Wednesday, May 17, 2017

BERSIHKAN SANG SAKA BIRU

“JANGAN marah saya, jangan marah Bukit Aman jika tindakan disiplin diambil dan jangan pernah mohon maaf atas kesilapan mereka kerana kita telah menghidu sekian lama dan apabila bukti kukuh diperoleh tindakan akan dijalankan. Kita tidak akan melindungi mereka.”

Itulah kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika ­menegaskan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan 16 pegawai dan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang dipercayai terlibat melindungi sindiket pengedaran dadah.

Tidak sampai beberapa jam Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri membuat penegasan tersebut, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pegawai polis dan dua orang awam di Melaka kerana terlibat dengan aktiviti rasuah pusat judi haram dan rumah urut. Dan semalam pula tiga pegawai kanan polis termasuk dua ketua polis daerah di Melaka turut ditahan atas dakwaan terlibat rasuah.

Sama ada mereka bersalah atau tidak bukan hak kita untuk menghukum selagi proses siasatan masih dijalankan dan mereka belum dihadapkan ke mahkamah. Tetapi apa yang pasti masanya sudah tiba untuk operasi pembersihan dilakukan di dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Imej Sang Saka Biru itu tidak harus dibiarkan tercemar hanya disebabkan oleh segelintir pegawai dan anggota pasukan tersebut bersedia menjamah wang haram untuk hidup mewah. Sebagai penguat kuasa undang-undang mereka pasti memahami akibat daripada perbuatan berkenaan.

Tindakan mereka yang bersekongkol dengan apa juga sindiket adalah perbuatan tidak bertanggungjawab, mereka bukan sahaja mengkhianati amanah dan sumpah Sang Saka Biru tetapi juga mengkhianati rakan-rakan seperjuangan. Ini kerana akibat perbuatan mereka, PDRM secara ­keseluruhan akan dipandang serong oleh masyarakat sedangkan dalam pasukan itu seperti mana kata seorang pegawai kanan polis kepada penulis, “terdapat ribuan lagi yang bekerja secara jujur, ikhlas dan amanah demi bangsa, agama dan negara.”

Justeru adalah wajar Sang Saka Biru dibersihkan bukan sahaja melalui tindakan dalaman oleh pasukan itu sendiri tetapi juga oleh SPRM. Seperti mana kata Ahmad Zahid, tiada kompromi dalam soal tersebut.

Begitulah juga bagi SPRM. Agensi itu akan meneruskan misinya memerangi rasuah melibatkan penjawat awam terma-suklah dalam kalangan agensi penguat kuasa. Mana-mana pihak tidak harus memandang serong ­ketegasan yang ditunjukkan oleh SPRM kerana agensi berkenaan tidak mempunyai agenda yang tersirat atau tersurat.

Apa yang mahu dilakukan oleh SPRM adalah memastikan ra-suah tidak menjadikan anai-anai yang boleh meruntuhkan negara, apatah lagi kalau ia merebak ke dalam agensi penguat kuasa.

Kalaulah dalam kegiatan jenayah pun boleh wujud kompromi, apa akan berlaku kepada negara ini? Contohnya, dalam kes judi haram ini bukan isu baharu, malah sudah wujud sejak sekian lama, tetapi kegiatan tersebut seolah-olah sukar dihapuskan.

Keadaan itu berlaku kerana ada segelintir anggota agensi penguat kuasa yang sanggup menjadi ‘balaci’ kepada sindiket. Mereka tidak fikir kesannya kepada masyarakat, apa yang penting bagi mereka ialah ‘meraih keuntungan’ secara haram.

Oleh itu, adalah diharapkan SPRM akan meneruskan langkah agresifnya untuk memastikan PDRM bersih daripada rasuah. Dalam soal ini, siasatan perlu ditumpukan di semua peringkat termasuklah pengurusan.

Langkah itu penting kerana seperti mana dinyatakan oleh SPRM ada suspek orang awam yang ditangkap didakwa mempunyai ‘kuasa’ untuk menukar mana-mana pegawai polis yang tidak bekerjasama dengannya.

Sama ada betul atau tidak, biarlah SPRM menentukan melalui siasatan yang dijalankan tetapi jika dakwaan itu benar-benar berlaku maka tindakan tegas perlu diambil tidak kira ‘siapapun pengurusan PDRM’ tersebut.

Sebenarnya adalah tidak adil kepada PDRM untuk dipaksa menjamah segala tohmahan hanya disebabkan segelintir pegawai dan anggotanya menerima ra-suah. Kasihanilah ribuan lagi anggota pasukan itu yang sanggup berkorban apa sahaja demi tugas kepada negara. Justeru maruah PDRM yang tercalar perlu dipu-lihkan.

Penulis percaya apa yang dilakukan oleh SPRM mendapat sokongan daripada sebahagian besar pegawai dan anggota PDRM. Malah dalam satu perbualan dengan beberapa pegawai kanan agensi penguat kuasa baru-baru ini, mereka berpendapat, tindakan tegas SPRM itu sepatutnya sudah lama dilakukan.

Tindakan tersebut bukanlah bertujuan memburuk-burukkan mana-mana agensi penguat kuasa tetapi demi memastikan gejala rasuah tidak terus bermaharajalela sehingga memungkinkan undang-undang dipermainkan.

Dalam masa sama adalah di­harapkan tindakan demi tindakan yang dilakukan oleh SPRM akan memberi peringatan kepada kelompok yang masih mahu mengamalkan rasuah bahawa lambat-laun mereka pasti akan ditahan kerana ‘sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga’.

Ingatlah kuasa dan kedudukan adalah amanah bukannya ‘tongkat azimat’ untuk meraih kekayaan dan kesenangan secara haram. Penulis percaya ribuan lagi dalam PDRM memahami hakikat ini tetapi malangnya mereka turut terpalit akibat perbuatan ‘seekor kerbau membawa lumpur...’

http://www.utusan.com.my/rencana/utama/bersihkan-sang-saka-biru-1.482782#ixzz4hPM5PJBq 

No comments:

Post a Comment