Sunday, January 8, 2017

SPRM Pantau FB Penjawat Awam, Isteri Menunjuk-Nunjuk Kemewahan



Penjawat awam dan isteri yang gemar menunjuk-nunjuk dengan memuatnaik gambar barangan mewah yang dimiliki seperti beg dan jam tangan, selain percutian keluarga bertaraf lima bintang perlu berwaspada kerana mereka sedang diperhatikan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini giat mengikuti status di laman media sosial terutama Facebook dan Instagram.

Selain itu, aktiviti bermain golf di luar negara melibatkan penjawat awam berjawatan tinggi, serta kegiatan pegawai kerajaan peringkat pertengahan dan rendah juga dipantau rapi kerana ada kes di mana gaya hidup mereka tidak seiring dengan pendapatan bulan.

The Star dimaklumkan, ada kes di Sabah di mana sekumpulan penjawat awam yang bercuti ke London dan menunjuk-nunjuk aktiviti sepanjang tempoh percutian itu di Facebook hingga ia menjadi bualan ramai.

Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan pihaknya memantau laman sosial penjawat awam yang gemar menunjuk-nunjuk gaya hidup mewah mereka.

"Kami bergantung kepada maklumat awam dan bukti yang dikumpul pegawai risikan bagi menyiasat kegiatan yang dikesan," katanya sambil menambah ia tugasan mencabar kerana melibatkan 1.6 juta penjawat awam.

Katanya, tidak salah bagi penjawat awam dan ahli keluarga untuk memiliki beg tangan dan jam tangan mewah.

"Tetapi memiliki lebih daripada satu beg tangan mewah jenama Hermes, Chanel or Louis Vuitto boleh menimbulkan keraguan dan rasa syak mengenai dari mana datangnya sumber kewangan itu.

"Jika penjawat awam atau ahli keluarga mereka memiliki banyak beg tangan mewah dan menunjuk-nunjuk pula, kami mahu tahu dari mana mereka dapatkan wang untuk membeli barangan mewah itu," katanya.

Azam diminta mengulas siasatan terkini berkaitan dakwaan rasuah melibatkan seorang ketua setiausaha sebuah kementerian apabila sejumlah barangan mewah termasuk 150 beg tangan dan jam dirampas dan disita dalam operasi di sebuah rumah di Subang Jaya pada Rabu.

Oktober lalu, sejumlah barang kemas mencecah RM3.64 juta dan beg tangan berjenama bernilai RM500,000 dirampas daripada dua pegawai kanan Jabatan Air Sabah.

Kata Azam, pihaknya juga akan bekerjsama rapat dengan pihak berkuasa lain seperti Jabatan Imigresen bagi memeriksa kekerapan perjalanan penjawat awam terlibat ke luar negara bersama ahli keluarga dan tujuan berbuat demikian.


"Inilah antara petunjuk yang digunakan sebagai sebahagian langkah siasatan terhadap penjawat awam yang menjalani kehidupan melebihi keupayaan mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment