Penulis artikel 'Di Sebalik Isu Panas', Nor Shafawati Yup mengulas mengenai isu pelanggaran integriti dan etika dalam kalangan penjawat awam khususnya berkaitan penahanan 13 individu termasuk pegawai kanan polis yang menimbulkan pelbagai perdebatan masyarakat tidak kiralah sama ia positif atau sebaliknya.
Penulis memetik kata-kata Pensyarah Psikologi di Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya, Dr. Mohd. Awang Idris yang berkata, adalah menjadi satu tuntutan yang mendesak bagi organisasi-organisasi tertentu untuk mengubah budaya dalam mendepani kegiatan rasuah daripada terus membarah di negara ini.
Mohd Awang turut berkata, kebanyakan negara membangun berhadapan dengan isu integriti atas faktor mahu memenuhi kehendak kewangan dan mencapai keinginan pada tahap tertinggi.
Sementara itu, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye memberitahu sumbangan besar PDRM dalam memberi perkhidmatan cemerlang kepada rakyat secara keseluruhan wajar dihargai dan dipuji.
Lam Thye berkata, SPRM sedang melaksanakan kempen antirasuah secara agresif untuk membersihkan perkhidmatan awam dan penjawat awam perlu 'diajar' untuk berpegang kepada prinsip integriti dan etika kerja yang tinggi.
Menurut penulis, kesimpulannya, semua pihak perlu memainkan peranan penting dalam usaha membasmi gejala rasuah termasuk merealisasikan hasrat kerajaan untuk menggunakan pakai alat uji bohong atau poligraf.
No comments:
Post a Comment