Selaras dengan komitmen untuk membudayakan integriti sekali gus membanteras rasuah, sebanyak 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tujuh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Negeri Johor menandatangani ikrar integriti korporat (CIP) dalam satu majlis yang berlangsung Johor Bahru hari ini.
Majlis tersebut itu dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dan disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dr. Abu Kassim Mohamed.
Antara PBT yang menandatangani CIP tersebut ialah Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang manakala syarikat GLC Negeri Johor pula antaranya ialah Permodalan Darul Ta’zim, Majlis Agama Islam Johor, Insist Amilat Sdn Bhd dan Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, menandatangani CIP ini amat penting bagi setiap organisasi untuk memastikan setiap pihak faham dengan jelas mengenai integriti serta melihat kemudaratan sekiranya amalan integriti tidak dilaksanakan dari peringkat akar umbi.
“Kita mahu melihat rakyat kita melakukan perkara betul dengan amanah yang diberikan kerana itu akan menghasilkan bangsa terbaik,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Dalam pada itu, Abu Kassim dalam ucapannya menyatakan SPRM mengalu-alukan usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri Johor dalam usaha membanteras rasuah.
“Pencegahan rasuah dapat dijayakan sekiranya semua pihak berganding bahu dan komited. dalam memastikan kejayaan sesebuah organisasi adalah dari dalam organisasi itu sendiri iaitu pegawai dalaman yang perlu mempunyai integriti yang tinggi,” katanya.
Abu Kassim turut menjelaskan kepentingan untuk mewujudkan peruntukan korporat liabiliti yang dapat memastikan syarikat swasta juga dipertanggungjawabkan dalam usaha membasmi rasuah.
“Banyak negara telah memasukkan peruntukan korporat liabiliti dalam negara mereka dan yang terbaru ialah Negara Brazil. Korporat liabiliti ini dilaksanakan bagi memastikan pihak swasta turut bertanggungjawab dalam memerangi rasuah kerana mereka adalah juga sebahagian dari pendokong ekonomi negara,” tegas beliau.
Kesemua penandatangan ikrar integriti menandatangani CIP di hadapan Ketua Setiausaha Negeri Johor, Dato’ Ismail Karim sebelum diserahkan kepada Pengarah SPRM Johor, Dato Simi Abd Ghani dan disaksikan oleh Menteri Besar bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Lafaz ikrar integriti diketuai oleh Datuk Bandar Johor Bahru, Rahim Nin.
Kira-kira 500 hadir dalam majlis ini dan turut dihadiri oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Negeri Johor, pegawai dan kakitangan PBT dan GLC Negeri Johor.
No comments:
Post a Comment