Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka melengkapkan kertas siasatan kes terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang didakwa terlibat dalam kontroversi pembelian banglo pada harga luar biasa murah, dalam tempoh tiga minggu lagi.
Sumber memberitahu, SPRM akan memanggil Guan Eng untuk merekodkan keterangan pada minggu depan di Pulau Pinang selepas kesemua dokumen termasuk transaksi melibatkan pembelian itu dikumpul serta diteliti sedalam-dalamnya.
Ditanya mengenai kelewatan SPRM untuk merekod keterangan Guam Eng, sumber memberitahu: “SPRM tidak mahu memanggil Guan Eng berulang kali, biar SPRM dapat semua dokumen secara hitam putih dan keterangan akan direkodkan berdasarkan bukti serta keterangan saksi-saksi yang dipanggil sebelum ini.”
Difahamkan, meskipun penjualan banglo di bawah harga pasaran itu dilakukan atas dasar ‘suka sama suka’ antara pembeli dan penjual, sekiranya SPRM mengesan kewujudan sebarang transaksi rasmi lain melibatkan kedua-dua pihak, SPRM boleh menahan kedua-dua mereka.
“Apa-apapun segala persoalan akan terjawab selewat-lewatnya hujung bulan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Bagaimanapun sumber tersebut enggan mendedahkan perjalanan siasatan kerana dikhuatiri mengganggu siasatan.
Siasatan terhadap Guan Eng itu dipercayai dilakukan oleh pegawai-pegawai dari Ibu Pejabat SPRM Putrajaya yang kini berada di Pulau Pinang dan dipantau terus oleh pegawai tertinggi SPRM.
Turut difahamkan, Guan Eng telah menyerahkan beberapa dokumen yang dikatakan ada kaitan dengan pembelian aset tersebut kepada SPRM.
Banglo itu yang terletak di Jalan Pinhorn, Jelutong, Pulau Pinang, dibeli Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan tahun lalu pada harga hanya RM2.8 juta sedangkan nilai pasaran semasa hartanah sedemikian di kawasan tersebut boleh mencecah sehingga RM5 juta.
Lebih menimbulkan kontroversi apabila pemilik banglo itu turut dikaitkan dengan individu di dalam sebuah syarikat yang berjaya membeli tanah di Taman Manggis, Pulau Pinang.
Tanah di Taman Manggis itu sebelum ini diperuntukkan bagi pembinaan projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) tetapi dirancang pemaju untuk dibina hospital swasta dan hotel.
Transaksi pembelian tanah itu juga dipersoalkan banyak pihak selepas kerajaan negeri menjualnya kepada pemaju hanya pada harga RM11 juta sedangkan terdapat tawaran lain yang menetapkan harga kira-kira RM20 juta.
No comments:
Post a Comment