Wednesday, March 7, 2018

Jururawat, adik ipar didakwa terlibat pengubahan wang haram

KUALA LUMPUR - Seorang ketua jururawat dan adik iparnya dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM500,000 dua tahun lalu. 

Huziana Othman, 49, dan Noorashikin Azmi, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Madihah Harullah dan Allaudeen Ismail.   Mengikut pertuduhan, Huziana yang bertugas di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar didakwa melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan cara memindahkan wang berjumlah RM500,000 dari akaun Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) miliknya ke akaun Koperasi Amanah Pelaburan Berhad miliknya, hasil daripada aktiviti haram. 

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Koperasi Amanah Pelaburan Berhad, Tingkat 10, Menara 2, Menara Kembar Bank Rakyat, No 33 Jalan Rakyat di sini, pada 13 Jun 2016. 

Noorashikin pula didakwa atas pertuduhan yang sama dengan memindahkan wang berjumlah RM500,000 dari akaun Bank  Rakyat Malaysia miliknya ke akaun Koperasi Amanah Pelaburan Berhad miliknya di tempat yang sama pada 19 April 2016. 

Selain itu, Noorashikin juga didakwa atas pertuduhan membabitkan diri dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu menerima wang berjumlah RM28,324.50 dari akaun Public Islamic Bank Berhad milik syarikat Techies Two Sdn Bhd ke akaun simpanan Affin Islamic Bank Berhad miliknya. 

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Islamic Bank Berhad, Menara Affin, 80 Jalan Raja Chulan di sini antara 28 Oktober 2016 dan 28 Mac 2017.   Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dan 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan boleh dihukum bawah seksyen 4(1) akta sama. 

Jika sabit kesalahan kedua-dua wanita itu berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin setiap seorang dan membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kes itu dipindahkan untuk dibicarakan bersama kes di Mahkamah Sesyen Alor Setar serta menetapkan 11 Mac ini untuk sebutan semula kes di sana.   Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Heikal Ismail manakala Peguam Rahmat Mohamed Hazlan mewakili kedua-dua tertuduh.
http://www.sinarharian.com.my/mahkamah/jururawat-adik-ipar-didakwa-terlibat-pengubahan-wang-haram-1.806242

No comments:

Post a Comment