Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berhubung isu orang tengah yang cuba merasuah baginda untuk penganugerahan pingat kebesaran di sebuah lokasi, sebentar tadi.
Pertemuan di antara baginda dan SPRM diwakili Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad yang tiba di lokasi berkenaan pada pukul 8.30 pagi.
Dzulkifli kemudian dilihat meninggalkan lokasi dengan kenderaan rasminya pada pukul 9.40 pagi dan enggan mengulas lanjut mengenai perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu.
Sementara itu, Sultan Ibrahim juga enggan mengulas lanjut mengenai pertemuan itu ketika ditemui wartawan yang menunggu baginda di lokasi terbabit. “I’m going shopping (saya ingin pergi membeli-belah),” kata baginda sambil berjalan keluar dari lokasi berkenaan ke arah kenderaan rasmi, kira-kira pukul 10.15 pagi tadi.
Pada 25 Mac lepas, menerusi kenyataan yang dimuatnaik dalam laman Facebook baginda bertitah mahu SPRM mengadap baginda segera supaya perkara terbabit dapat disiasat.
Sultan Johor baru-baru ini mendedahkan baginda menerima tawaran RM2 juta daripada seorang individu bagi mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara untuk gelaran ‘Tan Sri’ daripada Yang di-Pertuan Agong.
No comments:
Post a Comment