Monday, May 29, 2017

Jangan letak ‘tanda harga’ di dahi

SEJAK kebelakangan ini, hampir saban hari kita disajikan dengan kes penjawat awam disiasat dan dihadapkan ke mahkamah kera­na dituduh mengambil rasuah dan salah guna kuasa.

Secara peribadi, penulis be­rasa agak janggal setiap kali melihat imej penguat kuasa dan pegawai kerajaan dengan tangan bergari dibawa masuk ke mahkamah menerusi kaca televisyen dan akhbar.

Ini kerana sebelum ini mereka pastinya pegawai yang sentiasa tampil berpakaian kemas, bertali leher dan kot semasa di pejabat atau segak mengenakan uniform penguat kuasa sehinggalah perbuatan mereka berjaya dikesan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Maka apabila sudah terpa­lit dengan tuduhan rasuah, mereka tidak ada bezanya dengan tertuduh lain yang perlu memakai baju oren tertera perkataan ‘Lokap SPRM’.

Begitulah hukum undang-undang, sekali terjebak de­ngan perlakuan jenayah me­reka perlu dibicarakan tanpa mengira pangkat, status dan kedudukan sebelum ini. Sudah tentu tindakan SPRM membongkar salah laku da­lam perkhidmatan awam ini perlu diberi sokongan penuh dan dilihat secara positif.

Walaupun kita tahu bahawa jumlah pelaku rasuah dalam ka­langan penjawat awam adalah kecil, namun sedikit sebanyak perkembangan yang berlaku memberi gambaran kurang baik terhadap perkhidmatan awam.

Seperti kata pepatah ‘kera­na nilai setitik, rosak susu se­be­langa.’ Perbuatan seorang atau dua kakitangan yang terlibat dengan rasuah, mahu tidak mahu akan menyebabkan se­sebuah agensi atau jabatan di­momokkan dan dipandang serong oleh orang ramai.

Keyakinan masyarakat a­kan terhakis sehingga timbul per­sepsi bahawa itu amalan biasa dalam kalangan kakitangan da­lam jabatan terbabit, walaupun realitinya masih ramai penjawat awam yang menjalankan tugas dengan amanah, jujur dan penuh tanggungjawab.

Di media sosial kita boleh melihat ramai yang melahirkan rasa kecewa kerana ada pengu­at kuasa yang sepatutnya di­amanahkan membanteras judi turut sama terpalit dan bersekongkol dengan pengusaha judi dengan bayaran lumayan.

Begitu juga apabila terdapat pegawai tinggi yang diberi tanggungjawab dalam kelulusan sesuatu kontrak kerajaan mengambil duit kopi atau ko­misyen untuk poket sendiri.

Semuanya itu dilakukan semata-mata untuk memuaskan tuntutan nafsu kerana mahu hidup mewah sehingga sanggup mengambil wang secara haram sedangkan gaji mereka tidak mampu menyara gaya hidup tersebut.

Dalam hal ini, penulis bersetuju dengan ingatan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini supaya penjawat awam mempunyai integriti dan tidak ‘menjual diri’ mereka sehingga diperalatkan oleh pihak yang mahu mengambil kesempatan.

“Jati diri kena kuat, ja­ngan letak ‘tanda harga’ di dahi kita. Kalau itu berlaku, bermak­na kita tak ada harga diri. Elakkan diri da­­ripada terjebak dengan rasuah sehingga menjejaskan maruah dan harga diri.

“Jangan suka melihat apa yang orang lain miliki. Dalam hal kekayaan dan harta benda ini, saya pesan kepada penjawat awam supaya sentiasa lihat ke ‘bawah’. Ramai lagi orang miskin, tidak mampu dan terkial-kial meneruskan hidup berban­ding mereka,” ka­tanya.


http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/jangan-letak-8232-8216-tanda-harga-8217-di-dahi-1.487443#ixzz4iWASpxnq 

Pengamal rasuah ibarat anai-anai



Pengerusi Biro Politik Majlis Perunding Melayu (MPM), Shahbudin Embun menulis artikel mengenai isu rasuah melibatkan penguat kuasa.

