Friday, October 27, 2017

80,000 daftar jadi Sahabat GERAH SPRM

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Sebanyak 80,000 rakyat di negara ini telah mendaftarkan diri sebagai Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu badan tersebut memerangi salah laku dan rasuah dalam kalangan masyarakat secara holistik.
Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil, jumlah itu juga dijangka akan terus meningkat sehingga 100,000 ahli menjelang penghujung tahun ini.
"Jumlah penyertaan yang banyak itu menunjukkan bukti jelas bahawa rakyat sentiasa memberi sokongan kepada perjuangan SPRM dengan cara menjadi  'mata dan telinga' untuk membongkar kegiatan tidak bermoral yang dilakukan oleh segelintir anggota masyarakat," katanya kepada pemberita dalam program Konvesyen Integriti Pelajar-Pelajar Institusi Pendidikan Mara (Ipma) di Institut Perindustrian Mara-Jepun, Beranang, Selangor.
Turut hadir, Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf. 

Piawaian tambah baik pengurusan sistem antirasuah

PUTRAJAYA: Jabatan Standard Malaysia (Standard Malaysia) melancarkan piawaian Malaysian Standard (MS) MS ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) sebagai panduan kepada organisasi menambah baik pengurusan sistem antirasuah.
Ketua Pengarah Standard Malaysia, Datuk Fadilah Baharin, berkata inisiatif membangunkan MS ISO 37001:2016 ABMS dijalankan sejak Mac lalu dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menggunapakai secara terus standard antarabangsa ISO 37001 ABMS - Keperluan Kepada Panduan Untuk Penggunaan.

Beliau berkata, MS ISO 37001:2016 ABMS menyediakan keperluan dan panduan untuk mewujudkan, melaksana, mengekalkan dan memperbaiki sistem pengurusan antirasuah.

Sistem ini, katanya, wujud secara bebas, disepadukan dengan sistem sedia ada, selain menjadi sistem pengurusan keseluruhan.

"Diharapkan dengan wujudnya MS ini, ia dapat membantu sektor awam, swasta dan entiti bukan berasaskan keuntungan melaksanakan langkah yang wajar dan bersesuaian ke arah mencegah berlakunya jenaya rasuah dalam organisasi mereka.

"Dengan kesungguhan pakar dalam bidang berkaitan pengurusan antirasuah dalam jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil, pembangunan MS ISO 37001:2016 ABMS berjaya disiapkan dan mendapat kelulusan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau pada 17 Oktober lalu.

"Daripada sejumlah 5,312 MS yang dibangunkan sehingga 30 September lalu, 16 daripadanya dibangunkan oleh Jawatankuasa Standard Perindustrian berkenaan Pengurusan Organisasi.

"MS ISO 37001 adalah satu daripadanya," katanya pada sidang media sempena pelancaran MS ISO 37001:2016, di sini, hari ini.

Shamshun Baharin berkata, SPRM sebagai agensi yang mengetuai dalam usaha pencegahan rasuah di negara ini berperanan sebagai pengerusi dalam jawatankuasa teknikal MS ISO 37001:2016 bagi memastikan standard itu memenuhi kehendak dan keperluan organisasi di negara ini.

Beliau berkata, sistem itu juga akan menjadi satu panduan pencegahan rasuah kepada semua pihak selaras cadangan pindaan ke atas Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bagi memasukkan undang-undang berkaitan liabiliti korporat, yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat tidak lama lagi.

"Liabiliti korporat adalah satu peruntukan kesalahan, bagi memastikan amalan akauntabiliti syarikat atau organisasi dalam usaha mencegah yang secara tidak langsung memberi impak positif kepada keberkesanan penguatkuasaan Akta SPRM 2009," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/10/342507/piawaian-tambah-baik-pengurusan-sistem-antirasuah

Piawaian tambah baik pengurusan sistem antirasuah

PUTRAJAYA: Jabatan Standard Malaysia (Standard Malaysia) melancarkan piawaian Malaysian Standard (MS) MS ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) sebagai panduan kepada organisasi menambah baik pengurusan sistem antirasuah.

Ketua Pengarah Standard Malaysia, Datuk Fadilah Baharin, berkata inisiatif membangunkan MS ISO 37001:2016 ABMS dijalankan sejak Mac lalu dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menggunapakai secara terus standard antarabangsa ISO 37001 ABMS - Keperluan Kepada Panduan Untuk Penggunaan.

Beliau berkata, MS ISO 37001:2016 ABMS menyediakan keperluan dan panduan untuk mewujudkan, melaksana, mengekalkan dan memperbaiki sistem pengurusan antirasuah.

Sistem ini, katanya, wujud secara bebas, disepadukan dengan sistem sedia ada, selain menjadi sistem pengurusan keseluruhan.

