PENAMATAN awal kontrak TAN SRI ABU KASSIM MOHAMED sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sepatutnya berakhir pada 4 Disember 2018 bagaikan satu rahmat apabila beliau kini boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada aspek pengajaran dan perkongsian pengalamannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Ikuti wawancara eksklusif bersama Abu Kassim untuk mengulas lebih lanjut hala tuju beliau selepas bersara awal daripada badan bebas itu dan mencurahkan baktinya kepada institut pengajian tinggi.
Tan Sri dikhabarkan dilantik sebagai perunding undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Boleh jelaskan apa peranan Tan Sri dalam IPT berkenaan?
Saya hanya terima satu tawaran sahaja, iaitu saya akan dipinjamkan kepada UiTM sebagai perunding. Selain itu mungkin akan memberi ceramah atau mengajar dalam subjek-subjek tertentu.
Saya akan berkongsi pengalaman, pengetahuan dan kemahiran yang ada selama 32 tahun dalam usaha menjalankan pencegahan rasuah dengan pihak universiti.
Saya juga adalah ahli lembaga universiti di Vienna, Austria. Sebagai ahli lembaga di sana, kita selalu berpegang kepada konsep teori bertemu dengan amalan.
Di mana pentingnya ilmiah bertemu dengan pengamal (penguat kuasa) untuk menjadikan ilmu itu mantap, berguna dan dapat digunakan. Mesti ada pertemuan antara teori dan praktikal.
Dalam konteks ini, mungkin saya dapat memberikan sumbangan kepada UiTM, iaitu menemukan perkara-perkara yang sebenarnya berlaku dan konsep serta falsafah tertentu yang diajar secara ilmiah.
Jadi ia akan mematangkan dan menjadikan UiTM sebagai universiti yang menggabungkan antara kedua-dua dunia ini.
Adakah Tan Sri akan membawa subjek atau kursus yang menjurus kepada membasmi rasuah?
Setakat ini, saya sudah mengadakan perbincangan dengan pihak UiTM untuk menjadikan ia sebagai pusat pengajian tinggi yang akan menerajui subjek berkaitan dengan isu-isu integriti, etika, rasuah dan tadbir urus.
Dalam konteks ini, saya akan cuba membantu UiTM dalam membina kapasiti tersebut.
Adakah ia akan diperkenalkan sekadar subjek atau sebagai fakulti?
Ia masih dalam proses perbincangan dari segi cara, struktur, macam mana nak buat dan sebagainya.
Adakah ia perkara baharu dan pertama di negara ini?
Daripada konsep pengajian di peringkat sarjana (master) telah pun dibuat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), iaitu master dalam pengajian pencegahan rasuah.
Tetapi di UiTM saya bercadang ke arah itu. Terpulang kepada UiTM untuk memulakannya di peringkat ijazah. Bagi saya di peringkat ijazah cukup penting kerana ia menjadi teras kepada peringkat yang tinggi lagi.
Selain itu, saya juga bercadang untuk memperkenalkan beberapa kursus kepada graduan profesional yang akan keluar dari UiTM.
Saya melihat inisiatif oleh bekas Timbalan Pesuruhjaya Agensi Pencegahan Rasuah Antarabangsa Hong Kong (ICAC), Daniel Li Ming Chak, yang membentuk satu kurikulum di Universiti Hong Kong yang menggabungkan antara praktikal dan konsep, di mana dia mengajar pelajar tahun akhir di universiti itu.
Adakah Malaysia tidak pernah ada kurikulum sebegitu?
Saya tak berani nak kata atau sebaliknya, tetapi bagi saya di sini pertemuan pengamal (penguat kuasa) dengan ahli akademik.
Saya sendiri merupakan graduan yang pernah melalui proses sama. Semasa saya membuat master, saya berjumpa dengan satu sistem di mana kebanyakan pengajar pada masa itu adalah bekas pengamal (industri) seperti bekas-bekas ketua polis mengajar saya. Ada juga ahli akademik, apabila dua jenis tenaga pengajar ini bertemu, saya dapati bahawa pengajarannya cukup berkesan kerana dia mengajar perkara yang benar-benar berlaku secara realiti serta menggunakan konsep dan prinsip yang diajar secara ilmiah itu dan ditunjukkan bagaimana ia terjadi dalam realiti hidup.
Adakah subjek ini merupakan perkara pertama diperkenalkan di UiTM?
Ya, ia melibatkan tajuk-tajuk mengenai antirasuah dan isu-isu integriti. Mungkin mereka ada aspek dari segi aspek etika, dan sebagainya.
