Friday, January 27, 2017

Janji SPRM pasti, ahli politik rasuah- tunggu


'Tunggu!' Itu amaran Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad apabila ditanyakan mengenai sama ada tindakan akan diambil ke atas ahli-ahli politik yang terlibat rasuah.

"Tiada pada bila-bila masa sepanjang perkhidmatan di mana saya menyatakan bahawa tindakan tidak akan diambil terhadap ahli politik"

"Malam ini, saya menyatakan dengan tegas kepada ahli politik yang korup, saya hanya mempunyai satu perkataan sahaja - tunggu!" kata Zuklifli di Hari Ini 8 di saluran 501 Astro Awani semalam.

Tambah beliau, yang menggalas tugas sebagai Ketua SPRM Ogos lalu, badan penguatkuasa pencegah rasuah tersebut akan kekal dengan janji untuk melakukan penangkapan dan pendakwaan terhadap individu yang terlibat dalam rasuah setiap minggu.


"Saya telah menyatakan bahawa SPRM akan mengambil tindakan memfailkan tuduhan atau membuat tangkapan pada setiap minggu sehinggalah akhir tahun 2017"

"Ini janji saya dan sehingga kini, saya telah kotakan janji tersebut," jelasnya.

Sepanjang tahun lepas, SPRM itu telah menahan 932 individu kerana terbabit salah laku rasuah.

Daripada jumlah itu, SPRM telah membuka 982 kertas siasatan dan 258 daripadanya dibawa ke mahkamah setakat 15 Disember lepas.

"Rakyat harus berlaku adil kepada saya kerana saya baru menerajui SPRM dalam tempoh tidak lebih enam bulan."

"Tapi kami telah ambil tindakan ke atas Tan Sri, Datuk Seri, Datuk dan pelbagai golongan masyarakat lain yang terlibat dalam rasuah," katanya.

Tambahnya, SPRM akan memerangi kegiatan rasuah secara habis-habisan.

"Yang pasti, kita tidak akan melepaskan sesiapa yang terlibat - tidak kira pangkat atau kedudukan, sama ada ahli politik, ahli perniagaan atau ahli GLC (syarikat berkaitan kerajaan) mahupun penjawat awam di Malaysia ini," tegasnya.

Thursday, January 19, 2017

Op Guinea: Pemangku CEO GLC dan Pengurus dicekup SPRM

Seorang pemangku Ketua Pegawai Eksekutif bergelar Datuk dan pengurus jualan antarabangsa sebuah syarikat mi­lik kerajaan (GLC) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam projek E-Pasport melibatkan kerajaan sebuah negara di benua Afrika antara 2013 hingga 2015.

Kedua-dua suspek berusia 58 dan 36 tahun itu ditahan di kediaman masing-masing di Tropicana Indah, Petaling Jaya, Selangor dan Taman Desa, Jalan Kelang Lama, dekat sini kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.

Difahamkan, syarikat GLC itu telah menandatangani satu perjanjian dengan kerajaan negara terbabit bagi tempoh 15 tahun untuk menyediakan permohonan E-Pasport

Kedua-dua mereka ditahan di dalam operasi khas SPRM dikenali ‘Op Guinea’.

Wednesday, January 18, 2017

Gelap mata punca rasuah di sektor awam

Ketua Unit Kaunseling UPSI, Dr. Fauziah Mohd Saad berkata gejala rasuah terus membelenggu penjawat awam ekoran harapan yang yang tinggi terhadap gaya hidup mewah sekelip mata.

Katanya lagi, moral yang rendah dan lemah menjadi penyebab utama terjerumus dalam kancah rasuah sekali gus lupa soal etika dan integriti.

Tambah beliau, rasuah yang telah menjadi tabiat juga didorong oleh faktor pengaruh media dan perubahan standard gaya hidup masyarakat yang tinggi.

Sementara itu, Pakar Kriminologi dan Pensyarah Kanan UKM, Dr. Mohammad Rahim Kamaluddin berkata tabiat rasuah menepati teori kelakuan yang terdiri daripada tiga komponen iaitu peluang, tekanan dan rasionalisasi.


Katanya, penjawat awam akan menggunakan peluang iaitu kedudukan dan status mereka diikuti oleh tekanan seperti kos sara hidup dan gaya hidup mewah dalam masa singkat serta rasionalisasi iaitu sentiasa mencari sebab untuk menghalalkan cara.

Monday, January 9, 2017

PM ingatkan penjawat awam jangan ambil hak rakyat




Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan semua penjawat awam agar tidak mengambil hak rakyat dengan terlibat dalam gejala rasuah.

Beliau mengulas tentang beberapa kes penahanan anggota pegawai tinggi kerajaan yang terlibat dalam rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

"Langkah yang diambil sehari dua ini oleh SPRM mengingatkan pada kita bahawa jangan ambil hak rakyat. Ini rakyat punya.


"Jangan ambil hak rakyat sebab kita buat peruntukkan, program disediakan segala-galanya, bajet untuk rakyat. Kalau berlaku ketirisan, rakyat akan hampa dan hilang keyakinan," katanya ketika menyampaikan amanat pertama tahun ini kepada penjawat awam di Himpunan Bulanan Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

Sunday, January 8, 2017

SPRM Pantau FB Penjawat Awam, Isteri Menunjuk-Nunjuk Kemewahan



Penjawat awam dan isteri yang gemar menunjuk-nunjuk dengan memuatnaik gambar barangan mewah yang dimiliki seperti beg dan jam tangan, selain percutian keluarga bertaraf lima bintang perlu berwaspada kerana mereka sedang diperhatikan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini giat mengikuti status di laman media sosial terutama Facebook dan Instagram.