"Diharapkan dengan wujudnya MS ini, ia dapat membantu sektor awam, swasta dan entiti bukan berasaskan keuntungan melaksanakan langkah yang wajar dan bersesuaian ke arah mencegah berlakunya jenaya rasuah dalam organisasi mereka.

"Dengan kesungguhan pakar dalam bidang berkaitan pengurusan antirasuah dalam jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil, pembangunan MS ISO 37001:2016 ABMS berjaya disiapkan dan mendapat kelulusan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau pada 17 Oktober lalu.

"Daripada sejumlah 5,312 MS yang dibangunkan sehingga 30 September lalu, 16 daripadanya dibangunkan oleh Jawatankuasa Standard Perindustrian berkenaan Pengurusan Organisasi.

"MS ISO 37001 adalah satu daripadanya," katanya pada sidang media sempena pelancaran MS ISO 37001:2016, di sini, hari ini.

Shamshun Baharin berkata, SPRM sebagai agensi yang mengetuai dalam usaha pencegahan rasuah di negara ini berperanan sebagai pengerusi dalam jawatankuasa teknikal MS ISO 37001:2016 bagi memastikan standard itu memenuhi kehendak dan keperluan organisasi di negara ini.

Beliau berkata, sistem itu juga akan menjadi satu panduan pencegahan rasuah kepada semua pihak selaras cadangan pindaan ke atas Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bagi memasukkan undang-undang berkaitan liabiliti korporat, yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat tidak lama lagi.

"Liabiliti korporat adalah satu peruntukan kesalahan, bagi memastikan amalan akauntabiliti syarikat atau organisasi dalam usaha mencegah yang secara tidak langsung memberi impak positif kepada keberkesanan penguatkuasaan Akta SPRM 2009," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/10/342507/piawaian-tambah-baik-pengurusan-sistem-antirasuah

1,614 penjawat awam ditahan SPRM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan 2,309 kertas siasatan salah laku rasuah membabitkan penjawat awam untuk tempoh 2013 hingga 30 September tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan, berkata angka itu lebih tinggi berbanding 1,143 kertas siasatan membabitkan orang awam.

Bagaimanapun, kategori orang awam itu tidak mengambil kira sektor swasta atau ahli politik.

"Seramai 1,614 penjawat awam telah ditahan manakala orang awam (1,247).

"Selain itu, sebanyak 663 penjawat awam dikenakan pertuduhan berbanding 566 orang awam. Seramai 344 penjawat awam didapati bersalah (sabitan), manakala orang awam seramai 494 orang.

"Penjawat awam yang dilepaskan (pertuduhan tidak disabitkan di Mahkamah Sesyen) adalah sebanyak 150 orang berbanding 41 orang awam," katanya dalam jawapan bertulis kepada Er Teck Hwa (DAP - Bakri) pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Teck Hwa bertanya mengenai jumlah kakitangan kerajaan dan orang awam yang telah disiasat dan dilepaskan SPRM dari tahun 2013 hingga 30 September 2017.

Wednesday, October 18, 2017

Integriti dan rasuah

Sejak seminggu lalu, topik rasuah menjadi paparan utama hampir semua media di negara ini. Ia bermula dengan pendedahan siasatan kes seleweng dana RM1.5 bilion untuk projek luar bandar di Sabah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kemudian diikuti kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengenai amaran rasuah dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sejak dilantik sebagai KPN pada 4 September lalu, Mohamad Fuzi menjadikan isu integriti anggota dan pegawainya sebagai fokus pentadbiran. Kenyataan pedasnya mengenai ada pegawainya 'berlakon dan bermain wayang' dalam soal pembanterasan kegiatan judi, jenayah bersindiket dan gengsterisme sepatutnya menjadi wake up call.

Sudah tentu amaran itu ada kaitan dengan pelbagai laporan media sebelum ini mengenai ada aktiviti judi berhampiran balai polis, jenayah sindiket dan kumpulan gengster yang dikatakan turut dikaitkan dengan pegawai kanan polis serta isu wang perlindungan boleh mengaibkan pasukan keselamatan itu.

Apa tidaknya, jika dibuat carian dalam internet mengenai agensi kerajaan paling banyak aduan rasuah, nama PDRM antara 10 tertinggi, selain Jabatan Imigresen, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kastam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Tanah dan Galian.

Tiga tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga mendedahkan Jabatan Imigresen antara agensi kerajaan berada di kedudukan teratas bagi aduan rasuah yang dibentangkan SPRM kepada Kabinet.

Ini sudah tentu memalukan beliau sebagai menteri bertanggungjawab. Perlu diakui hanya kerana perbuatan sebilangan kecil anggota dan pegawai, tercalar imej seluruh jabatan.

Namun, perubahan pucuk pimpinan kebanyakan agensi itu sejak setahun dua lalu, menampakkan banyak kerja 'pembersihan' dilakukan, ditambah pula dengan ketegasan operasi agresif SPRM tanpa mempedulikan pangkat, jawatan dan parti politik orang disyaki rasuah semakin menampakkan hasil.

Ramai yang mengisi kerusi panas di jabatan kerajaan atau swasta sudah kecut perut.

Malah, keputusan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad mahu mengeluarkan senarai 10 kementerian paling banyak menerima aduan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa selewat-lewatnya hujung tahun ini juga sudah tentu mula memberi tekanan kepada menteri, ketua setiausaha, ketua pengarah atau ketua agensi penguat kuasa.

Ini mungkin sesuatu yang baharu di negara kita, tetapi ada negara seperti Korea Selatan sudah melakukannya.

Dalam jangka panjang, ini akan membantu Malaysia meningkatkan posisinya dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI). Pada 2016, Malaysia berada tangga ke-55 daripada 176 negara dengan mencatat skor 49 daripada 100 dalam tinjauan CPI.

Walaupun Malaysia menduduki kedudukan lebih baik daripada banyak negara jiran seperti Indonesia (ke-90), Filipina dan Thailand (ke-101), jauh ketinggalan berbanding Singapura di nombor 7.

Kita berharap usaha Mohamad Fuzi untuk membersihkan PDRM menjadi. Kita juga harap Ketua Pengarah Imigresen, JPJ, JPN, Jabatan Kastam dan pemimpin PBT serta semua agensi yang berurusan dengan rakyat turut memulakan jihad rasuah.

Pastinya dalam tempoh kurang 10 tahun, ranking Malaysia dalam CPI akan meningkat. Jika ini menjadi kenyataan, Malaysia akan dihormati di seluruh dunia dan rakyat akan lebih makmur tanpa rasuah.

Penulis adalah Pengarang Bersekutu ( Berita & Integrasi Media)

https://www.bharian.com.my/kolumnis/2017/10/337569/integriti-dan-rasuah

SPRM, JUDI DAN 'TANGAN GHAIB'

KETIKA kali pertama mahu membongkar kegiatan judi haram, penulis diperingatkan untuk berhati-hati, malah ada teman berkata, apa yang dilakukan bagaikan ‘menjolok sarang tebuan’ atau ‘mengganggu harimau sedang tidur’.
Peringatan itu mempunyai maksud amat mendalam kerana kegiatan judi haram bukan sahaja berkaitan dengan sindiket malah jauh daripada itu, ia juga melibatkan amalan rasuah dan salah guna kuasa serta aktiviti pengubahan wang haram.

Kegiatan itu juga jika dibongkar akan mengakibatkan sindiket bukan sekadar rugi berpuluh-puluh ribu sehari malah mencecah jutaan ringgit sehari dan ber­bilion ringgit setahun. Sebab itulah dalam apa keadaan sekali pun sindiket akan cuba mempertahankan kegiatan haram ber­kenaan.

Sekadar perlu menghulurkan RM10 juta hingga RM15 juta sebulan kepada anggota agensi penguat kuasa dan menguruskan segala keperluan yang diinginkan oleh segelintir pegawai-pegawai kanan agensi tersebut ia bukanlah satu masalah.

Atas sebab itulah sejak awal lagi apabila nama Tan Sri Dzulkifli Ahmad disebut-sebut bakal dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau mula ‘diserang’ me­lalui taktik ‘pembunuhan karakter’.

Sindiket judi amat memahami kewibawaan dan kemampuan anak kelahiran Kepala Batas itu untuk mengganggu dan menjadi ancaman kepada kegiatan haram mereka. Ini memandangkan ketika mengetuai Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara (NRRET), Dzulkifli telah membongkar banyak kegiatan haram termasuklah ketirisan hasil negara serta ­rasuah dan salah guna kuasa.

Apa yang ditakuti oleh sindiket judi menjadi kenyataan apabila selepas melakukan ‘pembersihan’ di peringkat penjawat awam dan penyelewengan dana kerajaan, Dzulkifli pada 13 September lalu mengisytiharkan ‘perang’ terhadap kegiatan judi haram di negara ini.

SPRM mengesan ia semakin berleluasa disebabkan amalan rasuah, justeru Dzulkifli melontar amaran untuk mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang terlibat termasuk pihak yang melindungi sindiket judi haram berkenaan.

Amaran Dzulkifli diiringi pula dengan pengumuman Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 27 September lalu untuk menubuhkan satu pasukan khas bagi memantau ke­giatan sindiket judi.