Adakah UiTM minta Tan Sri jadi penasihat?
Saya sebenarnya memohon kepada UiTM untuk memberikan sumbangan kepada universiti ini.
Kenapa Tan Sri memilih UiTM untuk memberikan sumbangan itu?
Saya rasa UiTM merupakan universiti yang terbesar dalam negara kita yang mempunyai cawangan yang begitu banyak di seluruh negara. Saya yakin kebanyakan mereka ini terlibat dalam sektor cukup besar. Saya nak membantu mereka sebab saya percaya kepada universiti ini boleh memberi impak yang besar.
Berapa lama sumbangan ini akan diberikan kepada UiTM?
Ia terpulang kepada UiTM. Kalau kehadiran saya di UiTM ini boleh menambah baik dan membantu mereka, bukan sahaja dari segi pengajaran, bahkan khidmat rundingan kepada pihak universiti.
Mungkin akan menjadikan universiti sebagi pusat untuk memberi khidmat rundingan sama kepada institusi-institusi lain.
Adakah ia akan menjadi perintis untuk memberi gambaran baharu kepada dimensi antirasuah di negara ini? Adakah Tan Sri menjangka ia akan terjadi?
Saya fikir usaha saya ini melengkapi proses antirasuah di negara ini. Kita telah melalui reformasi dari segi struktur SPRM.
Kerajaan juga telah melancarkan transformasi yang mana memasukkan daripada enam agenda besar, salah satu daripadanya ialah elemen rasuah, di mana terdapat reformasi dari segi sistem, prosedur kerajaan, ketelusan ditingkatkan, mahkamah khas diwujudkan, undang-undang (rasuah) dilihat semula serta prosedur tender dikaji semula.
Dalam konteks ini, kita tertinggal dalam satu perkara yang agak penting, iaitu satu pusat yang mengkaji secara lebih mendalam dan ilmiah, menjadi menyedia input kepada keseluruhan perubahan tersebut.
Sebagai contoh, universiti selalu akan membuat kajian, kadang-kala ia melibatkan penilaian. UiTM mungkin boleh membuat penilaian sejauh mana transformasi yang dibuat oleh kerajaan untuk meningkatkan isu-isu integriti ini telah berjaya.
Jadi mereka membuat penilaian secara bebas. Hasilnya ia boleh disalurkan kepada kerajaan untuk menambah baik langkah yang perlu dilakukan untuk memastikan perubahan itu berterusan dan mencapai matlamatnya.
Adakah Tan Sri melihat universiti sebagai tempat yang paling tepat untuk membasmi rasuah sebab mereka ini generasi pelapis pemimpin masa depan?
Ada dua faktor, satu generasi universiti yang akan keluar, kedua peranan universiti dalam mengkaji isu tersebut secara mendalam, berstruktur dan fokus kepada tajuk-tajuk berkaitan.
Kedua-dua faktor ini memainkan peranan penting, satu generasi pemimpin akan datang, itu penting kerana apabila graduan dilahirkan khususnya dalam bidang profesional, undang-undang, perakaunan, kejuruteraan, reka bentuk dan sebagainya.
Golongan ini akan berhadapan dengan pelbagai masalah dan cabaran yang menyentuh isu integriti serta etika mereka.
Isu yang saya tengok dari negara-negara yang berjaya ialah bagaimana kita menyediakan mereka untuk berhadapan dengan perkara sebenar. Nampak mudah, namun sebenarnya sukar.
Contohnya kenapa orang merokok? Ini kerana orang kurang keupayaan untuk mengatakan ‘tidak’ sedangkan untuk mengatakan tidak itu mudah dan ia merupakan satu kemahiran.
Ia adalah satu pembinaan karakter asertif, di mana walaupun persekitaran seseorang itu berlainan, dia boleh berdiri tegak dan mengatakan ‘minta maaf, saya tidak mahu terlibat’ dalam hal ini.
Kebanyakan situasi yang berlaku ialah apabila seseorang itu berada dalam satu kumpulan dan dia akan terikut kerana tidak mahu menjadi tersisih daripada kumpulan sekiranya tidak mengikut budaya mereka.
Kalau kita dapat membina manusia yang mempunyai karakter asertif yang tinggi dan berupaya mengatakan ‘tidak’, maka dia boleh melakukannya dengan penuh diplomasi dan masih dalam kumpulan tersebut.
