Punca wang diperoleh masih disiasat
Sejumlah wang tunai bernilai lebih RM100,000 ditemukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabat dan rumah pengerusi sebuah bank syarikat milik kerajaan bergelar Tan Sri yang ditahan semalam untuk membantu siasatan kes salah guna kuasa melibatkan penerbitan biografi seorang pemimpin negara.
Menurut sumber, wang terbabit ditemukan di dalam laci pejabat dan rumah milik suspek selepas siasatan dijalankan terhadapnya.
Ujarnya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca wang itu diperoleh.
“Selain wang tunai, beberapa jam tangan mewah turut dirampas,” katanya.
Ahad lalu, Mingguan Malaysia mendedahkan SPRM memburu seorang Tan Sri yang menerajui sebuah bank selepas didapati terlibat dalam kes salah guna kuasa dan rasuah bernilai RM15 juta.
Sebelum itu, lapan individu termasuk seorang pengarah urusan bank bergelar Datuk direman bagi membantu siasatan kerana dipercayai terlibat dalam kes sama.
Ditanya perkembangan kesemua individu terbabit, sumber itu memberitahu, tiga daripada mereka telah dibebaskan.
“Namun tiga individu itu ditahan semula semalam bagi siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA),” ujarnya.
Pengarah siasatan SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan mengenai perkara itu.
No comments:
Post a Comment