Seorang timbalan penolong pengarah sebuah jabatan di negeri
ini dan isterinya ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
hari ini selepas gagal melaporkan diri kepada agensi itu sejak tiga bulan lalu,
berhubung kes rasuah yang dikaitkan dengan pegawai berkenaan.
Pegawai terbabit yang berusia 57 tahun dan isterinya yang
berumur 41 tahun ditahan oleh sepasukan pegawai penguat kuasa SPRM negeri
ketika menginap di sebuah resort di Pengkalan Balak, Alor Gajah pada pukul 4
petang ini.
Menurut jurucakap SPRM, pasangan itu pernah ditahan agensi
itu pada dua tahun lalu kerana disyaki meminta suapan sebanyak RM2,600 daripada
seorang individu sebagai dorongan mengeluarkan permit yang sah tanpa perlu
berurusan di kaunter.
“Bagaimanapun, kedua-dua mereka dibebaskan dengan jaminan
selepas keterangan mereka diambil dan mereka perlu melapor diri setiap bulan
kepada SPRM.
“Namun, pasangan itu tidak berbuat demikian sejak tiga bulan
lalu dan mereka akhirnya ditahan hari ini kerana gagal melapor diri,” katanya
ketika dihubungi di sini.
Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Azmi Alias
mengesahkan tangkapan tersebut dan memberitahu, pegawai kanan tersebut dan
isterinya kini ditahan di pejabat SPRM negeri untuk siasatan lanjut.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM
2009, katanya.