Bagaimanapun apa yang lebih ditakuti adalah Dzulkifli, SPRM dan NRRET. Ini kerana jika Dzulkifli benar-benar menggerakkan kedua-dua agensi tersebut bagi tujuan menghapuskan jenayah judi tersebut, ia bukan sahaja membongkar perbuatan berkisar soal sindiket meraih untung dan ribuan menjadi ‘kaki judi’.

Tetapi ancaman yang tersebut ialah kegiatan penggubahan wang haram dan amalan rasuah serta salah guna kuasa dalam kalangan pegawai serta anggota agensi penguat kuasa.

Tindakan tersembunyi inilah yang paling ditakuti oleh sindiket akan dibongkar oleh SPRM, malah yang akan turut gelisah ialah ‘ba­laci-balaci’ mereka yang berada dalam agensi penguat kuasa.

Selama ini, kegiatan jahat mereka bermaharajalela kerana segala-galanya sentiasa dilindungi sama ada melalui amalan ­rasuah atau `mencampakkan’ wang haram melalui aktiviti judi untuk ‘dibersihkan’ ke dalam pelbagai perniagaan dan perkilangan.

Berselindung di sebalik sektor korporat dan bersedia memberi sumbangan adalah taktik-taktik yang digunakan oleh ‘tauke-tauke’ judi dan ada antara mereka berpangkat ‘Tan Sri, Datuk’ atau ‘Datuk Seri’. Situasi inilah yang memungkinkan sindiket judi agak sukar untuk dilumpuhkan selama ini kerana mereka berselindung di sebalik ­aktiviti bersih untuk menutupi kegiatan haram.

Justeru apabila mereka melihat SPRM di bawah Dzulkifli begitu bersungguh-sungguh memerangi rasuah dan salah guna kuasa, maka sindiket dan konco-konco mereka dalam agensi penguat kuasa tidak dapat duduk diam.

Apatah lagi jika benar SPRM mahu melancarkan ‘serangan’ ke atas kegiatan judi, ini mungkin akan mendedahkan bagaimana dahsyat­nya amalan rasuah dalam kalangan pegawai kanan agensi penguat kuasa.

Antara perkara yang paling ditakuti ialah jika SPRM menahan ‘orang tengah’ yang dalam istilah sindiket runner. Orang tengah itu memainkan peranan ­penting antara sindiket dan pihak berkuasa.

‘Orang tengah’ membuat kutipan daripada sindiket-sindiket untuk diserahkan kepada pegawai dan anggota agensi penguat kuasa yang mengamalkan rasuah.

Hanya ‘orang tengah’ ini yang mengetahui kepada siapa setiap bulan, wang haram daripada hasil judi disalurkan. Peranan besar yang dimainkan ‘orang tengah’ memungkinkan dia menjadi antara orang penting untuk melumpuhkan kegiatan judi di negara ini.

Sebab itulah, sindiket tidak mahu keadaan itu berlaku dan pada masa sama kelompok yang bersekongkol dengan mereka juga bimbang akan ditangkap oleh SPRM.

Oleh itu untuk memastikan situasi ‘menang-menang’, mereka perlu merancang sesuatu termasuklah menggunakan ‘tangan-tangan ghaib’ bagi menggugat keyakinan SPRM khususnya Dzulkifli untuk bertindak.

Lanjutan itu apabila Dzulkifli mengumumkan sahaja SPRM akan memerangi judi haram, beliau ‘di­serang’ melalui taktik yang cukup menjijikkan iaitu ‘pembunuhan karektor.’ Jika dikaji ‘serangan’ itu dilakukan secara terancang bagi mewujudkan keraguan orang ramai terhadap Dzulkifli.

Namun begitu setakat ini ­usaha mereka gagal. Dzulkifli dan SPRM masih gah melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan. Penyelewengan dana kerajaan, rasuah dan salah guna kuasa terus ‘diperangi’. Dan selepas ini penulis yakin kegiatan judi haram pula akan menjadi sasaran. Justeru sama-samalah kita nantikan ‘pepe­rangan’ tersebut.


http://www.utusan.com.my/rencana/utama/sprm-judi-dan-tangan-ghaib-1.538330#ixzz4vv51FMof 

Sunday, October 8, 2017

Rasuah musuh nombor satu negara

SUDAH berbilion ringgit hasil rasuah dirampas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam pelbagai kes yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini.
Namun perkara itu masih lagi tidak dapat menyedarkan semua pihak akan bahayanya rasuah sehingga Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jai s Abdul Karim mencadangkan kerajaan mengisytiharkan rasuah musuh nombor satu negara sebagai slogan bagi menggantikan dadah.
Jais dalam wawancara ringkas dengan wartawan Utusan Malaysia, Muhamad Amirul Afiq Mastor menghuraikan isu tersebut dan langkah yang perlu dilaksanakan bagi membanteras rasuah di Malaysia.