Selain itu, aktiviti bermain golf di luar negara melibatkan penjawat awam berjawatan tinggi, serta kegiatan pegawai kerajaan peringkat pertengahan dan rendah juga dipantau rapi kerana ada kes di mana gaya hidup mereka tidak seiring dengan pendapatan bulan.

The Star dimaklumkan, ada kes di Sabah di mana sekumpulan penjawat awam yang bercuti ke London dan menunjuk-nunjuk aktiviti sepanjang tempoh percutian itu di Facebook hingga ia menjadi bualan ramai.

Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan pihaknya memantau laman sosial penjawat awam yang gemar menunjuk-nunjuk gaya hidup mewah mereka.

"Kami bergantung kepada maklumat awam dan bukti yang dikumpul pegawai risikan bagi menyiasat kegiatan yang dikesan," katanya sambil menambah ia tugasan mencabar kerana melibatkan 1.6 juta penjawat awam.

Katanya, tidak salah bagi penjawat awam dan ahli keluarga untuk memiliki beg tangan dan jam tangan mewah.

"Tetapi memiliki lebih daripada satu beg tangan mewah jenama Hermes, Chanel or Louis Vuitto boleh menimbulkan keraguan dan rasa syak mengenai dari mana datangnya sumber kewangan itu.

"Jika penjawat awam atau ahli keluarga mereka memiliki banyak beg tangan mewah dan menunjuk-nunjuk pula, kami mahu tahu dari mana mereka dapatkan wang untuk membeli barangan mewah itu," katanya.

Azam diminta mengulas siasatan terkini berkaitan dakwaan rasuah melibatkan seorang ketua setiausaha sebuah kementerian apabila sejumlah barangan mewah termasuk 150 beg tangan dan jam dirampas dan disita dalam operasi di sebuah rumah di Subang Jaya pada Rabu.

Oktober lalu, sejumlah barang kemas mencecah RM3.64 juta dan beg tangan berjenama bernilai RM500,000 dirampas daripada dua pegawai kanan Jabatan Air Sabah.

Kata Azam, pihaknya juga akan bekerjsama rapat dengan pihak berkuasa lain seperti Jabatan Imigresen bagi memeriksa kekerapan perjalanan penjawat awam terlibat ke luar negara bersama ahli keluarga dan tujuan berbuat demikian.


"Inilah antara petunjuk yang digunakan sebagai sebahagian langkah siasatan terhadap penjawat awam yang menjalani kehidupan melebihi keupayaan mereka," katanya.

SPRM tahan bekas CEO TEKUN Nasional


Turut disiasat hubung kait dengan KSU KKLW

Seorang bekas Pengarah Urusan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional yang sebelum ini didakwa atas pertuduhan menerima rasuah dua tahun lalu ditahan semula hari ini atas kesa­lahan lain iaitu meminta suapan bernilai RM36,000.

Suspek bergelar Datuk berusia 62 tahun yang baru pulang dari menunaikan umrah semalam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira pukul 5.15 petang hari ini di kediamannya di Bukit Bandaraya, Shah Alam, Selangor.
Menurut sumber, suspek dipercayai menerima wang suapan RM36,000 pada 15 Januari 2015 ketika masih memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TEKUN Nasional sebagai dorongan membantu mempercepatkan proses bayaran tuntutan sebuah syarikat pemungut hutang berjumlah RM360,009.

“Wang suapan berkenaan adalah 10 peratus daripada hasil ku­tipan ‘Hutang Lapuk TEKUN Nasional’ bagi bulan November tahun sebelumnya.

“Suspek yang memegang jawatan tersebut sejak 2008 hingga 2014 telah melantik syarikat pe­mungut hutang itu kononnya bagi memungut hutang yang tidak dibayar lebih daripada dua tahun oleh peminjam,” kata sumber.

Sumber memberitahu, suspek kini masih dalam perbicaraan di mahkamah bagi dua pertuduhan menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan meluluskan permohonan pinjaman program perintis TEKUN berjumlah RM200,000 kepada sebuah syarikat e-learning yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya.

“SPRM turut menjalankan siasatan sama ada suspek mempunyai kaitan dengan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Mohd. Arif Ab. Rahman dalam isu rasuah melibatkan kementerian tersebut memandangkan sebelum ini Mohd. Arif juga pernah menjadi Ahli Lembaga TEKUN Nasional,” ujarnya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan memaklumkan suspek akan didakwa di Mahkamah Shah Alam esok atas pertuduhan menerima suapan tersebut.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Mohd. Arif dan dua anaknya ditahan SPRM selepas disyaki menerima sejumlah wang suapan daripada syarikat-syarikat yang berkepentingan sejak dilantik se­ba­gai pegawai kerajaan negeri ber­mula tahun 2010.

Hasil pemeriksaan selama 12 jam di rumah suspek, SPRM merampas wang tunai lebih RM3 juta daripada akaun dan mata wang asing serta jongkong emas yang nilainya masih belum diketahui serta 150 barangan terdiri daripada tas tangan dan jam tangan pelbagai jenama.

KSU kementerian itu dipercayai turut melimpahkan kemewahan kepada keluarga antaranya dengan cara membawa mereka menikmati percutian mewah ke luar negara sambil bermain golf dengan beberapa individu yang mempunyai kepentingan dan urusan rasmi de­ngan kementeriannya.

Malah penahanan itu turut membuktikan komitmen dilaungkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad yang menegaskan pihaknya akan melakukan penangkapan dan pendakwaan terhadap individu yang terlibat dalam rasuah setiap minggu selari dengan moto SPRM iaitu ‘2017 sebagai tahun memerangi rasuah’.


Dzulkifli turut menegaskan tin­dakan itu bukan sahaja akan melibatkan penjawat awam, ma­lah individu lain termasuk mereka yang berada dalam syarikat milik kerajaan (GLC).

KSU hidup mewah ditahan SPRM


SPRM telah menahan tiga individu termasuk seorang Ketua Setiausaha (KSU) sebuah Kementerian bergelar Dato’ kerana disyaki terlibat dalam perbuatan rasuah.

KSU tersebut yang berusia 59 tahun dipercayai telah menyalahgunakan kuasa jawatan dan kedudukannya dengan menerima rasuah daripada mereka yang berkepentingan.

Turut ditahan dua anak lelaki berusia yang dipercayai berperanan menerima serta menyimpan wang hasil rasuah daripada kontraktor, pembekal dan vendor yang mempunyai kepentingan dengan KSU terbabit.

Menurut sumber, tiga bulan selepas menjejaki beliau,SPRM mula bertindak dan menahan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd Arif Ab Rahman di kediamannya ketika beliau mahu keluar ke pejabat.

Jongkong emas, 150 beg tangan mewah, jam tangan berjenama dan mata wang asing ditemui selepas beberapa pegawai menggeledah kediamannya di USJ3, Subang Jaya, selama 12 jam.

Jongkong emas, mata wang Australia serta Eropah yang dirampas dianggarkan bernilai RM3 juta.



Antara beg tangan mewah yang ditemui adalah dari jenama seperti seperti Channel, Hermes, Dior, Louis Vuitton dan Gucci.

Beg-beg ini berada dalam lingkungan harga dari RM7,000 ke RM100,000 setiap satu.

Ketika dihubungi, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Azam Baki mengesahkan penahanan Mohd Arif, 59, dan anak lelakinya yang berusia 29 tahun di rumah mereka pada pukul 8 pagi Rabu.

Beliau berkata siasatan dilakukan kerana suspek disyaki terlibat dalam kes penyalahgunaan kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram.

Difahamkan, SPRM akan menyiasat semua lawatan beliau ke luar negara dan perbelanjaan lain sama ada ia ditanggung atau telah dibayar oleh 'individu tertentu'.

Menurut sumber, Mohd Arif baru sahaja pulang dari bermain golf di Amerika Syarikat.

"Lebih ramai suspek akan ditahan tidak lama lagi untuk membantu siasatan," kata Azam.

Mohd Arif dan anaknya dijangka ditahan reman pagi Khamis.

Difahamkan, SPRM sedang menyiasat 38 akaun simpanan dan semasa, serta sekurang-kurangnya tiga peti simpanan di beberapa bank berkaitan dengan kes ini.

Siasatan ini juga meliputi beberapa bidang tanah.

Sumber itu berkata, beberapa dokumen dari sebuah pejabat peguam di Puchong berkaitan dengan plot tanah itu turut dirampas.

Difahamkan bahawa keterangan isteri Mohd Arif yang berusia 57 tahun juga telah direkodkan, begitu juga anak perempuannya yang berusia 32 tahun dan seorang lagi anak lelakinya berusia 34 tahun.

Pasangan itu mempunyai enam orang anak.

Percubaan untuk menghubungi Mohd Arif bagi mendapatkan komen tidak berjaya.

Kunjungan ke rumah teres dua tingkat miliknya yang terletak di bahagian paling tepi kira-kira pukul 7 malam menunjukkan tiada sesiapa berada di sana.

Tiga kereta mewah berada di bahagian anjung rumah. Kawasan perumahan tersebut berpagar dan dikawal.

Sebuah kereta jenis Proton Perdana berada di hadapan rumah.




Mohd Arif telah dilantik memegang jawatan dalam kementerian pada 16 Oktober 2015. Beliau juga adalah ahli lembaga syarikat berkaitan kerajaan.

Sebelum itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai ketua setiausaha di kementerian lain dan pernah menjadi timbalan ketua setiausaha dan pegawai kewangan negeri.


Beliau menyertai perkhidmatan awam pada 1981 sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik.

Tindakan setiap minggu – Dzulkifli


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melakukan penangkapan dan pendakwaan terhadap setiap individu yang terlibat dalam rasuah mulai minggu depan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, kedua-dua tindakan itu bukan sahaja akan melibatkan penjawat awam, tetapi juga individu lain termasuk mereka yang berada dalam syarikat milik kerajaan (GLC).

“Selepas ini pada setiap minggu akan ada tangkapan dan pertuduhan akan dibuat (ke atas pesalah rasuah). Saya akan mengotakan janji saya seperti mana dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia bahawa tiada lagi amaran, hanya tindakan,” katanya.

Beliau diminta mengulas tindakan terbaharu SPRM menahan ketua setiausaha sebuah kementerian yang dipercayai terlibat rasuah. Lelaki berusia 59 tahun dan berpangkat ‘Datuk’ itu dipercayai hidup mewah termasuk bermain golf di luar negara bersama beberapa individu yang mempunyai kepentingan dan urusan rasmi dengan kementeriannya.

Penahanan pegawai kanan tersebut dilakukan empat hari selepas Dzulkifli dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia memberi amaran kepada penjawat awam supaya berhenti bermain golf di luar negara.

Tegas Dzulkifli, SPRM melakukan pemantauan dan mempunyai maklumat mengenai pergerakan serta aktiviti segolongan penjawat awam tersebut yang turut disertai oleh mereka yang berkepentingan.

Sehubungan itu beliau mene­gaskan, tiada lagi amaran sebaliknya SPRM akan melancarkan operasi secara berterusan bagi mengambil tindakan ke atas penjawat awam yang terlibat dalam sebarang perlakuan jenayah rasuah dan salah guna kuasa.


