Tuesday, August 4, 2015

Solat hajat SPRM: Usah gentar jika di pihak benar



SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak perlu gentar sekiranya mereka berada di pihak yang benar dalam siasatan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, sehubungan itu usaha agensi berkenaan mengadakan solat hajat semalam, bagi mendapat kekuatan dari sudut spiritual wajar dipuji.

“Apa yang kita lihat sekarang, SPRM telah mengambil usaha untuk menjunjung kebenaran sama ada dari sudut fizikal atau spiritual. Usaha fizikal itu termasuk memberi kerjasama kepada mana-mana pihak yang mahu dapatkan kenyataan mereka.

“Manakala, dari sudut spiritual adalah apa usaha yang melibatkan kita dengan Yang Maha Berkuasa iaitu ALLAH SWT seperti berdoa dan solat hajat. 

"Usaha ini bagi mereka mendapatkan kekuatan tambahan untuk terus mendedahkan kesalahan sesiapa saja melalui siasatan yang telus,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut beliau, rakyat di negara ini juga digalakkan membuat solat hajat sekiranya mereka merasakan telah dizalimi dalam apa juga keadaan sama secara langsung atau tidak.

“Malah kalau ada yang ingin buat qunut nazilah atas musibah yang berlaku hari ini pun adalah diharuskan. Kita jangan hanya terlampau risau apa yang di depan mata kerana kekuasaan ALLAH melebihi segala-galanya.

“Kekuatan doa boleh meruntuhkan institusi raja dan menenggelamkan negara suatu ketika dulu. Jadi, jangan sesekali kita memandang rendah usaha untuk berdoa ini,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai wang yang didermakan ke akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti disahkan oleh SPRM, beliau berkata: “Kalau dari sudut Islam, ia dinamakan wang ghulul atau khianat sebab mendapatnya atas nama jawatan dan boleh membawa kepada rasuah.”

SUMBER:

http://www.sinarharian.com.my/semasa/solat-hajat-sprm-usah-gentar-jika-di-pihak-benar-1.416295

No comments:

Post a Comment