Rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan ini bukan lagi isu yang asing dalam kalangan rakyat Malaysia. Membasmi rasuah tidak terhad kepada menangkap pesalah rasuah sahaja. Akar umbinya perlu dicabut sehingga tiada peluang baginya untuk tumbuh semula. Penyebaran dan penerapan mesej antirasuah adalah penting bagi mendidik dan membudayakan integriti dalam setiap individu.
Seiring dengan usaha ini, hari ini, projek julung kali kerjasama di antara Keretapi Tanah Melayu Berhad dan SPRM, wajah baharu koc Tren Komuter Sektor Utara iaitu dari Butterworth - Padang Besar - Butterworth akan dilancarkan.
Dengan mesej bertemakan ‘Masyarakat Malaysia: Laporkan rasuah dan salah guna kuasa”, ini merupakan satu usaha menyebarluas mesej antirasuah dan membasmi rasuah kepada masyarakat umumnya menggunakan pengangkutan awam.
Wajah baharu koc ini memaparkan mesej antirasuah di dalam dan di luar tren. Luarannya dibalut dengan slogan baharu SPRM iaitu Rasuah Dihina, Maruah Dibina dan di dalam tren turut dilengkapi dengan paparan mesej-mesej berpelekat mengenai kesedaran bahaya rasuah dan keperluan melaporkan jenayah rasuah.
Purata pengguna Tren Komuter Sektor Utara dari Butterworth ke Padang Besar ke Butterworth ini boleh mencapai purata sehingga 15,000 orang sehari sepanjang tahun 2017. Ini bermakna dianggarkan seramai 450,000 penumpang dalam sebulan akan membaca dan menerima kempen SPRM ini sewaktu menaiki tren menuju ke destinasi masing-masing.
SPRM yakin inisiatif ini adalah cara paling cepat, efektif dan mudah untuk menyebarkan mesej tolak rasuah kepada rakyat dari pelbagai latar belakang.
Ini kerana, bukan semua orang mudah menerima nasihat. Dari sudut psikologi, apabila kita selalu melihat atau membaca satu-satu paparan, stigma mesej itu akan melekat di minda.
Inilah yang kita harapkan. Dapat melakukan perubahan, walau sedikit, kita tidak boleh berhenti menyebar dan mendidik rakyat bencikan rasuah kerana pendidikan adalah berterusan.
YBhg. Dato' Sri Mohd Shukri Abdull
Ketua Pesuruhjaya SPRM
11 Disember 2018
Butterworth, Pulau Pinang
Ketua Pesuruhjaya SPRM
11 Disember 2018
Butterworth, Pulau Pinang
No comments:
Post a Comment