Berikutan kenyataan Dzulkifli itu, Timbalan Ketua Pesuruhanjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki mendedahkan tiga ciri penjawat awam terlibat rasuah iaitu gaya hidup mewah termasuk bermain golf di luar negara, memiliki perempuan simpanan dan kerap melancong ke luar negara.

Kenapa Resah 'Perang Golf' SPRM?


Apabila Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad memberi amaran supaya penjawat awam khususnya pengurusan tertinggi menghentikan aktiviti bermain golf di luar negara, ramai yang ‘kepanasan’.

Ada yang mempersoalkan apa salahnya bermain golf dan ada pula bertanya kenapa hanya penjawat awam yang menjadi sasaran, apa agenda SPRM? Dua persoalan ini sudah dijawab oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki dalam wawancara dengan MACC.FM, kelmarin.

Kata Azam bermain golf tidak salah kerana beliau pun bermain golf, tetapi apa yang menjadi persoalannya adalah tindakan pegawai kanan kerajaan yang berbuat demikian dengan disertai oleh kontraktor dan pembekal.

“Jadi yang pergi ikut serta adalah terdiri kontraktor dan pembekal. Kalau pergi seorang tidak apa, kadang-kadang satu pejabat pergi. Ini bukan sahaja melibatkan pegawai persekutuan tetapi juga membabitkan pegawai negeri, daerah dan pihak berkuasa tempatan,’’ kata Azam dalam wawancara tersebut.

Bagi pihak yang membangkitkan soal kenapa penjawat awam menjadi sasaran, ini boleh dianggap soalan dangkal, begitu juga dengan tindakan mempersoalkan agenda SPRM. Agensi tersebut tidak ada apa-apa agenda, agenda SPRM seperti mana ditegaskan oleh Dzulkifli adalah: “Saya melihat amalan rasuah dan penyelewengan dalam kalangan penjawat awam adalah pengkhianatan kepada rakyat dan negara.’’

Sebab itulah awal-awal lagi ketika dilantik menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli memberi amaran kepada semua penjawat awam yang terlibat dalam sebarang aktiviti rasuah dan salah guna kuasa untuk segera ­menyerah diri atau tunggu tindakan tegas daripada SPRM.

Dan SPRM mula bertindak yang menyaksikan pada 2016 pelbagai kes berprofil tinggi melibatkan penyelewengan wang berpuluh-puluh juta ringgit berjaya dibongkar, tetapi malangnya ada yang masih mempersoalkan ­ketelusan SPRM.

Ini termasuklah melahirkan kekecewaan kerana ada kes tertentu tidak dibawa ke mahkamah dan menyebabkan seseorang berasa berdosa kepada rakyat Malaysia. Tetapi per­soalannya adakah semua kes di bawah siasatan SPRM dibawa ke mahkamah? Jika SPRM menjalankan siasatan dan mendapati tiada bukti yang betul-betul konkrit untuk mensabitkan ­kesalahan seseorang, adakah kes itu perlu juga dibawa ke mahkamah?

Dalam menyentuh soal ini, seorang pegawai kanan sebuah agensi penguat kuasa pernah berkata kepada penulis: “Kalau setakat hendak bawa kes berprofil tinggi ke mahkamah bagi mendapat publisiti apatah lagi sekadar mahu mengejar ranking buat apa. Kalaulah peguam negara sudah memutuskan tiada kes maka kita kena patuh. ­Memanglah sebagai pegawai atau pasukan penyiasat kita akan berasa kecewa tetapi dalam masa sama kita perlu akur kepada peruntukan undang-undang sedia ada.’’

Berdasarkan hujah itu adalah wajar jika mana-mana pihak tidak berasa kecewa seolah-olah ‘dunia akan kiamat’ kalau sesuatu kes tersebut tidak dibawa ke mahkamah selepas ia diteliti oleh Jabatan Peguam Negara. Jabatan tersebut sudah tentulah membuat keputusan berdasarkan kajian undang-undang yang mendalam apatah lagi jika ia melibatkan kes berprofil tinggi

Bagaimanapun penulis yakin apapun tohmahan, dakwaan dan serangan ke atas SPRM, ia tidak akan menjadi ‘kudis’ kepada agensi tersebut. SPRM perlu terus teguh meneruskan perjuangan membanteras penjawat awam yang mengamalkan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Biarlah sesiapapun untuk mewujudkan persepsi buruk kepada SPRM, apatah lagi mahu dilihat sebagai pejuang tegar kebenaran dan ketelusan. SPRM bertindak berdasarkan peruntukan undang-undang dan bukannya memenuhi agenda sesiapa.

Oleh itu ‘peperangan’ ke atas penjawat awam yang mengamalkan rasuah perlu diteruskan dan diperhebatkan, begitu syarikat milik kerajaan (GLC). Terlalu banyak cerita yang didengar, terlalu banyak khabar yang disebarkan, semua itu memerlukan tindakan segera, tegas dan proaktif sebelum barah rasuah dan salah guna kuasa merebak lebih jauh dan merobek keseluruhan integriti institusi perkhidmatan awam itu sendiri.’’

Begitulah juga dalam isu bermain golf di luar negara melibatkan penjawat awam. Mereka boleh berbuat demikian jika ada kemampuan disebabkan merasakan ‘padang golf’ di luar negara lebih menarik, tetapi biarlah pergi dengan belanja sendiri tanpa ditaja oleh sesiapa atau disertai oleh mana-mana individu yang boleh menimbulkan fitnah dan mencetuskan keraguan.

