Sunday, March 4, 2018

Lihat keberkesanan SPRM tangani rasuah

Selaku anggota Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah (JKMR), saya turut terkilan apabila mendengar pengumuman dapatan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2017, yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) pada Februari lalu. Saya berpandangan sudah sampai masanya Malaysia tidak perlu tertekan dengan dapatan tahunan CPI.

Ia sememangnya tidak mencerminkan tindakan dan pendekatan proaktif yang diambil Kerajaan Pusat dalam menangani isu-isu berkaitan dengan rasuah. Pendek kata kita boleh merumuskan bahawa indeks tersebut tidak memberi gambaran sebenar.

Ini seperti persekitaran hidup kita sama ada hendak hidup atas persepsi orang lain atau berpegang kepada pendirian melakukan yang terbaik dan menjadi seorang yang baik sepanjang hidup kita.

Jika diimbas tahun 2008, kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mengambil langkah berani dengan mewujudkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bebas dan telus. Pendekatan itu yang memenuhi kehendak rakyat sebenarnya merupakan satu langkah berani. Antara lain penubuhan SPRM menunjukkan bahawa sebuah suruhanjaya bebas dan telus diwujudkan.

Ia juga membawa kepada peningkatan sabitan kes-kes rasuah. Lima tahun sebelum itu beliau mengorak langkah menubuhkan Institut Integriti Malaysia, sebuah agensi yang diberi tanggungjawab untuk melahirkan masyarakat dan negara yang berintegriti tinggi, berdaya tahan selain rakyat memiliki nilai-nilai murni sejagat.

Pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggantikan Abdullah pada tahun 2009 meneruskan usaha mewujudkan persekitaran yang bebas dan telus menerusi program transformasi. Usaha-usaha ke arah itu diteruskan dengan inisiatif-inisiatif seperti penubuhan Unit Integriti di setiap agensi, dan yang terbaharu adalah pembentukan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus (JITN).

Najib juga memperkenalkan makmal khas NKRA Anti Rasuah sebaik-baik sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri sembilan tahun yang lalu. Mana-mana pihak yang rasional akan merumuskan bahawa skor CPI mengenai Malaysia yang dikeluarkan oleh TI tidak menggambarkan situasi sebenar – tindakan agresif SPRM dalam membanteras rasuah habis-habisan di negara ini terutama sejak dua tahun kebelakangan ini. Justeru, sebagaimana dikatakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, ramai yang turut terkejut dengan dapatan CPI sedangkan SPRM telah memperlihatkan keberkesanan dalam menahan dan menangkap mereka yang terlibat dalam rasuah.

Oleh itu, perlu ditegaskan bahawa mengatakan siasatan membabitkan kes-kes besar membawa kepada kemerosotan skor dan ranking CPI juga tidak masuk akal dan tidak boleh diterima sama sekali.

SPRM secara konsisten membuat tangkapan dan pendakwaan setiap minggu dan tindakan lebih agresif dilakukan sepanjang 2017.

“Kalau kita lihat setiap minggu akan ada tindakan yang kami ambil dan kami juga telah membuat beberapa siri tangkapan yang berterusan pada 2017. Itu agak ketara berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini.

"Tahun 2017 telah menunjukkan tindakan agresif yang telah kita ambil terhadap perasuah-perasuah di dalam negara ini. Apabila indeks ini dikeluarkan, kita melihat ia tidak menggambarkan tindakan yang telah kita lakukan,” kata Dzulkifli.

Landasan betul

Berdasarkan CPI TI, kedudukan Malaysia dalam bagi tahun 2017 jatuh daripada tangga 55 kepada 62 daripada 180 buah negara dengan penurunan dua mata, daripada 49 kepada 47. Di peringkat ASEAN, Malaysia berada di tempat ketiga di belakang Singapura dan Brunei. Malaysia melepasi skor purata di peringkat global iaitu 43 mata serta skor purata di peringkat Asia Pasifik iaitu 44 mata.

Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar berkata penurunan skor itu disebabkan oleh beberapa kes berprofil tinggi yang masih dalam siasatan.Sementara itu, di peringkat negara-negara Islam seluruh dunia, Malaysia menduduki tangga kelima. Emiriah Arab Bersatu (UAE) mendahului senarai negara Islam dengan menduduki tangga ke-22 dunia, diikuti Qatar (29), Brunei (32) dan Arab Saudi (57).

Maka, saya dengan tegas meminta pihak kerajaan termasuk SPRM tidak perlu atau usah pedulikan dapatan CPI, sebaliknya terus meningkatkan usaha – apa juga tindakan – bagi menangani isu dan masalah rasuah. Langkah itu lebih penting berbanding kecewa atau lemah semangat disebabkan laporan CPI.

SPRM wajar dan perlu meneruskan apa yang dilakukan sekarang. Saya pasti rakyat akan faham yang pihak berkuasa terus melakukan yang terbaik bagi membanteras rasuah dan sebagainya. Sabitan kes-kes rasuah pada satu hari kelak akan membuktikan kita berada di landasan betul dalam memerangi kes-kes rasuah dan dalam usaha memupuk nilai-nilai integriti dan murni dalam kalangan rakyat.

Lipatan sejarah akan membuktikan kepimpinan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam amalan rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan. Kita harus menyokong usaha SPRM yang mahu memperkenalkan Indeks Rasuah Malaysia. Sekurang-kurangnya ia akan memberi gambaran sebenar mengenai situasi di negara ini.

Dapatan indeks harus didedahkan kepada umum sebagai satu bentuk panduan dan teladan. Kita perlu bersikap terbuka dalam bab ini. Sebagaimana disebutkan oleh SPRM kita tidak mahu indeks ini diukur dengan persepsi semata-mata tetapi berdasarkan fakta dan bukti.

Kita yakin kedua-dua, SPRM dan Institut Integriti Malaysia akan terus melaksana dan mengadakan usaha-usaha yang difikirkan perlu untuk mewujud komuniti berintegriti di Malaysia, pada masa sama memerangi rasuah habis-habisan.

Dapatan CPI tidak wajar dipolitik. Sebaliknya semua pihak termasuk pembangkang wajar memberi sokongan kepada SPRM, Institut Integriti Malaysia dan semua agensi terbabit agar isu rasuah dan integriti dapat ditangani dengan berkesan. Setiap anggota masyarakat termasuk ahli politik semua parti mempunyai peranan. Jangan salahkan Kerajaan Pusat semata-mata.

* Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Khas Parlimen Menangani Rasuah (JKMR)



http://www.utusan.com.my/rencana/utama/lihat-keberkesanan-sprm-tangani-rasuah-1.620311#ixzz58pHX9I2K 

No comments:

Post a Comment