Begitu ramai orang yang memberi respon susulan pendakwaan salah laku rasuah melibatkan Exco Johor Datuk Abdul Latif Bandi dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Ampang, Datuk Adam Rosly.
Reaksi dibuat menunjukkan ramai ‘sayang’ dan menaruh harapan tinggi terhadap SPRM dan mahu memerangi isu rasuah.
SPRM meletakkan pendekatan ‘Mesra Rakyat Digeruni Perasuah’ sebagai strategi memenuhi harapan rakyat tersebut. Tindakan SPRM yang seakan-akan tiada pengakhirannya membuatkan perasuah tidak senang duduk memikirkan nasib yang akan menimpa mereka.
Pegawai-pegawai SPRM jelas makin aktif menjalankan tugas yang diamanahkan dengan ramai lagi penerima rasuah dibawa ke muka pengadilan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad juga telah mencipta sejarah apabila buat kali pertama memperkenalkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR).
IBR yang diperkenalkan memberi penekanan kepada ikrar dan janji yang dibuat oleh para kepimpinan organisasi dan warganya secara sukarela atas kapasiti sebagai individu untuk memastikan setiap individu yang menandatangani ikrar tersebut akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah selama mereka memegang jawatan tersebut.
Keterbukaan dan sifat kebertanggungjawaban yang dipamerkan oleh para kepimpinan dan warganya dalam menandatangani IBR ini juga, turut membuktikan bahawa usaha membanteras dan memerangi rasuah bukanlah tanggungjawab eksekutif SPRM semata-mata, tetapi sebaliknya ia merupakan amanah dan tugas yang perlu dikongsi oleh seluruh ahli masyarakat, khususnya dalam kalangan warga yang berkhidmat di agensi-agensi kerajaan, bagi memastikan negara ini bebas daripada sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa.
Ini satu permulaan yang baik. Usaha SPRM mahu menjadikan para kepimpinan organisasi sebagai ikon membanteras rasuah di mata masyarakat.
Malah perkembangan ini juga menandakan bahawa budaya integriti sudah mula diterima oleh pelbagai pihak. Ini petanda-petanda positif. Pemimpin, EXCO kerajaan negeri dan Wakil rakyat menjadi contoh kepada yang lain - masyarakat, pengundi mereka.
Jika amalan ini berterusan, usaha mencegah rasuah dan memperbaiki persepsi negatif rakyat dalam jangka panjang.
Terbaru, Datuk Dzulkifli telah menyarankan Ahli Dewan Negara diminta menggesa kerajaan supaya mengisytiharkan rasuah dan salah guna kuasa sebagai musuh nombor satu negara.
Saranan itu dibuat kerana setiap kejadian di negara ini berkait rapat dengan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa yang boleh menjatuhkan martabat negara di mata dunia.
Isu berkaitan dadah, kebolosan warga asing, penyeludupan, ketirisan pendapatan serta hasil negara, persempadanan, keganasan, jenayah kewangan, perjudian dan pelacuran makin berleluasa kerana wujudnya amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan agensi penguatkuasa dan mereka yang diamanahkan dengan kuasa.
Cetusan Ketua Pesuruhjaya SPRM ini adalah tepat kerana salah satu sebab mengapa isu rasuah dan salah guna kuasa terus wujud adalah kerana agensi penguatkuasaan gagal melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.
Apabila mereka yang diberikan kepercayaan gagal melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan sehingga menyusahkan rakyat, ia akan menghakis kepercayaan terhadap kerajaan.
Usaha mencegah rasuah memerlukan kerjasama dan sokongan semua pihak tidak kira kedudukan dan pangkat. Rasuah merupakan musuh semua, musuh nombor satu negara.
Kita tidak boleh lagi menganggap barah rasuah sebagai lumrah hidup seperti sebelum ini maka sudah tiba masanya masyarakat turut bangun dan berperang bersama SPRM untuk membanteras 'penyakit' ini di semua peringkat.
Jika rasuah tidak dibanteras, ia akan mengancam pertumbuhan ekonomi, kehilangan pelabur asing dan meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga hingga mengakibatkan ketidakstabilan politik. Yang terseksa akhirnya adalah rakyat jelata.
Tiba masanya semua pihak untuk bersama menyatakan sokongan bahawa isu rasuah dan salah guna kuasa adalah isu nasional yang perlu ditangani bersama. Kita perlu anggap ‘rasuah musuh nombor satu negara’, bukannya menjadikan SPRM sebagai musuh atau menyerang SPRM.
No comments:
Post a Comment