Bagi sesetengah penjawat awam yang selama ini ‘sudah biasa segala-galanya diuruskan’ mungkin tidak akan tidur lena dengan ‘perang golf’ yang sedang dilancarkan oleh SPRM. Mereka merasakan bila-bila masa ‘peluru’ SPRM akan ‘menembusi dada’, tetapi itulah risiko dan akibat yang perlu ditanggung apabila mereka begitu seronok bergelumang dalam medan sumber haram.

Kesimpulannya, SPRM perlu terus melaksanakan jihad ­memerangi rasuah dalam kala­ngan penjawat awam, GLC dan agensi penguat kuasa. Teruskan operasi. seretlah petualang-petulang pengamal rasuah tersebut ke muka pengadilan.

Tidak peduli ‘bilis atau jerung’ kerana bak kata, Dzulkifli “anai-anai atau nyamuk yang kecil jika tidak dibasmi atau dicegah akan turut membawa kerosakan, wabak dan kemudaratan besar kepada masyarakat”.


Begitulah juga dalam kalangan penjawat awam, tidak semua terlibat dengan rasuah, tetapi imej perkhidmatan awam akan terus terjejas, jika ‘bilis, jerung, anai-anai dan nyamuk terus dibiarkan membiak.’’ Oleh itu berani buat, beranilah tanggung. Ja­ngan kerana mahu hidup mewah, akhirnya papa kedana di sebalik tirai besi!

Kejar pangkat boleh tapi jangan cara haram


Tanamkan sifat taqwa dan integriti dalam menghadapi dugaan hidup yang penuh dengan cabaran. Demikian antara intipati ucapan Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia, Datuk Seri Zakaria Jaafar sempena Ucapan Tahun Baharu 2017.

Ujarnya, bagi menjauhi rasuah, individu harus menjauhkan diri daripada sikap tamak, mementingkan diri sendiri dan tidak amanah.

"Buatlah apa yang boleh kita buat. Jangan buat perkara yang kita tidak boleh buat seperti maksiat dan perbuatan haram.

"Jangan kita ambil mudah dalam memperolehi sesuatu dengan perbuatan yang salah dari sisi agama mahupun undang-undang. Hindarkan sikap ego dan sombong diri agar segala perbuatan dan keputusan yang dibuat akan berlandaskan pada nilai integriti yang tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Zakaria menasihati orang ramai supaya berusaha dengan cara yang betul dan berintegriti dalam mengejar pangkat, kedudukan dan kekayaan.

"Jangan kita ambil hak orang lain dan menindas orang yang lebih rendah dari kita hanya untuk mencapai apa yang kita kehendaki. Kejayaan yang sangat manis dan bermakna ialah kejayaan yang diperolehi dengan hasil usaha dan tenaga kita melalui jalan yang betul. Kerana rezeki yang baik akan menjadikan kita keluarga yang baik," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai supaya menanam semangat bermaafan dan ringan tangan dalam menjalankan tugas harian.

"Semangat ini akan membawa kita kepada sifat taqwa, kesyukuran dan sentiasa bersangka baik dalam menjalankan tanggungjawab. Intergriti itu adalah dalam diri kita sendiri. Yakinilah segala perbuatan baik akan dibalas dengan baik dan begitu juga sebaliknya," katanya lagi.

Tambah Zakaria lagi, tahun 2017 diramalkan akan lebih mencabar akibat dari keadaan ekonomi yang bergolak, tekanan dari negara luar terhadap isu 1MDB, kenaikan harga barang dan ramalan kehilangan pekerjaan yang dijangka mencapai 50,000 pekerja dari semua sektor.

"Belia dan golongan cendiakawan yang menjadi harapan negara kini menjadi sasaran perasuah bagi memenuhi keperluan mereka memperolehi keuntungan. Kemerdekaan dan Pembangunan Negara yang dibina selama 59 tahun akan musnah dan terkubur dengan sekelip mata akibat dari perbuatan rasuah," katanya.


Oleh itu, ujarnya "tanggungjawab memerangi rasuah terletak pada semua rakyat Malaysia. Rasuah akan terus berleluasa sekiranya masyarakat hanya menunding jari, berpuak-puak dan berpecah belah menyalahkan satu sama lain," katanya.

Thursday, January 5, 2017

3 petunjuk amal rasuah


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan tiga ciri yang menjadi petunjuk seseorang penjawat awam terlibat dalam amalan rasuah iaitu gaya hidup mewah termasuk bermain golf di luar negara, memiliki perempuan simpanan dan kerap ke luar negara.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, suruhanjaya itu berjaya menghidu kegiatan tersebut hasil risikan yang dijalankan.

“Kita melihat indikator-indikator (petunjuk-petunjuk) ini, jika pegawai hidup mewah, kita akan mempertikaikan dari (sumber) mana mereka dapat hidup mewah. Kita akan tanya di mana punca wang dapat, misalnya kalau dapat kerap ke luar negara, tiga atau empat kali setahun dengan (penerbangan) kelas pertama,” katanya.

Azam menegaskan, walaupun ada yang tidak bersetuju dengan amaran Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad dan beliau yang meminta penjawat awam khususnya pe­ngurusan kanan berhenti bermain golf di luar negara, namun amaran itu dilakukan kerana ia merupakan ciri-ciri mereka yang mengamalkan rasuah.

“Banyak kita dapat maklumat melibatkan pegawai kerajaan tertinggi dan pegawai kanan yang bermain golf di luar negara yang turut bersama adalah kontraktor dan pembekal. Kalau pergi seorang tidak apa, kadang-kadang satu pejabat pergi.