Utusan: Mengapa rasuah perlu menggantikan dadah sebagai musuh utama negara?
Jais: Jika kita lihat bagaimana dadah boleh dibawa masuk, die­dar dan dijual sewenang-wenangnya kepada orang ramai adalah disebabkan ada di antara pegawai kita yang tidak berintegriti dalam menjalankan tugas. Jika kita mampu menumpaskan rasuah sebagai musuh kita yang utama pastinya masalah lain yang berkait seperti dadah dapat diatasi.

Di manakah tahap rasuah di negara ini?
JAIS: Kita sebenarnya berada pada tahap yang kritikal namun kita suka untuk menafikan kenya­taan itu dan akhirnya isu rasuah ini tidak pernah selesai. Kita perlu menghadapi kenyataan dan mencari jalan sewajarnya bagi memastikan rasuah tidak berlaku.
Pendidikan antirasuah bukan sahaja diberikan kepada sektor tertentu sahaja malah perlu diperluaskan kepada semua sektor tidak kira peringkat kerajaan atau swasta, muda dan tua serta sebagainya. Perkara itu adalah asas dalam memberikan pengetahuan yang mencukupi agar semua tahu bahawa rasuah itu berlaku dengan pelbagai keadaan yang akan berkembang kepada asas yang lain.

Pelbagai kempen telah dilakukan namun masih gagal, mengapa ini terjadi?
Jais: Kempen perlu dilakukan secara berterusan bukan hanya sekali sahaja dan anggap semua sudah mengetahui dan tidak berlaku rasuah. Tanggapan itu salah, kempen perlu dilakukan dengan susulan. Sebagai contoh, bagi sesebuah agensi yang menandatangani petisyen integriti antirasuah adakah ia menjamin seseorang itu tidak melakukan rasuah? Malah ada yang sudah laksanakannya sejak sekian lama tetapi rasuah tetap berlaku. Kerana apa? Kerana tiada pemantauan dan kempen yang dilakukan tidak berterusan. Seorang pegawai pemerhati perlu dilantik untuk memastikan integriti pegawai terus kebal daripada rasuah. Jika syarat persijilan standard Pertubuhan Pemiawaian Antarabangsa (ISO) boleh ada pegawai pemerhati kenapa tidak bagi melantik pegawai pemerhati dalam isu ini.

Adakah perlu satu program wajib di jabatan kerajaan dan swasta?
Jais: Bagi pegawai kerajaan mereka sudah mempunyai pegawai integriti di setiap jabatan dan itu sedikit sebanyak dapat memantau pergerakan mereka dan sebagainya. Namun bagi pihak swasta perkara seperti itu tidak ada. MCW telah berbincang de­ngan pihak SPRM akan mengadakan satu program bersama penjawat swasta dengan menjemput mereka melawat mahkamah SPRM, bilik kawad cam, lokap dan sebagainya selain sesi dialog mengenai perkara itu.
Program itu adalah salah satu cara memberi kesedaran kepada pegawai tinggi sektor swasta apa yang bakal mereka hadapi jika terlibat dengan rasuah. Jika pada program tersebut mereka berbaju kemeja dan tali leher, mungkin jika tidak berintegriti, baju lokap SPRM berwarna oren akan menjadi persalinan buat mereka.

Bilakah masa yang sesuai kita memberikan pendidikan antirasuah?
Jais: Ramai di antara kita tidak menyedari rasuah berlaku sejak kecil di mana anak-anak dirasuah untuk mendapatkan sesuatu yang dikehendaki. Secara tidak langsung kita telah mengajar mereka rasuah walhal sebenarnya kita mahu memberi penghargaan. Hadiah dan rasu­ah mempunyai lapisan sangat nipis yang membezakan dan itu perlu dijelaskan pada anak-anak kita. Jangan sesekali memberi penghargaan berupa wang ringgit atau material kerana mereka akan mudah tersalah anggap apabila dewasa untuk membezakan penghargaan atau rasuah. Berikan mereka lebih galakan dengan suntikan semangat serta kasih sayang yang sewajarnya kerana itu yang lebih baik buat mereka.

