Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia membuka kertas siasatan jika terdapat bukti kukuh terdapat unsur jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam projek menaik taraf Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil (KSNBJ) untuk persediaan menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
Bagaimanapun, sumber berkata SPRM memerlukan sedikit masa bagi meneliti semula Laporan Audit Negara (LAN) 2017 Siri 2 dan teguran punitif yang dibuat Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad terhadap beberapa kementerian termasuk Kementerian Belia dan Sukan, sebelum ini.
Antara masalah utama dibangkitkan dalam LAN 2017 termasuk mengenai 2,365 kecacatan kerja dilaporkan pada KSNBJ bermula November 2017 sehingga Mac tahun ini, sejak kompleks itu dinaik taraf untuk menganjurkan Sukan SEA dan Para ASEAN 2017.
Malah, daripada jumlah berkenaan sebanyak 98.4 peratus (2,328) daripada kecacatan itu belum diambil tindakan walaupun melebihi 90 hari selepas projek itu dilaksanakan di bawah kaedah Perkongsian Awam-Swasta (PPP) secara pertukaran tanah.
"Kita tidak boleh membuat keputusan tergesa-gesa kerana SPRM perlu meneliti dan mengkaji secara mendalam LAN 2017 diumumkan Isnin lalu bagi mengenal pasti sebarang unsur salah laku, salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan dalam kerja-kerja penambahbaikan KSNBJ terbabit.
"Bagaimanapun, jika terdapat bukti kukuh maka SPRM bersedia membuka kertas siasatan kerana projek berkenaan membabitkan keselamatan dan kepentingan awam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada SPRM akan membuka kertas siasatan berhubung pelbagai isu dan teguran mengenai kepincangan dalam pelaksanaan projek kerajaan dikemukakan menerusi LAN 2017 diumumkan di Parlimen, Isnin lalu.
Sebelum ini media melaporkan KBS dan Kementerian Pengangkutan adalah antara kementerian yang mendapat teguran secara punitif berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara Siri Kedua.
Madinah dalam kenyataannya dipetik sebagai berkata teguran punitif itu bagaimanapun bukan bermaksud kesalahan dilakukan kementerian terbabit sudah dibuktikan.
Bagaimanapun, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan terbaharu hari ini mengesahkan semua stadium dan prasarana fizikal di Kuala Lumpur Sports City (KLSC) sudah memperolehi Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) yang bermaksud ia siap dengan sempurna dan selamat untuk digunakan.
Menurut KBS, perkara itu terbukti dengan kejayaan venue KLSC dalam menganjurkan acara utama termasuklah bertaraf antarabangsa seperti Temasya Kuala Lumpur 2017 dan The Kuala Lumpur Major 2018.
Katanya, terbaru Stadium Nasional Bukit Jalil juga dipilih sebagai venue perlawanan membabitkan pasukan Malaysia di Kejohanan Piala AFF Suzuki 2018.
No comments:
Post a Comment