“Ini bukan sahaja melibatkan pegawai persekutuan tetapi juga pegawai negeri, daerah dan pihak berkuasa tempatan. Pada kami, penjawat awam per­lu menghentikan kegiatan bermain gol di luar negara (kerana) akan menjejaskan imej perkhidmatan awam negara ini,” tegasnya.

Dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia pada Ahad lalu, Dzulkifli yang mengingatkan penjawat awam supaya berhenti bermain golf di luar negara menegaskan, SPRM melakukan pemantauan dan mempunyai maklumat mengenai pergerakan serta aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh mereka.

Azam seterusnya berkata, 2017 merupakan tahun untuk SPRM menumpukan operasi siasatan dan risikan terhadap gejala rasuah yang berlaku dalam sektor perkhidmatan awam, syarikat milik kerajaan (GLC) dan institusi perbankan.

Katanya, kegiatan rasuah dalam perkhidmatan awam khususnya sektor penguatkuasaan dan perolehan dilihat masih serius sekali gus menuntut SPRM mengekang kegiatan itu bagi membantu negara daripada mengalami kerugian hasil kerajaan.

“Kita berharap pegawai kerajaan yang terlibat rasuah bertaubat segera dan hentikannya kerana perbuatan anda menjejaskan imej perkhidmatan awam,” katanya.

Menurutnya, bagi mempertingkatkan kecekapan pengendalian risikan kes rasuah, SPRM akan memperluas siasatan berasaskan risikan (IBI) berbanding kaedah reaktif iaitu siasatan berdasarkan maklumat orang ramai.

Mengulas lanjut, Azam menjelaskan SPRM berjaya mencapai pelbagai kejayaan sepanjang tahun lalu menerusi siri tangkapan dan siasatan melibatkan kes bernilai jutaan ringgit antaranya Ops Water, operasi bauksit dan penyelewengan dana Kementerian Belia dan Sukan.


“Bagi tahun lalu sebanyak 982 kertas siasatan dibuka, 932 tangkapan dibuat dan 258 didakwa di mahkamah yang melibatkan jumlah lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Sunday, January 1, 2017

Dzulkifli: SPRM ‘mesra rakyat, digeruni perasuah’


Ketika mengambil alih jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 1 Ogos 2016, DATUK DZULKIFLI AHMAD bukan sahaja berhadapan dengan 'serangan’ daripada pihak tertentu malah dilumuri pelbagai persepi khususnya berkaitan ketelusan SPRM.

Tetapi ia ternyata tidak melemahkan semangat beliau. Beliau menegaskan, semua itu sememangnya sudah diduga dan menganggap jawatan disandangnya sebagai wadah perjuangan dan satu jihad.

Kini di bawah kepemimpinan Dzulkifli, beliau berjaya membuktikan kewibawaan SPRM khususnya dalam membanteras rasuah dalam kalangan penjawat awam.

Usaha itu akan terus dipertingkatkan pada tahun ini kerana beliau menegaskan, perbuatan penjawat awam terlibat dalam rasuah merupakan pengkhianatan kepada rakyat dan negara.

Datuk mengambil alih jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM dalam keadaan agak kontroversi. Pelbagai andaian dibuat termasuklah persepsi berhubung ketelusan SPRM, apa pandangan Datuk?
Saya menyedari tugas yang dipertanggungjawabkan kepada saya merupakan satu amanah yang amat berat dan memahami cabaran getir dan harapan tinggi yang diletakkan kepada saya. Bagaimanapun saya menerima dan melihat tanggungjawab tersebut sebagai suatu wadah perjuangan dan peluang bagi saya untuk terus berkhidmat dan berbakti kepada negara dan rakyat.

Dalam menerajui SPRM ke arah memerangi rasuah, saya menerima apa sahaja andaian, persepsi negatif mahupun kritikan yang dilemparkan terhadap saya sebagai sebahagian daripada ranjau perjuangan dan jihad saya. Walaupun andaian atau persepsi negatif tersebut tidak mempunyai asas, namun saya tetap berlapang dada dan menjadikan ia sebagai motivasi untuk saya berusaha sebaik mungkin untuk melaksanakan tanggungjawab. Dalam menjalankan amanah ini saya sama sekali tidak akan memperjudikan ketelusan dan kebebasan SPRM, sebaliknya akan memastikan SPRM akan kekal menerajui usaha pencegahan rasuah di Malaysia secara amanah, tegas dan adil.

Apakah kekangan utama SPRM dalam usaha membanteras rasuah kerana khabarnya SPRM menghadapi masalah dari segi aset dan tenaga kerja sehingga dikatakan menjejaskan proses pendakwaan?
Ramai tidak sedar bahawa keanggotaan SPRM termasuk kakitangan guna samanya di seluruh negara hanyalah sekitar lebih kurang 2,900 orang. Daripada jumlah tersebut pula tidak semua pegawai SPRM melaksanakan tugas bersifat operasi, malah tenaga kerja ini turut dibahagikan untuk melaksanakan tugas pencegahan dan pendidikan. Ia sudah tentunya mewujudkan keterbatasan dalam SPRM melaksanakan tugas penguatkuasaan rasuah di seluruh negara. Selain itu, SPRM juga terkesan dengan kadar pengurangan belanjawan operasinya yang diperuntukkan bagi tahun 2017. Belanjawan operasi SPRM dikurangkan sehingga menjadi yang terendah sejak 2013.

Bagaimanapun saya akan melaksanakan perancangan tersendiri bagi memastikan kemampuan SPRM sebagai sebuah agensi pencegahan rasuah negara yang ulung akan kekal dipelihara dan dipertingkatkan walaupun dengan wujudnya kekangan-kekangan tersebut.