Katanya, rasuah dianggap anai-anai yang boleh meruntuhkan bangunan yang kuat dan mantap. Jika tidak ditangani dengan betul dan dibiarkan berleluasa, anai-anai ini akan memakan tiang, dinding dan lantai bangunan sehingga akhirnya tidak ada lagi bahagian yang kukuh sebelum menyembah bumi.

Itu sebabnya ketua di setiap organisasi sama ada kementerian, jabatan atau agensi perlu membuka mata dengan lebih besar dan mengawasi kewujudan elemen rasuah dalam kalangan kakitangan bawahan.

Katanya, ketua harus memantau penjawat awam yang hidup mewah tidak sepadan dengan pendapatan dan ambillah tindakan sewajarnya untuk menyelamatkan mereka daripada terus terjerumus di kancah rasuah.

Jelas beliau lagi, janganlah pula 'ketua-ketua' ini yang turut sama bersengkongkol atau lebih buruk lagi menjadi raja 'anai-anai'.

Budayakan integriti banteras kaki rasuah




Penulis artikel 'Di Sebalik Isu Panas', Nor Shafawati Yup mengulas mengenai isu pelanggaran integriti dan etika dalam kalangan penjawat awam khususnya berkaitan penahanan 13 individu termasuk pegawai kanan polis yang menimbulkan pelbagai perdebatan masyarakat tidak kiralah sama ia positif atau sebaliknya.

Penulis memetik kata-kata Pensyarah Psikologi di Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya, Dr. Mohd. Awang Idris yang berkata, adalah menjadi satu tuntutan yang mendesak bagi organisasi-organisasi tertentu untuk mengubah budaya dalam mendepani kegiatan rasuah daripada terus membarah di negara ini.

Mohd Awang turut berkata, kebanyakan negara membangun berhadapan dengan isu integriti atas faktor mahu memenuhi kehendak kewangan dan mencapai keinginan pada tahap tertinggi.

Sementara itu, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye memberitahu sumbangan besar PDRM dalam memberi perkhidmatan cemerlang kepada rakyat secara keseluruhan wajar dihargai dan dipuji.

Lam Thye berkata, SPRM sedang melaksanakan kempen antirasuah secara agresif untuk membersihkan perkhidmatan awam dan penjawat awam perlu 'diajar' untuk berpegang kepada prinsip integriti dan etika kerja yang tinggi.

Menurut penulis, kesimpulannya, semua pihak perlu memainkan peranan penting dalam usaha membasmi gejala rasuah termasuk merealisasikan hasrat kerajaan untuk menggunakan pakai alat uji bohong atau poligraf.

Wednesday, May 17, 2017

BERSIHKAN SANG SAKA BIRU

“JANGAN marah saya, jangan marah Bukit Aman jika tindakan disiplin diambil dan jangan pernah mohon maaf atas kesilapan mereka kerana kita telah menghidu sekian lama dan apabila bukti kukuh diperoleh tindakan akan dijalankan. Kita tidak akan melindungi mereka.”

Itulah kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika ­menegaskan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan 16 pegawai dan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang dipercayai terlibat melindungi sindiket pengedaran dadah.

Tidak sampai beberapa jam Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri membuat penegasan tersebut, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pegawai polis dan dua orang awam di Melaka kerana terlibat dengan aktiviti rasuah pusat judi haram dan rumah urut. Dan semalam pula tiga pegawai kanan polis termasuk dua ketua polis daerah di Melaka turut ditahan atas dakwaan terlibat rasuah.

Sama ada mereka bersalah atau tidak bukan hak kita untuk menghukum selagi proses siasatan masih dijalankan dan mereka belum dihadapkan ke mahkamah. Tetapi apa yang pasti masanya sudah tiba untuk operasi pembersihan dilakukan di dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Imej Sang Saka Biru itu tidak harus dibiarkan tercemar hanya disebabkan oleh segelintir pegawai dan anggota pasukan tersebut bersedia menjamah wang haram untuk hidup mewah. Sebagai penguat kuasa undang-undang mereka pasti memahami akibat daripada perbuatan berkenaan.

Tindakan mereka yang bersekongkol dengan apa juga sindiket adalah perbuatan tidak bertanggungjawab, mereka bukan sahaja mengkhianati amanah dan sumpah Sang Saka Biru tetapi juga mengkhianati rakan-rakan seperjuangan. Ini kerana akibat perbuatan mereka, PDRM secara ­keseluruhan akan dipandang serong oleh masyarakat sedangkan dalam pasukan itu seperti mana kata seorang pegawai kanan polis kepada penulis, “terdapat ribuan lagi yang bekerja secara jujur, ikhlas dan amanah demi bangsa, agama dan negara.”

Justeru adalah wajar Sang Saka Biru dibersihkan bukan sahaja melalui tindakan dalaman oleh pasukan itu sendiri tetapi juga oleh SPRM. Seperti mana kata Ahmad Zahid, tiada kompromi dalam soal tersebut.

Begitulah juga bagi SPRM. Agensi itu akan meneruskan misinya memerangi rasuah melibatkan penjawat awam terma-suklah dalam kalangan agensi penguat kuasa. Mana-mana pihak tidak harus memandang serong ­ketegasan yang ditunjukkan oleh SPRM kerana agensi berkenaan tidak mempunyai agenda yang tersirat atau tersurat.

Apa yang mahu dilakukan oleh SPRM adalah memastikan ra-suah tidak menjadikan anai-anai yang boleh meruntuhkan negara, apatah lagi kalau ia merebak ke dalam agensi penguat kuasa.

Kalaulah dalam kegiatan jenayah pun boleh wujud kompromi, apa akan berlaku kepada negara ini? Contohnya, dalam kes judi haram ini bukan isu baharu, malah sudah wujud sejak sekian lama, tetapi kegiatan tersebut seolah-olah sukar dihapuskan.

Keadaan itu berlaku kerana ada segelintir anggota agensi penguat kuasa yang sanggup menjadi ‘balaci’ kepada sindiket. Mereka tidak fikir kesannya kepada masyarakat, apa yang penting bagi mereka ialah ‘meraih keuntungan’ secara haram.

Oleh itu, adalah diharapkan SPRM akan meneruskan langkah agresifnya untuk memastikan PDRM bersih daripada rasuah. Dalam soal ini, siasatan perlu ditumpukan di semua peringkat termasuklah pengurusan.

Langkah itu penting kerana seperti mana dinyatakan oleh SPRM ada suspek orang awam yang ditangkap didakwa mempunyai ‘kuasa’ untuk menukar mana-mana pegawai polis yang tidak bekerjasama dengannya.

Sama ada betul atau tidak, biarlah SPRM menentukan melalui siasatan yang dijalankan tetapi jika dakwaan itu benar-benar berlaku maka tindakan tegas perlu diambil tidak kira ‘siapapun pengurusan PDRM’ tersebut.

Sebenarnya adalah tidak adil kepada PDRM untuk dipaksa menjamah segala tohmahan hanya disebabkan segelintir pegawai dan anggotanya menerima ra-suah. Kasihanilah ribuan lagi anggota pasukan itu yang sanggup berkorban apa sahaja demi tugas kepada negara. Justeru maruah PDRM yang tercalar perlu dipu-lihkan.

Penulis percaya apa yang dilakukan oleh SPRM mendapat sokongan daripada sebahagian besar pegawai dan anggota PDRM. Malah dalam satu perbualan dengan beberapa pegawai kanan agensi penguat kuasa baru-baru ini, mereka berpendapat, tindakan tegas SPRM itu sepatutnya sudah lama dilakukan.

Tindakan tersebut bukanlah bertujuan memburuk-burukkan mana-mana agensi penguat kuasa tetapi demi memastikan gejala rasuah tidak terus bermaharajalela sehingga memungkinkan undang-undang dipermainkan.

Dalam masa sama adalah di­harapkan tindakan demi tindakan yang dilakukan oleh SPRM akan memberi peringatan kepada kelompok yang masih mahu mengamalkan rasuah bahawa lambat-laun mereka pasti akan ditahan kerana ‘sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga’.

