Thursday, March 30, 2017

Cubaan rasuah Sultan Johor: SPRM beri masa sehingga 12 malam ini serah diri


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi tempoh sehingga 12 malam ini kepada individu yang cuba merasuah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berhubung penganugerahan pingat untuk menyerah diri di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata jika ingkar, nama serta gambar individu itu akan didedahkan.

"Kami tahu dia masih berada dalam negara dan kami juga telah bekerjasama dengan pihak berkaitan menghalang atau menyekat beliau dari meninggalkan negara. Individu ini berketurunan Cina dan berkepala botak.

"Dia tahu kami sedang mencarinya dan kalau dia masih berdegil kami akan tahan beliau selepas tempoh yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang SPRM di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan suruhanjaya itu susulan pertemuan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad dan pegawai kanan SPRM yang telah menghadap Sultan Ibrahim di ibu negara berhubung pendedahan yang dibuat baginda.

Pada 25 Mac lepas, Sultan Johor mendedahkan baginda menerima tawaran RM2 juta daripada seorang individu untuk mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara bagi mendapatkan gelaran 'Tan Sri' daripada Yang di-Pertuan Agong.

Mengenai keperluan sama ada SPRM perlu merakam kenyataan rasmi daripada Sultan Ibrahim, Azam berkata buat masa ini pihaknya menumpukan usaha untuk 'mendapatkan' individu terbabit terlebih dahulu.


"Baginda Sultan telah bagi maklumat dan kami perlu dapatkan individu ini dahulu untuk tindakan seterusnya," katanya.

Tuesday, March 28, 2017

Isu rasuah penganugerahan pingat: SPRM mengadap Sultan Johor

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berhubung isu orang tengah yang cuba merasuah baginda untuk penganugerahan pingat kebesaran di sebuah lokasi, sebentar tadi.

Pertemuan di antara baginda dan SPRM diwakili Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad yang tiba di lokasi berkenaan pada pukul 8.30 pagi.

Dzulkifli kemudian dilihat meninggalkan lokasi dengan kenderaan rasminya pada pukul 9.40 pagi dan enggan mengulas lanjut mengenai perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu.

Sementara itu, Sultan Ibrahim juga enggan mengulas lanjut mengenai pertemuan itu ketika ditemui wartawan yang menunggu baginda di lokasi terbabit. “I’m going shopping (saya ingin pergi membeli-belah),” kata baginda sambil berjalan keluar dari lokasi berkenaan ke arah kenderaan rasmi, kira-kira pukul 10.15 pagi tadi.

Pada 25 Mac lepas, menerusi kenyataan yang dimuatnaik dalam laman Facebook baginda bertitah mahu SPRM mengadap baginda segera supaya perkara terbabit dapat disiasat.


Sultan Johor baru-baru ini mendedahkan baginda menerima tawaran RM2 juta daripada seorang individu bagi mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara untuk gelaran ‘Tan Sri’ daripada Yang di-Pertuan Agong.

Monday, March 20, 2017

4 polis termasuk pegawai dicekup SPRM


Empat polis termasuk seorang pegawai ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam dua kes berasingan kerana disyaki melakukan salah laku rasuah di Kulim, Kedah dan Raub, Pahang, hari ini.

Dalam kes pertama, seorang sarjan mejar dan koperal polis ditangkap kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukan mereka untuk meminta dan mengambil wang rasuah daripada pengusaha-pengusaha pengangkutan lori.

Kedua-duanya yang berusia 57 dan 53 tahun masing-masing ditangkap di Kulim, Kedah antara jam 9 pagi dan 10 pagi tadi.

Sumber berkata, kedua-duanya disyaki telah meminta dan mengambil wang rasuah berjumlah antara RM850 dan RM900 secara bulanan daripada beberapa pengusaha pengangkutan lori.

"Pengusaha-pengusaha lori diminta untuk membayar wang rasuah itu sebagai balasan supaya tidak dikenakan saman atas beberapa kesalahan lalu lintas yang didapati sering dilakukan mereka.

"Antara kesalahan-kesalahan lalu lintas yang sering dilakukan adalah lori tidak mempunyai insuran perlindungan, tiada cukai jalan, dan kesalahan-kesalahan lain di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1957," kata sumber.

Dalam kes kedua, seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan seorang koperal polis ditahan kerana dipercayai bersekongkol dengan peniaga-peniaga air ketum dengan mengambil rasuah sebagai wang perlindungan.

Suspek berpangkat Inspektor itu ditangkap di Raub, Pahang manakala suspek kedua ditangkap di Pulau Pinang pada jam 9 hingga 1 tengah hari, hari ini.