Saya juga turut yakin dan percaya kekangan seumpama itu tidak akan melemahkan semangat dan menghalang warga kerja SPRM untuk terus berkhidmat penuh kesungguhan dan dedikasi. Saya dan warga kerja SPRM melihat kekurangan ini sebagai satu cabaran, bukannya alasan untuk tidak menjalankan tugas. Komitmen dan kesungguhan warga kerja SPRM dalam menjalankan tugas ini jelas diterjemahkan melalui kerancakan beberapa siri operasi yang dilancarkan sejak empat bulan lalu serta kepelbagaian aktiviti pencegahan dan pendidikan masyarakat.

Yakinlah SPRM akan kekal menjalankan tugas dan amanahnya dengan ikhlas dalam apa keadaan sekali pun. Justeru, saya berharap rakyat terus memberikan kerjasama, sokongan dan dokongan kepada SPRM dalam menggembleng tenaga ke arah pembanterasan rasuah di Malaysia.

Sejauh manakah seriusnya masalah rasuah dan penyelewengan dalam kalangan penjawat awam, jika ini berterusan tidakkah ia boleh menghakis keyakinan awam kepada sektor awam dan kerajaan?
Saya melihat amalan rasuah dan penyelewangan dalam kalangan penjawat awam merupakan pengkhianatan kepada rakyat dan negara. Segelintir penjawat awam kadangkala lupa mereka seharusnya berkhidmat untuk rakyat dan menjadi pelindung (guardians) kepada hasil dan kepentingan negara. Sekiranya jenayah rasuah dan penyelewengan ini tidak dibendung dan dibiarkan berleluasa dalam kalangan penjawat awam, maka ia bukan sahaja boleh menghakis keyakinan rakyat, tetapi juga akan mengakibatkan kebajikan dan kepentingan rakyat terjejas. Dalam masa sama turut menggugat kestabilan ekonomi, keselamatan dan pembangunan negara.

Oleh itu sejak saya memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, saya memberi amaran kepada semua penjawat awam yang terlibat dalam sebarang aktiviti rasuah dan salah guna kuasa untuk segera menyerah diri atau tunggu tindakan tegas daripada SPRM. Beberapa siri operasi yang dilancarkan sejak Ogos 2016 membuktikan betapa seriusnya SPRM dalam membanteras dan memerangi rasuah dalam kalangan penjawat awam.

 Pada pandangan saya, kita tidak perlu menunggu sehingga masalah rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam menjadi begitu kritikal dan serius bagi mewajarkan SPRM mengambil tindakan. SPRM perlu mengambil tindakan segera, tegas dan proaktif sebelum barah rasuah dan salah guna kuasa merebak lebih jauh dan merobek keseluruhan integriti institusi perkhidmatan awam itu sendiri. Dalam hal ini saya amat bersyukur kerana Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa sering memberi sokongan penuh kepada SPRM untuk terus memburu kalangan penjawat awam yang merosakkan reputasi sektor awam dengan mengamalkan rasuah.


SPRM dilihat teragak-agak dalam melakukan siasatan apabila ia berkaitan dengan ahli politik khususnya kerajaan, adakah dakwaan ini benar? Apa komen Datuk?
Ia hanyalah persepsi semata-mata. Sebenarnya dakwaan itu sering dimainkan dan dikitar semula oleh mereka yang tidak ikhlas serta mempunyai agenda tertentu. Ia bukanlah satu perkara atau isu yang baru kerana telah pun diutarakan berulang kali sebelum saya menyandang jawatan Ketua Pesuruhjaya lagi.

SPRM sentiasa bersedia menerima sebarang maklumat atau laporan berhubung kesalahan rasuah dan salah guna kuasa yang dikemukakan tanpa memilih bulu. Setiap maklumat atau laporan akan disiasat dan diteliti kesahihannya bagi menentukan sama ada ia mempunyai asas dan elemen rasuah sebelum SPRM membuka kertas siasatan dan mula menyiasat kes tersebut secara lebih mendalam.

SPRM tidak pernah dan tidak gentar menjalankan tugas menurut batas undang-undang. Jika hasil siasatan mendapati mana-mana individu terlibat dalam perbuatan rasuah dan ada bukti-bukti mencukupi, SPRM akan mengambil tindakan sewajarnya tanpa mengira jawatan, ideologi politik dan kedudukan individu yang disiasat itu.

Apakah strategi dan pendekatan dalam usaha SPRM menjayakan Tahun 2017 sebagai tahun memerangi rasuah?
Kita akan melipatgandakan aktiviti merakyatkan SPRM melalui pelbagai program pencegahan dan pendidikan masyarakat mengenai kesan dan bahaya gejala rasuah dan salah guna kuasa. Pada masa sama tahun 2017 juga akan memperlihatkan SPRM menggandakan tindakan operasi dan penguatkuasaan bagi memerangi rasuah dan salah guna kuasa dengan lebih agresif lagi kerana “I am a no nonsense man when it comes to corruption”.

Tahun 2017 juga akan menjadi tahun bahawa SPRM akan terus mengotakan janji-janjinya. Tiada lagi laungan amaran akan diberikan kepada mereka yang masih hanyut di dalam ketamakan rasuah dan salah guna kuasa. Fokus operasi dan penguatkuasaan akan diberikan kepada sektor kritikal negara seperti perkhidmatan awam khususnya agensi-agensi penguatkuasaan, badan-badan pengawal dan pihak berkuasa tempatan serta negeri, syarikat yang berkaitan Kerajaan (GLC) dan sektor swasta, khususnya institusi kewangan dan perbankan.

