang tunai RM1,500 melalui pemindahan wang daripada akaun pihak ketiga ke akaun CIMB Bank milik tertuduh sebagai dorongan yang sama, di CIMB Bank Cawangan Menglembu di sini, pada 10 April 2012.    

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Rihaida Rafie membenarkan Amrin diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Muhaimin Aris. - Bernama

Pasangan pengantin baharu dan ibu maut

Isteri pertama hanya tahu suami kahwin lagi selepas nahas

KOTA TINGGI 17 Jun - Pasangan pengantin yang baru bernikah beberapa hari lalu, Rohayu Abas, 29, dan suaminya, Abdullah Suhaime Abd. Rahman, 30, maut apabila kereta Ford Fiesta mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 42.2, Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran stesen Petron, Batu 1 Jalan Mawai di sini hari ini.

Turut terbunuh dalam kemala­ngan itu ialah ibu pengantin lelaki, Rokiah Abu Bakar, 52.

Sementara itu, isteri pertama mangsa, Farah Fadila Faizal, 27, berkata, dia terkilan kerana hanya mengetahui suaminya berkahwin lain selepas dimaklumkan dengan khabar sedih itu oleh pihak polis.

“Sebaik sahaja dimaklumkan tentang kemalangan itu, barulah saya tahu yang suami sudah bernikah dengan wanita lain,” jelasnya. (UTUSAN MALAYSIA)

Alfatihah utk semua mangsa...


Baca berita penuh di:

http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/pasangan-pengantin-baharu-dan-ibu-maut-1.104255