KUALA LUMPUR 10 Feb. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertindak lebih agresif dari segi penguatkuasaan, pendidikan serta aspek lain dalam memerangi rasuah di negara ini bagi mencapai visi dan misinya iaitu sifar rasuah menjelang 2020.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, penguatkuasaan secara tegas dan lebih proaktif juga bakal dilaksanakan terhadap individu yang terlibat dengan rasuah serta salah guna kuasa.
Menurut beliau, pihaknya juga akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi dan penjawat awam bagi menjayakan agenda tersebut.
“Malah lebih banyak program secara berterusan bersama rakyat akan dilancarkan bagi memupuk kebencian terhadap rasuah termasuk dua program besar pada bulan ini.
“Selain itu, satu program baharu bakal dilancarkan minggu depan di seluruh negara sama seperti kempen Jangan Hulur, Jangan Kawtim, Jangan Settle (3J). Bagaimanapun, kita tidak boleh dedahkan kempen itu. Tunggulah nanti,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Menembak Bersama Media di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan & Profesionalisme) SPRM, Datuk Jaafar Mahad; Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Hassan Mohd. Noor; Penolong Pengarang Utusan Malaysia (Prosesan), Rozaman Ismail dan Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia, Mohd. Ridzwan Md. Iman.
Dalam program itu, kumpulan dianggotai Rozaman merangkul juara dalam acara jatuhan piring VIP manakala kumpulan Mohd. Ridzwan memenangi tempat ketiga bagi acara sama.
Dzulkifli memberitahu, pihaknya sedang merancang pelaksanaan program bersama golongan wanita dan pelajar sekolah.
Ujarnya, program berkaitan wanita diadakan sempena tema tahun ini iaitu usaha memperkasakan wanita yang dijangka dilancarkan pada Mac depan.
“Saya juga berharap lebih banyak lagi acara SPRM bersama media dianjurkan kerana kedua-dua agensi ini saling memerlukan. Pihak media memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej perangi rasuah kepada masyarakat,” ujarnya.
Terdahulu, seramai 100 pengamal media daripada 20 agensi media menyertai pertandingan menembak yang julung kali dianjurkan SPRM di bawah kepimpinan Dzulkifli sejak mengambil alih jawatan tersebut pada 1 Ogos 2016.
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sprm-akan-lebih-agresif-dzulkifli-1.606731#ixzz56lBPe9NU
No comments:
Post a Comment