PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyaran semua agensi penguatkuasaan dan badan bukan kerajaan kerajaan (NGO) supaya terus bekerjasama dengan menyalurkan maklumat serta aduan bagi membanteras rasuah dan salah guna kuasa melibatkan isu alam sekitar.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, usaha membendung jenayah rasuah alam sekitar tidak akan berhasil tanpa penglibatan kerjasama dan sokongan padu semua pihak termasuk Jabatan Penguatkuasaan Alam Sekitar, NGO dan SPRM.
“SPRM mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Environmental Protection Against Corruption Caucus (EPACC) tahun lepas untuk menjalin rangkaian kerjasama strategik dengan semua pihak dalam usaha perkongsian maklumat bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap jenayah rasuah melibatkan isu alam sekitar.
“Pada 2017, Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM melaksanakan pemeriksaan berhubung sistem dan tata cara pengurusan ladang hutan di Semenanjung Malaysia bagi mengenal pasti kelemahan yang boleh diperbaiki,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan bengkel Pengurusan Ladang Hutan: Isu, Cabaran & Penyelesaian yang dihadiri agensi-agensi pengurusan dan pembangunan ladang hutan di Semenanjung Malaysia dan NGO alam sekitar di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) Datuk Roslan Ariffin, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan (PERUN) Datuk Md Yusoff Md Zain dan Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) Datuk Idris Zaharuddin.
Bengkel dua hari itu, yang diadakan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di sini, disertai hampir 100 peserta yang mewakili Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Perhutanan Negeri, Ibu Pejabat Jabatan Alam Sekitar, Sahabat Alam Malaysia (SAM), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) dan Persatuan Pelindung Khazanah.
Bengkel julung kali itu diadakan untuk membincangkan dan mengenal pasti isu serta permasalahan berkaitan pengurusan ladang hutan di Malaysia selain memberi gambaran sebenar terhadap isu pengurusan ladang hutan kepada NGO berkaitan alam sekitar. - Bernama
http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/teruskan-kerjasama-banteras-rasuah-1.808402
No comments:
Post a Comment