Berapa lama lagi negara mampu keluar daripada isu rasuah ini?
Jais: Jika Indonesia mampu berkempen selama 60 tahun untuk mendapatkan kesedaran dalam kalangan warganya, kita mungkin akan memerlukan masa 30 tahun lagi bagi terus mendidik rakyat Malaysia untuk menolak rasuah. Itu perlu dilaksanakan mengikut apa yang saya perkatakan awal tadi iaitu kempen berterusan dan didikan sejak kanak-kanak.
Jika itu berlaku kita tidak lagi perlukan SPRM kerana setiap dari kita mampu berfikir untuk menolak perkara yang tidak berintegriti. Generasi muda ketika ini dalam lingkungan 20 tahun dan pada masa itu kelak mereka sudah menjangkau 50 tahun mungkin menjadi pegawai kanan kerajaan mahupun swasta yang akan mengubah landskap rasuah kepada pegawai berintegriti.


 http://www.utusan.com.my/rencana/utama/rasuah-musuh-nombor-satu-negara-1.535532#ixzz4uzUrnQnN

Kerana ‘gerah’, Dzulkifli ‘diserang’

SALAH satu langkah yang diperkenalkan oleh Tan Sri Dzulkifli Ahmad sebaik sahaja mengambil alih jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setahun lalu ialah memperkenalkan Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah).

Mengikut kamus bahasa Indonesia, ‘Gerah’ bermaksud berasa panas badan atau merasa tidak tenang kerana ada sesuatu yang mengganggu. Kalau mahu dilihat dari sudut tindakan SPRM dan ketegasan Dzulkifli setakat ini sememangnya ramai berada dalam keadaan ‘kegerahan’.

Oleh itu, tidak hairanlah sejak kebelakangan ini, SPRM mula ‘diserang’ dan sudah tentulah sasaran serangan ‘ditujukan khas’ kepada Dzulkifli melalui ‘pembunuhan karakter’.

Taktik kotor dan jijik tersebut digunakan dengan harapan mewujudkan kesangsian atau persepsi dalam kalangan rakyat terhadap peribadi dan kredibiliti Dzulkifli.

Perbuatan jahat itu dilakukan kerana mereka semakin ‘kegerahan’ berikutan tindakan agresif Dzulkifli yang memastikan SPRM bertindak tanpa memilih bulu. Tidak kira ahli politik pemerintah mahupun pembangkang, semuanya tidak akan terlepas jika terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa.

Begitulah juga tindakan ke atas anggota penguat kuasa dan ‘orang tengah’ mereka seperti mana dalam kes judi haram di Melaka pada Mei lalu.

Sehubungan itu, walaupun sokongan rakyat terhadap SPRM semakin meningkat, namun ada pihak sudah melihat Dzulkifli sebagai ‘satu ancaman’ kerana beliau dianggap tidak boleh dikawal dan bebas dalam bertindak.

Tambahan pula Dzulkifli juga amat tegas dalam mempertahankan SPRM sehingga sanggup secara lantang mengkritik penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN).

Tidak cukup dengan itu, Dzulkifli turut mencetuskan ­‘ke­gerahan’ kepada kelompok yang bersekongkol dengan ­ke­giatan judi haram apabila me­ng­umumkan akan menggempur aktiviti tersebut kerana jenayah itu berlaku berpunca daripada sindiket sudah menguasai sesetengah anggota agensi penguat kuasa.

Ketegasan dalam bertindak dan kelantangan dalam mempertahankan SPRM telah memungkinkan Dzulkifli mula dijadikan sasaran untuk dijatuhkan.

Melalui misi ‘pembunuhan karakter’, mereka mahu Ketua Pesuruhjaya berusia 49 tahun itu berundur dan menyerah kalah sekali gus memastikan perbuatan jahat serta kegiatan haram mereka tidak terus diganggu.

Mereka berasa ‘gerah’ kerana Dzulkifli cukup berani dalam ber­tindak bagi menggugat kepentingan mereka yang mungkin selama ini dianggap ‘selamat’.

Bagaimanapun setakat ini, Dzulkilfi tidak berasa ‘gerah’ de­ngan serangan yang dilakukan kerana ia adalah adat dalam perjuangan, sebaliknya seperti mana ditegaskan oleh beliau dalam wawancara dengan penulis baru-baru ini, “... Jika menerima maklumat dan menghidu sebarang perilaku rasuah dan salah guna kuasa, percayalah kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan dan merentap keamanan mereka yang terlibat dengan jenayah terkutuk itu.”

Adalah lebih baik jika mereka yang melakukan ‘serangan’ ke atas Dzulkifli menghentikan kerja-kerja bodoh itu. Tidak payah­lah menggunakan taktik, strategi atau propaganda politik untuk menyerang penjawat awam se­perti Dzulkifli.

Beliau dan SPRM bukan ahli politik. Mereka tidak tahu bermain politik.

Mereka hanya ­melaksanakan amanah yang diberikan rakyat kepada agensi itu bagi memastikan rasuah dan salah guna kuasa tidak bermaharajalela.