Kedua-duanya berusia 33 dan 31 tahun. Sumber berkata, mereka disyaki mengambil rasuah berjumlah antara RM2,000 antara RM3,500 daripada pengusaha-pengusaha air ketum ini yang disyaki melanggar undang-undang mengikut seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 "Perniaga air ketum ini dipercayai mampu memperoleh pendapatan bersih sehingga RM350 sehari dan mereka dipercayai sanggup untuk membayar wang perlindungan itu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Dato Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan keempat-empat tangkapan itu dan berkata SPRM memandang serius perbuatan yang dilakukan penguatkuasa yang bertanggungjawab melaksana amanah yang dipertanggungjawabkan.

"Rasuah pengusaha lori boleh mengundang kejadian-kejadian yang tidak diingini kerana ia secara langsung membabitkan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

"Manakala kes ketum tidak boleh dipandang remeh kerana ia membabitkan kemudaratan kesihatan masyarakat apabila pengambilan bahan itu secara berlebihan memberi kesan negatif seperti mana pengambilan alkohol dan dadah," katanya.


Katanya, kedua-dua membabitkan anggota dan pegawai polis itu akan direman esok untuk membantu siasatan mengikut mengikut seksyen 17 (a) Akta SPRM yang mana memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi. 

Wednesday, March 15, 2017

Bekas Pengarah MITI Kelantan direman




Bekas Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kelantan direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu membabitkan nilai RM600,000.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Norida Mohd Husin.

Perintah reman berkenaan bermula hari ini sehingga 21 Mac 2017.

Suspek berusia 35 tahun ditahan di pejabatnya di Putrajaya tengah hari semalam.

Siasatan awal telah mengesan wang berjumlah RM 190,000 dalam akaun bank milik suspek.

Siasatan dijalankan mengikut mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana membuat tuntutan palsu.

10 pegawai imigresen dicekup ambil rasuah lindungi PATI



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan 10 pegawai Imigresen Sarawak atas dakwaan rasuah untuk mengelakkan tindakan diambil ke atas warga asing tanpa dokumen perjalanan (PATI) dan permit kerja yang sah di Sarawak.

Dalam operasi yang dilancarkan sejak semalam, enam daripada yang ditahan ialah pegawai wanita.

Kesemua suspek ditangkap di beberapa lokasi yang berlainan termasuk Pejabat Imigresen Sarawak, Lapangan Terbang Kuching, Pejabat Imigresen Pending dan Pusat Tahanan Depot Semuja, Serian antara jam 1.30pm dan 4.30pm.

Pengarah Siasatan SPRM, Dato Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan-tangkapan tersebut dan tidak menolak kemungkinan ramai lagi yang akan ditahan berhubung kes tersebut.
Tambah beliau, suspek yang berusia antara 33 dan 53 tahun akan dibawa ke Mahkamah Kuching untuk direman pada Khamis.

“Kemasukan pekerja asing secara haram itu bukan sahaja boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara, malah turut menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah di negeri ini,” ujarnya lagi.

Dalam siri tangkapan di negeri Bumi Kenyalang sejak bulan lalu, beberapa pegawai polis, pengusaha syarikat dan warga asing tanpa izin dicekup.

Difahamkan, penguatkuasa yang diamanahkan untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang sebaliknya telah menyalahgunakan kuasa yang diberikan kepada mereka dengan mengutip wang rasuah bagi melindungi pendatang-pendatang tanpa izin.

Kesemua suspek dipercayai telah menerima wang rasuah antara RM200 hingga RM5,000 bagi melindungi pendatang asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan dan permit perkerjaan yang sah.

SPRM juga telah merampas wang tunai kira-kira RM10,000 daripada salah seorang suspek yang ditahan.

Tangkapan tersebut susulan daripada beberapa operasi yang dilancarkan SPRM di Sarawak sejak bulan lalu. 


Dalam siri tangkapan di negeri Bumi Kenyalang itu, antara yang ditahan termasuk pegawai polis, pengusaha syarikat dan warga asing tanpa izin dicekup.  

Monday, March 13, 2017

BNM, SPRM, LHDN bersama tangani jenayah kewangan


Tiga agensi kewangan dan penguatkuasaan menjalinkan kerjasama strategik bagi meningkatkan usaha mencegah jenayah kewangan, rasuah dan pengelakan cukai. Kerjasama itu adalah antara Bank Negara Malaysia (BNM) menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ia diputuskan melalui mesyuarat yang dihadiri pimpinan tertinggi ketiga-tiga agensi itu, iaitu Gabenor BNM, Datuk Muhammad Ibrahim, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sabin Samitah, hari ini.

Muhammad berkata, kerjasama itu akan membendung penyaluran hasil perolehan wang dan transaksi haram melalui sistem kewangan negara.

