SUDAH berbilion ringgit hasil rasuah dirampas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam pelbagai kes yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini.
Namun perkara itu masih lagi tidak dapat menyedarkan semua pihak akan bahayanya rasuah sehingga Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jai s Abdul Karim mencadangkan kerajaan mengisytiharkan rasuah musuh nombor satu negara sebagai slogan bagi menggantikan dadah.
Jais dalam wawancara ringkas dengan wartawan Utusan Malaysia, Muhamad Amirul Afiq Mastor menghuraikan isu tersebut dan langkah yang perlu dilaksanakan bagi membanteras rasuah di Malaysia.
Utusan: Mengapa rasuah perlu menggantikan dadah sebagai musuh utama negara?
Jais: Jika kita lihat bagaimana dadah boleh dibawa masuk, diedar dan dijual sewenang-wenangnya kepada orang ramai adalah disebabkan ada di antara pegawai kita yang tidak berintegriti dalam menjalankan tugas. Jika kita mampu menumpaskan rasuah sebagai musuh kita yang utama pastinya masalah lain yang berkait seperti dadah dapat diatasi.
Di manakah tahap rasuah di negara ini?
JAIS: Kita sebenarnya berada pada tahap yang kritikal namun kita suka untuk menafikan kenyataan itu dan akhirnya isu rasuah ini tidak pernah selesai. Kita perlu menghadapi kenyataan dan mencari jalan sewajarnya bagi memastikan rasuah tidak berlaku.
Pendidikan antirasuah bukan sahaja diberikan kepada sektor tertentu sahaja malah perlu diperluaskan kepada semua sektor tidak kira peringkat kerajaan atau swasta, muda dan tua serta sebagainya. Perkara itu adalah asas dalam memberikan pengetahuan yang mencukupi agar semua tahu bahawa rasuah itu berlaku dengan pelbagai keadaan yang akan berkembang kepada asas yang lain.
Pelbagai kempen telah dilakukan namun masih gagal, mengapa ini terjadi?
Jais: Kempen perlu dilakukan secara berterusan bukan hanya sekali sahaja dan anggap semua sudah mengetahui dan tidak berlaku rasuah. Tanggapan itu salah, kempen perlu dilakukan dengan susulan. Sebagai contoh, bagi sesebuah agensi yang menandatangani petisyen integriti antirasuah adakah ia menjamin seseorang itu tidak melakukan rasuah? Malah ada yang sudah laksanakannya sejak sekian lama tetapi rasuah tetap berlaku. Kerana apa? Kerana tiada pemantauan dan kempen yang dilakukan tidak berterusan. Seorang pegawai pemerhati perlu dilantik untuk memastikan integriti pegawai terus kebal daripada rasuah. Jika syarat persijilan standard Pertubuhan Pemiawaian Antarabangsa (ISO) boleh ada pegawai pemerhati kenapa tidak bagi melantik pegawai pemerhati dalam isu ini.
Adakah perlu satu program wajib di jabatan kerajaan dan swasta?
Jais: Bagi pegawai kerajaan mereka sudah mempunyai pegawai integriti di setiap jabatan dan itu sedikit sebanyak dapat memantau pergerakan mereka dan sebagainya. Namun bagi pihak swasta perkara seperti itu tidak ada. MCW telah berbincang dengan pihak SPRM akan mengadakan satu program bersama penjawat swasta dengan menjemput mereka melawat mahkamah SPRM, bilik kawad cam, lokap dan sebagainya selain sesi dialog mengenai perkara itu.
Program itu adalah salah satu cara memberi kesedaran kepada pegawai tinggi sektor swasta apa yang bakal mereka hadapi jika terlibat dengan rasuah. Jika pada program tersebut mereka berbaju kemeja dan tali leher, mungkin jika tidak berintegriti, baju lokap SPRM berwarna oren akan menjadi persalinan buat mereka.
Bilakah masa yang sesuai kita memberikan pendidikan antirasuah?
Jais: Ramai di antara kita tidak menyedari rasuah berlaku sejak kecil di mana anak-anak dirasuah untuk mendapatkan sesuatu yang dikehendaki. Secara tidak langsung kita telah mengajar mereka rasuah walhal sebenarnya kita mahu memberi penghargaan. Hadiah dan rasuah mempunyai lapisan sangat nipis yang membezakan dan itu perlu dijelaskan pada anak-anak kita. Jangan sesekali memberi penghargaan berupa wang ringgit atau material kerana mereka akan mudah tersalah anggap apabila dewasa untuk membezakan penghargaan atau rasuah. Berikan mereka lebih galakan dengan suntikan semangat serta kasih sayang yang sewajarnya kerana itu yang lebih baik buat mereka.
Berapa lama lagi negara mampu keluar daripada isu rasuah ini?
Jais: Jika Indonesia mampu berkempen selama 60 tahun untuk mendapatkan kesedaran dalam kalangan warganya, kita mungkin akan memerlukan masa 30 tahun lagi bagi terus mendidik rakyat Malaysia untuk menolak rasuah. Itu perlu dilaksanakan mengikut apa yang saya perkatakan awal tadi iaitu kempen berterusan dan didikan sejak kanak-kanak.
Jika itu berlaku kita tidak lagi perlukan SPRM kerana setiap dari kita mampu berfikir untuk menolak perkara yang tidak berintegriti. Generasi muda ketika ini dalam lingkungan 20 tahun dan pada masa itu kelak mereka sudah menjangkau 50 tahun mungkin menjadi pegawai kanan kerajaan mahupun swasta yang akan mengubah landskap rasuah kepada pegawai berintegriti.
http://www.utusan.com.my/rencana/utama/rasuah-musuh-nombor-satu-negara-1.535532#ixzz4uzUrnQnN
No comments:
Post a Comment