Fakta dibentangkan oleh Dzulkifli pada 1 September lalu membuktikan bagaimana selama ini jenayah itu cukup hebat berlaku. Bayangkan dalam tempoh setahun lalu RM334.53 juta harta disita berban­ding RM55.02 juta sebelumnya.

Tangkapan dan kes dibawa ke mahkamah juga meningkat. Pres­tasi inilah menyebabkan pihak-pihak yang terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa serta penyelewengan tidak dapat tidur lena kerana ‘kegerahan’ melihat ketegasan SPRM di bawah Dzulkif­li.

Oleh itu, mereka berpendapat sesuatu perlu dilakukan bagi merencatkan langkah beliau dan cara terbaik tetapi amat jahil ialah melalui ‘pembunuhan karakter’.

Agenda jahat tersebut tidak boleh dibiarkan berjaya kerana ia akan memusnahkan impian serta harapan rakyat yang kini begitu menyanjungi ketegasan SPRM.

Rakyat mahu negara dibersih­kan daripada penjawat awam, ahli politik mahupun penguat kuasa yang sanggup menjual maruah serta menggadaikan ama­nah yang diberikan semata-mata mahu hidup mewah.

Dzulkifli dan SPRM tidak harus dilemahkan melalui fitnah dan tohmahan. Jika itu berlaku maka bergembiralah pengkhianat-peng­khianat amanah dan sekutu me­reka.

Kita sama sekali tidak boleh membenarkan peristiwa Si­ngapura dilanda todak dan kejatuhan kerajaan Melaka akibat fitnah Si Kitul terhadap Memanda Bendahara berulang.

Oleh itu, kalau benarlah mana-mana pihak mendabik dada berjuang untuk rakyat, maka bersama-samalah SPRM dalam me­merangi rasuah dan salah guna kuasa serta jangan sesekali cuba mengheret agensi itu dalam kancah polemik dan propaganda politik.

Kepada Dzukifli, anggaplah ‘serangan’ yang ditujukan kepada beliau adalah ujian daripada ­Allah SWT dalam perjuangan suci bersama pegawai dan anggota SPRM membebaskan negara ini daripada gejala rasuah.

Biarlah kelompok yang berniat jahat itu dengan agenda mereka. Teruskanlah perjuangan kerana bak kata beliau dalam puisinya bertajuk Demi Allah Akan Ku Jaga Maruah ini;

“Mataku tak mampu kau butakan, telingaku tak boleh kau tulikan, tanganku sukar untuk kau kunci ke belakang, lidahku tak mampu kau diamkan kerana aku ada Allah yang teratas daripada teratas, berkuasa daripada yang berkuasa.”

http://www.utusan.com.my/rencana/utama/kerana-8216-gerah-8217-dzulkifli-8216-diserang-8217-1.534852#ixzz4uzVQdhpq 

Wednesday, October 4, 2017

Rampasan wang rasuah naik 400 peratus

Sehingga bulan lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya mendapatkan kembali wang rasuah berjumlah RM21.43 juta pada tahun ini.
Kenaikan itu adalah sebanyak 400 peratus berbanding tahun lepas, kata Ketua Pesuruhjayanya Datuk Dzulkifli Ahmad.

“Jumlah wang rasuah yang dirampas dan diperoleh semula amat mendadak,” katanya ketika menyampaikan ucap utama dalam persidangan berkaitan jenayah dan keganasan kewangan antarabangsa di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata perkara itu hasil dengan badan-badan lain termasuk Bank Negara serta kejayaan mematahkan banyak kes berprofil tinggi dan kes tumpuan awam.
Rampasan SPRM pada tahun lalu bernilai RM4.95 juga manakala pada 2015 pula bernilai RM3.94 juta.

Tuesday, October 3, 2017

Jangan start pun dengan amaun kecil...

