Dasar 'Pandang ke
Timur' yang diperkenalkan oleh kerajaan pada 1982 bertujuan mendidik rakyat
Malaysia khususnya penjawat awam agar mempelajari dan meniru budaya murni
masyarakat Jepun dan Korea.
Bangsa Jepun ketika
itu telah diiktiraf dunia sebagai sebuah bangsa yang kuat jati diri dan
integritinya.
Sejak itu, pelbagai
langkah diambil oleh kerajaan dalam usaha membentuk penjawat awam yang
berintegriti serta mempunyai tahap akauntabiliti yang tinggi.
Namun entah di mana
silapnya, selepas lebih tiga dekad, apa yang ingin dicapai seolah-olah tidak
membuahkan hasil.
Lebih malang,
disebabkan terpalit dengan isu 'grand
corruption' sejak 2015, Malaysia mula disebut sebagai sebuah negara kleptokrasi,
bukan negara integriti.
Faktanya, indeks
persepsi rasuah (CPI) menunjukkan tren penurunan. Pada 2014 CPI negara
mencatatkan 52 markah sahaja dan turun sehingga 47 pada tahun lalu.
Namun begitu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali
dalam ucaptamanya sempena Sidang Kemuncak Integriti dan Tadbir Urus Negeri
Johor baru-baru ini berkata, Malaysia baharu pasca Pilihan Raya Umum
ke-14 menuntut rakyat untuk berpegang kepada prinsip integriti dan
tata kelola dalam pembangunan bangsa dan negara.
Jelas beliau, dokumen Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia
Kesebelas yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir
Mohamad telah meletakkan prinsip ini sebagai tonggak utama dasar pembangunan ekonomi kerana
ini merupakan asas kepada penyelesaian gejala rasuah dan salah guna
kuasa.
Oleh sebab itu,
kerajaan baharu memulakan agenda antirasuah
nasional bermatlamatkan 'negara dikenali kerana integritI dan bukan kerana
rasuah'.
Walaupun agenda
tersebut ialah antara puluhan inisiatif yang dinyatakan oleh kerajaan, namun
sudah pasti perkara tersebut dianggap tunjang kerana isu integriti merupakan
faktor asas wujudnya pelbagai jenayah.
Inilah masa dan
peluang bagi rakyat untuk kembali memperbetulkan keadaan dan yang paling penting
ialah keterlibatan dalam usaha tersebut.
Agenda seumpama ini
tidak boleh diserahkan bulat-bulat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) sebagai agensi tunggal pencegahan rasuah atau mana-mana agensi
lain berkaitan seperti Pusat Governans,
Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) sahaja.
Rakyat harus ingat,
di Jepun sekali pun, mereka juga pernah melalui detik 'hitam' berperang dengan
persepsi masyarakat dunia.
Misalnya,Jepun yang
terkenal dengan nilai integriti dan akauntabiliti yang tinggi itu diuji dengan
insiden keterlibatan ahli gusti Sumo dalam match fixing oleh sindiket perjudian
antarabangsa.
Insiden ini amat memalukan
kerajaan Jepun. Walau bagaimanapun, satu iktibar yang boleh dicontohi daripada
insiden ini ialah apabila Presiden Japan Sumo Association (JSA) ketika itu
memanggil semua ahli gusti atau yokozuna yang terlibat dalam skandal itu.
Mereka akhirnya membuat permohonan
maaf secara terbuka kepada masyarakat Jepun dan dunia kerana telah melakukan
kesilapan mencemarkan nilai murni masyarakat yang diamalkan oleh masyarakat
Jepun bertahun lamanya.
Kesemua ahli gusti itu telah
membuat permohonan maaf terbuka dan menamatkan karier sebagai ahli gusti Sumo
termasuk Presiden JSA itu sendiri, biarpun beliau tidak tahu-menahu akan penglibatan
anak buahnya itu dalam sindiket perjudian antarabangsa berkenaan.
Inilah satu contoh akauntabiliti
tinggi oleh seorang pemimpin yang berintegriti. Nilai akauntabiliti inilah yang
sedang dipupuk dalam kalangan masyarakat Malaysia melalui pelbagai program
pengukuhan integriti.
Berbekalkan iltizam yang kuat dan
melalui sokongan serta dokongan kuat di pihak kerajaan, maka tidak mustahil
masyarakat Malaysia akan menjadi sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral
dan baik akhlaknya.
Oleh itu, sejajar dengan perubahan
politik tanah air, rakyat mesti berani dan yakin berada dalam realiti
baharu. Tidak boleh lagi berasa rendah diri dan mengalami kekalahan
psikologi yang berpanjangan. Mesti bersiap-siaga sepanjang masa.
Hanya perubahan minda dan budaya
yang radikal sahaja membolehkan rakyat berubah agar kelak apa yang diimpikan
menjadi realiti.