Wednesday, April 6, 2016

SPRM kunjungi pejabat KM Pulai Pinang

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melawat pejabat Ketua Menteri Lim Guan Eng untuk mendapatkan dokumen dan menyemak komputernya pada Selasa lepas, kata Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, bagaimanapun pihak kerajaan negeri masih menunggu SPRM untuk mendapatkan keterangan Guan Eng berhubung isu penjualan tanah di Taman Manggis dan pembelian banglonya pada harga RM2.8 juta yang didakwa lebih rendah daripada harga pasaran.

"Pegawai SPRM ada mengadakan perbualan ketika lawatan itu namun secara rasminya keterangan Ketua Menteri masih belum diambil ... masih menunggu maklum balas SPRM untuk mencatatkan keterangan Ketua Menteri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pembelian banglo di Jalan Pinhorn di sini oleh Guan Eng dengan harga RM2.8 juta  mencetuskan kontroversi apabila Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya membangkitkannya pada persidangan Dewan Rakyat, dan mendakwa harga itu adalah di bawah nilai pasaran.

Shabudin turut meminta SPRM menyiasat penjualan beberapa bidang tanah di Pulau Pinang, yang pada asalnya dikatakan diperuntukkan bagi pembinaan rumah melalui Projek Perumahan Rakyat Termiskin.

Sementara itu, Guan Eng berkata beliau ingin meminta Shabudin yang juga pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang untuk memberi penjelasan berhubung penjualan tanah awam milik Perda pada harga di bawah pasaran.

Katanya, proses penjualan tanah itu di Seberang Perai Selatan dilakukan pada tahun lepas dengan tarikh penukaran hak milik pada 28 Jun 2015 dengan nilai lebih RM1.4 juta.

"Mengikut penilaian Lembaga Hasil Dalam Negeri, nilai keseluruhan tanah seluas 3.4 hektar yang mempunyai 18 plot itu adalah RM16.6 juta. Saya ingin  menjemput Shabudin untuk bersemuka memberikan penjelasan pada 11 pagi, Ahad ini bertempat di Bilik Mutiara, Komtar," katanya.

Guan Eng turut menafikan bahawa beliau cuba mengalihkan isu dan berkata Shabudin harus memberikan penjelasan berhubung isu itu kerana ia melibatkan tanah dan wang awam.

No comments:

Post a Comment