Sebagai usaha berterusan ke arah memartabatkan imej negara, SPRM menubuhkan jawatankuasa dalaman bagi memberi fokus kepada perencanaan strategi secara lebih menyeluruh dan teratur bagi menambah baik kedudukan ‘Corruption Perception Index’ (CPI) Malaysia. Jawatankuasa itu akan mengkaji dan merangka pelan ke arah memastikan kedudukan CPI Malaysia bagi tahun 2016 dan tahun-tahun seterusnya akan senantiasa diperbaiki. Adalah menjadi harapan saya agar inisiatif ini akan menjelmakan hasil serta impak positif kepada rakyat dan negara.

Pendekatan ini selaras dengan hasrat SPRM untuk menjadi sebuah agensi ‘mesra rakyat dan pada masa yang sama digeruni perasuah’. Tindakan ini direncanakan dengan keazaman untuk merakyatkan SPRM dan memperoleh sokongan dan keyakinan masyarakat supaya mereka merasa selesa untuk bersama dan mendekati SPRM. Ia memandangkan isu rasuah adalah isu rakyat dan SPRM harus dilihat hampir dan seiring dengan aspirasi rakyat.

Setakat ini bagaimanakah persepsi dan sambutan orang awam terhadap usaha SPRM dalam membanteras rasuah dalam kalangan penjawat awam kerana ada yang berpandangan SPRM hanya ‘berani menyentuh’ golongan yang dianggap ‘ikan bilis’ bukan ‘jerung’?
Dalam perjuangan memerangi rasuah, tidak wujud istilah ‘ikan bilis’ atau ‘jerung’. Anai-anai atau nyamuk yang kecil sekiranya tidak dibasmi atau dicegah akan turut membawa kerosakan, wabak dan kemudaratan besar kepada masyarakat. Justeru, saya akan memastikan jentera SPRM dilancarkan sepenuhnya terhadap mereka yang terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa tanpa mengira personaliti atau jumlah terlibat. Rasuah tetap rasuah dan ia satu jenayah keji yang harus diperangi habis-habisan.

Sejak saya mengambil alih teraju SPRM, masyarakat boleh menilai keikhlasan SPRM menjalankan tugas berdasarkan kekerapan operasi ke atas individu berjawatan tinggi, berkedudukan dan mempunyai gelaran. Jumlah wang dan harta rampasan mencecah nilai ratusan jutaan ringgit. Oleh itu jelas istilah perbandingan ‘ikan bilis’ atau ‘jerung’ sudah tidak sesuai lagi dipakai.

Sejak kebelakangan ini, saya amat merasai peningkatan sokongan dan kepercayaan masyarakat terhadap SPRM. Keyakinan ini diperlihatkan melalui peningkatan penglibatan dan kehadiran masyarakat melalui program SPRM bersama rakyat serta melalui peningkatan jumlah mereka yang tampil ke hadapan untuk berkongsi maklumat dan aduan. Situasi ini memberi semangat kepada SPRM untuk terus istiqamah melaksanakan tugas dan amanah memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Namun demikian, ingin saya nyatakan bahawa tanggungjawab dan tugas untuk memastikan negara bersih dan bebas daripada sebarang gejala rasuah bukanlah tugas SPRM semata-mata, sebaliknya merupakan tugas kita semua sebagai rakyat Malaysia. Pendek kata, masyarakat perlu benci rasuah, harus tolak rasuah dan bersama-sama SPRM memerangi rasuah.

Usaha pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang dalam memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa akan sia-sia jika rakyat daripada segenap lapisan tidak bersama SPRM. Lantaran itu, saya menggesa seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira usia, agama, bangsa dan ideologi agar terus kekal memberikan kerjasama dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada SPRM dalam perjuangan berterusan bagi memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Apakah nasihat Datuk kepada penjawat awam, orang ramai dan mereka yang terlibat dalam rasuah?
‘Enough is enough, please stop. No more warnings will be given’. Operasi demi operasi secara berterusan akan dilaksanakan secara konsisten selepas ini dan SPRM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mereka yang masih degil terlibat dengan sebarang perlakuan jenayah rasuah dan salah guna kuasa. Saya juga ingin turut memberikan peringatan kepada penjawat awam, khususnya dalam kalangan pengurusan tertinggi yang sering melancong keluar negara semata-mata untuk bermain golf.

SPRM melakukan pemantauan dan mempunyai maklumat mengenai pergerakan dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh segolongan penjawat awam ini. Saya ingin menasihatkan golongan penjawat awam ini agar menghentikan serta-merta aktiviti mereka dan tidak perlulah mereka keluar negara untuk bermain golf khususnya di Indonesia dan Thailand.

Di Malaysia sudah terdapat begitu banyak padang golf yang serba indah dan lengkap dengan prasarananya. Adalah lebih baik bagi mereka untuk memakmurkan sahaja padang golf tempatan sambil membantu menjana hasil pendapatan pengusaha padang golf di negara kita. ‘They are not professional golfers’ dan tidak ada keperluan untuk mereka ke luar negara semata-mata untuk bermain golf.

Kami turut mempunyai maklumat bahawa individu-individu terbabit juga akan disertai oleh golongan tertentu, yakni mereka yang berkepentingan, setibanya mereka di sana. Walaupun kadangkala individu-individu terbabit menunjukkan bahawa perjalanan mereka dibiayai dengan hasil pendapatan sendiri namun sebaik-baik sahaja tiba di sana, mereka akan disambut oleh golongan-golongan tertentu ini bagi membiayai segala perbelanjaan lain termasuklah perbelanjaan untuk membeli-belah dan sebagainya. ‘So again I repeat, stop immediately all this activities before it is too late!’.