"BNM menyambut baik komitmen dan kerjasama dengan LHDN dan SPRM untuk mencegah jenayah kewangan.


"Perkara ini penting bagi mengekalkan integriti dan keyakinan orang ramai terhadap sistem kewangan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

2 ketua balai polis, 10 penguat kuasa ditahan rasuah


Dua ketua balai polis daerah Kajang dan Sungai Buloh, Selangor bersama 10 lagi anggota penguat kuasa pelbagai agensi yang melindungi pusat urut haram di sekitar Selangor, ditahan SPRM hari ini.

Mereka yang ditahan dalam operasi pada jam 9 pagi itu, dua ketua balai berpangkat inspektor; anggota polis (5); Bomba (4) serta seorang pegawai sebuah majlis perbandaran.

Kesemua suspek berusia antara 26 dan 53  itu ditahan di sekitar Kajang, Sungai Buloh dan Kampung Pandan.

Hasil risikan yang dijalankan hampir tiga bulan itu, suspek didapati  menerima wang rasuah secara bulanan daripada pengusaha rumah urut haram di Kajang dan Sungai Buloh.

Semua suspek adalah penguat kuasa yang bertanggungjawab mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang seperti tidak memiliki lesen, menggajikan pendatang tanpa izin dan juga melanggar aspek keselamatan kebakaran.

Siasatan awal mendapati suspek menyalahgunakan kuasa dengan mengutip wang rasuah antara RM300 hingga RM10,000 bagi setiap rumah urut yang dilindungi mereka.

SPRM turut merampas wang tunai RM25,000 daripada salah seorang ketua balai polis itu di rumah dan pejabatnya.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani mengesahkan tangkapan dan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM.


Semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Shah Alam esok untuk dapat perintah reman.

Sunday, March 12, 2017

Gejala rasuah penjawat awam serius?


Gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam didapati serius sejak 10 tahun kebelakangan ini dan dikhuatiri terus meningkat sekiranya tidak segera dibendung.

Kegiatan rasuah serius membabitkan tiga sektor utama iaitu penguatkuasaan, perolehan dan kes-kes berprofil tinggi.

SPRM juga menetapkan tiga tahun untuk membersihkan perkhidmatan awam daripada gejala rasuah khususnya dalam kalangan agensi penguat kuasa serta pihak berkuasa negeri dan tempatan.

Antara faktor utama mendorong gejala rasuah adalah apabila transaksi ekonomi semakin meningkat berikutan negara yang sedang membangun.

Sebab itu sejak tahun lalu, SPRM bertindak agresif, langkah proaktif ini perlu dilakukan memandangkan dalam tempoh tiga tahun lagi Malaysia akan mencapai status sebuah negara maju.

Berdasarkan statistik SPRM, sebanyak 665 kertas siasatan telah dibuka melibatkan penjawat awam sepanjang tahun 2016 hingga Februari lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 548 penjawat awam ditangkap manakala 63 kes lagi telah dituduh di mahkamah.

Pembabitan kumpulan sokongan dalam kegiatan rasuah biasanya berlaku apabila sudah berkhidmat selama beberapa tahun dan mulai mahir dengan tugas mereka.

Ketika baru menyertai perkhidmatan awam, rekod mereka ini baik, namun selepas berkhidmat tiga tahun dan ke atas, ditambah pengaruh rakan sejawat atau kakitangan yang lebih senior, mereka mula pandai membuat rangkaian dan terjebak dalam kancah rasuah.

Antara langkah proaktif yang diambil oleh SPRM adalah menerusi indikator ‘hidup mewah dan melebihi pendapatan sebenar' semasa melakukan pemantauan dan siasatan terhadap penjawat awam.

SPRM juga telah menahan seramai 2,329 orang dan daripada jumlah tersebut 54 peratus membabitkan 1,267 individu berumur 40 tahun ke bawah.

635 atau 50 peratus dalam lingkungan usia itu merupakan penjawat awam yang terlibat dalam gejala rasuah.

Mereka yang ditahan terdiri dalam kumpulan sokongan dan pelaksana bermula gred 17 hingga 38.


Ada kes yang disiasat SPRM membabitkan kakitangan kerajaan yang baru berkhidmat beberapa tahun tetapi mampu membeli telefon pintar iPhone keluaran terbaharu, selain memandu kenderaan yang boleh dikategorikan sebagai mewah.

Saturday, March 11, 2017

Biarkan SPRM Laksana Tugas Mereka - Sultan Johor


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar  bertitah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberikan kerjasama dalam siasatan berhubung kes rasuah di negeri ini.

Baginda berkata, tiada individu boleh terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang dan tiada pengecualian boleh diberikan dalam kes tersebut.

