KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda kepada lapan penolong pegawai perubatan selepas didapati bersalah membuat tuntutan palsu kerja lebih masa pada tahun 2016.
Hakim Abu Bakar Manat mengenakan denda RM15,000 kepada Mohd Rosidih Mohd Saidi, manakala Jaduin Untop (RM18,000); Terence Linchos (RM17,000); Zulkifli Arun (RM14,000); Noor Salim Mohd Zin dan Mohd Akmal Hafiz Mohd Ariff masing-masing RM12,000 serta Juraineh Musalim (RM7,000).
Mereka boleh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
Seorang lagi tertuduh, Naza Fadirul @ Mick Ab Satar dikenakan denda RM20,000 dan penjara empat bulan jika gagal menjelaskannya.
Semua tertuduh adalah pembantu perubatan di Klinik Mata Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) di sini yang didakwa membuat tuntutan palsu kerja lebih masa di Jabatan Akauntan Sabah di Wisma Perindustrian antara 1 Februari dan 30 Jun 2016.
Dalam penghakimannya, Abu Bakar menasihati semua pesalah menjadikan hukuman itu sebagai pengajaran.
"Sekiranya anda masih bekerja, sila pastikan integriti dan tidak mengambil kesempatan, berfikir sebelum bertindak kerana ia bukan saja memalukan diri sendiri, malah keluarga," katanya.
Semua tertuduh didakwa membuat tuntutan palsu kerja lebih masa bagi Januari hingga Mei 2016 di Pejabat Akauntan Negara, Sabah dan Pejabat Klinik Mata, QEH antara Februari hingga Jun 2016.
Mengikut kertas pertuduhan, Naza Fadirul, 33, didakwa atas 20 tuduhan membabitkan tuntutan palsu RM22,216.61 dan RM43,685.65, manakala Mohd Akmal, 26, dengan tuntutan RM12,842.26 dan RM10,661.89.
Lima lagi iaitu Mohd Rosidi, 38; Terence, 38; Jaduin, 30; Zulkifli,28, dan Noor Salim, 27, didakwa membuat tuntutan palsu antara RM13,466.89 hingga RM19,992.63.
Tertuduh wanita, Juraineh, 27, pula berdepan tiga tuduhan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan tuntutan palsu kerja lebih masa berjumlah RM8,647.40 iaitu bagi Mac hingga Mei 2016.
Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Rozanna Abd Hadi dan Rustam Sanip mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala Noor Salim dan Mohd Akmal diwakili peguam Hairul Vyron serta yang lain diwakili peguam Ram Singh.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/02/386114/tuntutan-palsu-8-penolong-pegawai-perubatan-didenda
No comments:
Post a Comment