Rencana oleh Ku Seman Ku Hussain di Mingguan Malaysia yang bagus untuk dihadam politikus.
Apabila membaca tulisan Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Tun Faisal Tun Aziz bahawa sekiranya ada individu mahu memberikan wang kepada kita, itu adalah hak peribadi dan bukan satu kesalahan, saya melupakan seketika pesanan orang tua-tua supaya berhati-hati menerima budi. Kedudukan tinggi Tun Faisal sebagai "pemikir" sebuah jabatan kerajaan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia berjaya mempengaruhi saya supaya berfikir sealiran dengannya.
Tulis Tun Faisal dalam blognya, “Apabila ada pihak yang hendak masukkan sejumlah wang ke dalam akaun peribadi seseorang, itu adalah bantuan dana politik kepada individu tersebut. Terserahlah bagaimana dia hendak menggunakannya asalkan tidak untuk tujuan yang menyalahi undang-undang sebab itu dana politik peribadinya,”. Kenyataan ini banyak dipetik oleh media lain.
Pencerahan yang diberikan oleh pemikir Jasa ini membuatkan saya sedikit cemburu, kenapalah saya tidak menyertai politik awal-awal dulu di mana saya bebas menerima dana politik atau "budi politik" daripada pihak yang sangat baik hati.
Saya selalu menganggap kerjaya politik memerlukan duit banyak untuk dilaburkan yang hasilnya belum tentu dikecapi. Saya tidak sanggup untuk mengeluarkan simpanan yang nilainya hanya sebesar emas saga untuk diperjudikan.
Rupa-rupanya perkara yang saya fikirkan bertentangan dengan moral dan integriti, sebenarnya bukanlah satu yang salah di sisi undang-undang. Saya fikir tidak salah mempercayai Tun Faisal kerana selain pemikir Jasa, dia juga bekas Exco Pemuda UMNO. Saya percaya telah memetik dan memahami dana politik daripada individu yang berwibawa dalam UMNO.
Maka kalau hari ini saya seorang pemain politik dan ada pula yang menghulurkan dana secara "sukarela", saya tidak berfikir panjang untuk menerimanya. Ini termasuklah daripada tauke judi dengan syarat dia mengusahakan pusat judi halal. Itulah apa yang saya faham dengan tulisan Tun Faisal, harap saya tidak dipersalahkan, kecualilah dana itu daripada sumber tidak halal, misalnya pusat judi yang tidak berlesen dan sebagainya. Selagi berlesen, halallah namanya.
Etika politik
Saya mengakui begitu jauh ketinggalan dalam hukum hakam dan etika politik masa kini. Maka sudut pandangan saya mengenai moral dan integriti sewajarnya tidak boleh dibawa bersama dalam kita melihat suasana politik semasa dalam semua parti termasuk UMNO. Ini sudah tidak relevan dengan tuntutan politik. Maka saya berazam membuat anjakan pemikiran dan persepsi terhadap keperluan politik bagi seorang politikus. Saya percaya penjelasan Tun Faisal lahir daripada pengalaman berada dalam fenomena politik semasa.
Daripada penjelasan ini kita boleh memahami bahawa parti juga boleh menerima dana politik daripada pihak luar negara untuk membiayai kegiatan demi kelangsungan parti tertentu. Malah difahamkan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berusaha keras untuk mendapatkan persetujuan parti politik bagi mewujudkan prosedur yang lebih telus terhadap dana politik.
Sekali lagi, ini menunjukkan dana politik tidak salah di sisi undang-undang. Dalam lain perkataan, bukan rasuah. Barangkali ini sama dengan politik wang, satu-satunya kes beli undi yang diuruskan sendiri oleh parti iaitu Lembaga Tatatertib UMNO. Jangan bimbang ini bukan rasuah.
Tetapi masalahnya dana politik bukan boleh dinikmati oleh semua orang. Kalau yang berada dalam ranking yang sayup di bawah, jangan mimpilah ada pihak yang berhati mulia untuk menaja. Yang memberi pun cerdik juga, buat apa memberi dana kalau macam mencampakkan duit dalam sungai, tidak ada pulangan. Ada ubi ada batas, ada budi mesti kena balas.
Tidak lama dahulu banyak pihak mempersoalkan dana politik kepada parti pembangkang yang didakwa disalurkan oleh pihak luar khususnya Amerika Syarikat (AS). Persepsi terhadap dana politik ketika itu adalah satu perbuatan yang jijik.
Boleh menggadaikan negara khabarnya.
Saya tidak pasti sama ada Tun Faisal ada memberikan reaksinya atau tidak dalam isu berkenaan. Tetapi saya pasti dia setuju dengan pembangkang yang diberi dana politik. Ini bersandarkan kenyataannya yang saya petik di atas. Tambahan pula dana itu sudah tentu digunakan untuk tujuan yang tidak menyalahi undang-undang, cuma untuk membiayai tuntutan kerjaya politik peribadi.
Walaupun pada mulanya saya terpengaruh dengan pemikiran Tun Faisal, tetapi syukur akhirnya saya sedar bahawa tidak semua perkara diukur dengan undang-undang. Kita kena juga mengukur dengan pembaris moral dan integriti.
Inilah yang membezakan tinggi dan rendah nilai antara seorang dengan yang lain. Ada pemimpin yang lulus saringan undang-undang tetapi orang tidak percaya kerana faktor integriti. Dia didapati tidak bersalah tetapi rakyat berkata, "Selamat jalan."
Suatu yang bermain di fikiran saya ialah setiap "budi politik" pasti akan menuntut balasan. Terlalu baik sangatkah pihak yang memberikan dana tanpa mengharapkan sesuatu?
Integriti bukan diukur dengan riuh rendah atau dan kuatnya laungan. Integriti diukur daripada perbuatan yang sekecil-kecil hinggalah yang sebesar-besarnya. Kenalah buat dan bukan hanya beretorik. Maka terpulanglah kepada orang politik sama ada terus mewajarkan "niat boleh menghalalkan cara" atau sebaliknya.
- SUMBER BERITA: http://www.utusan.com.my/rencana/budi-politik-dan-pembaris-integriti-1.119511#sthash.RzKzUqYd.dpuf