KUALA LUMPUR - Seorang operator tapak pelupusan sampah haram dipenjara sebulan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah memberi rasuah RM4,000 kepada pegawai penguatkuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), tahun lalu.
Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu terhadap N Thinesh, 28, selain memerintahkan tertuduh yang diwakili peguam, K Jaikumaran itu dipenjara 20 bulan lagi jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Thinesh didakwa memberi suapan wang tunai RM4,000 kepada Pegawai SWCorp Wilayah Persekutuan, Mohd Zaki Harry Susanto @ Mohd Zaki Mohamad sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan menyita empat lori yang berada di tapak tersebut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di belakang Kompleks Komuniti Muhibbah, Jalan 4/155, Bukit OUG, di sini kira-kira jam 10.30 pagi, 19 September tahun lalu.
Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nor Diana Nor Azwa mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
http://www.sinarharian.com.my/semasa/rasuah-operator-tapak-dijel-dan-denda-1.794691
No comments:
Post a Comment