Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu perbuatan rasuah dalam sukan tempatan ketika ini masih terkawal dan tidak terlalu serius.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki menegaskan keadaan itu bukan faktor untuk pihaknya memandang remeh isu tersebut, sebaliknya memberi amaran akan terus bertindak agresif memerangi rasuah melibatkan semua pihak, bukan sahaja dalam industri bola sepak negara tetapi juga sukan lain.
“Saya sudah arahkan pegawai-pegawai, sekiranya maklumat atau aduan yang diterima itu ada menunjukkan prima facie yang (menyebabkan) boleh diambil tindakan, (maka) tindakan keras akan diambil.
“Kalau melibatkan organisasi sukan, (rasuah) tidaklah begitu serius, masih lagi terkawal.
“Tetapi dengan usaha kita menandatangani Ikrar Bebas Rasuah, ada usaha untuk kita mencegah sebelum berlaku dengan lebih teruk. Kita mesti memastikan kecemerlangan sukan di negara ini tercapai,” katanya.
Program itu telah dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Sejak kebelakangan ini, isu rasuah hangat diperkatakan dalam sukan bola sepak apabila beberapa pemain dan bookie ditahan untuk membantu siasatan dalam kes mengatur perlawanan Liga Perdana.
Tambah beliau tahap keseriusan kes rasuah pemain bola sepak jika dibandingkan dengan ketirisan pegawai pengurusan dalam organisasi sukan yang sering berlaku sukar dibuat perbandingan.
“Rasuah yang berlaku dalam persatuan bola sepak melibatkan pemain-pemain mungkin kerana mereka ramai. Sebab itu sukan yang popular ini menjadi tumpuan.
“Tetapi isu rasuah dan salah guna kuasa melibatkan pegawai pengurusan dalam organisasi sukan di negara ini tidak boleh dipandang ringan. Jadi, jangan buat spekulasi untuk dibandingkan,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment