Sejak kebelakangan ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat semakin giat dalam mengambil tindakan terhadap individu yang rakus mengaut keuntungan menerusi kegiatan rasuah.
Saban hari, berita-berita mengenai penahanan dan pendakwaan terhadap perasuah sering terpampang di kaca televisyen dan di dada akhbar, tidak kira kecil atau besar nilai rasuahnya. Sebut saja nama SPRM, mereka yang terlibat dalam aktiviti rasuah pasti kecut perut dan tidak senang duduk kerana memikirkan salah laku yang pernah dilakukan.
Seruan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad untuk menjadikan rasuah sebagai musuh nombor satu negara melalui program Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) tidak harus dipandang enteng dan rakyat harus menyahut seruan tersebut bagi membuktikan kita sememangnya serius dalam memerangi gejala yang akan memudaratkan negara.
Jika dilihat kepada statistik SPRM yang dikeluarkan baru-baru ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, 54 peratus daripada tangkapan penjenayah rasuah sejak tiga tahun lepas terdiri daripada kumpulan umur 40 tahun ke bawah.
Manakala, jumlah tangkapan menunjukkan seramai 414 individu telah ditahan SPRM sehingga awal bulan Mei ini. Jumlah tangkapan ini amat membimbangkan kerana rasuah akan memberi kesan yang buruk terhadap individu, masyarakat serta negara. Sekiranya masalah tersebut tidak dibendung dari peringkat awal, nescaya ia akan mendatangkan kesan negatif terhadap negara terutamanya dari segi imej dan reputasi.
Bagi mengelakkan kegiatan rasuah semakin menular, usaha pencegahan perlu bermula daripada diri kita sendiri. Selari dengan kempen 3J yang dilancarkan SPRM baru-baru ini iaitu ‘Jangan Hulur, Jangan Kawtim, Jangan Settle’, kita seharusnya tidak boleh berkompromi dengan mana-mana aktiviti rasuah yang berlaku di depan mata kita.
Sekiranya rakyat Malaysia mampu bertindak sedemikian, nescaya gejala rasuah dapat dibendung kerana perasuah semestinya akan lebih 'segan' untuk memberi atau menerima rasuah jika tindakan mereka dipandang serong oleh masyarakat.
Pada masa yang sama, rakyat perlu lebih tegas dalam bertindak memerangi rasuah dan jangan sesekali membiarkan masalah tersebut terus berlarutan sehingga ia menjadi fenomena yang tidak boleh dibendung lagi. Jangan membiasakan jenayah rasuah sehingga ia menjadi budaya masyarakat Malaysia pada masa akan datang. Sekiranya perkara ini terjadi, ia akan meruntuhkan nilai sosial dalam masyarakat kita.
Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, laporkan segala kegiatan rasuah kepada SPRM agar mereka yang terlibat dalam kegiatan rasuah menerima hukuman yang setimpal. Bersuaralah agar rasuah dapat diperangi sehingga ke akar umbi.
Akhir kata, setinggi-tinggi syabas dan tahniah diucapkan kepada SPRM dalam menggerakkan revolusi baharu dalam membasmi rasuah. Semoga usaha tersebut menjadi pembakar semangat kepada rakyat Malaysia supaya berani memerangi rasuah demi kepentingan negara dan jadikan rasuah sebagai musuh nombor satu negara!
No comments:
Post a Comment