Wednesday, October 18, 2017

Integriti dan rasuah

Sejak seminggu lalu, topik rasuah menjadi paparan utama hampir semua media di negara ini. Ia bermula dengan pendedahan siasatan kes seleweng dana RM1.5 bilion untuk projek luar bandar di Sabah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kemudian diikuti kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengenai amaran rasuah dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sejak dilantik sebagai KPN pada 4 September lalu, Mohamad Fuzi menjadikan isu integriti anggota dan pegawainya sebagai fokus pentadbiran. Kenyataan pedasnya mengenai ada pegawainya 'berlakon dan bermain wayang' dalam soal pembanterasan kegiatan judi, jenayah bersindiket dan gengsterisme sepatutnya menjadi wake up call.

Sudah tentu amaran itu ada kaitan dengan pelbagai laporan media sebelum ini mengenai ada aktiviti judi berhampiran balai polis, jenayah sindiket dan kumpulan gengster yang dikatakan turut dikaitkan dengan pegawai kanan polis serta isu wang perlindungan boleh mengaibkan pasukan keselamatan itu.

Apa tidaknya, jika dibuat carian dalam internet mengenai agensi kerajaan paling banyak aduan rasuah, nama PDRM antara 10 tertinggi, selain Jabatan Imigresen, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kastam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Tanah dan Galian.

Tiga tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga mendedahkan Jabatan Imigresen antara agensi kerajaan berada di kedudukan teratas bagi aduan rasuah yang dibentangkan SPRM kepada Kabinet.

Ini sudah tentu memalukan beliau sebagai menteri bertanggungjawab. Perlu diakui hanya kerana perbuatan sebilangan kecil anggota dan pegawai, tercalar imej seluruh jabatan.

Namun, perubahan pucuk pimpinan kebanyakan agensi itu sejak setahun dua lalu, menampakkan banyak kerja 'pembersihan' dilakukan, ditambah pula dengan ketegasan operasi agresif SPRM tanpa mempedulikan pangkat, jawatan dan parti politik orang disyaki rasuah semakin menampakkan hasil.

Ramai yang mengisi kerusi panas di jabatan kerajaan atau swasta sudah kecut perut.

Malah, keputusan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad mahu mengeluarkan senarai 10 kementerian paling banyak menerima aduan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa selewat-lewatnya hujung tahun ini juga sudah tentu mula memberi tekanan kepada menteri, ketua setiausaha, ketua pengarah atau ketua agensi penguat kuasa.

Ini mungkin sesuatu yang baharu di negara kita, tetapi ada negara seperti Korea Selatan sudah melakukannya.

Dalam jangka panjang, ini akan membantu Malaysia meningkatkan posisinya dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI). Pada 2016, Malaysia berada tangga ke-55 daripada 176 negara dengan mencatat skor 49 daripada 100 dalam tinjauan CPI.

Walaupun Malaysia menduduki kedudukan lebih baik daripada banyak negara jiran seperti Indonesia (ke-90), Filipina dan Thailand (ke-101), jauh ketinggalan berbanding Singapura di nombor 7.

Kita berharap usaha Mohamad Fuzi untuk membersihkan PDRM menjadi. Kita juga harap Ketua Pengarah Imigresen, JPJ, JPN, Jabatan Kastam dan pemimpin PBT serta semua agensi yang berurusan dengan rakyat turut memulakan jihad rasuah.

Pastinya dalam tempoh kurang 10 tahun, ranking Malaysia dalam CPI akan meningkat. Jika ini menjadi kenyataan, Malaysia akan dihormati di seluruh dunia dan rakyat akan lebih makmur tanpa rasuah.

Penulis adalah Pengarang Bersekutu ( Berita & Integrasi Media)

https://www.bharian.com.my/kolumnis/2017/10/337569/integriti-dan-rasuah

No comments:

Post a Comment