Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) mahu
pengganti bagi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
Tan Sri Kassim Mohamed dilantik daripada calon dalaman supaya integriti
suruhanjaya itu tidak terjejas.
Ketua Eksekutifnya, Wan Saiful Wan Jan berkata beliau
bimbang jika orang luar dilantik, budaya kerjanya mungkin berbeza dengan budaya
SPRM yang telah dibentuk sejak sekian lama.
"Saya berharap agar pengganti Abu Kassim ialah seorang
yang datang daripada keluarga SPRM itu sendiri.
“Ini penting kerana SPRM telah menjalani satu proses
transformasi yang agak ketara di bawah kepimpinan Abu Kassim,” katanya dalam
satu kenyataan media, hari ini.
Beliau juga memetik contoh daripada beberapa kes berprofil
tinggi yang telah dibawa ke mahkamah dan hubungan baik suruhanjaya itu dengan
pelbagai badan bukan kerajaan serta sikap mesra rakyat hasil usaha mereka untuk
berinteraksi dengan masyarakat
“Semua ini membantu mempertingkatkan tahap kepercayaan
kepada SPRM itu sendiri.
“Agenda ini mesti diteruskan dan cara terbaik untuk
memastikan kesinambungan kerja ialah dengan cara melantik individu yang datang
dari dalam acuan SPRM sendiri sebagai ketua pesuruhjaya baru," katanya.
Menurut Wan Saiful jika orang luar dilantik, bukan sahaja
budaya kerjanya mungkin berbeza tetapi tindakan itu boleh membantutkan proses
transformasi SPRM yang sedang berjalan.
Katanya, spekulasi bertiup kencang bahawa Datuk Dzulkifli
Ahmad daripada Jabatan Peguam Negara atau Tan Sri Noor Rashid Ibrahim daripada
PDRM bakala menjadi ketua SPRM yang baru.
“Kedua-dua mereka memang berpengalaman tetapi dengan suasana
politik sekarang, perlantikan orang luar hanya akan menjejaskan reputasi SPRM
itu sendiri.
“Kita perlu berfikir jangka panjang dan kita tak mahu usaha
gigih kerajaan dalam memerangi rasuah dicalarkan dengan satu perlantikan yang
menyebabkan integriti SPRM dipertikaikan," katanya.
Sehubungan itu, katanya, calon yang paling sesuai adalah
Datuk Seri Mustafar Ali yang juga adalah timbalan ketua pesuruhjaya
(pencegahan) kerana beliau kini adalah pegawai ketiga paling kanan dalam
suruhanjaya itu.
Kedua-dua Abu Kassim serta timbalannya Datuk Seri Mohd
Shukri Abdull telah mengumumkan bahawa mereka akan bersara pada bulan Ogos dan
bulan ini.
No comments:
Post a Comment