KUALA LUMPUR 18 Mac - Seorang pegawai kanan sebuah
kementerian antara enam individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terlibat dalam satu sindiket penipuan tender
kerajaan bernilai lebih RM100 juta.
Lima lagi individu yang salah seorang daripadanya adalah
wanita merupakan kontraktor beberapa syarikat yang didapati terbabit dalam
penipuan itu.
Kesemua suspek yang berusia antara 20-an dan 50-an itu
ditahan dalam satu operasi besar-besaran di sekitar Lembah Klang bermula tengah
hari sehingga malam semalam.
Menurut sumber, pegawai kanan kementerian berjawatan
setiausaha bahagian itu dipercayai telah menerima wang suapan RM50,000 hingga
RM1 juta daripada beberapa syarikat sebagai balasan memperoleh kerja-kerja
pembekalan melibatkan program-program sebuah kementerian dan agensi-agensi di
bawahnya.
Ujarnya, siasatan mendapati, tidak kurang RM20 juta telah
dikutip oleh pegawai kanan terbabit dengan cara pelaksanaan projek kerajaan
yang tidak dilaksanakan.
“Perintah reman selama tujuh hari telah dikeluarkan Mahkamah
Majistret Putrajaya terhadap kesemua suspek bermula hari ini.
“Reman tersebut dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim
Wan Ab. Rahman dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya kepada Utusan
Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Azam
Baki ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan tersebut.
- See more at:
http://m.utusan.com.my/berita/jenayah/tipu-tender-rm100j-enam-individu-ditahan-1.202181#sthash.hKgLzo31.dpuf
No comments:
Post a Comment