Sunday, September 23, 2018

Jangan keliru peranan SPRM - Azam Baki

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengulangi komitmen mereka sebagai sebuah badan bebas dan tidak tertakluk kepada mana-mana parti politik dalam membanteras rasuah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, meminta orang ramai agar tidak keliru dengan peranan mereka sebagai badan penyiasat rasuah, dan tidak bertanggungjawab dalam menentukan kes yang dibicarakan di mahkamah.

Mengambil contoh kes Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, yang sebelum ini pernah disiasat ketika negara masih di bawah pimpinan Barisan Nasional, jelas Azam, ia tertakluk kepada penilaian pendakwaraya dan peguam negara.

"Kes-kes yang ditarik balik adalah berasaskan penilaian Peguam Negara dan Jabatan Peguam Negara. Tak kisahlah siapa pun dia dan bila dia disiasat, SPRM akan menyiasat berdasarkan maklumat yang diperolehi.

"Kita buka kertas siasatan, tetapi sama ada ia akan berakhir dengan pendakwaan atau tidak, ia bergantung kepada dapatan fakta kes.

"Dalam kes Lim Guan Eng, pendakwaraya tidak memohon untuk kes ditarik balik, sebaliknya hanya permohonan DNAA atau discharged not amounting to an acquittal (permohonan untuk melepaskan tanpa membebaskan tertuduh). Tetapi mahkamah yang membuat keputusan agar beliau dilbebaskan," katanya sambil menegaskan, SPRM tidak mempunyai kuasa untuk menarik balik kes.

Beliau berkata demikian ketika ditemu ramah dalam program SPRM 360 di Bernama Radio, hari ini.

Dalam pada itu, Azam tidak berselindung apabila meluahkan kebimbangan berkenaan peningkatan kes rasuah dalam beberapa sektor, iaitu perolehan, penguatkuasaan dan grand corruption (korupsi di peringkat tertinggi kerajaan yang mengganggu dasar atau fungsi pusat negara).

"Situasi ini akan menyebabkan kesan yang besar dari segi ekonomi kerana akan berlakunya ketirisan. Kerana itu fokus kita sekarang adalah pada kes-kes sebegini dan membabitkan mereka yang mempunyai kuasa.

"Dalam keadaan ekonomi negara sekarang, kita tidak mahu penjenayah-penjenayah ini membuat kerosakan lebih besar," tambahnya lagi.


http://www.astroawani.com/berita-malaysia/jangan-keliru-peranan-sprm-azam-baki-186293

No comments:

Post a Comment