NAK Tumpang lalu jugalah ‘menyibuk’ bercakap pasal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tapi bukanlah pasal Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) yang memang dikongsi banyak pihak tiada keperluan penubuhannya buat masa ini.
Isunya tentang rasuah juga dan nak ingatkan sangat pelaku atau bakal suspeknya kesan buruk andai ditangkap, akan terpalit sama isteri dan anak-anak.
Bahkan, orang tua yang sedang meningkat usia pasti bersedih. Adik beradik, sanak-saudara pasti ‘cabut’ lari dari anda.
Sekali terpalit, rumah, harta dan kereta akan dibeku, disita atau dilucuthak harta terbabit.
Rasuah ini sebenarnya merosakkan reputasi diri - walaupun di kemudian hari tak ketahuan dilepaskan dari tuduhan itu.
Contoh klasik bagaimana pada 12 Februari 2004, kira-kira lima minggu sebelum pilihan raya umum, Tan Sri Kasitah Gaddam yang ketika itu Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi didakwa atas tuduhan amalan rasuah. Dakwaan berkaitan pengagihan saham yang dikatakan berlaku kira-kira enam tahun sebelum itu.
Beberapa hari sebelum pendakwaan, Kasitah sedang me­nikmati makan tengah hari bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan anggota-anggota Kabinet di atas bot berkanopi yang sedang berlayar tenang di sekitar tasik Putrajaya. Sambil menikmati ikan salmon salai dan daging lembu dan kambing yang dimasak enak, Kasitah tidak menduga itu kali terakhir saat-saat cerianya bersama rakan-rakan Kabinet.
Ketika didakwa, Kasitah masih terpinga-pinga. Beliau dikatakan mengeluh ekoran tiada seorang pun dari sistem memberi amaran awal berkenaan pendakwaan yang dikenakan terhadapnya.
Ini berbeza dengan Datuk Mokhtar Hashim yang ketika ditangkap di rumahnya di Petaling Jaya pada 1982 atas tuduhan membunuh, perkara itu telah disampaikan kepadanya. Semasa ketibaan polis, beliau sudahpun bersedia.
Bagaimanapun Kasitah setelah melalui tempoh perbicaraan panjang, pada 12 Ogos 2009, beliau telah dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah tinggi daripada tuduhan rasuah dan melakukan peni­puan, hampir 13 tahun sebelum itu.
Gejala ini turut memalit Dr. Mohamad Khir Toyo. Selepas e­nam bulan menjalani hukuman penjara atas kesalahan salah guna kuasa, bekas Menteri Besar Se­langor itu dibebaskan dari penjara pada 29 Mac 2016 selepas mendapat kelulusan permohonan parol.
Mohamad Khir sebelum itu antaranya merayu agar hukuman penjara digantikan dengan khidmat masyarakat iaitu rawatan pergigian percuma kepada golongan miskin selama dua tahun.
“Saya masuk penjara dulu sebagai doktor gigi untuk khidmat pergigian kepada banduan di sana. Pusingan kedua, saya pula masuk sebagai banduan... dan te­ngok macam mana kehidupan bertukar 360 darjah,” kata Mohamad Khir dalam satu sidang akhbar waktu itu.
Itulah lumrah mereka di penjara, lebih-lebih lagi mereka yang dulunya amat dihormati dalam masyarakat, tetapi imej rosak dek penangan rasuah.
Semalam, Tumpang lalu berpeluang bercakap dengan seorang bekas Majistret Kuala Krai, Kelantan, Mohd. Firdaus Ramlan yang pernah dipenjarakan selama tiga tahun serta didenda RM40,000 kerana bahana rasuah.
Mohd. Firdaus yang ketika itu berumur 28 tahun dituduh meminta dan menerima suapan sebanyak RM8,000 bagi membantu seorang bekas penagih dadah.
Berkongsi keperitan di sebalik tirai besi, beliau yang dalam usia 33 tahun kini bergerak sebagai penceramah bebas memberitahu:“Saya kemudian ja­lani hukuman penjara selama setahun, tujuh bulan, empat hari dan 10 jam sebelum dibebaskan di bawah parol pada 27 Mei 2014.
“Dahsyat pengalaman saya dalam penjara... duduk pandang tembok sementara keluarga me­nghadap masyarakat. Waktu itu (lakukan kesalahan) saya masih muda, hanya fikir RM.
“Nasihat saya jangan start pun (rasuah) dengan jumlah yang sikit.”
Cuma semalam juga Tum­pang lalu cukup tersentak apabila Pengerusi cawangan DAP di Serian, Edward Andrew Luwak menyeru Menteri Sumber Manusia, Richard Riot untuk bercuti dari tugas, sementara SPRM menyiasat satu kes penyelewengan dana RM40 juta Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
Eh! Edward, apa sudah jadi dengan bos anda di Pulau Pinang, Lim Guan Eng? Kenapa anda tidak desak Guan Eng sahaja yang bercuti kerana Ketua Menteri itu sudah didakwa di mahkamah kerana dua kes rasuah?
Pada 30 Jun 2016, Guan Eng, 57, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn di Georgetown di bawah nilai pasaran.
Li Koon pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng berhubung pembelian banglo itu.
Mahkamah Tinggi di Georgetown tetapkan 14 November tahun ini tarikh pengurusan dua kes rasuah berkenaan.
Terima kasih Mohd. Firdaus ke­rana sudi berkongsi kisahnya. Te­rima kasih juga kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad atas komitmen jitu membanteras barah rasuah ini.

http://www.utusan.com.my/rencana/kolumnis/jangan-i-start-i-pun-dengan-amaun-kecil-1.533434#ixzz4uUtxvoNa