Tuesday, March 15, 2016

Majlis Serah Terima Tugas Pengarah SPRM Kelantan Baharu





DATUK Haji Abd. Aziz Aban secara rasminya menyerahkan tugasnya selaku Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan kepada Dato’ Moh Samsudin Yusoff pada Majlis Penyerahan Tugas yang berlangsung di Pejabat SPRM Kelantan pagi ini.





Moh Samsudin sebelum ini merupakan Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya dan jawatannya itu kini disandang oleh Abd. Aziz berkuat kuasa pada hari yang sama.




Abd. Aziz dalam ucapan perpisahannya berkata, pihak SPRM mengambil inisiatif dalam memastikan semua program dan aktiviti pencegahan rasuah dilakukan berdasarkan ‘low cost high impact’ bagi menyahut dasar pengurusan kewangan negara.

Jelasnya, antara program yang ditekankan oleh SPRM Kelantan ialah menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP), pendidikan masyarakat, kerjasama bersama masyarakat selain fokus dalam strategi siasatan.

“Bahagian Pencegahan lebih fokus kepada jabatan-jabatan yang telah menandatangani CIP dan memorandum persefahaman (MoU) dengan SPRM Kelantan bagi memastikan mereka melaksanakan ikrar yang telah dibuat.

“Pada masa yang sama, kerjasama antara SPRM dan golongan opinion leaders turut ditekankan bagi memastikan ketirisan dapat diminimumkan dan memaksimumkan hasil untuk kepentingan bersama,” katanya.

Tambahnya, SPRM turut memberi penerangan dan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang tanggungjawab mereka supaya melaporkan kegiatan rasuah menerusi aktiviti-aktiviti bersama masyarakat pada masa akan datang.

Dari segi siasatan pula, ujarnya, operasi siasatan memberi fokus kepada penguatkuasaan bagi kesalahan melibatkan sempadan, perolehan kerajaan, pembangunan dan pembinaan serta peranan orang tengah.

“Saya berharap setiap individu dan jabatan termasuk agensi tampil memberi maklumat berkaitan isu tersebut bagi mewujudkan masyarakat bebas rasuah,” jelasnya.

Seramai enam pegawai kanan SPRM terlibat dalam penukaran jawatan di bahagian dan negeri berkuat kuasa hari ini.

Pegawai kanan lain yang terlibat dalam penukaran tersebut termasuk Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Simi Abd. Ghani yang dilantik sebagai Pengarah SPRM Johor; Dato’ Norazlan Razali sebagai Pengarah SPRM Selangor; Dato’ Azmi Alias sebagai Pengarah SPRM Melaka dan Junipah Wandi sebagai Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA).

No comments:

Post a Comment