Ingatlah kuasa dan kedudukan adalah amanah bukannya ‘tongkat azimat’ untuk meraih kekayaan dan kesenangan secara haram. Penulis percaya ribuan lagi dalam PDRM memahami hakikat ini tetapi malangnya mereka turut terpalit akibat perbuatan ‘seekor kerbau membawa lumpur...’

http://www.utusan.com.my/rencana/utama/bersihkan-sang-saka-biru-1.482782#ixzz4hPM5PJBq 

RASUAH DALAM INDUSTRI BINAAN

TERPAMPANG di dada akh­bar mengenai pegawai kerajaan ditangkap ra­suah. Nilai suapan ju­taan ringgit. Berbagai-ba­gai ke­reta mewah disita. Tidak kurang rumah mewah bernilai ju­taan ringgit disita. Wang tunai berjuta-juta ringgit dirampas dan banyak akaun bank yang dibekukan. Beratus-ratus beg tangan berjenama dirampas. Begitulah kegiatan rasuah yang berleluasa di negara kita sejak akhir-akhir ini.

Laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) me­nunjukkan setakat Januari 2017 terdapat 58 kes tangkapan yang dibuat di seluruh negara manakala pada 2016 sejumlah 939 tangkapan dilakukan berbanding 2015 sebanyak 841. Tahniah kepada SPRM yang begitu agresif membasmi kegiatan rasuah. Se­sungguhnya rasuah sangat berbahaya kerana ia ibarat anai-anai yang memakan pokok hingga ke akar tunjangnya. Akhirnya, pokok akan tumbang menyembah bumi. Negara akan hancur.

Kegiatan rasuah kebanyakannya sering membabitkan industri perumahan negara. Kenapa rasuah berlaku dalam industri perumahan? Seorang pengkaji hartanah dari Universiti Paisley, Scotland, United Kingdom, Profesor Millington mengatakan bahawa salah satu ciri-ciri hartanah adalah modal (nilai) yang cukup besar. Tiada projek perumahan dan pembinaan yang bernilai rendah. Sesebuah projek pembinaan rumah melibatkan saiz tanah yang luas. Adakala­nya hingga beratus-ratus hektar.

Dengan bilangan unit rumah yang beribu-ribu unit, nilai pembangunan kasar (NPK) juga jutaan ringgit. Bagi sesebuah taman perumahan yang luas boleh dijadikan sebuah bandar baharu, bila­ngan unit rumah boleh mencapai sehingga 20,000 unit. Pelbagai bentuk dan jenis rumah terma­suklah rumah banglo mewah de­ngan nilai mencecah lebih RM1 juta, rumah berbandung dengan nilai melebihi RM500,000 dan rumah teres, rumah mampu milik dan kemudahan-kemudahan lain se­perti sekolah, padang permainan dan sebagainya apabila dikira se­muanya, kos pembangunan men­cecah berbilion ringgit.

Sebelum pembangunan hartanah yang melibatkan saiz tanah yang luas dan cadangan pembinaan binaan yang banyak dijalankan, proses dan prosedur perancangan dan pembangunan perlu diselesaikan. Pemaju perlu mematuhi semua prosedur pembangunan di bawah peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172). Kelulusan perancangan perlu diperoleh daripada agensi-agensi berkaitan seperti pihak Berkuasa Perancang Bandar Tempatan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri.

Begitu juga peraturan di ba­wah Kanun Tanah Negara 1965. Pemaju perlu mematuhi syarat-syarat guna tanah seperti menukar kegunaan pertanian kepada bangunan, cantuman tanah, pe­cah-bahagi dan sebagainya su­pa­ya pembinaan boleh dijalankan. Sama juga dengan laluan di bawah peruntukan Seksyen 282-291 Kanun Tanah Negara 1965. Peruntukan di bawah Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 juga perlu dipenuhi. Oleh kerana proses dalam pembangunan tanah panjang, adakalanya mengelirukan, maka ada pemain yang kurang sabar dan mengambil ke­sempatan untuk melakukan ra­suah. Apabila sekali cuba sudah berjaya, mereka teruja untuk me­lakukannya lagi. Akhirnya, per­buatan rasuah menjadi satu wabak yang berleluasa.

Cadman Austin-Crowe dalam bukunya Property development me­ngatakan bahawa proses pembangunan hartanah melibatkan ruang yang luas dan ramai pemain. Apabila proses pembangunan hartanah melibatkan pelbagai agensi dan pemain, peluang untuk berinteraksi terbuka luas. Justeru, peluang untuk melakukan penyelewengan dan rasuah juga terbuka kepada semua pihak bagi melicinkan proses berkaitan.

Misalnya, apabila proses untuk carian hakmilik di pejabat tanah dan galian mengambil masa yang panjang, rasuah boleh dijadikan alat untuk mempercepatkannya. Lantaran, pemain yang tidak profesional dan kurang sabar akan terjebak dengan suapan.

Kita sering mendengar rungutan rakyat bahawa harga rumah mampu milik melampaui jangkauan mereka untuk membelinya. Kenapakah perkara ini terjadi? Harga rumah di pasaran ditentukan apabila berlaku keseimbangan penawaran dan permintaan. Sebenarnya, titik keseimbangan sukar dicapai. Sentiasa ada faktor dalaman dan luaran yang mengganggu gugat situasi keseimbangan berkenaan. Faktor kewangan sentiasa dipantau kerajaan. Pemaju sering menaikkan harga rumah walaupun tiada punca yang mempengaruhinya. Pihak kerajaan seringkali menggubal dan meminda undang-undang perumahan. Begitu juga dengan harga bahan-bahan binaan di pa­saran yang sentiasa mening­kat naik di­sebabkan inflasi.

Jadi, apabila berlaku suap­an daripada pemaju ke­pada agensi kerajaan yang memberi ke­lulusan pembangunan, nilai suapan akan ditampung dengan menaikkan harga rumah. Pada hakikatnya, pemaju tidak menanggung apa-apa kerugian kerana kos suapan dimasukkan sebagai sebahagian daripada harga rumah yang dibayar pembeli akhir. Akibatnya, harga rumah melambung naik.

Selain persepsi neoklasikal tadi, sikap manusia dijadikan taruhan. Sikap penentu segalanya. Pemba­ngunan hartanah melibatkan pelbagai pihak dengan motif, strategi dan tindakan yang berbagai-bagai. Pembangunan membawa peningkatan nilai hartanah. Nilai yang terkunci perlu dibuka dan ditingkatkan. Nilai yang dimaksudkan di sini bukan semata-mata nilai ekonomi tetapi juga nilai budaya yang ada pada tanah yang hendak dibangunkan. Namun, pada hakikatnya, banyak perkara yang menentukan sikap kita terhadap permintaan dan penawaran di pa­saran. Apabila berlaku rasuah da­lam industri binaan, harga rumah meningkat di pasaran.

Atas dasar ­ke­sedaran betapa pentingnya me­mahami punca rasuah dan implikasinya, semua pihak yang terlibat dalam industri pembinaan perlu menjalankan daya usaha membantu membanteras rasuah hingga ke akar umbi.

PROFESOR DR. ISMAIL OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama) dan pensyarah 
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.



Pelihara integriti perangi rasuah

GEJALA rasuah dan salah guna kuasa semakin serius sejak kebelakangan ini terutamanya dalam kalangan penjawat awam yang tidak beretika dan kurang integriti. Perkembangan ini seharusnya membuka mata semua pihak untuk menanganinya.

Sepanjang tahun 2016 hingga Februari lalu sahaja, Bahagian Pengurusan Rekod dan Teknologi Maklumat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan sebanyak 665 kertas siasatan telah dibuka melibatkan penjawat awam. Dilaporkan daripada jumlah itu, seramai 548 penjawat awam ditangkap manakala 63 kes lagi telah dituduh di mahkamah.

Saya sering membangkitkan soal integriti dan rasuah ke­rana kedua-duanya penting ditangani dengan baik sebelum menjadi barah yang bakal merosakkan pentadbiran kerajaan dan melumpuhkan ekonomi negara. Malang sekali, keprihatinan dan kesedaran mengenai ra­suah dalam kalang­an masyarakat masih berada di tahap yang rendah dan kita perlu melakukan sesuatu untuk meningkatkannya.

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) misalnya turut merosot ke tangga ke-55 tahun lepas berbanding tangga 54 pada 2015. Perbandingan dibuat dengan 176 buah negara.

Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar dilaporkan berkata, Malaysia hanya mencatat skor 49 daripada 100 dalam tinjauan CPI.

Berbanding negara ASEAN lain, Malaysia berada di bawah Singapura (kedudukan ketujuh) dan Brunei (ke-41) namun di atas Indonesia (ke-90), Filipina (ke-101), Thailand (ke-101), Vietnam (ke-113), Laos (ke-123), Myanmar (ke-136) dan Kemboja (ke-156).

Saya percaya budaya kerja yang diterapkan dengan nilai-nilai murni perlu menjadi amalan dan bukannya sekadar slogan dan janji yang diikrarkan saban tahun.

Mereka yang mempunyai jawatan, termasuk ahli politik dan ahli perniagaan berjaya, juga perlu diingatkan supaya tidak menyalahgunakan kedudukan, kuasa dan kekayaan untuk merasuah penjawat awam. Mereka juga boleh dikenakan tindakan oleh SPRM jika melakukan kesalahan tersebut.

Pada masa sama, orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu memainkan peranan ­memerangi rasuah dengan membuat laporan kepada SPRM jika sebarang mempunyai maklumat berkaitan ­rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Berdasarkan pe­merhatian saya, tahap integriti masyarakat di negara ini semakin berkurangan dan perkembangan ini agak membimbangkan.

Usaha membasmi masalah rasuah dalam negara wajar melibatkan penguatkuasaan semua undang-undang berkaitan dan hukuman berat perlu dijatuhkan agar mereka serik untuk melakukan rasuah selain menjadi pengajaran kepada masyarakat umum.

Pendedahan awal mengenai kesalahan serta kesan negatif rasuah juga perlu disemai dalam kalangan murid dengan menerapkannya di dalam sukatan pelajaran di sekolah termasuk mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.

Setiap agensi dan jabatan juga perlu mempunyai sistem pemantauan dalaman yang mampu mengesan sebarang elemen rasuah dalam organisasi. Pada masa sama, pihak berkuasa boleh menggunakan indikator hidup mewah untuk mengenal pasti mereka yang berbelanja melebihi pendapatan sebenar.

Agensi berkaitan juga boleh menyediakan perkhidmatan dalam talian bagi mengurangkan interaksi dan ke­renah birokrasi yang membuka peluang untuk memin­ta dan memberi suapan.

Kita juga harus menyokong saranan supaya penjawat-penjawat tinggi kerajaan termasuk ahli Kabinet mengisytiharkan aset secara terus kepada SPRM.

Selain itu, kesedaran mengenai bahaya rasuah perlu diperluaskan seperti berikut:

i) Mewujudkan media yang bebas dan telus melaporkan kegiatan rasuah,

ii) Meningkatkan akses rakyat terhadap maklumat khususnya di kawasan luar bandar;

iii) Menggalakkan perbincangan dan wacana mengenai isu-isu integriti dan penyalahgunaan kuasa.

iv) Membangunkan kesedaran sivik yang lebih tinggi demi untuk memupuk budaya ketelusan, akauntabiliti dan integriti di kalangan rakyat;

v) Menggalakkan universiti dan institusi pengajian memupuk nilai-nilai integriti dalam kalangan mahasiswa untuk me­ngubah persepsi mereka terhadap ra­suah;

vi) SPRM memainkan peranan penting memupuk nilai-nilai positif di semua maktab perguruan supaya guru-guru boleh menyampaikan nilai-nilai yang baik kepada pelajar untuk masa depan mereka.

Kejayaan memerangi rasuah bukan sahaja dapat me­ningkatkan pendapatan negara tetapi juga mampu memperkemaskan sistem penyampaian awam, merangsang keyakinan dan memenangi sokongan orang ramai. Kita tidak ada pilihan lain kecuali memerangi rasuah di semua peringkat secara habis-habisan sebelum menjadi barah yang memusnahkan negara ini secara perlahan-lahan.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia.


http://www.utusan.com.my/rencana/utama/pelihara-integriti-perangi-rasuah-1.482781#ixzz4hPMey8BM 

Monday, May 15, 2017

Revolusi baharu SPRM pembakar semangat rakyat Malaysia




Sejak kebelakangan ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat semakin giat dalam mengambil tindakan terhadap individu yang rakus mengaut keuntungan menerusi kegiatan rasuah.

