Setiap jabatan kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam memastikan penjawat awam bebas daripada masalah membabitkan integriti, khususnya dalam soal penyelewengan.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kerajaan sebelum ini menubuhkan satu jawatankuasa integriti di setiap jabatan, namun pelaksanaannya perlu dijalankan dengan lebih kerap.
Katanya, beliau juga mencadangkan agar satu program khas bersama pakar daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaksanakan untuk menanamkan nilai integriti dalam jiwa setiap penjawat awam.
“Penjawat awam yang memegang amanah untuk menggalas tanggungjawab menguruskan dana kerajaan perlu diberikan insentif tinggi dan setimpal supaya tidak berlakunya sebarang penyelewengan.
“Namun, saya tidak menafikan masih ada individu tertentu yang bersifat tamak dan masalah ini harus dibincangkan dari semasa ke semasa dalam setiap jabatan kerajaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas berkenaan isu empat kakitangan kerajaan termasuk yang berpangkat Datuk ditahan oleh SPRM semalam ekoran daripada dana kebajikan yang sepatutnya disalurkan untuk merawat pesakit kronik dan miskin didakwa lesap kerana ada beberapa individu sanggup menyeleweng wang berjumlah lebih RM20 juta.
Sementara itu, Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr. Azmi Hassan berkata, masalah integriti yang melibatkan penjawat awam tidak akan dapat dibendung selagi wujudnya individu kurang bertanggungjawab dan amanah.
“Macam mana ketatnya sistem tersebut dilaksanakan, penyelewengan tetap boleh berlaku jika individu itu sendiri masih lagi menjalankan kegiatan yang tidak bermoral itu.
“Namun, saya ingin menyeru kepada semua rakyat agar tidak memandang perspektif buruk terhadap semua penjawat awam kerana tidak kesemuanya bersikap demikian dan kes seperti itu sebenarnya jarang berlaku,” katanya.
No comments:
Post a Comment