Sebab itu kita perlu generasi universiti ini perlu tahu apa yang perlu dilakukan jika berdepan dengan situasi ini.
Kalau orang yang mempunyai karakter asertif yang kental, mereka ini dapat membina maruah bangsa terutamanya UiTM dalam mewujudkan sahsiah pegawai kerajaan, pemimpin korporat dan politik yang berupaya untuk kekal dan meningkatkan integriti.
Adakah penubuhan SPRM serta unit-unit integriti di semua sektor tidak berkesan tanpa pendidikan?
Ia bukan tidak berkesan, isunya sekarang kita melengkapi untuk menambah baik proses pencegahan rasuah sedia ada. Mengikut kajian UKM mendapati, ramai orang tahu rasuah itu salah, tapi tak ramai yakin sehingga ke tahap untuk bertindak. Tahap yang kita ingin capai dengan mewujudkan generasi yang bukan sahaja tahu, faham, yakin dan mampu bertindak.
Adakah usaha pencegahan rasuah di negara melalui pendidikan tidak berjaya?
Kalau kita tengok kepada konvensyen antirasuah yang diputuskan dan disokong oleh ahli-ahli dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan semua kajian pakar pencegahan rasuah, tiada satu kaedah yang boleh menyelesaikan semua masalah secara sempurna. Pendidikan salah satu cara pencegahan dan bukan dengan semudah itu masalah sosial boleh diselesaikan.
Orang yang tidak hirau kepada undang-undang mesti dihukum kerana itu salah satu cara untuk menghentikan jenayah tersebut.
Tindakan tegas undang-undang kena ada. Selain itu, kita jangan benarkan perkara itu mudah berlaku. Kerajaan perlu tutup peluang rasuah yang ada, dengan menguatkuasakan undang-undang serta menutup peluang rasuah. Kemudian kita memberi kesedaran, tidak melakukan rasuah serta beri kesedaran tentang kepentingan bertindak.
Adakah budaya rasuah semakin kronik di negara ini?
Menurut kajian yang dilakukan oleh Global Baro Meter, kedudukan Malaysia dari segi lakar rasuah, setiap 100 orang, kurang 10 orang dalam setahun yang menyatakan bahawa mereka terlibat dalam proses pemberian rasuah. Dalam konteks 10 hingga 15 peratus, kita masih menyatakan bahawa Malaysia belum sampai tahap budaya.
Budaya ini apabila ia melampaui jumlah 50 peratus. Pada pandangan saya, setiap 10 orang yang ditemu bual, mungkin enam atau tujuh orang mengatakan kalau tiada rasuah dalam masa setahun dalam kehidupannya, tujuh orang mengaku dia berdepan dengan pemberian rasuah untuk mendapatkan perkhidmatan. Kalau itu berlaku, baru kita rasa wajar dikatakan sebagai ‘budaya’.
Tetapi ia belum boleh dinyatakan ianya satu budaya, hanya kerana beberapa insiden seperti kes rasuah di Kementerian Belia dan Sukan. Kehilangan lebih RM100 juta itu bukan berlaku setiap tahun. Akibat tindakan SPRM yang sistematik, kita yang bongkarkan perkara tersebut.
Budaya itu ada indikatornya, apabila orang tidak bercakap lagi sebagai rasuah, dan perkataan akan keluar dari mulut orang ramai sebagai ‘perkara biasa’.
Namun di Malaysia, masih ramai orang bercakap tentang rasuah. Suara-suara yang menentang rasuah itu masih tinggi. Kalau rasuah jadi budaya, suara menentang tidak tinggi lagi.
Mungkin dalam bidang atau sektor tertentu di mana rasuah ini mungkin menjadi budaya. Daripada kajian yang dibuat oleh pihak luar iaitu Transparency International, saya mentafsirkan ianya belum sampai ke tahap pembudayaan masyarakat di Malaysia.
Kajian badan ini mendapati kedudukan Malaysia dari segi rasuah hanya sekitar 10 hingga 15 peratus. Namun saya meletakkannya di bawah 10 peratus daripada 100 orang yang ditemu bual.
Kita boleh kata dengan yakin kadar rasuah di Malaysia di bawah 10 peratus dan ia masih boleh diterima. Lakar rasuah ini mempunyai tujuh peringkat, kita pernah mencapai peringkat satu iaitu di bawah lima peratus. Ia menyamai kedudukan rasuah seperti di Singapura dan Jepun. Sekiranya semua perkhidmatan kerajaan kita kena bayar duit rasuah baru boleh dikatakan ia menjadi budaya.