Walaupun hakikat itu payah untuk diterima, namun itulah yang terjadi di sempadan sejak sekian lama apabila aktiviti mengutip wang perlindungan seolah-olah menjadi rutin bagi sebilangan pe­nguat kuasa yang tidak amanah.

Mereka dikesan bukan sahaja meminta wang suapan daripada penyeludup malah terhadap peniaga yang mencari rezeki dengan berniaga di sempadan.

Menurut sumber, wang perlin­dungan itu dikutip sebagai jaminan tiada tindakan diambil terhadap setiap aktiviti yang menyalahi undang-undang khususnya menyeludup barangan.

“Salah satu modus operandi yang digunakan, ketua jabatan atau pegawai dan anggota penguat kuasa di sempadan akan ke premis-premis perniagaan atau lokasi rahsia pe­nyimpanan barang penyeludupan dan meminta sejumlah wang sebagai jaminan tiada tindakan undang-undang akan dikenakan.

“Apa yang dikesali ada juga pe­nguat kuasa yang meminta wang perlindungan daripada peniaga yang tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah di sempadan.

“Sebagai contoh, peniaga itu ha­nya menjalankan perniagaan menjual pakaian tetapi penguat kuasa telah ‘mengugut’ kononnya peniaga tersebut tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, peniaga yang bimbang akan dikenakan tindakan undang-undang terpaksa membayar sejumlah wang supaya perniagaannya tidak terganggu.

Selain itu, wang perlindung­an juga dikutip oleh ketua-ketua jabatan yang akan ke stor-stor penyimpanan barangan seludup dan ‘berurusan’ dengan pengusaha perniagaan haram berkenaan.

Kebiasaannya, kutipan yang dilakukan oleh ketua jabatan melibatkan jumlah yang lebih besar daripada ‘kutipan tol’ yang biasa­nya dilakukan oleh pegawai dan anggota bawahan.

“Melalui hasil siasatan, transaksi dilakukan ketika penguat kuasa tersebut berada di premis itu kononnya untuk menjalankan pemeriksaan,” kata sumber itu lagi.