"Biarkan SPRM menjalankan siasatan dan undang-undang dilaksanakan," kata baginda kepada The Star pada Jumaat.

Sultan Ibrahim bertitah, selain polis, pihak SPRM juga ada bertemu dengannya untuk memaklumkan perkembangan terkini siasatan kes tersebut.

"Beta menyarankan agar agensi terlibat melaksanakan tugas mereka tanpa rasa takut dan pilih kasih," katanya.

Selain itu, Sultan Ibrahim berharap tiada spekulasi tercetus berkaitan siasatan tersebut.


"Pihak Istana Johor tidak mencampuri sebarang siasatan pihak berkuasa atau melindungi mana-mana pihak," kata baginda.

Thursday, March 9, 2017

SPRM tangkap Exco Johor, Datuk Abd. Latif Bandi bantu siasatan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menangkap ahli Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Abd. Latif Bandi bagi membantu siasatan berhubung penglibatannya dalam isu hartanah di Johor Bahru.

Beliau ditangkap di Pejabat SPRM Negeri Johor kira-kira jam 10.50 pagi hari ini.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM dan Seksyen 4 Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.


SPRM meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi jaminan siasatan akan dijalankan dengan telus.

Wednesday, March 8, 2017

Titah jangan disanggah...Henti rasuah dari membarah...





Titah Yang di-Pertuan Agong yang melahirkan perasaan dukacita terhadap gejala rasuah dalam kalangan penjawat mahupun bekas penjawat awam janganlah  sesekali dipandang sepi atau hanya disimpan sebagai satu koleksi di Parlimen untuk arkib dan rujukan pengkaji ilmiah semata-mata. Titah Baginda ini haruslah dihayati, disokong dan dilaksanakan oleh kita semua tanpa prasangka dan prejudis.  

Sekalung tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas usaha-usahanya yang agresif dan tanpa kompromi untuk memerangi penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa tanpa rasa jemu bagi  membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

Setiap hari kita dihidangkan dengan berita tangkapan dan pendakwaan kes rasuah dari kes ikan bilis hingga ikan jerung walaupun keanggotaan SPRM kecil dan bajet yang tidak seberapa.  

Namun, harus diingat bahawa SPRM tidak boleh berpuashati dengan kejayaan sekarang kerana  perjuangan masih jauh dan cabaran yang menanti semakin hebat.  

Ayuh SPRM!!!  Tingkatkan lagi  momentum perjuangan dan terus mara ke hadapan tanpa rasa takut dan gentar.

Jangan dibiarkan pengkhianat-pengkhianat ini berkeliaran bebas di muka bumi kita ini terus menaburkan kerosakan dan mewarisi kebatilan kepada anak cucu kita. 

Masyarakat tetap akan menyokong SPRM bagi menghapuskan pengkhianat-pengkhianat bangsa yang bertopengkan pangkat, kuasa  dan kedudukan selagi  SPRM melaksanakan tugas dengan amanah, adil dan tegas.  

Namun, kerja keras SPRM dalam menjalankan siasatan ini tidak akan ke mana sekiranya  ia tidak  disambut oleh pihak yang membuat keputusan iaitu Jabatan Peguam Negara untuk membawa pengkhianat-pengkhianat ini ke muka pengadilan.

Tangkapan-tangkapan oleh SPRM hanya akan berakhir dengan gelaran 'wayang' oleh rakyat jika pengkhianat-pengkhianat ini tidak di bawa ke muka pengadilan.

INGATLAH... Rakyat menagih keberanian Peguam Negara untuk melaksanakan pendakwaan di atas tangkapan-tangkapan yang dilaksanakan oleh pejuang-pejuang di SPRM. Hanya dengan cara tersebut rakyat akan mengerti bahawa pihak pendakwaan juga turut menghayati titah dan kehendak Seri Paduka.

Kerja keras dan ‘peluh jantan’ Pegawai SPRM yang tidak pernah kenal erti  rehat dan hari cuti  akan berakhir dengan kekecewaan di pihak SPRM dan rakyat sendiri.

Ayuh seluruh rakyat Malaysia, sama-samalah kita sahut seruan dan Titah Yang di-Pertuan Agong dengan bekerjasama dan menyokong perjuangan membanteras jenayah rasuah dalam apa jua keadaan sama ada susah atau senang.

Ingatlah perjuangan ini bukanlah suatu tugas yang bersifat ‘retorik’ dan ‘teori’ semata-mata tetapi memerlukan semangat perjuangan anak jantan sejati iaitu kecekalan, keberanian dan pengorbanan yang tinggi.

Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong  dijunjung  kasih, SPRM mesra rakyat, digeruni perasuah.

Teruskan semangat memerangi rasuah.