Saban hari, berita-berita mengenai penahanan dan pendakwaan terhadap perasuah sering terpampang di kaca televisyen dan di dada akhbar, tidak kira kecil atau besar nilai rasuahnya. Sebut saja nama SPRM, mereka yang terlibat dalam aktiviti rasuah pasti kecut perut dan tidak senang duduk kerana memikirkan salah laku yang pernah dilakukan.

Seruan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad untuk menjadikan rasuah sebagai musuh nombor satu negara melalui program Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) tidak harus dipandang enteng dan rakyat harus menyahut seruan tersebut bagi membuktikan kita sememangnya serius dalam memerangi gejala yang akan memudaratkan negara.


Jika dilihat kepada statistik SPRM yang dikeluarkan baru-baru ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, 54 peratus daripada tangkapan penjenayah rasuah sejak tiga tahun lepas terdiri daripada kumpulan umur 40 tahun ke bawah.

Manakala, jumlah tangkapan menunjukkan seramai 414 individu telah ditahan SPRM sehingga awal bulan Mei ini. Jumlah tangkapan ini amat membimbangkan kerana rasuah akan memberi kesan yang buruk terhadap individu, masyarakat serta negara. Sekiranya masalah tersebut tidak dibendung dari peringkat awal, nescaya ia akan mendatangkan kesan negatif terhadap negara terutamanya dari segi imej dan reputasi.

Bagi mengelakkan kegiatan rasuah semakin menular, usaha pencegahan perlu bermula daripada diri kita sendiri. Selari dengan kempen 3J yang dilancarkan SPRM baru-baru ini iaitu ‘Jangan Hulur, Jangan Kawtim, Jangan Settle’, kita seharusnya tidak boleh berkompromi dengan mana-mana aktiviti rasuah yang berlaku di depan mata kita.

Sekiranya rakyat Malaysia mampu bertindak sedemikian, nescaya gejala rasuah dapat dibendung kerana perasuah semestinya akan lebih 'segan' untuk memberi atau menerima rasuah jika tindakan mereka dipandang serong oleh masyarakat.

Pada masa yang sama, rakyat perlu lebih tegas dalam bertindak memerangi rasuah dan jangan sesekali membiarkan masalah tersebut terus berlarutan sehingga ia menjadi fenomena yang tidak boleh dibendung lagi. Jangan membiasakan jenayah rasuah sehingga ia menjadi budaya masyarakat Malaysia pada masa akan datang. Sekiranya perkara ini terjadi, ia akan meruntuhkan nilai sosial dalam masyarakat kita.

Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, laporkan segala kegiatan rasuah kepada SPRM agar mereka yang terlibat dalam kegiatan rasuah menerima hukuman yang setimpal. Bersuaralah agar rasuah dapat diperangi sehingga ke akar umbi.

Akhir kata, setinggi-tinggi syabas dan tahniah diucapkan kepada SPRM dalam menggerakkan revolusi baharu dalam membasmi rasuah. Semoga usaha tersebut menjadi pembakar semangat kepada rakyat Malaysia supaya berani memerangi rasuah demi kepentingan negara dan jadikan rasuah sebagai musuh nombor satu negara!

Thursday, May 11, 2017

15 Suspek Pemberi Rasuah Bakal Dihadap Ke Mahkamah

PUTRAJAYA: Hanya dalam tempoh 48 jam selepas melancarkan kempen anti rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melebarkan operasi di seluruh negara untuk menahan pemberi rasuah.

Lebih 15 individu dijangka dihadapkan ke mahkamah seluruh negara pada Jumaat kerana didakwa memberi rasuah.

Semuanya berlaku hanya dua hari selepas SPRM melancarkan kempen anti rasuah, Gerakan Revolusi Antirasuah (Gerah) dan 3J (Jangan Hulur, Jangan Kawtim dan Jangan Settle).

Sebelum ini, beberapa kertas siasatan dibuka dan kebanyakan tindakan diambil terhadap penerima yang memegang jawatan tinggi dalam agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tetapi bertindak menyalahguna kuasa untuk kepentingan peribadi.

Difahamkan kumpulan terkini yang melakukan perbuatan tidak berintegriti ini berusia antara 20 dan 50 tahun melibatkan kes di Selangor, Perak, Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan dan Pahang.

Suspek termasuk kontraktor, ahli perniagaan, bekerja sendiri dan kakitangan sektor swasta.

Sumber berkata, suspek telah menawarkan rasuah kepada pegawai penguatkuasa seperti polis dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya tidak mengambil tindakan terhadap mereka berkaitan kesalahan trafik.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan sekumpulan pemberi rasuah akan dihadapkan ke mahkamah dalam tindakan terkini pihaknya.

Menurutnya, pemberi rasuah juga melakukan kesalahan dan sudah tiba masanya tiada yang akan terlepas daripada dikenakan tindakan melibatkan perbuatan itu.

"Kita perlu mendidik masyarakat bahawa rasuah perlu ditolak kerana ia satu kesalahan walaupun melibatkan kesalahan trafik.

"Peringatan mengenainya telah berulang kali dilakukan, sudah tiba masanya untuk berhenti melakukannya, jika tidak bersedia dikenakan tindakan," katanya.

http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/05/11/suspek-pemberi-rasuah/#ObDLETBgKvvD3pAW.99

Sunday, May 7, 2017

GERAH perangi rasuah bersama rakyat

PUTRAJAYA: Seramai 2,000 anggota dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digerakkan ke seluruh negara setiap bulan untuk mendekati rakyat melalui program Gerakan Revolusi AntiRasuah (GERAH). 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, berkata GERAH adalah gerakan revolusi sosial untuk mengubah pemikiran, sikap dan pandangan masyarakat terhadap rasuah dan pelaku rasuah untuk membenci perbuatan terkutuk itu. 

"Anggota dan pegawai yang terbabit akan turun padang dan berjumpa dengan masyarakat, sekali gus menjalin rangkaian kerjasama supaya rakyat sentiasa bersama SPRM dalam perang menghapuskan jenayah rasuah dan salah guna kuasa. 

"Ia adalah gelombang perubahan terhadap masyarakat supaya membenci rasuah, memandang jijik kepada pesalah rasuah serta mempunyai kekuatan dalaman untuk mengatakan tidak kepada rasuah dan salah guna kuasa," katanya pada sidang media sempena pelancaran GERAH, di sini, hari ini. 

Selain GERAH, SPRM juga akan melancarkan satu lagi kempen iaitu 3J (Jangan hulur, jangan kawtim, jangan settle), yang akan disebar luas oleh SPRM dengan kerjasama agensi media. 

"3J bertujuan menyampaikan mesej kesedaran terhadap rakyat suoaya tidak sesekali terbabit dalam perbuatan rasuah dan salah guna kuasa melalui cara penerimaan atau pemberian rasuah," katanya.


http://www.bharian.com.my/node/280272

Thursday, May 4, 2017

BEKAS PENGURUS BESAR KANAN MAHB DIDAKWA KEMUKA TUNTUTAN PALSU RM18,580 UNTUK RAWATAN KECANTIKAN



Bekas Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM18,580 untuk rawatan kecantikan.

Tertuduh, Md. Shamsuri Md. Isa, 41, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan terhadapnya yang dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Md. Shamsuri didakwa telah menggunakan tiga dokumen Card Credit Detail Form dan satu Borang Tuntutan Peribadi yang mengandungi butiran palsu iaitu pengesahan penggunaan kad kredit bagi tujuan rasmi MAHB sedangkan ia digunakan untuk tujuan peribadi merupakan rawatan kecantikan di sebuah klinik.

Tuntutan tersebut masing-masing berjumlah RM2,000, RM3,800, RM3,980, RM5,800 dan RM3,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 1 Mac hingga 26 September 2016 di Pejabat Korporat MAHB, Sepang.

Hakim Rozilah membenarkan Md. Shamsuri diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah telah menetapkan tarikh 5 Jun 2017 sebagai tarikh pengurusan kes.

Bagi pihak SPRM, kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya S.Thangavelu.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

4 MEI 2017