Dalam memantapkan strategi memerangi
rasuah dan meningkatkan urus tadbirnya, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)
menjadi perintis dalam melaksanakan Sijil Ikrar Integriti Korporat dengan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Panglima TLDM Laksamana Datuk Seri
Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata perkara itu akan memberi fokus
kepada ketelusan dalam pengurusan perolehan barangan dan perkhidmatan.
"Inisiatif sijil ikrar itu yang
dilaksana bersama SPRM adalah untuk memperkasakan pengurusan perolehan dan akan
diterapkan kepada syarikat korporat yang berurusan dengan TLDM dalam usaha
meningkatkan aspek integriti dan ketelusan dalam semua aspek pengurusan TLDM.
"Setakat ini, sebanyak 25
syarikat telah secara sukarela menyahut seruan TLDM untuk menandatangani sijil
ikrar berkenaan dan respons ini secara tidak langsung mempamerkan sokongan padu
syarikat terlibat dalam membanteras gejala rasuah dan penyelewengan,"
katanya.
Beliau berkata demikian kepada
pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi TLDM 2016 di Auditorum Wisma
Pertahanan, di sini, Selasa.
Ahmad Kamarulzaman berkata komitmen
ini juga akan menentukan urusan yang telus dalam penyediaan perkhidmatan yang
cekap dan profesional.
"Inisiatif ini juga merupakan
satu lagi inovasi pengurusan TLDM dalam membudayakan integriti dan pengurusan
yang cekap serta bersih dalam warga TLDM dan syarikat terlibat.
"Selain itu, ia juga akan
merealisasikan agenda TLDM yang menginginkan sebuah organisasi yang dipercayai
dan diyakini serta mendukung segala agenda nasional kerajaan," katanya.
Turut hadir dalam perasmian itu ialah
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Mustafar Ali dan
Timbalan Panglima TUDM Laksamana Madya Datuk Anuwi Hassan.
Sementara itu, Ahmad Kamarulzaman
menegaskan Program Transformasi '15 to 5' yang dilaksanakan oleh TLDM tidak
akan mengganggu sebarang operasi dan latihan di mana-mana perairan negara ini.
"Ia dilakukan secara
berperingkat dan TLDM akan lucut tauliah kapal lama yang sering mengalami
kerosakan. Apa yang penting, TLDM tidak perlu berbelanja dengan kerap dan
dengan peruntukan yang ada TLDM dapat membeli kapal baharu serta lain-lain
aset," katanya.
No comments:
Post a Comment