Usaha agresif dan berterusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerangi rasuah amat dihargai kerana ia selari dengan hasrat orang ramai dan negara untuk melihat pembasmian rasuah dalam pelbagai bentuk.
Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, oleh itu, saranan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad supaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa diisytihar sebagai musuh nombor satu negara perlu disokong oleh semua pihak.
“Kesungguhan SPRM ini perlu mendapat sokongan penuh kerajaan terutama agensi-agensi penguat kuasa bagi memastikan usaha memerangi rasuah lebih efektif dan berterusan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, keyakinan masyarakat terhadap kerajaan hanya akan dapat ditingkatkan jika pegawai dan kakitangan agensi-agensi dan jabatannya bebas daripada mengamalkan rasuah.
“Laporan media mengenai
tangkapan yang dibuat oleh SPRM jelas menunjukkan rasuah dalam perkhidmatan awam adalah serius dan memerlukan tindakan tegas daripada agensi penguat kuasa.
“Namun, kita harus sedar bahawa rasuah juga wujud di sektor swasta dan ia perlu diatasi dalam usaha kita memerangi rasuah secara habis-habisan,” katanya.
Jelasnya, usaha berterusan SPRM untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dengan rasuah seharusnya dihargai dan agensi tersebut perlu diberikan kebebasan untuk bertindak tanpa rasa takut atau mempunyai sebarang kepentingan serta bebas daripada gangguan oleh mana-mana pihak.
“Undang-undang berkaitan rasuah juga perlu dikaji semula agar SPRM dapat diberikan kuasa untuk bertindak dengan lebih berkesan kerana rasuah amat berleluasa dan menjangkau setiap aspek kehidupan.
“Orang ramai juga perlu mengambil tindakan proaktif dengan membuat laporan kepada SPRM jika mereka mempunyai maklumat dan bukti mengenai rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” ujarnya.
Beliau turut memuji laporan media terutama Utusan Malaysia yang tampil ke hadapan mendedahkan perlakuan-perlakuan rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, ketirisan dan bolos yang berlaku di negara ini.
“Peranan media sangat penting untuk mendedahkan perlakuan musuh nombor satu negara ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment